Gadis Kebaya Merah - 10
BAB 10

DI RUMAH NEK TOM, masing-masing diam membisu. Apa yang berlaku di rumah Mak Jemah tadi memang menakutkan dan ia benar-benar berlaku. Ana Dahlia pandang Kudin yang berkerut kening. Mungkin masih berfikir hal tadi. Dia juga terkejut mendengar cerita Kudin tadi yang disampaikan oleh Senah.

Malam itu, Ana Dahlia sekali lagi menyambung menaip laporan. Segala apa yang berlaku siang tadi, semuanya ditaip dan dimasukkan ke dalam laporannya. Bila balik semula ke KL, dia harus melaporkan diri di pejabat Detektif Razif. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia senyum. Pamggilan dari Detektif Razif.

"Panjang umur mamat ni.." Ana Dahlia segera menjawab panggilan. Dia hanya mendengar arahan dari detektif muda itu. Talian putus.

Ana Dahlia kembali menaip laporan. Sejak ke kampung Pinang Patah itu, dia sudah banyak dapat mengumpul bukti. Kudin, Kuyah, Mak Jemah adalah antara suspek setakat ini dengan masing-masing disyaki mempunyai motif berlainan. Mak Jemah, mungkin bomoh yang diupah untuk menyihir Tengku Muzafar sehingga mati. Kudin, satu-satunya anak lelaki tunggal Tengku Muzafar, ada motif utama untuk membolot harta. Mungkin Kudin bersikap baik supaya tidak disyaki. Kuyah, dalam diam juga mempunyai cita-cita untuk membolot harta ayahnya. Kuyah, hidup melarat dengan arwah ibunya dan terseksa dengan ayah tiri yang kaki mabuk. Jadi, kemungkinan besar, Kuyah hanya berpura-pura takut dan ambil hati Kudin. Kusha, seorang lagi adik Kudin berlainan ibu, memang sudah lama tersenarai dalam suspek yang disyaki.

"Hmm...sekarang ni, tinggal lagi keputusan forensik rangka manusia tu." Ana Dahlia senyum. Jika sudah ada keputusan, bermakna siapa sebenarnya jelamaan gadis kebaya merah itu akan diketahui tidak lama lagi.

"Mak Jemah..aku kena siasat. Kalau betul dia bomoh yang dimaksudkan tu..aku akan dapat tahu siapa yang beri arahan pada Mak Jemah untuk membunuh Tengku Muzafar." Ayat terakhir ditaip dan komputer riba ditutup.

Ana Dahlia sandar di kepala katil. Dia mula berfikir tentang Mak Jemah. Jika benar, bermakna Mak Jemah bukan sebarangan. Ilmunya cukup kuat. Mungkin makhluk yang dilihat itu adalah peliharaan Mak Jemah atau Mak Jemah sendiri yang berubah rupa. Jadi dalam hal ini, dia perlu libatkan ustaz atau imam atau orang yang alim dan warak untuk bertarung dengan Mak Jemah nanti. Dia mula berfikir siapa yang layak dalam hal itu.

KUDIN yang berehat di ruang tamu juga turut berfikir tentang hal itu. Dari siang tadi otaknya ligat berfikir. Mak Jemah mungkin membela sesuatu. Seingatnya, jika benda yang dilihat Senah dan Ana Dahlia itu terjelir lidahnya, itu mungkin juga hantu raya yang mungkin dibela Mak Jemah. Jadi tidak mustahil Mak Jemah ada ilmu sihir. Kemusykilannya sekarang, kenapa orang kampung tidak tahu tentang kehidupan hitam dan pelik Mak Jemah

"Hmm..mana orang kampung nak syak..Mak Jemah tu melaram je kerjanya. Gincu tebal buku kamus dewan tu, baju kebaya pulak macam balut nangka, sanggul rambut dah kalah KLCC..muka tu yang pelik., nampak muda sentiasa. Rasanya umur dia sama dengan nenek aku.." Kudin sengih.

"Patutlah Senah tu terpengaruh. Tapi okey jugak. Aku dapat maklumat dari Senah nanti."

Kudin mula melelapkan mata. Dia baca beberapa ayat sebelum tidur.

Duummm!!

Kudin terjaga. Bunyi kuat tadi cukup jelas di telinganya. Segera dia meluru ke bilik Kuyah. Dia sudah masak dengan semua itu. Kali ini Kuyah tiada apa-apa. Kuyah dilihat tidur lena di situ.

