Saya tergelak besar apabila rakan-rakan mengusik saya dengan panggilan Puaka A&E. Dari satu sudut, mungkin ia kelihatan seperti satu gurauan bertujuan untuk merendah-rendahkan moral dalam belajar.
Namun, saya memandang positif gurauan ini sebagai satu pengiktirafan atas usaha saya untuk mendalami ilmu perubatan mengikut cara saya sendiri iaitu dengan membuat attachment di Jabatan Kecemasan ataupun Casualty sewaktu ada masa lapang.
Seperti yang pernah saya jelaskan, antara penyumbang kepada minat saya dalam bidang perubatan ini ialah siri televisyen popular ER yang ditulis dan diarahkan oleh Michael Crichton, seorang graduan dalam bidang perubatan.
Oleh itu, sejak dari tahun dua lagi saya sudah mula membiasakan diri dengan casualty. Ketika itu saya tidak tahu apa-apa pun mengenai management pesakit. Jadi, saya ke sana hanya sekadar untuk melihat para doktor bertungkus lumus menjalankan tugas mereka bagi menyelamatkan pesakit. Paling tidak pun saya sekadar menolong untuk menampal plaster atau memegang pesakit yang restless.
Kesibukan dan riuh rendah di casualtybagaikan memberi ketenangan pada jiwa saya yang gundah. Setiap kali saya berasa tertekan dengan sesuatu, baik pelajaran mahupun isu-isu peribadi maka casualty menjadi gua untuk saya untuk bertenang.
Di tahun 2, saya mula berkenalan dengan staf-staf Emergency Medical Despatch (EMD), Jabatan Pertahanan Awam dan juga beberapa orang atendan kesihatan. Merekalah yang menjadi tempat saya meluahkan rasa kecewa mahupun kesedihan tatkala menghadapi kesulitan dalam pelajaran.
Berkali saya memohon agar mereka mendoakan saya supaya terus diberi kekuatan untuk menghadapi liku-liku kehidupan sebagai seorang bakal doktor.
Oleh itu, casualty bagi saya adalah lebih dari sekadar tempat untuk merawat pesakit. Bahkan ia menjadi rumah kedua saya yang mempunyai nilai-nilai kekeluargaan di dalamnya.
Tahun berganti dan pengetahuan tentang penyakit semakin bertambah. Namun keyakinan untuk berdepan dengan pesakit masih belum mencapai tahap yang diinginkan. Oleh itu, perbualan saya dengan pesakit lebih banyak berkisar tentang soal-soal kehidupan. Saya cuba untuk menyelami penderitaan pesakit dan memahami keadaan mereka.
Dua isu yang sering menjadi pencetus ketegangan di antara pesakit dan doktor ialah berhubungan kelewatan mereka mendapatkan rawatan dan juga penyalahgunaan fungsi dan peranan jabatan kecemasan.
Untuk isu yang pertama, memang tidak dinafikan bahawa ramai pesakit yang datang ke hospital hanya setelah mendapat komplikasi penyakit yang teruk. Sering saya perhatikan doktordoktor memarahi pesakit hinggakan ia dapat didengari oleh pesakit-pesakit lain mahupun staf yang bertugas.
Hanya sebilangan kecil antara mereka yang cuba untuk menyelami masalah yang dihadapi oleh pesakit dan faktor yang menjadi penghalang untuk mereka mendapatkan rawatan awal.
Saya masih teringat kisah seorang adik yang mempunyai ketumbuhan otak yang hanya datang untuk mendapatkan rawatan setelah matanya menjadi buta akibat tekanan dalam kepala yang tinggi. Selain itu, kaki beliau sudah pun mengeras dan mula mengalami halusinasi.
Mana mungkin saya lupa bagaimana seorang doktor perempuan memarahi ibu pesakit tersebut kerana datang lewat. Bahkan, cara beliau menerangkan tentang keadaan penyakit tersebut pada waris pesakit juga agak mengecewakan.
