BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 10
Hari Sabtu yang dinanti telah tiba. Lekas Leman mengajak Faduli ke rumah Baha, disiapkan beberapa bekas biskut dan sedikit duit untuk membeli nasi lemak di rumah Mak Lang. Kemudian menyusuri jambatan gantung dan terus bersarapan bersama Nurul. Oh indah. Hati Leman berjoget-joget antara gembira dan hati-hati. Sesampainya di rumah Nurul, ruang hadapan kediaman itu masih lagi bertutup rapat.

Selipar tersusun di luar rumah dan kelihatan di ruang dapur sudah ada pergerakan manusia. Leman mundar mandir untuk memberi salam.

Assalamualaikum.... jerit Leman.

Waalaikumussalam.

Mak cik, saya Leman anak Cikgu Muhammad. Nurul ada

Nurul Ada. Naiklah. Ada apa nak

Leman menelan air liur. Tidak mungkin dia akan kata mahu jumpa dengan Nurul dengan bersahaja. Faduli dan Bahari hanya memandang dari pagar rumah. Jika apa-apa yang tidak elok terjadi, pecut sahaja jangan pandang belakang.

Tidak semena-mena Leman menyerahkan semua bekalan kepada ibu Nurul. Tidak tergamak meluah kata mahu makan bersama Nurul pagi ini. Ibu Nurul menyambut dan mengucap terima kasih. Leman pun berpaling dan berjalan laju ke Faduli dan Bahari. Mereka ketawa berdekah-dekah sedang Leman tersipu-sipu malu.

Di satu sudut kecil jendela tepi rumah ibu Nurul ada sepasang mata yang sedang memandang keletah mereka dan senyum sendiri.

Dahlah, duk layan kisah cinta Leman ni memang tak ke manalah kita. Baik kita buat benda lain, ajak Faduli.

Jom pergi Temerloh nak Aku dengar Sudirman nak turun petang ni di dataran depan sungai. Jom! Faduli memberi idea. Bahari terdiam, budak baik ini tidak pernah lagi pergi sejauh itu. Leman sudah awal lagi mengangguk.

Semua memasukkan tangan ke dalam poket dan mengeluarkan syiling masing-masing.

Hah cukup! Jom!

Mereka berlari anak menuju ke stesen bas Pasir Rawa. Sedang bas merah Union berhenti, ketiga budak ini lekas naik dan mengambil tempat. Perjalanan dari Pasir Rawa ke Temerloh hanya memakan masa 30 minit melalui beberapa kampung dan persimpangan yang besar. Bahari duduk terus di kerusi panjang paling belakang, Faduli mengikut. Leman pula mengambil kerusi berdua yang masih kosong. Terus duduk dan menghadap cermin menggerutu dan kelabu bas buruk ini. Dengan kerusi yang sudah pun berbirat lusuh, angin yang menyapa tetap memberi mereka selesa. Empuk.

Baru sahaja sampai Kampung Getuk, bas berhenti lagi. Kemudian naik sekumpulan budak-budak yang umurnya mungkin sudah hampir mahu bersekolah menengah. Terus melulu ke belakang dan menyuruh Bahari dan Faduli bangun.

Faduli lekas meninggalkan kerusi tersebut, Bahari pula buatbuat kasar dengan memberi jelingan tajam.

Kau apa hal tanya budak yang besarnya dua kali ganda dari Bahari.

Aku dah duduk situ, kenapa kau nak kecoh-kecoh Kan banyak lagi tempat kosong! jawab Bahari.

Pam! Melekat pelempang yang hinggap di pipi Bahari. Bahari kembali melawan dan bas pun berhenti. Semua yang bergaduh dipaksa turun sekali gus. Pemandu mengeluarkan sebatang besi yang mengugut semuanya untuk turun.

Maka semua turun serentak, sambil orang-orang tua yang duduk di kerusi paling hadapan menggeleng-gelengkan kepala.

Bahari kemudiannya duduk di atas rumput, budak-budak yang berlagak besar tadi turut ada sekali. Masih memandangmandang mahu minta tiga sahabat ini memohon maaf.

Minta maaf sekarang, kalau tak tiga-tiga aku balun! Budak besar tadi kembali menyinga. Leman tiba-tiba meluru ke hadapan dan menolak dua lagi rakannya.

Okey, aku minta maaf bagi pihak kawan-kawan aku. Kami orang Pasir Rawa, ada maruah. Minta maaf bukan tanda kalah!

Kurang ajar!

