SUATU HARI NANTI MANUSIA AKAN MELUPAKAN TUHAN - 10
Tuhan dinafikan mereka tiga puluh tahun yang lalu.

Selamat datang.

Wanita itu mengalu-alukan kedatangan himpunan manusia yang berkumpul sejak dinihari lagi, mereka diwajibkan datang demi kemandirian.

Selamat datang, saya Dr Juwita.

Wanita itu mengalu-alukan kedatangan himpunan manusia yang berkumpul sejak dinihari lagi, mereka diwajibkan datang demi kemandirian.

Manusia dilahirkan untuk berubah. Hanya kematian yang menjadi jawapan kepada kejumudan. Malah apalah ertinya hidup ini tanpa adaptasi, kerana persekitaran kita tidak pernah statik. Dan beberapa tahun yang lalu, ramailah umat kita yang dilorongkan ke lembah kematian oleh Gempa Mega dan Tsunami Raya, malah bangsa kita hampir pupus kerana tewas dengan anarki yang bernama alam.

Wanita itu mengalu-alukan kedatangan himpunan manusia yang berkumpul sejak dinihari lagi, mereka diwajibkan datang demi kemandirian.

Kita golongan yang bertuah. Kita seolah-olah telah dilantik oleh alam yang ingin terus dijaga oleh tangan-tangan kita; tangan-tangan yang terselamat daripada jilatan kejam dan menakutkan. Namun kita akan terus hanyut jika kita terus berkiblatkan kejumudan. Maka hari ini, adalah hari terakhir kita menjadi manusia yang jumud!

Wanita itu mengalu-alukan kedatangan himpunan manusia yang berkumpul sejak dinihari lagi, mereka diwajibkan datang demi kemandirian.

Evolusi adalah satu-satunya Tuhan yang nyata; malah itulah Tuhan yang telah menyelamatkan kita daripada dipilih alam untuk dimusnahkan. Maka teori Natural Selection itu adalah surah yang benar, maka teori Artificial Selection itu adalah surah yang benar, maka Sains itulah satusatunya surah yang benar! Kita ini insan yang dipilih alam, terselamatkan daripada bahana celaka alam, dan kita di tanah asing ini perlu kembali membangunkan semula Malaysia seperti mana Malaysia yang pernah menjadi tanah tumpah darah ibu kita, melahirkan!

Wanita itu mengalu-alukan kedatangan himpunan manusia yang berkumpul sejak dinihari lagi, mereka diwajibkan datang demi kemandirian.

Pengkajian kita selama ini ternyata membuahkan hasil. Demi kita semua yang bertuhankan sains hari ini; bukankah kita ini sudah dipilih alam untuk memerintahkan Teknologi ini, yang pertama di alam semesta, malah tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana ciptaan. Dan kita, kita adalah manusia bertuah dari kalangan khalayak yang dijilat alam!

Mama Juwita ketika itu masih belum diangkat menjadi srikandi. Malah cadangan untuk menubuhkan neoKuala Lumpur baru sahaja diimplemetasi dengan merangka kembali kelas-kelas sosial yang masih berbaki.

Juwita percaya akan kemandirian yang abadi. Spesis Homo sapiens perlu melalui penstrukturan fizikal, spiritual dan fisiologikal; memberikannya lesen untuk mengamal dan memanipulasikan Eutanasia. Manusia-manusia yang cacat dan tidak melepasi laras IQ yang diperuntukkan oleh Tuan Pemerintah akan dibunuh atau akan ditempatkan di Dataran Pembebasan.

Perihal Eugenik melalui Eutanasia ini merupakan suatu unsur yang cukup penting, malah diklasifikasikan sebagai salah satu perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Baharu Neo-Kuala Lumpur yang dirangka oleh sejarawan dan pemikir ulung, Tinta Pujangga. Sememangnya manusia-manusia yang cacat dan bodoh tidak layak untuk dibiarkan hidup - mereka akan mewariskan gen cacat (dan bodoh, ah; wujudkah) mereka kepada generasi seterusnya, dan neo-Kuala Lumpur tidak (mahu) mempunyai kapasiti untuk mengawal selia Homo sapiens yang tidak memenuhi skala tertentu.

Orang yang cacat dan bodoh tidak patut dibiarkan hidup.

