MAN BEWAK termenung panjang di pangkin. Angin petang yang berhembus menyegarkan tubuhnya yang tidak dibaluti baju. Kain pelikat yang dipakainya, disingkap sehingga ke pangkal lutut. Kedua-dua belah kakinya yang terjuntai, berbuai-buai bagaikan andul jam dinding. Mat Ajib masih belum muncul sekalipun sudah berjanji akan datang petang itu. Kelibat Pak Su Cik Leh dan Pak Long Lateh juga tidak kelihatan. Entah ke mana mereka menghilang, Man Bewak sukar untuk menelah. Sekalipun dia adalah teman rapat keduaduanya, Man Bewak tidak pernah cuba ambil tahu masalah yang melanda mereka. Pagi-pagi esok, dia dan Mat Ajib ada kerja di pekan. Ada orang yang mengupah mereka membersihkan sebuah kawasan bersemak. Kononnya, pemilik tanah tersebut ingin menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah tapak perniagaan pasar malam. Dia dan Mat Ajib telah menetapkan kadar bayaran upah penat lelah mereka.
Jumlahnya tidak besar tetapi apabila dibandingkan dengan bermain judi bersama-sama Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh, jumlah itu jauh lebih besar dan menyenangkan hati. Sudah berkali-kali Man Bewak cuba menghindarkan diri daripada Pak Long Lateh. Hanya kerana bimbang dengan sikap Pak Long Lateh yang pantang disanggah, Man Bewak terpaksa ikutkan juga kehendak laki Miah itu. Ketika Pak Long Lateh menyatakan, dia mahukan sebahagian daripada wang upah mereka, Man Bewak sebenarnya ingin membangkang. Apa sudahnya kalau dia berpenat lelah tetapi hasilnya terpaksa dibahagikan dengan Pak Long Lateh yang lebih seronok bergoyang kaki dan bersenang lenang. Pak Long Lateh selalu tidak ada duit tetapi lagaknya mengalahkan orang yang berharta. Kalau makan di gerai, Pak Long Lateh akan memesan makanan apa sahaja yang kena dengan tekaknya padahal yang membayar sama ada dia ataupun Mat Ajib. Itulah yang menghairankan Man Bewak. Mat Ajib tidak pernah membangkang atau menyuarakan perasaan tidak senang dengan tingkah laku Pak Long Lateh. Sebaliknya, apa sahaja yang dituntut oleh Pak Long Lateh, akan cuba dipenuhi oleh Mat Ajib. Kalau Mat Ajib sendiri tidak mempunyai wang, dia sanggup meminjam atau mengambil duit daripada bininya.
Malah dalam satu kejadian, Mat Ajib sanggup memecahkan tabung ayam anaknya sematamata kerana Pak Long Lateh memerlukan wang untuk membeli sekotak rokok. Mujurlah dia hidup membujang. Setidak-tidaknya dia tidak menyusahkan sesiapa pun. Biarpun tidur malamnya bersendirian dan hanya bantal peluk sahaja yang dicelapak saban malam, itu lebih baik daripada berbini tetapi kemudian menyusahkan bini sendiri semata-mata kerana orang lain. Sudah hampir separuh abad usianya. Ibu bapanya juga sudah lama meninggal dunia. Adik-beradiknya yang lain, semuanya sudah berpindah meninggalkan Kampung Sungai Teja. Masing-masing sudah berkeluarga dan sangat jarang pulang ke kampung itu, kecuali pada musim buah-buahan. Mujur jugalah ibu bapanya dahulu meninggalkan sebidang tanah dusun, tapak rumah dan sebidang kebun getah yang mampu dijanakan pendapatan bagi kelangsungan hidupnya. Biarpun dia tidak menoreh sendiri kebun getah tersebut, setidak-tidaknya setiap bulan, dia boleh memungut hasil pawah kebun getah itu. Sekali gus menjadikan dia sebagai orang yang berduit berbanding Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh. Pun begitu, dia tidak dapat menandingi Mat Ajib yang mempunyai duit lebih banyak kerana anak-anaknya sudah bekerja. Mat Ajib juga ada kebun getah, kebun koko, kebun kelapa sawit dan dusun yang lebih luas berbandingnya. Silap dia juga. Masa Pak Long Lateh menyuakan geran tanah dan meminta untuk meminjam sejumlah wang daripadanya, Man Bewak tidak yakin. Berbeza pula dengan Mat Ajib yang akan memberikan berapa sahaja jumlah wang yang diminta oleh Pak Long Lateh dengan syarat, geran tanah diserahkan kepadanya dan kemudian nama di atas geran tersebut ditukar ke atas namanya. Pak Long Lateh terpaksa bersetuju kerana hidupnya disara oleh Mat Ajib. Man Bewak terpaksa mengakui kepintaran Mat Ajib untuk menguasai dan mengambil alih tanahtanah Pak Long Lateh.
