Walaupun baru setahun saya memulakan hari-hari yang biasa di Kuala Lumpur, di tanah tempat saya dilahirkan, di mana hari pertama saya bernafas di dunia, saya sudah pun begitu sayang.
Mungkin kerana rakan-rakan di sekolah ini lebih akrab dan rapat dengan saya kerana saya sudah bersama dengan mereka sejak sekolah rendah lagi. Sejak kecil lagi.
Saya tidak mahu berpindah ke sekolah yang kononnya lebih baik. Saya tidak mahu meninggalkan Aiman, meninggalkan Shakir, Syamie, Zul. Tidak mahu meninggalkan Azly, dan paling penting pada waktu itu, saya tidak mahu meninggalkan Yani.
Selepas beberapa lama saya dan Iera tidak lagi bersama, kemudiannya saya jatuh cinta lagi.
Di umur enam belas tahun, saya sudah jatuh cinta untuk, entah yang keberapa kali. Sekali lagi, saya jatuh cinta. Namanya Yani.
Sebenarnya, saya dan Yani pernah mengalami satu konflik pada suatu waktu yang lalu.
Waktu itu saya berada di tingkatan satu. Begitu juga dengannya. Kami sebaya. Ketika itu saya masih lagi berada di sekolah yang lama. Saya hanya mengenalinya kerana rakan saya merupakan teman lelakinya. Saya melihat gambar-gambarnya hanya di sebuah laman sosial.
Pada suatu hari, rakan saya, yang juga merupakan teman lelaki kepada Yanie, mengeluh tentang sesuatu. Dan mungkin sebagai seorang rakan yang ingin berkongsi masalah kononnya, saya pun bertanya kepadanya.
Dia tangkap gambar dengan lelaki lain, kata rakan saya itu, dan menunjukkan gambar Yani bersama dengan rakan kelas mereka, lelaki.
Saya hairan. Apakah ini sebuah percintaan sekiranya terdapat pihak yang tidak berhak melakukan apa-apa yang menjadi keinginannya Apakah menangkap gambar bersama-sama dengan lelaki lain merupakan sebuah dosa perasaan dan layak didengki oleh sesiapa Dan persoalan paling menekan saya adalah, apakah kau itu siapa untuk melayakkan dengan siapa dia patut mahu dan patut mampu
Tapi, memandangkan rakan saya itu adalah rakan saya, dan Yani itu hanya teman wanitanya yang saya sendiri tidak begitu pasti siapa, jadi saya memilih untuk menyebelahi rakan saya itu, walaupun saya tidak tahu apa yang patut saya pertahankan.
Dengan perangai kebudak-budakan berumur tiga belas tahun, saya menaip sesuatu di ruangan comment yang berada di bawah gambar Yani, yang didengki-dengkikan oleh rakan saya itu. Dan apabila berada di satu tahap yang agak kritikal, saya dan Yani telah bertengkar, menjadi pendekar di papan kekunci komputer riba kami. Saya dengan sedaya-upaya mempertahankan kesalahan rakan saya itu, dan mati-mati menghukum haram di atas perbuatan Yani itu.
Apabila kini dikenang kembali perbuatan saya itu, akhirnya saya malu sendiri.
Begitulah sebuah pertemuan yang melucukan di antara saya dan Yani. Begitulah saya mengenalinya, kemudian bertengkar, kemudian tanpa sengaja menjadi seorang kawan rapat, bercerita itu dan ini, berbagi-bagi pendapat dan masalah, kemudiannya jatuh cinta, dan seperti biasa, mengakui kehendak hati dan akhirnya bercinta. Ya. Mudah.
Mudah sekali rangka sebuah percintaan yang positif. Bertemu, jatuh cinta, bercinta, dan kekal bahagia selama-lamanya. Mudah.
Tapi sebenarnya susah. Susah untuk kita hadapi, tetapi mudah untuk kita tatapi. Bercinta dengan Yani tidak mudah.
Dia mungkin wanita pertama yang bersama saya, dengan perwatakan yang agak keperempuanan tetapi urban. Dia mungkin wanita pertama yang bercinta dengan saya yang kadang-kadang tidak bertudung, dan kadang-kadang pula bertudung. Mungkin juga Yani wanita pertama yang mengakui tentang diri saya yang agak sosial berbanding yang lain-lain.