Perbarisan manusia-manusia yang terpilih itu kebanyakannya rakyat Malaysia yang menetap atau melanjutkan pelajaran di luar negara, kerana hampir kesemua rakyat malaysia yang berada di Malaysia ketika amukan Gempa Mega dan Tsunami Raya sudah menemui ajal masing-masing. Kalaupun ada yang tersisa, semuanya masih trauma membungkam, tidak langsung layak untuk ditukarkan kepada susuk bernama neo-Human. Ratus ribu manusia yang compang-camping terselamat ini, diangkut ke Dataran Pembebasan selepas mereka diberi sedatif oleh pasukan Laksamana Jaafar terlebih dahulu. Pada suatu malam yang hitam lagikan kelam, mereka diangkut dan dicampak diam-diam. Kejam.

Manusia yang miskin, bodoh dan terdesak lebih mudah untuk dikawal selia. Faham sindirannya

Tetapi yang berkumpul di hadapan Mama Juwita

kini (dia terapung dengan terompah anti-graviti; melayanglayang seolah kelicap sahaja) adalah lambakan manusia pintar yang berkualiti tinggi; pemegang biasiswa luar negara, dutaduta, ahli akademik, pakar-pakar ekonomi, kesusasteraan, ketenteraan, politikus (yang amanah dan tidak punya muslihat), serta golongan-golongan pemikir yang perlu dicambah biak. Adapun kaum proletar, marhaen rataratanya serta ahli agama dibiar bergelandangan di Dataran Pembebasan yang busuk dan sesak. Bukankah mereka ada Alif Lam Lam Ha yang akan membantunya

Apa ada pada agama Kita mahu moderat. Liberal. Sekular. Bukankah

Sepuluh ribu manusia yang terpilih itu itu datang berbaris-baris, sepuluh barisan kesemuanya; dipisahkan melalui informasi genetik yang diinterpretasi oleh pembantu Dr Juwita, Cincip.

Barisan itu terdiri daripada (i) Barisan Pentadbiran -Alectronaon, (ii) Barisan Ketenteraan -Atlason, (iii) Barisan

Pertambahan Populasi Komuniti dan Kekeluargaan

-Acheloison, (iv) Barisan Pendidik -Dorison (v) Barisan Belia -Hebe (vi) Barisan Sains dan Teknologi -Gaia, (vii) Barisan Sains Sosial dan Falsafah -Calliope, (viii) Barisan Ahli Politik dan Penguasa -Heraclon, (viiii) Barisan Penggerak Ekonomi -Metison dan (x) Barisan Sokongan Medikal -Hygea.

Kesemua jujukan barisan itu akan dikumpul dan dilorongkan kepada Atrium masing-masing untuk dilakukan proses identifikasi dan pengimplanan cip neo-Human ke dalam cakera minda mereka.

Pegawai Perubatan (100 orang kesemuanya) telah diasingkan mengikut kategori perbarisan masing masing mengikut kepakaran yang tersedia. Nanorobot-MJII dan Elektrod-Mikro-MJI telah siap tersedia, hanya menunggu masa untuk proses pengimplanan yang memakan masa hampir 5 jam untuk disempurnakan. Mujur kecanggihan ilmu perubatan ketika itu memungkinkan proses penataan melalui program komputer pintar; membolehkan masa pembedahan dan tenaga kerja menjadi lebih efisen.

Hari itu sebenarnya adalah hari yang bersejarah; malah lebih bersejarah daripada hari Dr Sharifa terhumban saat dijentik Gempa Mega suatu ketika dahulu. Pemandangan neo-Kuala Lumpur pada hari penaik-tarafan manusia itu kelihatan seperti munculnya matahari ketika gulungan malam menggelapkan harapan. Manusia-manusia di situ bangkit dan terus melawan segala kesengsaraan untuk memulakan kehidupan baru sekali lagi. Kehidupan yang lebih bertamadun dan beradab tinggi. Kehidupan yang lebih berakal dari proto-Human yang menjerit dangkal.

Orang yang cacat dan bodoh tidak patut dibiarkan hidup.