Daripada dibiarkan terlepas ke tangan orang lain, biarlah aku yang menjaganya. Lagipun, kalau kau tak i u ada duit, kau boleh minta daripada aku walaupun selepas aku bayar jumlah harga yang kau berikan,
pujuk Mat Ajib ketika Pak Long Lateh berura-ura menjual tanah dusun yang diwarisi daripada ibu bapanya. Terpengaruh dengan pujukan Mat Ajib, akhirnya pemilikan tanah tersebut bertukar tangan. Man Bewak hanya mampu menarik nafas panjang apabila Mat Ajib memberitahu, buah durian, rambutan, langsat dan manggis di dusun tersebut mampu memberikan lebih sepuluh ribu ringgit kepadanya setiap kali musim buah-buahan. Kalaulah dia tidak kedekut dan berfikir panjang, tentu tanah dusun itu jatuh ke tangannya kerana Pak Long Lateh terlebih dahulu membuat tawaran kepadanya. Kebun koko yang dibeli oleh Mat Ajib daripada Pak Long Lateh telah pun ditukar menjadi kebun petai. Lebih lapan hektar kebun petai yang diusahakan oleh Mat Ajib dan anak-anaknya itu. Biarpun masih baru, namun Man Bewak sudah dapat melihat keuntungan yang bakal diperolehi oleh Mat Ajib. Cuma satu perkara sahaja yang sering kali mengganggu fikirannya. Dari mana Mat Ajib memperolehi wang yang cukup banyak untuk membeli tanah-tanah itu daripada Pak Long Lateh. Kalau hendak dikatakan yang Mat Ajib sememangnya ada banyak duit yang diwarisi daripada keluarganya, adalah mustahil.
Keluarga Mat Ajib bukanlah orang kaya. Malahan Mat Ajib sendiri sering kali tidak dapat memenuhi kehendak anak-anaknya. Paling penting, Mat Ajib bukanlah rajin bekerja seperti orang lain. Dia dan Mat Ajib sama sahaja. Kalau Mat Ajib dapat kerja, dapatlah juga dia kerja yang sama. Sama kerja dengan Mat Ajib. Dia jarang dapat kerja sebab dia tidak pernah mencari. Mat Ajib ada ramai kawan yang boleh memberikan kerja yang berupah. Kalau tidak ada kerja, dia akan melepak di pondok berhampiran kebun getah Cik Kiah. Samasama bermain judi. Belum pernah lagi sepanjang mereka berkawan, Mat Ajib tinggalkan dia. Setiap kali ada kerja, setiap kali itu jugalah Mat Ajib akan mengajaknya sama. Kalau dia menolak, Mat Ajib juga terpaksa tolak kerja itu. Kecuali kerja-kerja di kebun yang berjaya diperolehinya daripada Pak Long Lateh, Mat Ajib memang seorang kawan yang baik. Cuma satu sahaja yang menghairankannya, Mat Ajib tidak pernah mempelawa Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh untuk bekerja dengannya. Namun ada kemungkinan yang Mat Ajib sebenarnya tidak mahu kesemua wang yang mereka perolehi terpaksa diserahkan kepada kedua-dua bersepupu itu. Namun kehairanan yang paling besar ialah, dari mana sebenarnya Mat Ajib mempunyai duit yang lebih banyak Hendak dikatakan, Mat Ajib mendapatkan bantuan daripada adik-beradiknya yang lain, Man Bewak tetap sukar menerima faktor tersebut. Man Bewak kenal setiap orang adik-beradik Mat Ajib.
Adik-beradik Mat Ajib juga tidak kaya. Malah kebanyakannya lebih mengutamakan kepentingan diri. Bukan sekali dua, Mat Ajib merungut tentang adik-beradiknya yang hanya sibuk bertanya tentang buah-buahan tetapi sangat culas hendak menghulurkan duit untuk membeli baja dan racun. Semua kebunnya diusahakan sendiri oleh Mat Ajib dengan bantuan isteri dan anak-anaknya. Oleh sebab itulah, Man Bewak sedar, Mat Ajib rapat dengan Pak Long Lateh kerana itulah caranya untuk dia mendapatkan harta dengan cara mudah. Biarpun Pak Long Lateh tidak lagi boleh menjual hartanya kerana semua hartanya telah habis dijual, Mat Ajib tetap tidak berenggang daripada Pak Long Lateh. Mat Ajib seolah-olah ingin membalas budi Pak Long Lateh dengan menyara kehidupan Pak Long Lateh pula. Mat Ajib memang ligat mencari duit sekalipun pada masa yang sama dia juga suka bermain judi. Apaapa sahaja boleh ditukarkannya menjadi duit. Apaapa sahaja kerja yang datang, pasti akan disapunya. Biarpun tanah-tanah yang dibelinya daripada Pak Long Lateh mengeluarkan hasil dan memberikan pendapatan tetap kepada keluarganya, Mat Ajib tetap tamak dengan kerja. Satu perkara yang jelas ialah, Mat Ajib bijak menguruskan Pak Long Lateh yang garang tidak bertempat. Biarpun dia menyuakan duit berpuluhpuluh ringgit, malah adakalanya beratus ringgit kepada Pak Long Lateh, pastinya ada perkara yang diinginkan oleh Mat Ajib. Keuntungannya juga pasti akan berlipat kali ganda. Setidak-tidaknya tanpa perlu mengupah orang lain untuk menguruskan kebun getahnya yang luas itu.