Tetapi, Yani jugalah yang terpaling susah untuk saya bersama. Kami jarang berjumpa, kecuali apabila berada di sekolah. Kelasnya dan kelas saya, tidak serupa. Kami berada di kelas yang bersebelahan. Waktu yang terluang untuk kami bertemu hanyalah waktu rehat dan juga waktu persekolahan sudah tamat.
Selepas itu, kami tidak berjumpa lagi. Cuma kadang-kadang apabila kedua ibu bapanya baik hati, dia akan dibenarkan keluar, mungkin dari awal pagi sehingga lewat petang. Pukul enam setengah atau tujuh petang, dia sudah pun diwajibkan berada di dalam rumah.
Apabila kami keluar pula, saya tidak pernah dibenarkan untuk bersentuh dengannya. Tak selesa, katanya.
Mungkin I dibesarkan dalam keluarga yang macam tu kot, kata Yani apabila ditanya mengapa dia tidak selesa berpegangan tangan.
Daddy I dengan Mummy I dah didik I macam tu, sejak kecil lagi, terangnya.
Apabila Yani menerangkan sebegitu, saya tidak lagi cuba-cuba untuk memegang tangannya atau menyentuh dirinya. Saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan manusia di luar sana , mengambil kesempatan di atas setiap peluang yang mereka temui.
Suatu hari, saya duduk bersama-sama dengan Yani di sebuah kerusi batu ketika waktu rehat. Kawasan itu selalunya sunyi sepi. Tidak begitu ramai dengan orang kerana kebanyakan pelajar sekolah itu menghabiskan sisa-sisa rehat mereka di kantin sekolah. Ada juga yang berborak-borak di sebuah pondok bersebelahan dengan gelanggang bola keranjang. Cuma kawasan itu tidak ramai dengan pelajar berbanding dengan kantin sekolah.
Selepas memastikan bahawa di sekeliling kami berdua tidak ada sesiapa, tidak ada pengawas sekolah dan juga tidak ada guru yang meronda, saya pun mengeluarkan sebatang rokok dan lighter yang disembunyikan di dalam tali leher, lalu membakarnya.
Bila you nak berhenti hisap rokok tanya Yani.
I hisap rokok kadang-kadang aja, balas saya. Bila I nak, I hisap. Bila I tak rasa nak hisap, I tak hisap. I bukannya ketagih pun, sambung saya lagi.
Oh. Hisap rokok kadang-kadang eh Takpa ke tanya Yani semula. Nada suaranya seperti memerli. Dan saya sangkakan itu satu gurauan. Jadi, dengan niat untuk bergurau juga, saya membalas dengan nada yang agak sinis.
Aah. Kadang-kadang. Macam you, bila pakai tudung. Kadangkadang buka, kadang-kadang pakai.
Yani terus bangun dari duduknya apabila saya betul-betul menamatkan perkataan itu. Dia memandang saya yang sedang duduk dengan pandangan yang mengejutkan. Matanya merah, tiba-tiba.
Saya bangun perlahan-lahan, cuba untuk menerangkan tentang salah faham itu.
Kita putus, kata Yani, lalu pergi meninggalkan saya keseorangan.
Selepas dari kejadian itu, saya dan Yani terus-terusan merenggang. Apabila dia melihat saya dari jauh, sedang berjalan ke arahnya kerana kebetulan berjalan di jalan yang sama, dia akan pura-pura berpatah semula untuk mengelakkan dari bertembung dengan saya.
Awkward, katanya di dalam hati, mungkin.
Pada tingkatan empat, saya ditempatkan oleh ibu ke dalam sebuah kelas beraliran sastera. Semuanya di tentukan ibu. Apa yang saya boleh lakukan, apa yang tidak boleh dilakukan, apa yang akan saya ambil, saya belajar, saya makan dan pelbagai lagi, ditentukan oleh ibu.