"Aik! Tadi aku dengar macam kuat je.." Kudin garu kepala. Dia kembali ke ruang tamu.

"Kau kena tolong aku. Tolong aku..."

Kudin menoleh. Gadis kebaya merah itu tiba-tiba muncul di depannya. Dia menelan liur. Suasana sunyi. Hanya bunyi cengkerik saja yang melalak di luar rumah.

"To..tolong apa" Kudin beranikan diri bertanya. Nasib baik jelmaan itu cantik. Kalau rupa macam langsuir, sah-sah dia boleh pengsan macam Kuyah malam tadi.

"Tubuh aku..tubuh aku.." Sayu suara itu merintih.

"Mana tubuh kau" Kudin tanya lagi. Kali ini dia terpaksa beranikan diri.

"Di rumah orang tua tu.."

"Siapa" Kudin tanya lagi, ramai orang tua di kampungnya.

"Mak Jemah..." Terus gadis itu ghaib.

Kudin tergamam. Jelmaan gadis itu tadi sudah bertukar asap dan terus hilang. Dia mengelap peluh. Dia harus selesaikan semua itu.

Kalau tidak, jelmaan gadis kebaya merah itu akan selalu mengganggu mereka. Kini dia sudah tahu. Mak Jemah adalah bomoh itu!

Bomoh yang sama yang melakukan upacara sihir ke atas arwah ayahnya. Dia segera ke bilik Ana Dahlia. Malam itu juga dia kena siasat!

Pintu diketuk berkali-kali tetapi agak perlahan, bimbang Nek Tom dan Kuyah terjaga nanti.

Ana Dahlia berpisat-pisat matanya melihat Kudin sebaik pintu dibuka. "Awak nak apa"

"Kita kena pergi ke rumah Mak Jemah sekarang juga!" Kudin pandang Ana Dahlia yang sudah menguap.

"Hah Malam ni" Luas mata dia memandang Kudin.

Kudin mengangguk.

"Kita berdua je ke" Ana Dahlia menelan liur.

"Habis tu Nak ajak Kuyah dan nenek sekali" Kudin senyum sinis.

Ana Dahlia mencebik. Pintu ditutup. Dia mula tukar kain batik sarung yang dipakainya dengan seluar jeans. Kalau ada apa-apa nanti, senang dia nak lari. Kalau di KL, bila dia buat operasi, pistol sentiasa dibawa. Di kampung ni, mana boleh bawa semua tu. Pintu dibuka semula. Kudin masih di situ.

"Nanti! Kita kena panggil tok imam sekali. Ini bukan kes biasa. Mak Jemah ada ilmu hitam. Ini bukan penyangak biasa." Ana Dahlia mula bertutur tegas.

Kudin pandang Ana Dahlia tak berkelip. Lagak gadis itu tadi sudah seperti seorang pegawai polis memberi arahan.

"Err..kenapa awak tengok saya macam tu" Ana Dahlia sudah mula perasan. Nada suaranya tadi sudah tersasul. Dia sudah biasa dengan nada seperti itu bila menyiasat sesuatu kes. Itu belum masuk bila dia meyoal saksi dan suspek di bilik soalsiasat.

"Awak ni polis ke" Kudin terus bertanya.

"Polis Awak merepek apa ni Saya kan kerani awak, tak ingat Encik Tengku Saifuddin bin Tengku Muzafar" Ana Dahlia mula ubah nada. Bergurau.

"Ingat..ingat..awak cik Ana Dahlia binti Abu Bakar, kerani dan pembantu cik Hetty di TM Holdings merangkap kekasih celup saya." Kudin menjawab panjang lebar. Tersengih-sengih.

Ana Dahlia mencebik. Geram!

Mereka berdua keluar senyap-senyap dari rumah dan berjalan menuju ke rumah Tok Imam Ngah. Itulah satu-satunya tok imam di kampung Pinang Patah itu yang sedia berkhidmat jadi imam solat, jadi jurunikah, jadi pengurus jenazah. Orang tua lain, hanya tahu main dam, tak pun tergelek-gelek menari dangdut di kedai Pak Kahar.

Tiba di rumah Tok Imam Ngah, mereka menyatakan tujuan mereka ke situ. Tok Imam Ngah masih teragak-agak hendak menolong tetapi setelah dipujuk Kudin, mereka bertiga mula menapak ke rumah Mak Jemah. Dari jauh mereka sudah melihat asap berkepul dari atas bumbung Mak Jemah. Asap itu kemudian bertukar menjadi bentuk tubuh manusia.