Pak Long Lateh bekerja tanpa sebarang gaji atau upah. Sebaliknya Mat Ajib menghadiahkan sebahagian daripada pendapatan kebun getah itu kepada Pak Long Lateh dengan diiringi senyuman. Deruman enjin motosikal yang sangat dikenalinya, merencatkan lamunan panjang Man Bewak. Dia cepat-cepat berpaling ke arah pangkal jalan yang menghala ke halaman rumahnya. Ternyata Mat Ajib mengotakan janjinya kepada Man Bewak. Man Bewak lantas turun dari pangkin dan berdiri di sisi pangkin itu sedangkan matanya tidak lekanglekang memerhatikan Mat Ajib yang berbadan renjong menunggang motosikal buruknya ke halaman rumahnya.
Maafl ah, aku terlambat sedikit,
ujar Mat Ajib sebaik-baik sahaja enjin motosikalnya dimatikan sambil tersengih-sengih.
Jadi ke petang ni nak ke pekan
Aku rasa tak jadilah.
Man Bewak membeliakkan matanya.
Kenapa pula
Tauke ada kerja di tempat lain.
Habis tu, bila nak dimulakan kerja-kerja tu
Tauke kata, dua hari lagi baru kita boleh mulakan.
Dua hari lagi
Man Bewak tidak senang dengan berita yang diterimanya.
Jangan risaulah. Kerja tu takkan lari ke mana-mana. Lagipun, kita hanya diupah untuk membersihkan kawasan lapang tu daripada semak-samun. Bukannya kena angkat besi dan bahan-bahan binaan yang dicampakkan ke situ.
Yalah, kalau kita buat, dapatlah upah lebih.
Jangan haraplah!
Mat Ajib memotong pantas.
Kalau dah dikatakan yang dia upah kita untuk tebang tebas di tanah lapang tu, itu sajalah upah kita. Kalau kita pergi juga angkat dan pindahkan benda-benda di atas tanah lapang tu, bermakna kita sedekahkan saja kederat kita kepadanya.
Man Bewak mengangguk-angguk. Bersetuju benar dia dengan kata-kata Mat Ajib. Mat Ajib melangkah ke arah pangkin. Man Bewak mengekorinya. Sesekali dia mengepak, mengeluarkan haba dari ketiaknya yang basah dengan peluh. Mat Ajib terpandang kelakuan Man Bewak. Keningnya berkerut. Barangkali geli dengan perangai pengotor Man Bewak.
Kau ada jumpa Pak Long Lateh
Man Bewak mengalihkan topik perbualan setelah kerja yang menanti di pekan ditangguhkan lagi dua hari. Mat Ajib menggeleng deras. Air mukanya kelihatan keruh. Namun seketika kemudian, air mukanya berubah. Matanya terbeliak dan dia kelihatan gugup.
Pergilah pakai baju. Pakai seluar sekali,
perintah Mat Ajib kemudiannya tanpa sedikit pun mengurangkan beliakan matanya.
Nak ke mana pula
Man Bewak segera bertanya.
Jangan banyak tanya!
Mat Ajib bersuara keras. Tidak senang kerana Man Bewak banyak soal.
Buat saja apa yang aku suruh.
Man Bewak masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Namun kemudian, dia mula melangkah ke arah tangga rumahnya biarpun hatinya mendongkol geram kerana Mat Ajib cuba bertindak seperti majikannya. Geramnya dia kerana Mat Ajib kerap membentak apabila perintahnya tidak dituruti oleh Man Bewak. Kalau berhadapan dengan Pak Long Lateh, Mat Ajib hanya tersenyum-senyum dan tergelak-gelak. Mat Ajib tidak berani langsung mengangkat suaranya di hadapan Pak Long Lateh. Kalau Mat Ajib buat juga, jawabnya muka Mat Ajib pasti didemah dengan buku penumbuk Pak Long Lateh. Dia sekadar mendaki anak tangga. Kemudian mengambil seluar dan bajunya yang tersangkut di paku di beranda dan disarungkan ke badan. Biarpun baju dan seluar itu sudah sedikit masam dengan peluh setelah tiga hari dipakai, Man Bewak sedikit pun tidak peduli. Setidak-tidaknya, bau seluar dan bajunya itu tidaklah terlalu teruk kalau dibandingkan dengan bau badan Angah Soyah.
Ke mana pula dia nak bawa aku Takkan nak ke pekan
Man Bewak merungut-rungut kecil. Dia teringatkan sesuatu.
Jangan-jangan Mat Ajib nak bawa aku makan. Elok juga tu. Perut aku pun dah lapar sangat ni.