Ibu pesakit terdiam. Dari riak wajahnya, saya mengagak bahawa beliau berada dalam keadaan dilema dan bersalah. Mungkin dalam anggapannya, dialah penyebab keadaan anaknya menjadi teruk.
Saya mengambil masa untuk berbicara dengan ibu pesakit tersebut dan cuba untuk memahami kisah di sebalik apa yang terjadi. Pesakit datang dari latar belakang keluarga yang miskin dan taraf pendidikan yang rendah. Suaminya hanya bekerja sebagai buruh dan beliau sendiri hanyalah suri rumahtangga. Pelajaran mereka tidak setinggi mana. Hidup mereka umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ibu pesakit juga baru sahaja melahirkan anak dan menyusukan bayi. Selain itu, anak-anak yang lain juga perlu dijaga.
Apabila pesakit mula menunjukkan tanda-tanda menghidap barah otak seperti meracau, sering terjatuh apabila berjalan dan pening kepala, yang terlintas dalam fikiran si ibu ialah anaknya dirasuk makhluk halus. Itu merupakan mentaliti biasa bagi seorang penduduk kampung Melayu yang masih percaya pada kuasa hantu dan syaitan dalam menyebabkan penyakit.
Maka, bomoh menjadi tempat rujukan. Beberapa orang bomoh ditemui tapi penyakit si anak gagal disembuhkan. Satu perkara yang pada perkiraan saya patut difikirkan oleh profesional kesihatan ialah kenapa masyarakat lebih percaya kepada bomoh berbanding doktor Adakah mereka lebih peramah dalam merawat pesakit Bayaran mereka murahkah Ataupun adakah mereka lebih dipercayai berbanding doktor
Dan hanya apabila pesakit sudah tidak nampak dan kakinya mengeras barulah dia dibawa ke hospital. Saya melihat CT scan pesakit. Jelas sekali bahawa pesakit sudah mengalami hydrocephalus yang amat teruk kerana saluran cerebrospinal fluid (CSF) sudah tersumbat. Akibatnya, struktur otak terganggu dan inilah yang menyebabkan dia menjadi buta dan kakinya mengalami hypertonicity.
Saya mengambil sehelai kertas dan melukis secara kasar berkenaan peredaran CSF. Saya terangkan kepada ibu pesakit mengenai apa yang terjadi seperti mana yang pernah diajar oleh pensyarah. Saluran CSF itu diibaratkan seperti saluran longkang manakala CSF itu pula adalah air longkang. Sekiranya longkang tersumbat sama ada disebabkan masalah dalam salur longkang itu sendiri, ataupun bahan luar yang menindihnya, maka pengaliran air longkang akan terganggu. Air longkang tidak dapat mengalir dan bertakung hingga menyebabkan tekanan dalam longkang meningkat. Hal yang sama juga berlaku dalam kepala. Apabila saluran tersumbat kerana ditekan oleh ketulan barah, maka pesakit mengalami keadaan seperti yang dialaminya.
Ibu pesakit mengangguk-anggukkan kepala beliau dengan penjelasan yang saya berikan. Tangannnya mengusap rambut anaknya yang lemah tidak bermaya di atas katil. Sesekali si anak berbicara dengan si ibu.
Saya memberikan sedikit kata-kata semangat pada pesakit dan si ibu sebelum meninggalkan mereka. Tidak lupa juga saya menasihati mereka agar bersabar dengan ujian yang diberikan Allah dan mendoakan agar keadaaan si anak menjadi lebih baik.
Dalam kes ini, bukanlah niat saya untuk merendah-rendahkan doktor tersebut ataupun bermegah bahawa saya seorang yang hebat kerana melakukan perkara tersebut, akan tetapi ia adalah sesuatu yang saya sangat berharap supaya para doktor dapat berlapang dada.