"Jadi..betullah benda ni" Tok Iman Ngah ternganga melihat semua itu di depan matanya sendiri.

"Ya..nampak tu!" Kudin tuding lagi.

"Hmm...ni sudah syirik.." Tok Imam Ngah geleng.

"Jadi, apa kita nak buat sekarang" Ana Dahlia pula bertanya.

Tok Imam Ngah masih berfikir. Dia pandang Kudin dan Ana Dahlia silih berganti. "Ni..kamu berdua ni, berdua malam-malam ni kenapa"

Kudin dan Ana Dahlia terdiam. Mereka senyum kelat.

"Kami tengah siasat ni tok. Err...saya bantu Ana saja. Dia polis.." Kudin sengih. Dia terpaksa cari alasan yang munasabah sikit menurut kepala otaknya.

"Oh..jadi cik Ana ni polis la ya" Tok Imam Ngah pula bertanya Ana Dahlia.

Ana Dahlia terpaksa mengaku. Dia menjeling tajam ke arah Kudin yang sudah tersengih-sengih.

Duuummm!!

Bunyi kuat mula kedengaran dari rumah Mak Jemah.

"Hah..itu bunyi yang saya selalu dengar tok." Kudin cuba amati bunyi tadi.

"Ya tok..itu bunyi yang selalu mengganggu rumah Kudin. Lepas tu, menjelma seorang gadis memakai baju kebaya merah, merayu menangis..minta tolong. Dia yang kata tubuhnya ada di rumah Mak Jemah tu." Ana Dahlia menambah.

Tok Iman Ngah terlopong. Baru hari ini dia mendengar semua itu.

Sekali lagi bunyi itu kedengaran . Kali ini disusuli dengan suara nyaring yang menjerit dan ketawa mengilai. Seketika kemudian muncul satu lembaga di atas bumbung. Kudin, Ana Dahlia dan Tok Iman Ngah terpaku di situ.

LEMBAGA itu merenung tajam ke arah Kudin, Ana Dahlia dan Tok Imam Ngah. Dia menyeringai mengilai di atas bumbung. Ketiga manusia itu diilhat tajam.

"Aku tahu tujuan kamu semua datang ke sini!"

Sekali lagi Kudin, Ana Dahlia dan Tok Imam Ngah ternganga. Lembaga itu mula bersuara. Lidahnya pula terjelir panjang. Menjilat-jilat bumbung Mak Jemah.

" Kau syaitan! Nyah kau dari sini!!" Tok Imam Ngah baca sesuatu.

Kudin mendengar jelas, Tok Imam Ngah baca al fatihah, ayat kursi dan ayat kedua terakhir dalam surah Al Baqarah. Diulang-ulang membaca. Dia kemudian melihat lembaga tadi. Lembaga tadi hanya ketawa.

Tok Imam Ngah tidak pedulikan lembaga itu. Dia terus terkumat kamit membaca. Tadi sebelum dia ke situ, dia sempat sediakan beras kunyit, lada hitam, dan juga garam. Selesai baca, garam dilempar ke arah rumah Mak Jemah. Suara jeritan yang kuat mula kedengaran. Sekali lagi Tok Imam Ngah baca al fatihah dengan kuat dan ayat kursi, kali ini ditambah dengan ayat -ayat ruqyah. Lada hitam pula dilempar ke arah rumah Mak Jemah. Sekali lagi kedengaran suara menjerit kesakitan.

Kudin melihat lembaga itu masih di atas bumbung. Berlegar-legar di situ.

Tok Iman Ngah baca lagi dengan suara lantang, ayat suci al Quran disertakan dengan laungan azan yang kuat. Kali ini beras kunyit dilemparkan. Lemabaga di atas bumbung itu sudah hilang. Jeritan kuat masih kedengaran dari dalam rumah. Bergegas mereka semua menapak ke muka pintu masuk ke rumah Mak Jemah.

"Nanti!" Tok Imam Ngah mendepakan kedua tangannya.

Kudin dan Ana Dahlia yang berada di belakang Tok Imam Ngah terhenti langkah mereka. Mereka kaku di depan pintu rumah. Tok Imam Ngah baca lagi surah al Fatihah, kalimah zikir Subhannallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar. Seolah orang sedang meratib.