Mengingatkan hal itu, membuatkan Man Bewak tersenyum lebar. Jarang-jarang sangat dia makan di kedai. Selalunya dia masak sendiri di rumah. Kalau dia malas sangat, dia akan mencekik biskut kering yang banyak dibeli sebagai simpanan jikalau dia tidak mempunyai wang. Kalau malas hendak membancuh kopi pekat, cukup dengan air panas. Asalkan kenyang, Man Bewak sedikit pun tidak kisah.
Cepatlah sikit! Terhegeh-hegeh macam pondan tua!
sergah Mat Ajib yang sudah pun mencelapak tempat duduk motosikal cabuknya.
Yalah, tunggu kejap... aku tutup dan kunci pintu ni!
Man Bewak sesungguhnya sudah bosan diperintahperintah oleh Mat Ajib, seolah-olah dia adalah Angah Soyah yang tolol dan bangang. Namun apa yang boleh dilakukannya selain daripada mengangguk dan akur. Pintu rumahnya yang terkangkang, ditutup dan dikunci dari luar. Kemudian Man Bewak tergesaJejawi Tua5 gesa menuruni tangga berandanya dan mendapatkan Mat Ajib yang sudah tidak sabar-sabar hendak meninggalkan pekarangan rumahnya. Enjin motosikal cabuk Mat Ajib mengalahkan enjin motobot sangkut yang kemasukan air sungai. Sebaik-baik sahaja Man Bewak membonceng di belakangnya, Mat Ajib terus memulas telinga minyak. Man Bewak yang belum sempat bersedia, hampir terjatuh. Tergesa-gesa dia membetulkan kedudukannya. Namun tindakan Man Bewak itu membuatkan Mat Ajib tidak dapat mengawal pacuan motosikalnya, sekali gus menyebabkan motosikal itu terhoyong-hayang.
Duduklah diam-diam!
jerkah Mat Ajib apabila motosikalnya itu hampir melanggar banir pokok durian. Mujurlah Mat Ajib mampu mengawal haluan motosikal itu sekali gus mengelakkan daripada berlakunya sebuah kemalangan. Man Bewak semakin mendongkol, geram. Kalaulah bukan kerana sabar, sudah pasti kepala Mat Ajib diketuknya sekuat-kuat hati. Kalau dia ketuk pun, Mat Ajib bukannya tahu dan boleh mengelak. Cuma natijahnya sahaja yang akan ditanggung bersama-sama oleh Man Bewak. Ingin benar Man Bewak bertanya, ke mana Mat Ajib ingin membawanya kerana pacuan motosikal cabuknya begitu tergesa-gesa. Habis segala akar timbul dilanggarnya. Habis segala tunggul diredahnya. Laluan yang sepatutnya tidak menyusahkan, bagaikan kabur pada penglihatan Mat Ajib.
Elok-eloklah bawa motosikal ni. Nanti kalau jatuh, kau juga yang susah.
Man Bewak tidak mampu membendung kerisauannya lagi. Dia memegang pinggang Mat Ajib dan menggenggam hujung baju Mat Ajib. Mat Ajib tidak membalas kata-kata Man Bewak, sebaliknya tetap memecut motosikal cabuknya selaju yang mungkin. Sehinggalah mereka sampai ke jalan besar, tunggangan Mat Ajib tidak lagi menggelabah biarpun kelajuan motosikal cabuknya tidak berkurangan. Ketika melewati Masjid Kampung Sungai Teja, Mat Ajib memberhentikan motosikal cabuknya secara mengejut. Dia kelam-kabut turun daripada motosikalnya, sekali gus menyebabkan Man Bewak turun sama. Gelagat Mat Ajib itu menambahkan kehairanan Man Bewak. Sangkanya pundi-pundi kencing Mat Ajib sudah penuh dan dia ingin melepaskan hajat di tandas masjid. Namun agakan Man Bewak tidak menjadi. Bahkan Mat Ajib berhenti dan duduk di batas longkang di muka pintu gerbang masjid. Mukanya pucat lesi. Tangannya menggeletar sedikit seolah-olah dia menunggang motosikalnya pada waktu subuh selepas hujan tengah malam.
Kenapa dengan kau ni, Mat Ajib
Man Bewak tidak mampu membendung pertanyaan yang kian sarat di dalam fikirannya. Gelagat Mat Ajib bagaikan menggeletek keinginannya untuk tahu. Mat Ajib tidak terus menjawab sebaliknya merenung muka Man Bewak sedalam-dalamnya. Bibirnya yang kehitam-hitaman kesan candu rokok murah, juga menggeletar. Dagunya menggelatuk.
Kenapa ni
Man Bewak mulai risau melihat keadaan Mat Ajib.
Kau... kau tak nampak apa yang ada kat rumah kau tadi
Mat Ajib akhirnya bersuara dengan nada menggeletar. Man Bewak kerutkan dahinya setebal yang mungkin. Pandangannya terarah ke dahi Man Bewak. Dia cuba memahami apa sebenarnya yang ingin dimaksudkan oleh Mat Ajib.