Berlapang dada sehingga mereka dapat mendengar nasihat yang dikemukakan oleh seorang pelajar perubatan bahawa tindakan mereka tersebut adalah salah. Kerana pada hakikatnya, apa yang saya lakukan ini sebenarnya hasil dari tunjuk ajar para pensyarah sewaktu kami diajar tentang subjek etika dalam perubatan.
Kami diajar bahawa untuk berbicara dengan pesakit, kita harus turun ke dunia mereka dan bercakap dengan menggunakan bahasa yang mereka fahami dan bukannya istilah jargon dalam perubatan.
Dalam slot etika tersebut, para doktor pakar juga mengajar kami agar menggunakan model plastik, pen dan kertas, slaid Powerpoint, diagram atau apa-apa sahaja kaedah yang membolehkan pesakit memahami penerangan tentang penyakit mereka.
Kerana itu, saya kadangkala kurang mengerti mengapa ada para doktor yang gagal untuk mempraktikkan apa yang mereka ajarkan pada kami.
Malah ada kejadian di mana doktor pakar sendiri memberitahu pesakit bahawa mereka akan mati ketika ward round yang dipenuhi dengan pelajar perubatan dan juga pelajar post graduate. Apabila pesakit menangis, mereka langsung tidak memandang wajah pesakit dan berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku.
Insan-insan inilah yang mengajar kami supaya memberitahu berita buruk kepada pesakit di dalam bilik dan memastikan pesakit berada dalam keadaan selesa terutamanya dari segi emosinya sebelum berita buruk itu disampaikan.
Mengapa mereka tidak melakukan sesuatu yang mereka perkatakan Apabila melihat perkara tersebut berlaku, saya hanya mampu berdoa supaya saya tidak menjadi seperti mereka pada suatu hari nanti.
Isu kedua berkait dengan masalah A&E adalah aduan mengenai kelewatan yang terpaksa mereka hadapi untuk mendapatkan rawatan. Aduan ini biasanya datang dari pesakit triage di zon hijau. Jarang sekali aduan berpunca dari pesakit yang berada di zon merah.
Hal ini bagi saya berpunca daripada sikap mementingkan diri para pesakit yang gagal untuk memahami tujuan A&E ditubuhkan. Ia ditubuhkan bukan untuk merawat demam biasa, masalah sakit tekak ataupun merawat kuku yang terkena serangan fungus. Masalah sebegini merupakan masalah biasa dan kerana itu mereka diletakkan di zon hijau.
A&E adalah untuk kes-kes kritikal yang boleh membawa maut atau pesakit menanggung kesakitan yang teramat sangat. Kerana itu sekiranya terdapat pesakit kritikal, para doktor terpaksa mengabaikan pesakit di zon hijau.
Pernah saya bertemu dengan pesakit yang tidak faham bahasa dan marah tidak tentu pasal. Ketika itu saya menjaga kaunter triage A&E apabila seorang pesakit datang kerana sakit dada dan ia konsisten dengan masalah serangan jantung. Pesakit tersebut segera ditolak ke zon merah.
Pesakit yang berada di zon hijau tadi pula marah-marah kerana dia sudah menunggu hampir setengah jam dan masih tidak dibawa masuk untuk bertemu doktor. Sedangkan pesakit yang tadi terus dibawa berjumpa doktor.
Jururawat cuba untuk menenangkan pesakit tersebut dan menjelaskan perkara itu dengan cara yang baik. Akan tetapi pesakit tersebut tidak berpuas hati dan meninggalkan A&E dengan muka masam. Mulutnya pula terkumat-kamit meluahkan rasa tidak puas hati. Gagah pula dia untuk melakukan perbuatan tersebut!
Sukar untuk membayangkan apabila ada pesakit boleh berfikir sedemikian dengan beranggapan masalah demamnya lebih teruk berbanding serangan sakit jantung.