Mereka kembali bergelut. Tubuh Leman yang kecil molek dan kurus kering itu dipukul bertubi-tubi, Bahari dan Faduli turut masuk campur dan meleraikan.

Mulut Leman berdarah, manakala budak besar tadi masih tegap seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia senyum memandang Leman.

Kalau kau ada maruah, kita lawan! Lawan renang di Semantan! Semua terdiam. Baru ketiga-tiga sahabat ini teringatkan siapa budak bertubuh besar ini.

Budak besar dari Kampung Getuk ini sememangnya handalan sukan renang di kampung. Sebut sahaja nama Raslan, semua mengenali beliau. Saban tahun, di belakang pekan Mentakab akan diadakan sukan air kampung. Berenang dari Pasir Rawa ke Kerayong dan kembali semula ke Pasir Rawa. Untuk berenang ke Kerayong, biasanya tidak akan membuat lelah, arus sungai memang menuju ke arah itu. Tetapi saat mahu berpatah balik ke Pasir Rawa, waktu inilah kekuatan sebenar lelaki akan diuji. Berlawan dengan arus dan mahu menuju ke garisan penamat. Dan sudah menjadi kebiasaan, Raslan dan keluarganya akan menjuarai. Paling tidak pun mereka akan menghantar ahli keluarga untuk menjadi juri atau menjadi ketua para penaja pertandingan. Orang kaya. Handal. Semua mereka pulun.

Setiap tahun sukan ini disambut ala pesta. Penduduk kampung sekitar akan berbondong-bondong hadir dari pagi hinggalah ke malam. Acara sukan kampung ini akan mengiktiraf kampung

mana yang mempunyai handalan-handalan renang yang akan menaikkan nama kampung masing-masing. Tok Penghulu Mukim akan menyerahkan piala pusingan dan hadiah berupa wang ringgit kepada pemenang.

Leman terus menjawab setuju. Bahari dan Faduli ternganga. Budak lelaki yang berenang pun hanya boleh sekadar dua tiga meter, mahu menyambut pertandingan dari Raslan

Leman terus meninggalkan kawanan manusia yang masih lagi penuh amarah. Sudah terlupa mahu ke Temerloh menyaksikan idola seMalaya itu beraksi dengan berbagai lagu-lagu indah. Faduli dan Bahari ikut di belakang. Petang itu mereka berjalan kaki pulang ke Pasir Rawa.

Leman tetap berdiam diri berjalan di hadapan. Faduli dan Bahari mengikut perlahan.

Leman dah gila, kata Bahari.

Ini semua kaulah Baha. Kalau kau tak menjawab tadi, semua ni tak akan jadi. Faduli menambah. Bahari tunduk dan melayan kaki sendiri yang melangkah makin longlai. Leman masih di hadapan laju dan meninggalkan kawan-kawannya. Melalui beberapa denai dan kembali ke rumah masing-masing.

Mak Cik Vijaya melihat wajah Leman merah-merah dan mengambil air panas dan kemudiannya dicelupkan kain bersih. Tanpa sedikit pun perasaan marah-marah, Mak Cik Vijaya menekup-nekup wajah Leman dengan kain tadi.

Cepat tekup jangan sampai abah kau tahu, kau bergaduh dengan siapa

Tak mak. Man selamatkan Baha dengan Duli tadi, budak kampung sebelah pukul Baha. Man tolonglah.

Yalah, yalah. Cepat tekup. Hilangkan semua merah-merah lebam semua ni.

Kayuhan basikal berbunyi di halaman rumah. Leman lekas mencapai tuala dan mandi, kemudiannya terus sahaja bersiap mahu ke surau mengikut Cikgu Muhammad. Hanya tinggal sedikit sahaja merah-merah di bahagian bibir, itu pun tidak jelas kelihatan. Sungguhpun begitu, Cikgu Muhammad merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi cuma sekadar menggelengkan kepala sahaja.

Malam itu Leman tidur dengan sakit-sakit urat. Terasa pedihnya muka dan sekeliling badan ditumbuk Raslan. Mahu tidak mahu Leman diamkan sahaja supaya ibu dan ayahnya tidak ketahui perkara yang paling sebenar.

Diikutkan, memang menyesal tidak sudah dengan persetujuan untuk perlawanan berenang itu nanti. Tetapi ikutkan sangat dengan perasaan marah. Leman terkebil-kebil menghadap jendela yang sudah tertutup rapat. Ada sinar cahaya yang cubacuba mahu masuk di celah-celah kayu yang bersenggang.