Manusia selalu inginkan kesempurnaan; dan hari ini kesempurnaan itu telah menjadi satu kata nama yang telah dimungkinkan oleh Ilmu Sains tukangan Mama Juwita. Evolusi daripada proto-Human kepada neo-Human dilakukan berperingkat; mencapai Tahap Pertama, cip yang tertanam selama sepuluh tahun di dalam cakera otak menunjukkan tanda-tanda yang positif. Sistem imuniti dipertingkat dan proses Apoptosis menjadi perlahan tanpa mengganggu kawasan (dan kawalan) telomere, malah diperkenalkan pula teknik Cryopreservation kepada sampel yang memerlukan evolusi ekstensif demi kemandirian spesis; seperti Srikandi MahaUsaha Tinta Pujangga untuk membolehkannya hidup beratus-ratus tahun nanti.

Orang yang cacat dan bodoh tidak patut dibiarkan hidup.

Hari ini, adalah hari terakhir kita menjadi seorang manusia yang patuh dan tunduk kepada perkaraperkara ghaib yang tidak mampu dijelaskan dengan akal fikiran. Hari ini adalah hari terakhir kita untuk memandu hidup berdasarkan catatan dogeng Timur Tengah yang membawa kepada kebencian dan kemusnahan perpaduan masyarakat yang majmuk. Maka hari ini adalah hari terakhir kamu mendengar perkataan Tuhan dan Agama sebelum aku merencat sisi Hippocampus kamu, dan kita akan menjadi lebih progresif tanpa Tuhan atau Agama. Dengarkanlah!

Orang yang cacat dan bodoh tidak patut dibiarkan hidup.

Mama Juwita bukan saintis sebarangan; malah negara-negara besar seluruh dunia pernah cuba melobi (dan menculik) Juwita untuk dijadikan aset intelektual negara mereka. Maka tidak hairanlah Juwita itu menjadi anak emas Tuan Pemerintah, emas se-emas emasnya. Saintis wanita itu berjaya melengkapkan proses penciptaan neoHuman tanpa perlu tunduk dengan tekanan barat yang mahu formula rahsia itu dikongsi bersama. Ah, pergi mampus dengan hipokrasi mu, Barat. Dia sudah berjanji dengan Tinta Pujangga bahawa neo-Kuala Lumpur tidak harus menjadi seperti negara zaman kuno dahulu yang menyanjungi barat; habis ditelanjangi negara dari segi ekonomi, politik, sosial, pendidikan, perpaduan dan agama.

Mengikut dan mengikat perjanjian dengan Barat adalah seperti menari-nari di hujung koridor tinggi, hanya menanti masa untuk rebah, tak tersambutkan. Dia sungguh bingung memikirkan tegarnya proto-Human melucutkan identiti dan kedaulatan negara kerana ingin tampil moden dan global; sedangkan Barat itu nyata sebuah tamadun yang hipokrit lagikan imperial. Ah, proto-Human dengan lalakkan dangkal mereka. Itulah, malas membaca!

Orang yang cacat dan bodoh tidak patut dibiarkan hidup.

Juwita dan pasukannya telah berjaya mencipta

BCI, iaitu Brain-Computer Interface yang membolehkan segala maklumat yang terbina di dalam minda mampu dilorongkan ke peranti yang dipasang; membentuk seolah manusia hybrid ataupun Cyborg. Sisi kelabu pada otak atau dikenali sebagai Grey Matter akan dipenetrasi dengan elektrod mikro yang mana dahulunya pernah dicadangkan untuk merawat Locked-in syndrom.

Neo-Human yang memerlukan kekuatan fizikal tambahan seperti di Perbarisan Ketenteraan akan dilengkapi dengan peranti luar badan dan juga mekanisma pembakaran untuk saluran tenaga yang lebih maksima. Implan pada retina juga menambah kecanggihan neo-Human untuk memperbaiki visual penglihatan mereka di dalam gelap. Kemajuan ini juga turut dibantu oleh pengimplanan saraf tiruan yang akan meningkatkan sistem komunikasi di antara manusia dan peranti Cyborg mereka.

Bersama-sama dengan sepasukan saintis nasional neo-Kuala Lumpur dan pakar-pakar komputer serta kejuruteraan perubatan, Mama Juwita telah mengepalai projek membentuk program nHMP (neo-Human Mind

Project) sebagai satu adi program dan sistem perdana yang mengawal selia perihal fisiologi dan kemampuan intelektual manusia tanpa melibatkan emosi dan perasaan manusia. Hal ini penting menurut Juwita kerana dia mahu neo-Human yang tercipta nanti tidak harus menjadi seperti gagasan robot separa manusia semata-mata.