Oleh itu, suka kiranya saya mengingatkan para pembaca agar cuba mendalami penyakit yang dikategorikan sebagai kecemasan ataupun tidak. Andai masalah anda biasa, dapatkanlah rawatan di klinik pesakit luar pada waktu pejabat. Andai anda bertegas untuk mendapatkan rawatan di A&E juga, bersabarlah untuk menunggu giliran anda.
Selain dari gelaran puaka A&E, ada juga doktor-doktor di sana yang memberikan panggilan manja buat saya. Ada yang memanggil saya sebagai Prof dan ada juga yang menggelarkan saya sebagai doktor pakar. Secara jujurnya, saya hanya mengaminkan sahaja panggilan mereka dengan harapan ia bakal menjadi kenyataan nanti.
Untuk menuntut ilmu, kita tidak harus berasa malu atau mudah berasa lemah dengan gurauan dan ejekan orang di sekeliling kita. Hanya dengan membuang sikap malu tidak bertempat itu maka kita mampu untuk maju ke hadapan.
PASSING OVer
Baru sahaja saya mula menapak di zon kuning, saya dipanggil oleh seorang anggota JPA memaklumkan ada kes ambulansce call di Pasir Tumbuh. Pesakit yang mempunyai riwayat penyakit kencing manis dilaporkan dalam keadaan separa sedar dan tidak menyahut pada panggilan ahli keluarga.
Kami menyiapkan alat-alat kelengkapan untuk proses resusitasi dan bertolak ke tempat lokasi untuk memberikan bantuan yang diperlukan. Penuh satu ambulans berisikan seorang specialist A&E, seorang MO, saya, pemandu dan dua orang EMD.
Di sana, vital sign dan CBS (kandungan gula dalam darah) diambil. Pesakit kelihatan sedar tetapi tidak menyahut. GCS beliau ketika itu ialah 11 (E4, V2, M5). Beliau kemudiannya diangkat dan dimasukkan kedalam ambulans.
Dalam ambulans, saya membantu MO untuk menyediakan IV line kepada pesakit. Kalut juga dibuatnya kerana terpaksa mencari alat-alat yang diperlukan dalam beg yang berisi begitu banyak sekali kelengkapan perubatan. Ambulans yang bergerak menyulitkan lagi kerja kami. Saya sendiri sudah hampir mabuk.
Pesakit tersebut kami hantar ke HRPZ II memandangkan wad perubatan di USM penuh. Di HRPZ II, saya melakukan tugas untuk passover pesakit kepada MO di sana. Susah juga kerana terpaksa memberitahu penilaian kami tanpa skrip.
Segalanya terasa agak susah. Maklumlah, dari tahun 2 lagi kami diajar untuk present kes pesakit dengan melihat kertas. Kini, tiada kertas yang menjadi peneman dan semuanya bergantung pada ingatan.
This 50 year old lady was attended by our ambulance call team after family member noted that she was not responded to call. Upon arrival, GCS was 11/15 with E4, V2 and M5. Vitals are stable; BP was 110/80, heart rate was 88 beats per minute and respiratory rate was 20. CBS was taken and the reading was 11. We have already run two pints of normal saline to this lady.
Saya terketar-ketar bagaikan tikus yang hampir dibaham singa sewaktu melakukan passingover. Ia merupakan satu tugas yang mudah tetapi tidak buat saya. Bacaan tekanan darah, kadar pernafasan dan denyutan nadi pula bukan merupakan bacaan yang tepat kerana saya juga terlupa. Yang pentingnya ia adalah normal dan bacaannya hampir-hampir sama dengan bacaan asal.
Sejak dari saat itu saya mula berlatih untuk melakukan passing over sewaktu round di Jabatan Kecemasan. Tambahan pula, saya terpaksa memandangkan seorang master student yang sebelum ini menjalani latihan HO di Sabah menyuruh saya dan rakanrakan melakukannya. Kami tidak dibenarkan untuk melihat case note. Katanya;
You should know your patient by heart. If you really treating your patient, then how come you did not remember about your treatment on him. Get use to it!
