TORA DATANG LAGI - 10
Selain polis, guru disiplin dan tok mudim, kanak-kanak sangat risau setiap kali melihat kelibat jururawat ataupun lebih anggun digelar misi. Kesan gurauan ataupun ingatan yang dimomokkan oleh setiap ibu bapa, perasaan trauma akan muncul setiap kali melihat susuk beruniform putih kemas lengkap dengan skaf di atas kepala. Bagaikan sesuatu yang perlu dijauhi, setiap kanak-kanak akan cuba sedaya upaya untuk tidak bertemu dengan misi walau secun dan semanja mana sekalipun misi tersebut.

Antara perkara yang perlu dilalui setiap pelajar sekolah rendah adalah pengalaman misi datang ke sekolah untuk melakukan sama ada rawatan penyakit ataupun rawatan gigi. Kedua-duanya mempunyai cerita seram tersendiri yang disebarkan dan diturunkan dari satu generasi ke generasi. Apa yang lebih menyeramkan, rawatan di sekolah menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melarikan diri.

Mak aku cakap doktor cabut gigi pakai playar. Dia main kepit tarik macam tu saja.

Kawan aku kata, misi bakar jarum BCG sampai panas lepas tu dia terus cucuk panas-panas.

Abang aku kata waktu nak palam gigi, doktor tu pakai mesin gerudi. Bergegar kepala kalau kena.

Misi pakai jarum besar pensel. Time kena cucuk tu kalau tak mau sakit, hang buat keras tangan.

Misi pakai tutup mulut pasal kalau jadi apa-apa kat kita, kita tak kenal misi mana satu yang buat naya kat kat kita. Jadi dia terselamat dari kena serang.

Setiap guru kelas akan diberikan buku kesihatan untuk setiap pelajar dan akan diserahkan semula kepada misi untuk menjalankan rawatan. Bagi tidak mengganggu proses pembelajaran, misi akan memanggil satu persatu pelajar di dalam kelas secara rawak. Perkara rawak ini secara tidak langsung semakin mendatangkan rasa berdebar-debar dan cuak kepada setiap pelajar di dalam kelas kerana tidak diketahui giliran dan bila-bila masa sahaja mereka boleh dipanggil.

Pelajar yang dipanggil akan diberikan buku kesihatan dan diarah pergi ke bilik rawatan untuk menerima rawatan. Setelah menerima rawatan, pelajar akan kembali ke kelas dengan membawa buku kesihatan pelajar seterusnya.

Pelajar yang sudah selesai selalunya akan nampak tenang dari sebelumnya. Dalam ketenangan itu, mereka akan mengada-adakan cerita yang menakutkan dan dalam masa yang sama berpura-pura seperti kesakitan.

Waktu ini belajar apa pun di dalam kelas memang sudah tak masuk di dalam kepala. Cikgu teranglah macam mana bersungguh sekalipun, dah tak dipeduli punya. Risau bila nak kena panggil adalah segalanya.