Kau tak nampak tadi
Mat Ajib mengulangi pertanyaannya apabila Man Bewak tidak menjawab.
Nampak apa Aku tak nampak apa-apa pun.
Kat bawah rumah kau....
Mat Ajib tidak meneruskan kata-katanya.
Kat bawah rumah aku
Man Bewak semakin hairan.
Ha, kat bawah rumah kau.
Mana ada apa-apa.
Man Bewak tersengih, cuba mengejek Mat Ajib.
Kau tak nampak perempuan tua berambut mengerbang, bermata merah dan bawa tongkat bengkang-bengkok tu
Man Bewak ingin ketawa kerana kata-kata Mat Ajib itu bagaikan satu gurauan. Namun melihatkan wajah Mat Ajib yang serius, ditambah pula dengan suaranya yang bersalut nada ketakutan serta tubuhnya yang menggigil, membuatkan Man Bewak membatalkan niatnya untuk ketawa. Apabila Mat Ajib berkeadaan seperti itu, bermakna betullah apa yang dikatakan oleh Mat Ajib.
Perempuan tua Mana ada perempuan tua
Man Bewak cuba berhujah.
Mata kepala aku yang nampak....
Mat Ajib menggelejatkan tubuhnya seperti anjing yang cuba mengeringkan bulu-bulunya. Pangkal bulu-bulu roma di tangannya kelihatan membintat. Bulu-bulu romanya pula cering-cering macam rambut kena karan elektrik.
Apa yang kau nampak
Man Bewak semakin tidak sabar. Mat Ajib tidak sepatutnya buat lawak tentang perkara itu. Dia tidak melihat sesiapa pun selain daripada Mat Ajib. Sudah berpuluh-puluh tahun dia tinggal di rumah itu. Belum pernah lagi dia melihat sebarang makhluk asing, malah orang tua perempuan seperti yang dikatakan oleh Mat Ajib.
Perempuan tua tu....
Mat Ajib masih tidak dapat meneruskan kata-katanya. Kata-katanya seperti tersekat di tekak. Sedangkan pada masa yang sama, matanya melingas ke merata-rata tempat seolah-olah ingin memastikan bahawa hanya mereka berdua berada di hadapan masjid itu.
Kau jangan nak takutkan aku, Mat Ajib!
Man Bewak tidak senang dengan usaha penjelasan Mat Ajib yang masih terbantut. Mat Ajib terus bangun dan mendekati Man Bewak.
Aku nampak betul! Aku tak bohong!
Mat Ajib cuba berbisik tetapi suaranya agak keras. Man Bewak terdiam seketika. Terfi kir juga di benaknya, Mat Ajib mungkin tidak berniat memperolok-olokkannya. Mat Ajib mungkin telah melihat perempuan tua itu sebagaimana yang dikatakannya. Mat Ajib mungkin telah melihat sesuatu yang menakutkan pada perempuan tua itu sebagaimana yang diterangkannya. Sedangkan dia pula, dek kerana sudah terbiasa dengan persekitaran dan bersendirian, dia tidak dapat melihat apa yang dilihat oleh Mat Ajib.
Kau betul-betul nampak
Suara Man Bewak mula bertukar. Kerut di keningnya membuktikan, kata-kata Mat Ajib terkesan di jiwanya. Mat Ajib mengangguk-angguk. Man Bewak hilang kata-kata. Nafasnya seperti tersangkut. Renungannya kosong ke arah batu-batu nisan yang berada di sisi masjid Kampung Sungai Teja. Sedangkan otaknya ligat memikirkan tentang cerita Mat Ajib. Kalau benar seperti yang dikatakan oleh Mat Ajib, bermakna dia dalam bahaya. Dia tidak boleh tinggal di rumah itu lagi. Rumahnya sudah menjadi persinggahan hantu syaitan. Kalau jadi apa-apa kepadanya, siapa yang akan tahu. Dia hidup seorang diri, tiada teman, tiada isteri, tiada anak dan tiada saudara-mara. Buatnya masa tengah tidur hantu datang, pasti batang lehernya akan dicekik sampai matanya terbuntang dan lidahnya terjelir, sekali gus menyebabkan dia putus nafas. Man Bewak tidak mahu ditimpa musibah sebegitu rupa. Siapa yang boleh membantunya dalam keadaan begitu Masakan dia hendak meminta bantuan daripada Tok Imam Tua atau Tok Ngah Darus. Kalaupun dia takut, terpaksalah dia telan ketakutan itu. Kalau dia cuba juga minta bantuan daripada mereka, bererti dia sengaja membiarkan dirinya dihina, dikeji, disakiti hati dan sebagainya. Tentu juga Tok Imam Tua dan Tok Ngah Darus tidak akan teragak-agak untuk menggunakan masa silamnya sebagai alasan mereka menyakiti hatinya.
Betul ke apa yang kau nampak
Man Bewak cuba dapatkan kepastian Mat Ajib.