Untuk membolehkan neo-Kuala Lumpur tampil dengan kejayaan jajahannya, neo-Human dibiar berkelakuan dan berperasaan selayaknya seorang manusia seperti sebelumnya. Cuma mereka lebih baik berbanding protoHuman yang dibiar tersamping di Dataran Pembebasan, hanya hidup untuk mengenyangkan neo-Human sematamata.

Orang yang cacat dan bodoh tidak patut dibiarkan hidup.

***

Dia menjahit sendiri kebaya itu. Tetapi, dia bukanlah fashionista!

Kalau dilihat dari kaca mata seorang protoHuman, dia cuma seorang wanita berusia tetapi masih cantik. Golongan Barat memanggilnya MILF. Di dalam komuniti pentadbiran neo-Kuala Lumpur, dia dikira setara dengan Tuan Pemerintah, malah dikhabarkan bahawa dialah yang menjadi suara major dalam pemerintahan neo-Kuala Lumpur. Perwatakannya yang tegas dan tidak mengikut-ikut telunjuk (dan tekanan) antarabangsa melayakkan dia digelar sebagai The Asian Queen.

Ah, barangkali itu peta lama.

Hari ini benua Asia sudah tidak wujud lagi; malah benua itu sudah terjaring jauh daripada pemetaan geopolitik dunia. Semenjak negara Filipina membentuk kesatuan dengan Indonesia Raya, juga apabila Jepun ingin bersekutu dengan Amerika dan Rusia, pemetaan dunia seperti di zaman kuno 2015 dahulu sudah tidak relevan. Walau apapun, dia tetap layak dipanggil sebagai seorang permaisuri; malah lebih dari itu!

Dia menjahit sendiri kebaya itu. Tetapi, dia bukanlah fashionista!

Hari ini, adalah hari yang bersejarah untuk neoKuala Lumpur. Arkibkan ia! Tinta Pujangga diarak di dalam sebuah tandu, diangkat gagah oleh sepuluh orang pemuda. Dia sangat suka dilayan seperti seorang diva untuk upacara formal sebegini; kedatangnnya harus disambut dengan iringan muzik gamelan, ditarikan oleh beliawati neoKuala Lumpur. Dinding Bilik Perbincangan Awan Larat itu berubah, lalu membentuk sebuah skrin mega yang akan digunakan oleh Tinta Pujangga sebentar nanti. Nyalaan neon pada dinding itu merencah suasana, srikandi itu sudah bersedia.

Manusia itu, asalnya dari binatang. Ah, bukan itu sahaja, manusia itu sememangnya masih binatang. Apa kalau diizinkan kita melakukan apa sahaja tanpa dicop sebagai jenayah, apakah masih ada orang yang akan membersihkan; bergotong-royong memperindah jalan-jalan Apa yang kamu lakukan, jika pada suatu hari, kamu bebas melakukan apa sahaja, mencuri malah

Dia menjahit sendiri kebaya itu. Tetapi, dia bukanlah fashionista!

Terompah merah yang dipakainya mula bernyala; menerbangkan jasad Tinta Pujangga seterusnya ke ruang podium yang terapung di tengah-tengah keluasan Bilik Perbincangan Awan Larat. Dia menyambung lagi;

Lalu, neo-Human yang bijaksana seperti kita, walupun dicipta sempurna oleh Juwita, perlu dikawal selia dengan undang-undang yang kudus yang memberi hak sama dan hak rata kepada umat neo-Human. Hari ini, aku akan tabalkan Rukun Persekutuan Jajahan Neo-Kuala Lumpur!

Ahli falsafah dan ahli akademik yang berada disitu terus bangun dan bersedia untuk bersama-sama menabalkan Rukun Persekutuan. Hari ini hari bersejarah untuk mereka. Pujangga menyambung lagi;

Maka kita Rakyat Neo-Kuala Lumpur berpegang teguh kepada prinsip-prinsip sebagaimana yang telah termaktub, iaitu:

(i) Patuh kepada Tuan Pemerintah;

(ii) Meneruskan Kelestarian Ilmu;

(iii) Bersandar Pada Hukum-hakam neo-Kuala Lumpur

(iv) Perpaduan Sesama, dan

(v) Penolakan Mana-mana Unsur Ketuhanan.

Maka kita semua ini, adalah umat neo-Human

yang telah dipilih alam; terselamatkan!

Tuhan dinafikan mereka lebih empat puluh tahun yang lalu.