Begitu juga dengan apa yang ingin saya ambil sebagai subjek pilihan pada tingkatan empat. Saya ingin mengambil Pendidikan Seni serta Kesusasteraan Melayu sebagai subjek pilihan saya. Tetapi ibu, seorang guru Bahasa Melayu melihat sastera dan seni sebagai sesuatu yang tidak dapat menjamin masa depan.
Sehingga kerap kali saya keliru, apakah saya ke sekolah pada setiap hari hanya untuk menjamin masa depan, dan bukan menikmati kehidupan dan pembelajaran
Lalu ibu tidak akan membenarkan kekeliruan itu lekas lama bersarang di kepala. Dia akan katakan apa yang terbaik untuk diri saya. Lantas dengan itu, dia akan melakukan apa sahaja yang terbaik, untuk diri saya.
Mungkin orang tua kita tidak tahu, apa yang terbaik bagi mereka tidak semestinya yang terbaik untuk diri kita.
Tapi, pemilihan ibu itu tetap juga saya hadapi. Berada di kelas yang mengambil subjek Prinsip Perakaunan membuatkan saya tidak dapat menumpukan perhatian. Saya dan setiap butir-butir nombor tidak dapat menjadi seorang rakan yang karib. Kami bermusuhan sejak hari pertama saya lahir di dunia.
Akan tetapi, di dalam kelas itu terdapat beberapa orang yang akhirnya menjadi sangat-sangat akrab dengan saya. Salah seorang dari mereka adalah Azly.
Azly adalah seorang pelajar lelaki yang tidak pernah saya bayangkan akan menjadi tersangat rapat. Saya mengenali Azly ketika kami di tingkatan empat dan berada di kelas yang sama. Dia seorang yang nakal. Ya. Kenakalannya kadang-kala tidak membataskan adab antara seorang lelaki berumur tujuh belas tahun dengan para guru yang lebih tua.
Tapi dia tidak peduli. Tidak pernah peduli. Dia tidak mahu berada di dalam setiap perkataan para manusia di sekelilingnya.
Dia tidak mahu diajar tentang apa yang patut dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan. Tidak mahu. Dia mahu menjadi penyebab kepada segala perkara yang dilakukannya. Dia mahu lakukan sebanyak-banyak kesalahan. Dan dia mahu belajar dari kesilapan.
Saya berlari-lari anak menghala ke arah pintu pagar depan. Azly yang berada di belakang saya, turut berjalan dengan pantas. Kami terpaksa melajukan langkah kaki kami kerana takut-takut dinampak oleh guru-guru dari bangunan yang berdekatan.
Sebelum sampai ke pintu pagar depan, kami berhenti dahulu di sebuah tempat duduk yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Di tempat duduk itu terdapat seorang pengawas perempuan yang menjaga sekiranya terdapat pelajar-pelajar yang ingin lari dari sekolah sebelum tamat waktu persekolahan.
Saya biasa melihat pengawas perempuan itu kerana dari kata kawan-kawan, dia seorang yang garang. Suaranya boleh kedengaran sehingga ke belakang sekolah sekiranya dia menjerit ke arah pelajar yang sedang lari bertempiaran kerana disergah menghisap rokok di belakang bangunan , atau pun terdapat pelajar yang sedang memanjat pagar sekolah.
Oleh kerana tidak mahu cerita-cerita yang biasa di dengar itu terjadi kepada diri sendiri, lalu saya pun duduk dahulu di sebuah kerusi, berpura-pura tidak mahu ke mana-mana.
Mak, cikgu. Tapi anak, nakal, kata pengawas perempuan itu, mengejek.
Dengan nafas yang masih tersangkut-sangkut menahan mengah, saya melihat tanda nama yang melekat di baju kurungnya. Oh, Athirah. Namanya, Athirah.
Athirah. Aku nakal. Tak jahat pun.
Athirah membebel-bebel kepada saya. Dia menarik kain sampin yang saya lilit di kepala hingga menyerupai tudung itu dengan kuat. Kemudiannya dengan mulut yang seperti tidak pernahpernah penat berleter, dia menampar perlahan rambut depan saya yang sudah diikat dengan getah, menjadi tocang.
