Sebuah tamadun dalam konteks negara tidak pernah semata-mata dilihat beraraskan susun letak bangunan pencakar mahupun penembus langit sekalipun. Sebuah negara sebaliknya diukur ketamadunannya dengan melihat kepada kapasiti akal yang dibangunkan dari generasi ke generasi.
Sebut sahaja tamadun tersohor dunia yang dikenang dan sentiasa dirujuk - Yunani, Mesopotamia, Babylon, China Purba, Mesir Kuno, dunia Islam lama termasuk tamadun Melayu sekalipun, semuanya dikenang bukan atas kemajuan fizikal yang pernah mereka persembahkan kepada dunia, sebaliknya lebih dikagumi ialah geniusgenius yang menjadi arkitek dan pemikir kepada tersergamnya ketamadunan itu.
Dan, paling penting kemajuan teknologi mereka tidak pula pernah menenggelamkan kemajuan daya fikir dan falsafah yang mereka sebar dan tinggalkan buat pedoman manusia. Itu ketamadunan sebenar; ketamadunan yang dibina menggunakan akal cerdik, bukan batu-bata kaku.
Maka samalah akhirnya dengan
negara kita hari ini; Malaysia yang bercitacita menjadi negara maju dengan tamadun ulung, cemerlang, gemilang, terbilang, bla bla bla. Dari dahulu hingga kini, senantiasa dimainkan lagu-lagu mengenang romantika silam untuk menggambarkan betapa tingginya nilai tamadun dahulu. Hari-hari sebelum Benggali Putih menjajah
diceritakan tanpa letih betapa Tanah Melayu suatu adalah tanah yang dicemburui, maju, tersohor, menjadi mutiara berharga di Timur Jauh.
Tamadunnya terkenal kuat dan hebat sampai menjadi tumpuan pedagang dan orang berkelana dari seluruh inci dunia. Bahasanya menjadi bahasa pilihan segenap bangsa yang berkunjung. Seni sastera dan budayanya tinggi suci sampai dicuri musuhmusuh yang cemburu; serta banyaklah lagi kisah hebat lain.
Ketamadunan yang pernah terbina suatu masa dahulu mahu dikembalikan supaya satu dunia kembali cemburu kepada bumi bertuah ini. Dengan berbekalkan citacita membina semula ketamadunan yang hilang tersebut, digariskan semula jalanjalan menuju tamadun hebat yang baru.
Dilakarkan ke dinding awam, diheboh-heboh cita-cita besar ini. Dicanangkan wawasan maha hebat ke seluruh dunia melalui saluran yang ada. Akhirnya, impian tersebut konon kini terlaksana apabila dengan megah dan bongkak dipacak menara jagung dua tongkol KLCC sebagai lambang ulung tamadun bangsa Malaysia baru.
Iya, sila tepuk dahi kita.
Angan-angan mahu bina tamadun maha hebat harus melangkah pulang ke asas yang paling alami, paling penting; asas yang mengakar menjadi tapak awal sebuah tamadun iaitu pembinaan akal cerdik yang menjadi pengisi ruang, pembina rohani, dan arkitek hala tuju. Membina tamadun bukan seperti membina rumah kos rendah. Yang perlu dibangunkan bukan hanya pemandangan fizikal yang memperlihat kecanggihan Wawasan 2020 ala fantasi komik sains fiksyen.
Tamadun yang hebat melangkaui zamannya sendiri. Kekaguman ke atas pencapaian akal, peninggian ilmu, dan pengisian rohani warganya yang tidak hanya dilihat dan dialami oleh mereka pada zamannya, malah berabad-abad selepas mereka. Begitulah tamadun terdahulu membina legasi. Begitu seharusnya kita.
Cuma, mahu bina tamadun bagaimana kalau akar pokoknya sendiri tempang Lihat sahaja sistem paling penting dalam pembinaan sebuah negara; belum lagi tamadun, iaitu pendidikan. Apa yang mampu kita banggakan dengan sistem yang sedang disorong kepada anak-anak dari sekolah hingga ke universiti
Pusat-pusat ilmu fungsinya melahirkan lebih ramai cerdik pandai. Fungsinya jelas; yang masuk ke sekolah, kolej, universiti, atau apa sahaja yang bersangkutan; seharusnya tamat belajar, atau bergraduasi, atau apa sahaja: menjadi warga yang sedia memahami realiti.