Walaupun saya agak mengenali MO ini namun arahan itu saya pandang dengan serius. Walau apa pun hubungan kita dengan seseorang doktor atau pensyarah, sewaktu bekerja kita harus menunjukkan sikap profesional. Malah sewaktu saya dan rakanrakan berkhemah bersama seorang pakar kecemasan, beliau juga ada berkata kepada kami;
Di luar hospital kita adalah rakan tetapi di hospital, hubungan profesional perlu dijaga. Saya bos dan kamu pelajar.
Kerana itu saya agak berhati-hati di hospital apatah lagi sekiranya mengenali seseorang pensyarah itu. Saya bimbang andai cuai maka saya akan dilihat sebagai kurang ajar atau tidak menghormati mereka. Mereka juga mungkin akan terasa tercabar andai perbuatan itu dilihat oleh pelajar perubatan yang lain.
ANGKArA
BOM IKAN
Petang yang redup itu dikecohkan dengan keadaan seorang pesakit yang dihantar dari sebuah hospital KKM setelah ditimpa malapetaka apabila bom ikan buatannya meletup.
Wartawan memenuhi ruang menunggu Jabatan Kecemasan untuk mengambil gambar tetapi kemaraan mereka disekat oleh pengawal keselamatan. Namun, entah bagaimana berita tersebut tersebar juga di dalam akhbar tempatan dan mendapat liputan yang meluas sekali.
Melihatkan keadaan mangsa, ia mengingatkan saya kepada saudara seagama kita di Palestin, Iraq dan Afghanistan yang saban hari bermandikan peluru dari Amerika Syarikat dan sekutunya.
Tubuh pesakit mengalami lecuran yang serius. Matanya juga turut terbakar dan tangan serta kakinya hancur hingga menampakkan tulang.
Bau hangit dari badan yang terbakar menusuk kedua rongga hidung saya. Hampir sahaja saya termuntah tetapi berkali-kali saya meyakinkan diri bahawa saya boleh menahannya.
Perbualan saya dengan bapa mangsa membuatkan hati saya tersentuh apabila mengetahui bahawa mangsa datang dari keluarga yang susah. Dia terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarganya yang bekerja menoreh getah. Bapanya tidak sangka bahawa anaknya itu membuat bom untuk mengebom ikan di sungai kerana beliau tidak berada di rumah. Kini, anaknya itu tidak mampu untuk bekerja lagi dan pastinya keluarga mereka terpaksa menanggung bebanan yang baru.
Dalam istilah perubatan, kecederaan tersebut dinamakan sebagai Blast Injury. Ada empat mekanisme yang boleh mendatangkan kecederaan hingga membawa maut kepada mangsa letupan bom.
Primary injury merupakan kesan daripada gelombang yang dihasilkan oleh bahan letupan sebaik sahaja ia meletup. Gelombang ini akan menyebabkan gegendang telinga, paruparu dan saluran usus pecah. Secondary injury melibatkan penetratingtrauma di mana bahan-bahan bahaya dalam bom seperti kaca, habuk kayu dan serpihan besi akan menembusi badan. Bahan-bahan itu terbang dari tapak letupan ke dalam badan dengan kelajuan yang boleh mencecah 1,800 meter sesaat. Tertiaryinjury pula melibatkan blunt injury di mana mangsa melambung dan badan jatuh menghempap objek tumpul seperti dinding atau jatuh ke atas tanah. Manakala Quaternary injury pula melibatkan kecederaan yang membawa kepada terganggunya fungsi paru-paru, kebakaran thermal dan juga crushinjury di mana daging menjadi hancur.
Doktor melakukan intubation pada pesakit dan membiusnya menggunakan midazolam dan morphine. Darah dimasukkan ke dalam pesakit dan beliau diselia dengan ketat kerana bilabila masa sahaja keadaan boleh menjadi teruk. Pesakit tersebut dijangkakan akan dibawa masuk ke dewan bedah setelah keadaannya lebih stabil.
