Anda boleh andaikan pelbagai kemungkinan. Tiada bunyi tembakan mahupun bunyi barang jatuh. Hanya jeritan sebanyak tiga kali. Cukup histerikal. Saya andaikan ada penjenayah wanita barangkalinya, kerana suaranya agak feminin. Namun tidak mustahil juga ia lelaki kerana apabila menjerit, tona yang terlontar itu tidak berkait rapat dengan jantina. Itulah apa yang saya faham tentang jeritan itu.
Ketika itu, saya sudah berada di luar premis kafe dan sudah bersedia untuk menuju ke ruangan parkir. Orang ramai sudah mula memanjangkan leher mereka dari kedai masing-masing untuk melihat apa yang terjadi. Saya yang juga punya rasa ingin tahu telah mengambil tempat duduk di ruang tengah antara dua blok bangunan yang menjadi asas kepada D7 ini. Rasa galau dengan apa yang saya baca tadi telah buatkan saya tidak jadi turun ke tempat parkir. Diharap Puan Saodah tidak merasa apa yang saya alami tadi. Saya membayangkan Puan Saodah telah memecut laju meninggalkan bangunan D7 meluru pantas ke belokan lebuh raya tidak jauh dari sini.
Maaf kerana tidak berterus terang. Sebenarnya saya dapat rasa sesuatu yang saya optimis tidak dirasai oleh orangorang kebanyakan. Saya selaku salah seorang angkasawan yang telah berdepan dengan kehidupan di luar norma konteks kewujudan manusia sedar akan kemungkinan saya akan berdepan dengan mereka sekali lagi di muka bumi ini. Terdapat resonans yang kuat menerjah jiwa ini. Jasad ini yang dahulunya pernah dijajah makhluk parasitik Marikh takkan dapat melupakan perasaan itu. Dan mereka tidak meninggalkan jasad ini tanpa menempelkan memori pada otot-otot dan juga otak.
Saya dapat rasa kewujudan mereka begitu dekat kali ini. Namun apa yang mencetuskan rasa ini
Saya sedar apa yang saya ceritakan ini barangkali di luar pemahaman logik anda, tetapi saya harus menceritakannya jua dengan penjelasan saintifik agar anda mudah menerimanya selaku satu realiti yang pernah diharungi oleh koloni manusia di Marikh. Saya rasa bersalah kerana menceritakan sesuatu yang kerajaan tegaskan akan membikin kekacauan di kalangan manusia. Mereka akan ketakutan. Namun tahukan anda derita menyimpan hakikat yang sepedih ini Manusia tidak patut dibohongi dari kewujudan ancaman-ancaman yang sedia menunggu untuk menyerang mereka.
Ketika itulah saya lihat dua orang yang mengusung beg aneh awal pagi tadi sudah berjaya diberkas polis. Saya andaikan mereka inilah yang bernama Mitchelle dan juga Krishnan. Lalu saya keluarkan nota-nota misteri tadi untuk membuat perbandingan. Saya mahu penulis nota-nota misteri itu ditempelkan imej mereka pada nota-nota itu supaya saya boleh memberikan gambaran lebih jelas akan situasi yang berlaku dalam nota tersebut.
Belum usai lagi saya menelaah lambakan nota-nota misteri tadi, saya dikejutkan lagi dengan bunyi tembakan-tembakan bingit mengigit gegendang telinga. Berdesing telinga dibuatnya. Kedua-dua orang suspek telah berjaya melepaskan diri dari cengkaman polis dan sedang berlari ke arah saya. Saya cuak. Saya tidak tahu bagaimana mahu bertindak.
Tembakan itu mengenai tepat ke sasarannya. Saya mengandaikan suspek-suspek tadi akan rebah. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka lenyap semerta dengan tembakan itu. Ia bukan tindak balas yang patut terjadi pada tubuh manusia. Saya difahamkan tembakan tersebut mampu menembusi daging dan tulang manusia dengan mudah. Namun tidak cukup untuk meleraikan zarah-zarah yang membentuk kewujudan manusia itu sendiri. Ini adalah satu perkara yang menarik.
Ketika itulah saya menyedari, kedua-dua suspek itu tadi barangkali sedang melakukan simulasi yang sahih benar sifat fizikalnya sehingga mampu menipu sistem pengesanan fizikal oleh polis-polis robotik.
Polis-polis robotik kelihatan kalut. Mereka membuat imbasan menyeluruh ke segenap penjuru bangunan. Saya harus bertenang dan menjadi pemerhati yang gigih. Saya tak mahu terlibat dengan polis-polis robotik tersebut, galeri aneh tersebut dan juga nota-nota misteri yang saya perolehi.
Baiklah, saya akan bacakan apa yang telah terjadi kepada lelaki aneh dan juga Puan Raudah semasa mereka dalam tangkapan dua orang pelukis aneh tersebut.
*
Saya tak pasti mengapa mereka dia gelar kami The Things. The Things tidak ada bau istimewa, apatah lagi sesuatu yang menyerupai manusia. Namun kami tahu juga orang yang menuduh kami The Things itu bukan manusia. Manusia tidak berkelakuan sebegitu. Tidak, secara fisiologinya, dia tidak mungkin menjadi manusia dalam keadaan begitu. Tambahan pula, bukan begitu sukar juga untuk menangkapnya. Dengan menjelmakan dirinya dalam bentuk manusia, kami telah berjaya menangkapnya sepertimana kami lakukan pada manusia-manusia lain.