Kau ni. Cubalah elok sikit. Cubalah kemas sikit. Bagi nampak macam budak baik, kata Athirah lagi. Aku tak mahu orang tengok aku baik.
Kenapa Oh. Kalau orang nampak kau macam budak jahat, kau seronok Mesti kau rasa macam cool, kan kata Athirah lagi. Dia nampak seperti tiada mood.
Tak, balas saya pendek.
Habis tu, kenapa
Sebab, kalau nanti aku pakai kemas-kemas, jadi budak baik, nanti bila kalau aku buat silap sikit, nakal sikit, kerek sikit, orang pun cakap muka aja baik tapi perangai macam setan. Kalau aku dah sedia ada nampak nakal macam ni, rupa jahat, orang akan cakap, dah muka pun muka budak jahat, memang benda jahatlah dia buat. Haaaa. Nampak tak perbezaan dia terang saya. Sebenarnya apa yang sedang saya katakan itu, tidaklah benar dengan isi hati saya ketika itu. Perkataan itu keluar secara melulu tanpa difikirkan terlebih dahulu.
Kalau aku baik, orang akan percaya aku. Tapi, bila satu hari nanti aku buat jahat sikit aja, orang terus tak percaya dan makin benci dengan aku. Kalaulah aku memang jahat sejak azali lagi, orang memang tak akan percaya kat aku dan tak pernah percaya kat aku. Dan mereka tak akan benci aku sedalam macam mereka benci yang mula-mula tadi,
Kau cakap pasal kepercayaan, kata Athirah, tiba-tiba. Saya mematikan patah perkataan yang sedang saya lontarkan. Kemudian, beberapa saat selepas itu, dia menyambung,
Aku ada kawan. Aku dah kawan dengan dia, dah lama dah, kata Athirah.
Perangai dia memang teruk. Taklah teruk sangat. Tapi teruklah juga. Tapi, baru sekarang orang nak ungkit-ungkit pasal dia. Barulah sekarang ni orang nak cakap dia itu, dia ini. Jadi, agaknya, macam mana aku nak terus berkawan dengan dia, kalau dia tak dipercayai orang
Saya tidak menjawab. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Manusia sering benar meluahkan masalah. Tetapi tidak selalu melepaskan masalah.
Saya berpura-pura tenang. Azly di sebelah saya hanya mendengar perbualan kami. Dia juga kelihatan tenang, seperti tidak mahu mencampur topik perbualan kami yang tiba-tiba sahaja datang. Random.
Kau penakut, kata saya.
Ha Athirah terperanjat.
Ok Athirah. Kau tak mahu berkawan dengan kawan kau tu, yang kau dah kawan lama gila tu, hanya semata-mata kerana apa yang orang lain kata Ha tanya saya.
Jadi macam inilah. Kau cari orang yang mengata kawan kau tu, dan tutup mulut orang tu kalau kau mampu.
Bukan aku tak mahu kawan
Kau yang cakap tadi, pintas saya sebelum Athirah dapat bersuara. Athirah senyap sebentar. Dia menarik nafas dalam-dalam dan bersuara semula.
Aku tak ada masalah untuk terus kan kawan dengan dia. Tapi, kau tahulah kan. Lain yang makan nangka, lain yang akan kena getah nanti.
Hei, Athirah. Apa yang orang lain cakap, tak penting. Kau buat apa yang kau nak. Kau kena buat apa yang kau nak. Jangan ikut apa mulut orang bilang. Jangan. Kau buat aja apa yang kau nak. Kalau kau nak hisap dadah, hisap. Kalau kau nak minum arak, minum. Buat apa yang kau nak. Jangan dengar orang cakap. Tapi sebolehnya janganlah buat apa yang aku cakap tadi. Tu contoh aja.
Aku pun dah cuba untuk berfikir cara yang kau cakap tu. Tapi Athirah, saya memintas lagi.
Kau tahu tak apa yang penting dalam persahabatan Tahu tak apa yang penting bila kau dah mula nak berkawan Athirah diam. Tidak menjawab soalan itu. Saya menanti balasan dari soalan itu, sehingga benar-benar pasti yang Athirah tidak akan menjawabnya.