Kemudian dia baca lagi ayat Ruqyah. Tiba-tiba rumah bergegar kuat! Pintu rumah Mak Jemah terbuka luas bila angin tiba-tiba menerpa dengan kencang.

Kudin tenganga.

Ana Dahlia pucat.

Tok Imam Ngah memandang tajam ke arah Mak Jemah. Angin kuat masih kuat menerpa. Jendela tertutup dan terbuka ditiup angin kuat. Bunyi hentaman jendela begitu jelas di telinga. Mak Jemah sudah merenung tajam ke arah Kudin, Ana Dahlia dan Tok Imam Ngah.

"Siapa kau" Lantang suara Tok Imam Ngah bertanya.

Mak Jemah ketawa berdekah-dekah.

"Siapa kau" Sekali lagi Tok Imam Ngah bertanya. Dia jengilkan mata.

"Aku khadam!"

"Khadam siapa"

"Khadam Mak Jemah!!" Mak Jemah ketawa semakin kuat. Dia mengilai.

Angin semakin kuat.

"Kau nak apa" Tok Imam Ngah terus mengasak.

"Aku nak darah! Aku kelaparan! Tuan aku sudah lama mati!!!"

Kudin dan Ana Dahlia saling berpandangan.

"Siapa tuan kau"

"Aku!!!" Mak Jemah mengilai lagi.

"Mana rangka manusia itu Mana mayat tu" Sekali lagi Tok Imam Ngah bertanya. Lantang dan tegas.

"Aku sudah puja dalam bilik tu!" Mak Jemah tuding ke arah bilik yang berkunci.

"Kenapa kau puja"

"Aku nak hidup lama dan aku nak sentiasa cantik!"

"Siapa mayat tu"

"Dia gadis yang dibunuh dan mayatnya dicampak ke kolam kumbahan." Mak Jemah menjawab satu persatu.

"Kau kenal siapa" Asak Tok Imam Ngah lagi.

"Tidak! Aku hanya nakkan tubuh gadis itu saja."

Tok Imam Ngah baca lagi al fatihah dan ayat kursi. Dia lempar garam dan lada hitam ke arah Mak Jemah. Mak Jemah menjerit kuat. Tok Imam Ngah baca pula ayat Ruqyah sekali lagi. Kali ini disusuli dengan ayat-ayat manzil. Beras kunyit dilempar ke arah Mak Jemah. Jeritan kuat Mak Jemah bergema di seluruh rumah, bergegar rumah papan itu. Mak Jemah rebah.

Kudin dan Ana Dahlia megikut Tok Imam Ngah mendekati Mak Jemah yang sudah pengsan. Terbeliak melihat muka Mak Jemah yang sudah bertukar rupa.

KUDIN mengikut Tok Imam Ngah masuk ke dalam bilik yang dimaksudkan oleh Mak Jemah tadi sebelum Mak Jemah rebah tersungkur. Ana Dahlia pula mengikut dari belakang Kudin. Dia pandang kiri kanan rumah Mak Jemah. Suram dan menyeramkan. Matanya tertancap pada satu cermin besar yang klasik. Seakan ada imej yang menggerunkan di dalam cermin itu. Laju saja langkahnya mengikut rentak kaki Kudin.

Tok Imam Ngah menendang pintu yang berkunci. Pintu terkuak luas. Membuntang melihat apa yang ada di dalam bilik itu. Bekas bara api untuk asapkan kemenyan,

semangkuk limau nipis, kain kuning, benang hitam, keris lama dan apa yang paling mengejutkan karung guni yang dimaksudkan Kudin ada sekali di situ. Berhati-hati Tok Imam Ngah mendekati karung guni yang terletak di sebelah bekas bara yang masih berasap. Bau kemenyan memenuhi segenap ruang bilik itu.

Tok Imam Ngah mula baca al fatihah sekali lagi sebelum memegang karung guni itu yang sudah terbuka ikatannya. Ikatan karung guni itu dibuka semakin luas. Bau busuk menyucuk hidung. Kudin dan Ana Dahlia turut menekup hidung. Tok Imam Ngah jenguk melihat isi kandungan karung guni itu. Ada mayat berulat yang sudah semakin mereput.

"Ya Allah..." Kudin semakin menekup hidung dengan kuat. Bau busuk begitu kuat.