Saya kemudiannya ke zon kuning untuk melihat pesakit yang lain. Antara pesakit yang ditemui adalah kes digigit monyet, tangan hancur setelah digilis mesin tebu, saluran usus tersumbat dan juga kes kemalangan jalan raya.
Sewaktu sedang khusyuk menemuramah pesakit, Abangg Shahrul yang merupakan anggota JPA3 datang mencuit saya kerana ada ambulance call. Semestinya saya memang teruja untuk menaiki ambulans walaupun sering sahaja pening dan loya-loya disebabkan kelajuan ambulans. Tambahan pula, ia sering bergoyang.
Ambulans kami sampai di tempat kemalangan dalam masa lima minit. Mangsa merupakan pemandu dan penunggang motosikal yang tercampak setelah berlanggar dengan kereta. Pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan.
Kami segera memasang cervicalcollar dan menilai tahap kecederaan pesakit. Pesakit saya mempunyai nilai GCS 12 (E3, V4, M5) manakala peha kirinya patah dan terkulai layu. Kami segera mengangkat pesakit untuk membawanya pulang ke hospital. Di dalam ambulans, IV line dipasang dan pesakit diberikan IV fluid normal saline. Seorang lagi pesakit agak stabil dan dibawa oleh ambulans yang satu lagi.
Pesakit dibawa ke zon merah dan para doktor datang untuk memberi perawatan yang patut. Setelah keadaan pesakit agak stabil dan mula sedar, beliau dibawa ke bilik CT scan dan X-ray. Namun, belum pun sempat menjalani pemeriksaan tersebut pesakit mengalami sawan dan terus di bawa ke zon merah kembali. Doktor membuat keputusan untuk intubate pesakit dan diberikan midazolam. Saya pula ditugaskan untuk memasukkan Ryles tube melalui mulut pesakit. Saya ternganga seketika memikirkan bagaimana cara untuk memasukkan tiub tersebut ke dalam mulut pesakit memandangkan beliau dipasang cervical collar. Dalam kes kemalangan, kami tidak boleh memasukkan tiub tersebut melalui hidung kerana dikhuatiri mempunyai kepatahan pada tapak tengkorak. Tiub tersebut bisa sahaja menembusi kepala.
Akhirnya MO datang dan menyuruh saya menggunakan laryngoscope untuk membuka mulut dan seterusnya memasukkan tiub tersebut. Tangan saya terketar-ketar menggunakan alat tersebut dan mengalami kesukaran untuk melaksanakannya memandangkan ini merupakan kali pertama saya melakukannya. Setelah bersusah payah, akhirnya saya berjaya dan pesakit dibawa kembali untuk menjalani pemeriksaan radiology.
Seterusnya saya membantu MO ortopedik melaksanakan tugas mereka seperti melakukan back slab, CMR untuk tulang yang patah dan juga wound irrigation. Bidang kepakaran ortopedik penuh dengan tugas-tugas yang memerlukan tenaga dan ia sangat memenatkan.
Jam menunjukkan lewat 1 pagi apabila keadaan pesakit yang dibom ikan stabi., Setelah pakar ortopedik berpuas hati dengan keadaannya, dia terus dibawa ke bilik pembedahan. Saya mengekori dari belakang dan turut serta scrub bagi membantu pakar tulang dan plastik membuat pembedahan kecemasan.
Itulah kelebihan yang ada pada pelajar perubatan di mana anda boleh berada di mana-mana tempat. Satu peluang yang tidak akan diperolehi lagi apabila bekerja nanti.
Di dalam OT, luka dibersihkan menggunakan hydrogen peroxide.
Tisu-tisu yang mati dibuang dan beberapa torehan dibuat pada badan untuk mengelakkan keadaan yang dinamakan compartment syndrome. Amputasi pada beberapa anggota badan dilakukan. Pembedahan hanya dilakukan sekerat jalan memandangkan keadaan pesakit tidak stabil. Menurut doktor pakar, untuk kes sebegini, mereka perlu melakukan pembedahan secara berperingkat kerana kadar kematiannya amat tinggi.
