SEMBANG TEPI JALAN - 10
2 April 2006 Kadang-kadang aku teringat akan kampung. Aku rindu akan suasana itu scbcnarnyi. Sejak dari 1985 lagi aku sudah tinggalkan kampung untuk ke kota mencari dan menggauli makna hidup dan akhirnya aku di sini. Kampung tempat aku lahir dan dibesarkan. Perubahan hidup dan suasana memungkinkan aku untuk merasakan keselesaan dan kcbahagiaan. Di sini ada hutan, kehijauan, oksigen yang segar dan bersih, ada halaman untuk anak-anak bermain. Lima kilometer dari kampung, terdapat sebuah pekan kecil bernama Bruas. Tempatnya seperti dalam cerita Barat, 'Notting Hill'. Tempat yang tidak ada apa-apa yang menarik; cuma kemesraan itu jelas. Kita saling kenal-mengenali. Penduduk kampung tidak perlu rasa takut dengan polis. Tidak seperti di Kuala Lumpur. Di Bruas, tidak ada kuda. Kalau tidak, sudah dianggap seperti pekan koboi. Kalau kita hendak mendekatkan diri kepada Tuhan, suasananya sesuai kerana persekitarannya ada. Walau bagaimanapun, aku masih rindu akan kawan-kawan di Kuala Lumpur. Rahmat; seorang aktivis yang sudah aku anggap seperti saudara sendiri. Black yang selalu busking untuk sesuatu pengalaman baru. Irwan; bakal penerbit yang penuh dengan cita-cita. Lokman; dengan dunia buku dan perfilemannya. Gurdesh; yang penuh dengan elemen spiritualiti dalam diri. Sei Hon; kawan baik yang selalu memberi sokongan dan semangat. Kebanyakan mereka mendiami Pasar Seni sejak sekian lama. Mereka tetap di sini. Aku pun tidak tahu bila aku akan ke sana. Cuma aku tidak suka akan Kuala Lumpur sebab sekelilingnya dan persekitarannya. Terlalu bising dan penuh dengan dugaan. Terlalu keras. Tidak sesuai untuk anak-anak membesar. Susah hendak buat apa-apa. Operasi terlalu kerap seperti duduk dalam tahanan darurat. Aku akui fobia dengan Kuala Lumpur. Teringat akan kata-kata Hishamuddin Rais sewaktu sesi kedai kopi kami 2-3 bulan lepas; "Engkau tak punya pilihan sebenarnya Meor." Kalau aku fikir balik, betul juga kata-katanya itu. Sudah lama aku tinggalkan kampung dan keluarga. Akhirnya aku balik ke gagang. Aku tidak pernah merancang untuk masa hadapan. Bagi aku, semua ini kuasa Tuhan. Di sini aku tidak punya kawan rapat. Kawan-kawan aku yang paling rapat hanya anak-anak aku sahaja. Busking pun depan mereka. Berkebun dan menebas, membersihkan persekitaran rumah, bekerja seperti orang lain. Banyak tawaran untuk acara. Tetapi, buat masa ini aku tidak dapat memenuhinya kerana terlalu sibuk dengan kerja. Entah mengapa, aku suka untuk berada dalam masa dengan penuh nilai ikhlas dan merasakan keselesaan. Di sini mungkin tempat aku.