"Hmm...nampaknya dia memang puja mayat. Mungkin mayat ni masih belum jadi rangka sepenuhnya lagi, sebab tu dia curi mayat ni dan puja." Tok Imam Ngah tutup semula karung guni itu dan ikat dengan kuat.

"Bilik ni...penuh dengan jin dan syaitan.." Tok Imam Ngah meliar melihat sekitar bilik.

Asap kemenyan ni makanan jin. Jin diseru setiap malam.. Tambah Tok Imam Ngah lagi.

Kudin dan Ana Dahlia masih terpinga-pinga dengan gelagat Tok Imam Ngah. Mereka turut melihat sekitar. Tiada apa-apa, hanya suasana suram dan penuh dengan barang lama serta barang-barang yang dipuja tadi.

"Kita kena kebumikan mayat ni dengan betul. Mayat ni terseksa." Tok Imam Ngah geleng.

"Err..tok, saya rasa elok kita bawa ke balai polis dulu untuk laporan. Kemudian mayat ni kena dihantar ke makmal forensik untuk mengenalpasti pemilik mayat ni." Ana Dahlia cepat-cepat mencelah. Dia perlukan mayat itu untuk menyiasat dan menyelesaikan kes itu.

"Betul tu tok. Sebelum kebumikan dia, kita kena buat laporan polis dulu." Kudin mengiakan kata-kata Ana Dahlia walaupun tadi dia merasa sedikit pelik dengan kata-kata gadis itu. Hmm..aku kena siasat siapa minah ni. Mata Kudin tidak lepas dari memandang Ana Dahlia yang sudah menggelabah.

"Hmm..baiklah. Kudin, angkat guni tu dan bawa ke rumah tok dulu. Malam ni juga kita kena bawa ke balai polis." Tok Imam Ngah setuju.

"Err..tok, saya rasa biar saya saja yang uruskan semua ni. Lagipun, saya kenal seorang kawan polis ni." Ana Dahlia beranikan diri mencelah lagi. Mayat itu perlu sampai kepada Detektif Razif dengan segera dan seterusnya akan dihantar ke makmal forensik.

Tok Imam Ngah hanya angguk-angguk. Kudin pula sekali lagi pandang Ana Dahlia dengan riak sangsi. Mereka bertiga masih mencari bukti lain. Kudin mendekati tempat pemujaan Mak Jemah. Dia cuba cari sesuatu yang boleh mengaitkan orang tua itu dengan kematian arwah ayahnya. Di sudut dinding ada satu almari yang sudah lusuh dan terkopak. Penuh habuk. Kudin buka perlahan dan mengambil sesuatu. Ada foto arwah ayahnya di situ. Dia kini pasti, arwah ayahnya memang sudah disihir menggunakan foto itu, cuma yang masih belum dipastikan lagi, siapa yang membawa foto itu dan mengarahkan Mak Jemah menyihirkan arwah ayah. Matanya tertancap pula pada satu patung di sebelah foto tadi, patung itu sudah dicucuk dengan jarum di seluruh tubuh.

"Itu foto Tengku Muzafar kan" Ana Dahlia mendekati Kudin yang sudah terpaku di depan almari buruk itu. Di tangan Kudin ada foto milik Tengku Muzafar.

"Ya..foto ni sama dengan foto yang tergantung di bilik pejabat arwah ayah saya. Nampaknya memang ada satu pakatan jahat untuk merampas harta ayah saya." Kudin genggam foto itu dengan kuat.

Ana Dahlia hanya menjeling Kudin yang sudah mengetap bibir. Dia pandang Kudin tidak berkelip. Apakah Kudin hanya berpura-pura atau memang dia juga sedang menyiasat siapa yang membunuh Tengku Muzafar

"Mari kita keluar dari bilik ini." Tok Imam Ngah mengajak Ana Dahlia dan Kudin ke ruang tamu semula.

Mereka bertiga mula menapak keluar dari bilik pemujaan itu dan menghampiri mayat Mak Jemah yang sudah terlentang di atas tikar mengkuang. Rupa Mak Jemah sudah berkedut seribu seolah sudah berusia lebih dari seratus tahun. Kulit yang tegang dan putih sudah bertukar jadi kecut dan hitam seperti mayat kecut yang dibuat sepsimen oleh pelajar perubatan. Rambut pula sudah jadi putih sepenuhnya. Apa yang pasti, menurut Tok Imam Ngah, Mak Jemah sudah sebulan meninggal. Apa yang berlaku sekarang ini adalah hantu belaannya yang menghuni badan Mak Jemah.