Tiga jam berada di bilik pembedahan, akhirnya ia selesai. Saya segera menapak ke Jabatan Kecemasan. Jam sudah pun menunjukkan pukul 4 pagi dan ruang A&E mula lengang. Kepenatan menguasai badan dan saya bergegas ke surau jabatan untuk tidur dan hanya bangun sewaktu pekerja datang untuk mengerjakan solat Subuh.
Penat kerana bekerja tanpa henti selama hampir 12 jam.
MeGACODe
trAUMA
Lima minggu berada di Pasir Mas dan cuti hari raya selama seminggu membuatkan saya merindui casualty USM yang menjadi tempat saya menimba ilmu di hujung minggu. Oleh itu saya membuat keputusan untuk bertandang ke sana usai menduduki peperiksaan akhir posting family medicine dan juga sesi pembentangan Evidence Based Medicine di sebelah.
Di awal malam, suasana cukup tenang. Tidak banyak kes-kes yang menarik. Cuma ada satu atau dua sahaja yang menarik minat saya. Antaranya ialah anterior hip dislocation di mana tim ortopedik melakukan reduction of dislocation dan juga kes nephritis di mana doktor mendiagnosnya sebagai disebabkan oleh jangkitan kuman infectious mononucleosis.
Pada jam 10 lebih, sewaktu para doktor bersedia untuk melakukan passing over tugasan syif, pusat panggilan USM mendapat panggilan dari orang awam mengatakan dua buah kereta bertembung berdekatan dengan kawasan gunung. Seramai lapan orang mangsa terlibat dalam kemalangan dan empat masih tersepit.
Seorang pakar perubatan kecemasan yang merupakan antara pensyarah kegemaran saya turut berada di casualty ketika itu. Beliau mengarahkan staf menyediakan ketamine yang berperanan sebagai ubat tahan sakit dan juga mempunyai keupayaan untuk menyebabkan pesakit berasa lali. Ini kerana beliau menjangkakan bomba akan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan mangsa. Selain dari itu, anggota JPA dan staf lain menyediakan alat-alat untuk resusitasi dan ambulans.
Tiga buah ambulans digunakan untuk ke tempat kejadian. Saya berada di dalam ambulans kedua bersama doktor pakar dan seorang registrar tahun akhir. Dua buah ambulans lagi diisi anggota JPA dan MA.
Jantung berdegup kencang menantikan apa yang bakal dihadapi di tempat kejadian nanti. Tiga buah ambulans merentasi kesibukan trafik dan meredah kedinginan malam untuk ke tempat kejadian.
Bunyi siren memecah kesunyian malam. Pengguna jalan raya barang kali kehairanan melihatkan banyak ambulans bergerak serentak.
Sesampainya di tempat kejadian, kelihatan jalan raya penuh sesak. Trak bomba tersadai di tepi jalan. Bagaikan satu pesta, orang ramai memenuhi kawasan kemalangan dan bercerita antara satu sama lain. Kami segera turun dari ambulans dan bertemu dengan ketua bomba yang bertanggungjawab mengawal selia tapak kemalangan tersebut.
Dua buah kereta Proton hancur remuk di tengah jalan. Ada ambulans dari Klinik Kesihatan yang sudah menghantar pesakit ke hospital.
Jantung saya semakin berdegup kencang. Namun di tengah ribut adrenalin yang bertiup kencang dalam diri saya, segalanya terus menjadi diam.
Semua mangsa telah pun dihantar oleh orang awam ke hospital. Dalam hati, ada sedikit rasa sedih kerana tidak dapat menyaksikan dua orang doktor hebat dari A&E menguruskan kes trauma di tempat kejadian.
Kami pulang dengan penuh agakan. Rata-rata membuat ramalan bahawa pesakit tidak kritikal memandangkan dihantar oleh orang awam. Namun, melihatkan keadaan kereta mustahil mereka hanya cedera biasa.