Jangan-jangan kau sengaja buat cerita, tak
Jadah apa aku nak bohong Tak ada faedahnya pun.
Man Bewak pandang kiri kanan. Mukanya kelihatan tegang.
Aku takutlah.
Man Bewak telan air liur dengan penuh kepayahan.
Tolong bagitahu aku, apa yang perlu aku buat
Aku rasa, elok kalau kau pindah dari rumah tu,
Mat Ajib bersuara tenang.
Barangkali itulah yang dinamakan sebagai puaka Bukit Botak.
Man Bewak pandang muka Mat Ajib. Mat Ajib seolah-olah tahu apa yang sedang bermain-main dalam fikirannya.
Aku nak pindah ke mana
Carilah rumah lain.
Rumah mana lagi Mana aku ada rumah lain. Itulah satu-satunya rumah yang aku ada.
Kau boleh tinggal di pondok di belakang rumah aku. Kau pun bukannya ada keluarga atau anak bini. Kau duduk di situ sampai keadaan selamat.
Keadaan selamat Bila
Mat Ajib berfikir-fi kir sebentar. Man Bewak pula menanti-nantikan jawapan Mat Ajib.
Nanti aku usahakan cari orang yang pandai.
Orang pandai Pandai apa
Pandai pagarkan rumah kau tu lah! Apa ke bengap sangat kau ni
Mat Ajib hilang sabar. Sedangkan pada masa yang sama, Man Bewak menggaru-garu kepala sambil mengangguk-angguk seperti burung tukang buat sarang. Mereka terus berada di hadapan pintu pagar masjid yang tertutup rapat dan dirantai mangga. Tidak ada sesiapa pun yang datang ke masjid pada waktu itu. Pagar masjid hanya dibuka pada apabila masuk waktu solat. Selepas solat, tok siak akan kembali mengunci pintu pagar itu semula. Alasannya ialah supaya perkakas-perkakas di dalam masjid itu tidak dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Macam mana Kau setuju
Tapi....
Jangan fi kir panjang sangat, Man Bewak. Ini untuk keselamatan kau juga.
Aku nak bincang dulu dengan Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh. Mereka mungkin ada idea.
Mat Ajib tarik muka. Ternyata, dia tidak senang dengan kata-kata yang terlahir dari mulut Man Bewak.
Kau ada jumpa Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh
Man Bewak mengulangi pertanyaan yang masih tidak mengundang jawapan Mat Ajib. Mat Ajib petik jari. Kemudian dia memberi isyarat kepada Man Bewak agar membonceng motosikalnya. Pertanyaan Man Bewak seperti tadi seperti tidak menyinggah di cuping telinganya. Meskipun tidak puas hati dengan gelagat Mat Ajib, namun Man Bewak tidak ada pilihan. Pekarangan masjid itu juga tidak menyenangkannya. Batu-batu nisan yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi latar belakang masjid itu, lebih banyak mengundang perasaan seramnya. Masa dia masih kecil dahulu, Man Bewak akan sentiasa berusaha agar tidak melewati masjid seorang diri. Kalau perlu dia berjalan di hadapan masjid atau di lorong yang membelah di tengah-tengah tanah perkuburan tersebut untuk ke kedai makan, Man Bewak akan sentiasa memastikan dia mempunyai kawan. Cerita-cerita tentang pocong, hantu bungkus, perempuan berwajah hodoh dan bebola api di atas tanah perkuburan itu, sentiasa meresap di ingatannya. Terlalu ramai orang kampung yang bercerita tentang kewujudan hantu bungkus atau geguling biarpun mereka bukanlah saksi mata sebaliknya mendengar cerita di atas cerita. Cerita-cerita itu akhirnya menjadi keyakinan yang cukup diimani oleh Man Bewak, meskipun dia sendiri tidak pernah melihat hantu sebagaimana orang kampung yang lain. Cerita-cerita sebegitu perlu diimani dengan bersungguh- sungguh hati. Sebabnya, di pangkal kampung mereka ada sepohon jejawi tua. Cerita tentang jejawi tua itu lebih hebat daripada geguling, wanita tua berwajah hodoh, bebola api atau pocong. Semua orang tahu tentang cerita jejawi tua sekalipun mereka tidak pernah melihat rupa sebenar puaka di pohon tua berjerumbai itu. Tiada sesiapa pun yang boleh menafi kan kewujudan puaka di jejawi tua tersebut.