Kawan aku ni, Azly. Orang cakap, dia jahat, nakal. Selalu ponteng kelas, selalu keluar sekolah, hisap rokok. Aku ada peduli apa cakap orang Tak. Sebab apa Sebab dia dengan aku, kawan baik. Kawan rapat. Apa orang nak cakap, pergi mati. Jadi, aku buat apa yang aku mahu.
Azly tersenyum. Dia menghulurkan penumbuknya kepada saya. Saya turut tersenyum dan membalas buku lima itu dengan melagakan penumbuk kami sehingga terdengar bunyi tulang yang berdentum.
Kalau kau adalah kau dan kau buat apa yang kau nak, jadi, aku adalah aku. Dan aku harus buat apa yang aku nak
Ya! Bila kau buat begitu, ianya adalah perbuatan yang paling muktamad sekali. Kerana kau lakukan apa yang kau lakukan. Kalau setiap hari kau asyik ikut apa orang kata aja, bahagia ke hidup kau Kau tak rasa kosong ke Tak rasa macam hidup kau bodoh gila ke Kalau setiap hari kau dengar apa yang orang bisik aja, seronok ke Keluarlah. Keluar dari kepompong sunyi kau. Buat. Lakukan apa yang kau nak cuba. Berkawan. Berkawan saja dengan semua orang yang kau nak. Cuba setiap benda yang kau tak pernah buat.
Cuba
Ya. Supaya kau punya pengalaman yang sangat kau perlukan.
Supaya kau ada bahan untuk diceritakan pada anak cucu kau. Supaya kau rasa apa yang kami rasa. Supaya kau juga tahu, yang kami ni pun bukannya tak sama macam kau.
Tapi, aku takut. Aku dah lama kat sini. Dah lama aku ada dalam situasi ini, kata Athirah, perlahan.
Jadi, sepatutnya kau dah pun mula keluar. Cari hidup kau yang kau sorok selama ni. Athirah, depan kau, ada satu meja. Atas meja tu, ada satu kain kosong warna putih. Aku bagi kau semua warna yang ada dalam dunia ni. Hitam, biru, kuning, hijau, putih, semua ada. Tak kan kau nak curah warna putih atas kain kosong yang berwarna putih Tak seronok, kan Tak meriah. Sepatutnya, kau ambil semua warna yang aku bagi, dan lelehkan atas kain kosong tu. Supaya berwarna-warni. Supaya kau dan hidup kau, menikmati.
Apa yang kau buat sekarang ni, adalah keseronokan juga tanya dia.
Ya. Kami buat begini, jadi jahat, jadi nakal, mencuba semua perkara, kerana kami di dalam proses ini. Di dalam proses membesar kami. Siapa tahu, nanti kalau kami besar, kami sendiri akan gelak kat benda yang pernah kami buat dulu, kata saya.
Atau satu hari nanti, kalau aku ingat balik apa yang pernah aku cakap kat kau ni, aku akan tergelak sorang-sorang balas saya, sambil ketawa perlahan. Begitu juga dengan Azly. Cuma Athirah sahaja yang masih membisu, memandang saya, memandang Azly, dan memandang meja.
Korang nak pergi mana lepas ni tanya Athirah.
Nak keluar. Nak cari rokok kat kedai mamak atas. Nak lari dari kereta polis kalau diorang kejar, nak buat semua benda yang tak pernah kitorang buat, dan nak buat seberapa banyak benda yang aku nak, kata saya.
Nak ikut Azli yang sejak dari tadi berdiam diri, kini bersuara.
Athirah tersenyum. Dia meletakkan buku catatannya di dalam poket. Bibirnya terukir senyuman yang paling ikhlas pada hari itu.
Mungkin itulah senyuman yang paling cantik untuk dirinya, sepanjang kehidupannya berlangsung. Cuma kadang-kadang, kecantikan itulah yang paling dia sendiri tidak perasan.
Dan apabila kami sudah berada di luar pagar sekolah, Athirah bangun dari tempat duduknya, lalu berjalan laju-laju sambil mengikuti kami.
Di dahinya ada peluh getir yang mengalir. Tetapi pada bersih wajahnya, ada senyum gembira yang terukir.