Kami sedar akan hakikat ini, tetapi kami tak sangka kami akan bertuah begini. Selain dari Puan Raudah yang sebenar-benarnya manusia, kami akan menyaksikan penjelmaan makhluk asing dalam imej lukisan yang akan kami garap nanti. Dengan berus lukisan di tangan dan juga adunan warna-warna yang orgasmik, kami akan persembahkan kepada dunia akan betapa indahnya hidup ini dengan rencah-rencah kewujudan yang pelbagai intelektualnya.
Puan Raudah dibaringkan pada sisi kiri dengan badannya disokong oleh tiga buah kerusi. Pencahayaannya cantik, suram-suram tetapi cukup berkesan untuk menghadirkan perasaan vintaj. Tambahan pula pakaian Puan Raudah yang disarung kebaya merah bersulam corak mawar itu membuatkan kami seolah berada di zaman silam. Kami hiasi rambutnya dengan sekuntum bunga raya yang merah galak warnanya. Matanya yang pejam, lentik alis matanya, cukup terserlah keayuannya.
Kami akan gelarkan lelaki aneh yang keding itu selaku The Phosphorus. Usah ditanya mengapa kami menggelarnya The Phosphorus. Ia idea Mitchelle sebenarnya. Saya tidak suka bertanya lebih maka biarkan ia begitu.
The Phosphorus itu pula kami buatkannya dalam postur berdiri. Tangannya didepakan dan disokong dengan batang pemegang mikrofon dan kedua-dua belah tangannya kami letakkan pisau pemotong daging selaku objeknya. Sengaja kami letakkannya di belakang Puan Raudah. Jika dilihat dari depan, dia kelihatan seperti sedang bersedia untuk mengerat Puan Raudah dengan pisau-pisau tajam di tangannya.
Apakah metafora yang anda mahu bayangkan dalam kepala anda
The Phosphorus & The Raudah.
Tidakkah ia kedengaran puitis jika dilafaskan selantangnya di depan lukisan nanti Dengan imej sedemikian dan visual serta audio yang terpahat dalam imaginasi, kami mula melukis. Mitchelle akan melukis dari perspektifnya dengan adunan warnawarna yang tidak sama dengan apa yang saya miliki. Saya pula akan melukis dari perspektif saya sendiri.
Saya hentikan pembacaan tatkala saya melihat polis-polis robotik mengusung dua jasad keluar dari galeri. Saya tidak nampak apa yang diusung mereka dek kerana beg kanvas yang membalutnya tetapi saya andaikan ia mengandungi mayat-mayat seperti yang digambarkan di dalam nota-nota aneh yang saya temui. Dua jasad yang saya andaikan namanya The Phosphorus dan The Raudah. Dengan meletak tepi aspek kemanusiaan saya boleh melihat mayat-mayat itu dari sisi lain.
Sisi apa yang dimaksudkan itu
Saya pernah dijajah oleh makhluk parasitik Marikh. Ingat sudah
Saya tak pasti apa yang saya mahu percaya kini. Apabila saya melihat bagaimana salah satu jasad yang dibaluti beg itu bergerak-gerak, saya menyedari saya akan menyaksikan satu lagi keajaiban yang tidak pernah diperhatikan oleh orang bumi. Tidak, saya terlalu yakin pada diri. Mungkin bukan saya seorang sahaja yang pernah mengalami insiden penjajahan parasitik di Marikh. Mungkin juga mereka sudah menular lama di muka bumi ini.
Ah, pemikiran sebegitu sudah menghadirkan paranoia yang tak sewajarnya timbul lantas menjejaskan keamanan hidup saya di muka bumi ini.
Salah satu dari beg kanvas itu diletak di bawah lantai. Polispolis robotik sudah bersedia dengan senjata mereka, bersiaga untuk meleburkan apa sahaja yang akan terbit dari rontaan beg kanvas yang kian ganas. Ketika itu saya sedang mengira kadar kekuatan yang diperlukan oleh objek di dalam beg tersebut untuk mengoyakkan beg kanvas.
Terdapat satu bunyi aneh yang gemersik tetapi pedih menusuk sanubari terbit dari beg tersebut. Orang ramai yang tadinya terpegun sudah menyorok di dalam kedai masing-masing. Biarpun polis-polis robotik sudah lengkap kawalnya, tetapi ia masih tidak memadai untuk memberi keyakinan kepada orang ramai bahawasanya situasi kini terkawal. Hanya saya sahaja yang tidak lari masuk ke dalam kedai. Bukanlah saya yakin dengan kemampuan polis tersebut ataupun kerana saya yakin dengan jarak saya yang lebih 70 meter dari kawasan kejadian. Saya punya perasaan ingin tahu yang jauh lebih mendalam dari ketakutan yang patut menghuni diri. Dan saya yakin apa yang berada di dalam karung itu adalah sesuatu yang sama dengan apa yang saya pernah lihat di Marikh satu ketika dahulu. Bagaimana mereka boleh berada di tempat ini