"Kita perlu kebumikan juga mayat Mak Jemah ni. Kalau tidak jin tu akan menuntut dan masuk semula ke dalam badan orang tua ni." Tok Imam Ngah masih memandang tubuh Mak Jemah yang sudah kering.

"Baiklah tok."

Mereka bertiga mula memanggil beberapa orang kampung di situ untuk menguruskan mayat Mak Jemah dan mengebumikan malam itu juga. Mayat yang ada dalam karung guni pula dihantar ke makmal forensik selepas dibuat laporan polis. Malam itu, Kudin dan Ana Dahlia kembali semula ke rumah.

PAGI-PAGI lagi Kudin pergi ke rumah Tok Imam Ngah. Dia perlu tahu bagaimana Mak Jemah menyihir ayahnya dulu sehingga membawa kepada kematian. Tok Imam Ngah mesti arif tentang itu kerana dia tahu Tok Imam Ngah bukan calang-calang orang. Tok Imam Ngah adalah bekas guru silat dan guru agama yang disegani di sekolah pondok di Pattani, Thailand semasa dia muda dulu. Kini setelah hampir dua puluh tahun belajar di sana, Tok Imam Ngah kembali ke kampung asalnya, Kampung Pinang Patah.

"Assalamualaikum!" Kudin beri salam. Dia terjenguk-jenguk dari laman.

"Wa'alaikumussalam! Oh, Kudin! Nak apa pagi-pagi ni" Tok Imam Ngah jenguk melalui tingkap.

"Tok, saya ada hal penting nak tanya. Malam tadi tak sempat nak tanya." Kudin sengih.

"Masuklah!" Pelawa Tok Imam Ngah.

Kudin mula melangkah masuk ke ruang tamu. Dia duduk bersila di atas tikar mengkuang. Dia senyum. Tikar itulah yang dianyam oleh neneknya. Orang kampung semuanya beli dari nenek.

"Ada apa Kudin" Tok Imam Ngah turut melabuhkan punggung berhadapan dengan Kudin.

"Malam tadi..saya jumpa foto arwah ayah saya." Kudin hulur foto itu kepada Tok Imam Ngah.

"Jadi" Tok Imam Ngah masih tidak faham maksud kata-kata Kudin.

"Saya rasa arwah ayah saya sudah disihir. Foto ni mungkin digunakan untuk menyihir ayah saya sehingga dia menemui ajal." Kudin menjelaskan perkara sebenar.

"Hmm..Tengku Muzafar ni dah meninggal" Tok Imam Ngah mencerlung. Dia pandang Kudin yang sudah terbeliak.

"Tok kenal ayah saya" Kudin menelan liur.

"Kenal..dia kahwin dengan Sarimah, mak kamu. Masa tu, Sarimah tu sebenarnya bekas tunang tok.." Tok Imam Ngah sengih. Teringat kisah dulu-dulu.

"Bekas tunang tok" Kudin pula yang tersengih-sengih. Tak sangka Tok Imam Ngah bertunang dengan arwah maknya.

"Ya..dia tak sukakan tok. Kami dijodohkan atas pilihan keluarga. Nek Tom tu, nak sangat mak kamu jadi bini tok tapi mak kamu dah ada pilihan hati sendiri. Kami bertunang pun tak lama. Cuma dua bulan saja. " Tok Imam Ngah sengih lagi. Jodoh yang tidak kesampaian.

Kudin pandang Tok Imam Ngah yang rasanya usia orang tua itu sebaya dengan arwah toknya dulu.

"Tok tahu, tentu kamu rasa pelik kan. Mak kamu nak putus sebab yalah..beza umur kami jauh sangat. Tok ni dah boleh dipanggil ayah.." Tok Imam Ngah mengeluh seketika.

"Mak kamu kat mana sekarang ni" Tok Imam Ngah tanya Kudin setelah melihat Kudin diam tadi.

"Err...mak dah meninggal tok." Kudin berkata sayu.

"Innalillahi wainna ilaihi raajiun..dia sakit apa"

"Entah la tok. Saya baru ni je tahu pasal tu. Saya kan dibesarkan oleh nenek. Ayah dan mak kandung pun saya tak kenal sangat." Kudin senyum kelat.

