SANG PENGUASA - 10
Kini kita sudah sampai ke peringkat membahaskan seorang warga menjadi penguasa bukan melalui kekejaman, melainkan kerana didukung oleh rakyat. Pemerintahannya dikenali sebagai Kerajaan Rakyat. Pemerintahan ini dapat dicapai dengan dokongan keduadua belah pihak, iaitu rakyat dan golongan aristokrat. Setiap kota terdiri daripada dua kelompok yang berbeza ini. Rakyat tidak mahu diperintah dan ditindas oleh golongan aristokrat. Golongan aristokrat pula berhasrat untuk memerintah dan menindas rakyat. Daripada dua kelompok berbeza ini akan melahirkan salah satu daripada tiga bentuk pemerintahan, iaitu, kerajaan, autonomi ataupun anarki.

Kerajaan bangkit apabila rakyat ataupun aristokrat mengambil kesempatan untuk mendominasi. Apabila aristokrat tidak mampu melawan rakyat, mereka akan mengangkat salah seorang daripada rakyat untuk dijadikan pemimpin. Kemudian, pemimpin ini akan dipergunakan oleh aristokrat untuk mencapai matlamat mereka. Apabila rakyat tidak mampu melawan golongan aristokrat, mereka akan mengangkat salah seorang daripada golongan aristokrat untuk mempertahankan mereka daripada sebarang bentuk autoriti yang tidak menyenangkan.

Mereka yang mendapat kuasa melalui bantuan bangsawan sukar untuk mempertahankan kedudukannya berbanding dengan bantuan rakyat kerana bangsawan di sekitarnya menganggap mereka mempunyai kedudukan yang sama dengannya. Seterusnya, bangsawan ini sukar untuk dikawal dan diuruskan. Mereka yang bangkit menjadi penguasa melalui sokongan rakyat, akan dikelilingi oleh mereka yang sedia untuk taat. Sukar untuk memuaskan hati para bangsawan tanpa menyakiti orang lain, tetapi mudah untuk membantu rakyat. Hal ini kerana objektif rakyat lebih sejahtera dan adil, berbanding dengan bangsawan yang mahu menindas.

Suka untuk saya tambah bahawa penguasa tidak akan selamat apabila rakyat mula bermusuhan kerana mereka ramai. Berbeza halnya pula dengan bangsawan. Walaupun mereka bermusuhan dengan penguasa, penguasa tetap boleh selamat kerana jumlah mereka tidak ramai. Lebih teruk adalah apabila permusuhan rakyat dan bangsawan diabaikan. Bangsawan lebih ditakuti apabila diabaikan kerana mereka mampu membentuk konspirasi untuk menjatuhkan penguasa memandangkan mereka lebih arif dalam perihal kenegaraan dan politik. Penguasa dapat hidup dengan baik bersama rakyat sekiranya tiada bangsawan yang memandai-mandai mahu membina reputasi ataupun mengambil alih autoriti.

Maka, sama ada bangsawan perlu dibentuk supaya selari dengan pemerintahan penguasa, ataupun tidak dapat dibentuk sama sekali. Sekiranya mereka dapat dibentuk dan tidak serakah, bangsawan itu haruslah dihormati dan dicintai. Sebaliknya, mereka dapat dikawal dengan dua cara. Sekiranya bangsawan ini tidak dapat dibentuk kerana kelemahannya, maka penguasa perlu meminta bantuan daripada para kaunselor yang bagus untuk membentuk

Machiavelli Niccolo

mereka. Dengan itu, bangsawan ini akan menghormati penguasa pada waktu wilayah dalam keadaan aman dan mewah. Sebaliknya, tiada apa yang perlu ditakuti oleh penguasa daripada bangsawan sekiranya wilayah dalam keadaan lemah. Sekiranya bangsawan ini tidak dapat dibentuk kerana mereka mempunyai agenda tersendiri, maka penguasa perlu sentiasa dalam keadaan berwaspada. Penguasa perlu takut dan melayani mereka sebagai musuh. Pada waktu susah, bangsawan ini akan sentiasa mahu menjatuhkan penguasa.

Mereka yang menjadi penguasa melalui sokongan rakyat perlu menjaga hubungan dengan rakyat sebaiknya. Hal ini mudah kerana rakyat hanya mahu bebas daripada penindasan. Tetapi, mereka yang menjadi penguasa melalui sokongan bangsawan memerlukan juga sokongan daripada rakyat, di mana ianya mudah untuk dicapai apabila perlindungan rakyat diletak di bawah penguasa. Apabila rakyat menerima kebaikan daripada penguasa yang disangka zalim, mereka akan cenderung untuk menghormati penguasa. Malah, rakyat akan lebih mentaati penguasa tersebut sekiranya dia diangkat melalui sokongan mereka.

Penguasa mampu mendapatkan sokongan rakyat dengan pelbagai cara mengikut keadaan dan tidak memerlukan pendekatan khusus. Walau bagaimanapun, penguasa perlu bersahabat dengan rakyat, kalau tidak dia tidak akan pernah selamat pada waktu sukar.

Nabis, seorang penguasa dari Sparta, terselamat daripada kepungan pasukan tentera Greek dan Rom serta dapat mempertahankan negaranya. Dia hanya perlu mempertahankan dirinya daripada beberapa orang musuh. Ini mungkin tidak cukup sekiranya dia berhadapan dengan rakyat yang ramai. Hal ini benar walaupun orang selalu mengungkapkan kata-kata, Sesiapa yang membangun bersama rakyat sama seperti membangun bersama lumpur. Katakata itu mungkin benar apabila penguasa memujuk dirinya untuk bergantung pada rakyat supaya dapat menyelamatkan dirinya daripada ditindas oleh musuh ataupun kabinet menteri. Tetapi dia akan dapati dirinya ditipu seperti yang berlaku oleh Gracchi di Rom dan Messer Giorgio Scali di Florence.

Walau bagaimanapun, sekiranya penguasa merupakan seorang yang gagah dan sedia berkhidmat untuk kebaikan bersama, dia tidak akan mudah ditipu sekiranya bergantung pada rakyat serta dapat membina dasar yang baik.

Pemerintahan akan berada dalam keadaan bahaya apabila penguasa berubah daripada penguasa sivil kepada penguasa mutlak yang memerintah sendiri ataupun melalui majistret. Melalui majistret, kerajaannya lebih lemah dan tidak selamat kerana ia bergantung sepenuhnya pada majistret. Pada waktu sukar, badan-badan ini mudah menghancurkan negara dengan menentang dan tidak mentaati penguasa. Bagi penguasa, bukan mudah untuk merampas autoriti daripada majistret yang mutlak kerana telah menjadi tradisi rakyat menerima perintah daripada majistret. Apabila berlakunya konflik, mereka tidak akan menerima perintah daripada penguasa dan dia akan sentiasa diragui. Sangat sukar untuk penguasa menemui orang yang dipercayai pada waktu sukar. Penguasa ini tidak boleh bergantung pada apa pun pada waktu aman dan pada waktu rakyat memerlukan penguasa. Kemudian, rakyat akan sedia berkorban untuk negara. Tetapi apabila datangnya waktu sukar, sikit sekali yang tampil untuk berkorban. Ini sangat bahaya. Maka, penguasa perlu mencari jalan untuk memastikan rakyat sentiasa mahu bergantung pada negara dan dirinya sepanjang pemerintahan. Seterusnya, dia akan mendapat rakyat yang setia.