Malah, Tok Imam Tua dan Tok Ngah Darus juga tidak pernah menafi kan pokok itu memang berhantu dan berpuaka. Cuma yang agak aneh ialah mengapa Angah Soyah berani benar menghampiri pokok tersebut. Bukan sahaja menghampiri, bahkan memanjat sampai ke ranting-rantingnya memasang getah burung. Bukan sekali dua orang kampung melihat Angah Soyah yang berbadan busuk itu di atas pokok tersebut. Namun tidak seorang pun yang berani menegurnya. Manalah tahu, kalau-kalau yang mereka lihat itu bukanlah Angah Soyah sebaliknya puaka yang sedang menyamar. Namun cerita Mat Ajib yang melihat kelibat wanita tua berambut mengerbang dan bermata merah di bawah rumahnya tadi, membawa satu pengertian yang lain. Mat Ajib sudah pun menghidupkan enjin motosikal cabuknya. Meskipun tidak berpuas hati, Man Bewak tidak merungut langsung. Selagi Mat Ajib membenarkan dia menjadi pembonceng, selagi itulah dia tidak akan melawan atau mengasak Mat Ajib dengan pelbagai soalan. Hatinya mengembang apabila motosikal Mat Ajib menghala ke arah rumah Pak Long Lateh. Bukan Pak Long Lateh yang mengujakan dia sebaliknya Miah. Sudah terlalu lama dia memendamkan perasaannya. Tiada sesiapa pun yang tahu mengapa dia suka benar berkawan dengan Pak Long Lateh. Biarpun Miah mungkin tidak secantik atau sejelita ratu, namun ada daya tarikan pada wanita beranak satu itu. Dia mengenali Miah semenjak Miah kali pertama sampai ke kampung itu sebagai isteri Pak Long Lateh. Semenjak kali pertama matanya menjalari bentuk tubuh Miah, Man Bewak tidak pernah menyesal kerana berkawan dengan Pak Long Lateh. Pun begitu, Man Bewak tidak pernah menyuarakan apa-apa atau kecenderungannya kepada sesiapa pun, apatah lagi Miah.
Kebengkengan Pak Long Lateh dan sikapnya yang suka bergaduh, sudah cukup untuk mematikan tunas-tunas harapannya kepada Miah. Biarpun dia mengkagumi Miah dari jauh sambil membayangkan Miah dalam pelukannya apabila dia berbaring di atas tilam hapaknya di rumah. Biarlah dia memendam keinginan tatkala Man Bewak cukup tahu, saat dia membayangkan dan mengangankan Miah, wanita itu sedang berada bersama Pak Long Lateh. Mat Ajib juga tidak tahu apa perasaannya terhadap Miah. Dia tidak pernah berusaha mempamerkan keinginannya kepada Miah di hadapan Mat Ajib. Sekalipun dia mungkin akan mengintai lurah dada Miah setiap kali wanita itu menunduk dengan leher baju besarnya, Mat Ajib pula akan pandang ke arah lain. Itu kalau Pak Long Lateh tidak ada. Kalau Pak Long Lateh ada sekali, Man Bewak akan berpura-pura pandang ke arah lain sambil menahan nafasnya satu persatu.
Eh, apasal ramai pula orang kat rumah Pak Long Lateh tu Dia orang dah jumpa Pak Long Lateh ke
Mat Ajib bersuara sambil tengkuknya dipanjangkan dan badannya ditegakkan. Man Bewak turut mengintai dari atas bahu Mat Ajib. Boleh dikatakan kebanyakan orang kampung berada di pekarangan rumah Pak Long Lateh. Kelibat Miah tidak pula kelihatan.
Boleh jadilah,
Man Bewak menjawab dengan suara tertahan-tahan. Mat Ajib memberhentikan motosikalnya di tepi jalan. Man Bewak kehairanan. Mengapa pula Mat Ajib tidak meneruskan perjalanan ke rumah Miah Apa perlu mereka berhenti di tepi jalan dan menjadi penonton Kalau benar Pak Long Lateh sudah balik, mereka sebagai kawan baiknya yang seharusnya meraikan kepulangan Pak Long Lateh. Bukannya orang kampung.
Tunggu apa kat sini
Man Bewak tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya.
Aku rasa tak sedap hatilah,
kata Mat Ajib.
Tak sedap hati Apa maksud kau
Mat Ajib berpaling sejenak. Kemudian kembali memandang ke arah rumah Pak Long Lateh yang dikerumuni oleh orang kampung.
Takkanlah orang kampung sambut Pak Long Lateh balik sampai macam tu sekali Nak katakan ada kenduri, Pak Long Lateh tak pula beritahu kita sebelum ni. Dia mana boleh buat kenduri. Duit pun selalu tak ada. Nak kata dia jemput orang kampung berdoa selamat, lagilah mustahil. Pak Long Lateh tu ke masjid sebab kalau tiga Jumaat berturut-turut ponteng sembahyang Jumaat, kena denda.
Habis tu
Aku rasa....
Kematian
Man Bewak memotong pantas. Sekali lagi Mat Ajib berpaling dan air mukanya mengiyakan tekaan Man Bewak. Man Bewak kerutkan keningnya.
Jomlah kita ke rumah Pak Long Lateh tu.
Jawapan pasti hanya boleh diperoleh apabila mereka berada di rumah itu. Selagi mereka berada di tepi jalan, selagi itulah mereka akan terus bertanya-tanya. Mat Ajib terpaksa akur. Dia juga sebenarnya ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kehadiran mereka berdua, menarik perhatian orang kampung, terutama Tok Ngah Darus. Belum sempat Mat Ajib memberhentikan motosikalnya, Tok Ngah Darus sudah mendapatkan mereka berdua. Perbuatan Tok Ngah Darus dituruti oleh beberapa orang pemuda kampung yang lain.
