Kemudian aku terkejut mereka mengumumkan nama Dhiya. Ya. Dhiya sekadar mendapat tempat kedua.
Perempuan itu melangkah tenang. Malah memberi tunduk hormat dan santun kepada pegawai Jabatan Pendidikan. Aku menggaru kepala.
Sejak bila pula dia belajar adab mengambil hadiah. Mungkin daripada ibunya yang menjangka kemenangan. Pemenang nombor satu pula diumumkan. Seorang budak lelaki yang berpakaian kemas dan mahal dari Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang telah memenanginya.
Melihatkan lukisan para pemenang yang ditampal juri, akhirnya aku mengerti mengapa budak itu menjuarainya. Pengadilan ini bukanlah atas dasar teknik, tekstur dan komposisi yang cantik. Tetapi melihatkan daripada tema dan moral idealistik. Budak itu telah melukis dengan kemas sambutan hari merdeka dengan kisah beberapa orang budak membawa bendera kebangsaan.
Tidak mungkin kami mempertikaikan keputusan yang dibuat atas dasar moral yang muluk dan indah memberitahu kisah hidup kami lebih tragik. Juga menceritakan kepada mereka teknik mewarna Dhiya adalah satu gaya penting dalam sejarah seni catan dunia. Dan jelas budak berbaju cantik dan mahal itu telah diajar dari kecil bagaimana memenangi perlumbaan hidup.
Kami telah pulang petang itu dengan kebisuan hingga Cikgu Maimunah merasa bersalah. Dia fikir aku dan Dhiya senyap sunyi kerana kami tidak menjuarai pertandingan ini. Hakikatnya, semua tidak penting lagi buat Dhiya. Pertandingan sebenar telah berlaku dua hari lalu. Pertandingan antara hidup mati. Perlumbaan di antara kehendak atau keperluan. Dan Dhiya telah memilih keperluan menolong bapa Lim daripada keinginan memiliki warna gemilang Daler-Rowney.
Dhiya telah lama memenangi kejuaraan keramat ini.