Sampai di HUSM, orang ramai kelihatan memenuhi ruang di hadapan pusat panggilan. Beberapa staf kelihatan cuba mengeluarkan seorang mangsa dari kereta. Saya turut menyelit dan membantu menurunkan mangsa. Beliau kelihatan kritikal. Sukar sekali untuk mengeluarkannya memandangkan pintu kereta yang kecil.
Di zon merah, tim A&E sedang bersusah payah menyelamatkan tiga orang mangsa yang sudah dibawa ke sana. Ditambah dengan pesakit yang baru datang, sejumlah empat orang kesemuanya pesakit berada di zon merah. Lain-lain mangsa yang agak stabil dipindahkan ke zon kuning.
Pesakit zon kuning yang agak stabil pula segera ditolak ke observation ward. Manakala zon hijau pula terpaksa ditutup memandangkan kekurangan staf.
Ya! Inilah malam yang paling sibuk dan kucar-kacir sepanjang saya berada di HUSM ini. Staf berlari-lari untuk mendapatkan peralatan. Saudara-mara pesakit mula memenuhi ruang casualty hingga suasana menjadi penuh sesak dan kalut.
Pengawal keselamatan sudah kelihatan bingung dan tidak mampu mengawal suasana. Beberapa orang staf terjerit-jerit meminta orang ramai keluar bagi memudahkan kami melakukan kerja. Saya memerhati staf melakukan kerja sambil sekali-sekala membantu apa yang boleh. Memasukkan IV fluid, menyediakan suction, memasang IV line, log roll dan secondary survey.
Tiga orang pesakit mengalami kecederaan kepala yang parah. Seorang lagi kelihatan agak stabil dan dipindahkan ke zon kuning.
Belum pun reda casualty, seorang lagi pesakit dibawa ke zon merah oleh keluarganya kerana mengalami sesak nafas yang teruk dan juga kurang tahap kesedaran diri. Bila-bila masa sahaja beliau akan collapse. Specialist mengambil keputusan untuk intubate. Sementara staf lain menyediakan oksigen, peralatan intubation dan ubat-ubatan, saya memasang IV line dan mengambil darah untuk pemeriksaan lanjut. Agak kalut juga saya. Mungkin kerana masih belum membina keyakinan yang tinggi dalam merawat pesakit.
Soalnya, bila saya akan betul-betul bersedia untuk menjadi seorang doktor yang penuh keyakinan
Beberapa orang junior tahun 4 turut sama membantu dalam menguruskan pesakit. Komited sungguh mereka. Satu sifat yang patut dipuji. Tahniah di atas kesungguhan mereka.
Dalam jam 2 pagi, keadaan semakin reda dan terkawal. Zon hijau sudah mula dibuka kembali dan A&E berjalan seperti sedia kala. Mata saya mula kuyu. Akhirnya saya membuat keputusan untuk pulang tidur sahaja. Masih banyak kes yang menarik tetapi tidak mengapalah.
I just need a good rest after the very big event.
...................
Saya akhiri catatan dari bilik kecemasan ini dengan katakata hikmah yang diungkapkan oleh Dr Azlan Kamalludin yang saya kenali sejak beliau menjadi master student A&E lagi. Beliau merupakan salah seorang sumber inspirasi buat saya. Beliaulah guru, idola dan rakan yang amat saya sanjung. Ketegasan beliau dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit menyebabkan beliau tidak gentar untuk bergaduh dengan doktor dari Jabatan Kecemasan sendiri ataupun jabatan lain andai dirasakan terdapat kekurangan pada proses merawat pesakit yang dilakukan oleh mana-mana mereka. Kerana itu, beliau sering pula dikenali sebagai The Lion of Emergency Department.
An average EP knows how to detect emergency condition.
A good EP knows when and how to treat.
An excellent EP anticipate complication.
Wallahuallam.