Lateh mana
Tok Ngah Darus segera bertanya tanpa memberikan peluang kepada Mat Ajib mematikan enjin motosikalnya.
Pak Long Lateh tak balik-balik lagi
Mat Ajib bertanya tanpa menjawab pertanyaan Tok Ngah Darus.
Kalau dia balik, aku tak tanya kau orang berdualah!
Tok Ngah Darus bersuara pantas. Mata Mat Ajib meliar. Entah kelibat siapa yang dicarinya, hanya dia sahaja yang mengetahui.
Kami pun tak jumpa dia. Ingatkan dia dah balik,
Man Bewak menjawab bagi pihak Mat Ajib.
Bukankah dia bersama-sama kau orang berdua
Tok Ngah Darus cuba mendapatkan kepastian sekali lagi.
Taklah... kali terakhir pagi semalam kami jumpa dia. Lepas tu, kami kerja di pekan sampailah ke petang. Dia dan Pak Su Cik Leh tak ikut,
terang Man Bewak dengan nada bersungguh-sungguh. Tok Ngah Darus seperti tidak percaya dengan penjelasan yang diberikan oleh Man Bewak. Ditenungnya wajah Man Bewak ke atas dan ke bawah. Apabila Man Bewak dan Mat Ajib tidak memberikan reaksi yang boleh menyelesaikan tanda tanyanya, Tok Ngah Darus menghela nafas panjang.
Ke mana pula dia pergi Sehari suntuk hilang begitu sahaja.
Pak Su Cik Leh ada Kalau dia ada, tentu dia tahu kat mana Pak Long Lateh pergi,
usul Mat Ajib dengan nada bersahaja.
Masalahnya sekarang, kedua-duanya ghaib macam tu saja. Tak sesiapa pun nampak kelibat kedua-duanya.
Kalau macam tu, kami cari di pondok di pinggir kebun getah Cik Kiah. Mungkin Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh ada di sana,
kata Mat Ajib lagi.
Kami dah cari pun. Dua-dua hilang tanpa sebarang jejak. Bini si Lateh cakap, Lateh memang tak balik semenjak pagi semalam. Si Sudin pun cakap perkara yang sama.
Mat Ajib dan Man Bewak berpandangan antara satu sama lain. Kehairanan mengetuk tangkai hati mereka. Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh tidak mungkin hilang ghaib begitu sahaja. Setidak-tidaknya kepada merekalah kedua-duanya akan memberitahu apa yang akan dilakukan dan ke mana mereka akan pergi. Mustahil Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh membelakangkan mereka berdua. Lagipun Pak Su Cik Leh dan Pak Long Lateh amat memerlukan bantuan kewangan daripada mereka berdua.
Ah, ke mana pula perginya Pak Long Lateh dengan Pak Su Cik Leh ni
Mat Ajib menggaru-garu dahinya.
Apa yang dah berlaku Kenapa orang ramai kat rumah ni
Man Bewak tidak berminat hendak menyokong pertanyaan Mat Ajib, sebaliknya dia juga mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam. Tok Ngah Darus pandang muka kedua-dua orang kawan karib Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh itu. Boleh jadi, Tok Ngah Darus ingin memastikan, pertanyaan Man Bewak bukannya pertanyaan olokolok atau main-main.
Kau berdua tak tahu lagi ke
Tok Ngah Darus bertanya kembali.
Tahu apa
Man Bewak kerutkan dahinya.
Anak si Lateh dah mati.
Hah
Mat Ajib dan Man Bewak bersuara serentak.
Katanya jatuh, tak sempat nak bawa ke hospital. Masa ambulan datang, anak Lateh dah pun meninggal,
beritahu Tok Ngah Darus dengan nada bersahaja. Langsung tidak ada nada sedih atau kesal mahupun bersimpati. Sekali lagi Mat Ajib dan Man Bewak berpandangan.
Miah
Man Bewak bertanya sepatah.
Ada dalam rumahnya. Macam orang gila. Tok Melah tengah tenteramkan dia.
Kalaulah bukan kerana malu dan segan, sudah pasti Man Bewak akan berlari ke rumah Miah. Dia akan berada di sisi Miah untuk menenangkan wanita itu. Dia akan cuba menteramkan perasaan Miah. Dan sewajarnya Miah perlu dikasihani. Sudahlah suaminya masih belum pulang, anaknya pula meninggal dunia kerana terjatuh.
Mayat ada di atas rumah
tanya Man Bewak lagi. Dia cuba mencari-cari ruang untuk berada di sebelah Miah tanpa rasa bersalah.
Dah dibawa polis ke hospital untuk post-mortem.
Kesian Miah!
Tercetus kata-kata itu di bibir Man Bewak tanpa disengajakan, sekali gus mengundang renungan tajam Mat Ajib dan Tok Ngah Darus kepadanya.9