Tok Imam Ngah angguk-angguk. Kau pergi dulu Sarimah...

"Err..tok, tok tahu ke macam mana arwah ayah saya disihir Bukan apa, saya nak tahu siapa yang upah untuk menyihirkan arwah ayah saya tu." Kudin kembali ke topik asal.

"Hmm...dari apa yang tok tengok malam tadi..foto ni memang digunakan untuk menyihir ayah kamu sehingga dia menemui maut. Ada patung kan" Tok Imam Ngah pandang Kudin yang masih memandangnya tak berkelip.

"Macam mana tok tahu" Kudin menelan liur.

"Patung itulah digunakan sebagai menggantikan tubuh arwah untuk diperasap dan dipuja. Foto itu diseru kepada patung itu. Setiap hari, satu batang jarum akan dicucuk ke badan patung itu yang akan mengakibatkan arwah sakit mencucuk seluruh badan. Patung itu juga dipuja dan santau tuju dihantar kepada arwah. Badan arwah akan jadi kurus kering dan tidak lalu makan, tidak lena tidur dan akhir sekali, jarum terakhir akan dicucuk di tulang belakang. Arwah akan jadi lumpuh dan akhirnya meninggal." Tok Imam Ngah tunduk. Dia sudah masak dengan semua itu. Dulu semasa di Pattani, dia sudah biasa mengubat orang terkena sihir dan berlawan pula dengan bomoh siam yang memang terkenal dengan kehandalan mereka dalam perkara sihir.

"Oh..patutlah menurut adik saya, ayah saya kurus kering dan lumpuh dari paras pinggang hingga ke kaki tapi yang peliknya bahagian yang lumpuh itu masih panas. Sudah banyak ustaz dipanggil untuk berubat. Semuanya tak boleh. Mereka pelik, kalau lumpuh, bahagian yang lumpuh itu akan jadi sejuk sebab tidak ada aliran darah mengalir." Kudin teringat cerita Kuyah dulu.

"Betul..itu kerja syaitan dan jin. Bukan sakit biasa.." Tok Imam Ngah turut geleng.

"Jadi tok rasa...ada bukti tak untuk saya katakan ini adalah satu pembunuhan terancang dan secara halus" Kudin pandang lagi Tok Imam Ngah yang sudah tunduk.

"Hmm...susah Kudin. Lainlah kalau Mak jemah masih hidup. Kita boleh tanya dia. Dia mesti tahu siapa yang bawa foto tu." Tok Imam Ngah turut mengeluh.

Kudin tunduk. Apa yang dikatakan oleh Tok Imam Ngah itu memang benar. Tiada bukti kukuh untuk mencari siapa dalang di sebalik kematian ayahnya. Dia mula minta diri.

SAMPAI di rumah, Kudin perasan, Ana Dahlia sedang menaip sesuatu denagn komputer riba di atas riba semasa dia melintas di depan pintu bilik gadis itu yang sedikit terbuka. Jelas nampak serius riak wajah gadis itu. Dia cuba intai dari pintu yang terkuak sedikit. Lama dia memerhati gelagat Ana Dahlia.

"Abang buat apa ni" Tegur Kuyah dari belakang. Kudin dilihat terhendap-hendap bilik Ana Dahlia.

Ana Dahlia pantas berpaling. Dia cepat-cepat tutup komputer riba dan disorokkan bawah katil. Mukanya sudah pucat.

"Awak intai saya ke" Ana Dahlia berpura-pura tidak tahu.

"Ya, abang intai awak tadi." Kuyah mencelah. Tersengih di sebelah Kudin.

"Err..ma..mana ada." Kudin segera berlalu pergi ke ruang dapur menjenguk neneknya yang sibuk memasak.

Ana Dahlia mula rasa sangsi. Kudin mungkin sudah tahu hal tadi. Dia perlu cepatkan laporannya dan hantar kepada Detektif Razif. Esok, mereka akan kembali ke KL. Hanya tinggal dua minggu saja lagi dia perlu menyamar jadi kerani di TM Holdings. Selepas itu, dia akan berhenti setelah semuanya selesai.

Kuyah hanya melihat tingkah Ana Dahlia. Segala tindak tanduk Ana Dahlia diperhatikan. Dia perlu tahu dengan siapa gadis itu bekerja sebenarnya. Gadis itu seperti menyamar di TM Holdings. Kuyah segera ke biliknya semula.