Sedia untuk menjadi warga yang berfungsi. Sedia untuk memahami peranan diri sendiri sebagai individu dan ahli kepada madani. Bukan keluar dan bergraduasi menjadi satu lagi produk yang dicipta menggunakan acuan usang. Seperti getah sekerap, seperti sabun mandi, seperti mainan plastik, seperti tisu tandas. Semuanya sama, semuanya hanya produk akhir yang tiada potensi untuk dikembangkan kecuali jika ada akal-akal nakal yang berontak cuba keluar dari kepompong fungsi tetap yang dikakukan.
Anak-anak masuk sekolah diajar tidak lain hanya untuk mengikut apa yang ditetapkan oleh sistem yang tidak pernah difahami mereka sendiri. Sekolah ibarat kilang, universiti juga ibarat kilang. Cerdik dan pandai ditentukan bukan oleh empunya diri sendiri, sebaliknya oleh pemerhati yang entah apa kelayakannya.
Anak murid bukan kerbau, dan guru bukan dewa seperti yang dicatat Soe Hok Gie dalam kritikannya terhadap proses pembodohan ke atas anak-anak sekolah. Hidup memang ada aturan, namun aturanaturan tidak sepatutnya dipaksa suap melainkan dipupuk supaya difahami fungsinya. Manusia yang benar-benar waras dan sihat akal fikiran, selain dibesarkan dengan pengetahuan tidak memerlukan undang-undang untuk menentukan salah betul.
Undang-undang malah sering dimanipulasi untuk mengolah penguasaan ke atas tubuh dan fikiran manusia lain. Akhirnya anak-anak di sekolah hanya menurut tanpa pernah memahami mengapa perlunya berpakaian seragam, kenapa rambut harus dipotong pendek, kenapa perlu mereka berada di dataran perhimpunan setiap pagi, apa maknanya ikrar yang dibaca dan sebagainya.
Malang, mereka terpaksa melalui perkara yang tidak difahami hujung pangkalnya. Hanya jadi mangsa kepada doktrinisasi patriotisme palsu.
Melangkah masuk unversiti makin memberatkan keadaan. Universiti yang tidak berfungsi sebagai unversiti; tidak lain hanya untuk jadi tempat bagi pemuda-pemudi terperangkap dalam ilusi menjadi orang pandai yang mempunyai ijazah. Sedang berbicara mencari kebenaran pun dihalang dan diperlakukan seperti ternakan, bagaimana mahu jadi golongan cerdik pandai
Bergelar mahasiswa, namun masih mengukur kecerdikan dan kepandaian melalui markah peperiksaan. Jika tinggi, ertinya orang itulah yang paling pandai antara semua. Pandai kerana menurut sahaja sistem tanpa mengetahui hujung pangkal hanyalah kebodohan yang tidak pernah disedari. Dan proses pembodohan sebegini tidak pernah berhenti diulang-ulang laku ke atas anak-anak.
Hingga sampai satu tahap; tidak lagi perlu dibuat apa-apa. Kebodohan sudah membenih dan tersebar sendiri tanpa perlu dibaja dan disemai oleh pemilik sistem. Ini hasilnya bila satu-satu bangsa tidak memahami asas penting pembentukan tamadun, pembentukan fikrah insan untuk dijadikan pemacu kepada mana-mana pembinaaan sebuah negara mahupun sebuah tamadun. Kita terpaksa menelan sahaja kenyataan bahawa tidak mungkin kita mampu menandingi apa yang pernah dibina oleh generasi sebelum kita; jauh sebelum kita. Jika mahu cuba membina tamadun, jika mahu cuba menandingi sejarah yang pernah terlakar dalam dunia, kita harus berhenti dari menjadi bodoh, dan memperbodoh generasi kita sendiri.