TRAVELOG FAGHUZI - 10
Bandung, Indonesia

To make a difference. Salah satu manfaat pendidikan adalah agar manusia dapat membedakan.

- Andrea Hirata

Kali ini kami bersarapan dengan seorang teman baru dari Malaysia. Khairul namanya tapi panggil Khai. Seorang pereka grafik dari Klang yang juga menetap di hostel ini. Pagi ini kami lebih banyak mendengar keluhannya rasa tertipu dengan gambar Hunny Hostel yang dipamerkan dalam laman web hostelworld.com. Rungutnya bertambah apabila hostel ini mendapat pengiktirafan hostel terbaik di Bandung dari laman web terbabit pada tahun 2011. Biasalah tu indah khabar dari rupa. Lagipun anugerah dimenanginya pun pada tahun 2011, sekarang ni dah akhir tahun 2013. Pada aku, OK saja dengan keadaan hostel pada waktu ini namun setiap orang memang berlainan citarasa.

Khai bercuti selama seminggu, mahu mengembara di Bandung dan Jakarta. Baru saja sampai waktu ini. Dia menyatakan rutinnya saban tahun untuk pergi mengembara seorang diri. Aku pun terfikir untuk mengembara secara solo. Haeri juga begitu. Orang kata mengembara secara solo membuatkan kau lebih dekat dengan budaya setempat. Paling utama kau bebas untuk melakukan apa saja. Tak payah fikir apa orang lain nak buat kalau ada yang mengikut. Mujur aku dan Haeri jenis layankan aje. Kalau Haeri nak buat sesuatu dan aku tak mahu maka akan dibiarkan saja Haeri melakukannya dan sebaliknya. Itu yang dipersetujui. Pada masa sama Khai menyatakan hasratnya ke

Bandung cuma satu. Ingin ke pasar karat mencari barangbarang terpakai. Khai pengumpul barangan antik. Banyak keyboard-keyboard zaman 80an dan 90an ditunjukkan melalui foto dalam smartphonenya. Instrumen muzik keyboard merupakan barang kegemarannya. Walaupun begitu, dia menyatakan dia tidaklah sebagus mana bermain keyboard tapi minatnya kepada alat muzik tersebut tidak dapat dibendung. Terfikir pula diri ini yang meminati muzik namun apakan daya, bakat bermain muzik itu tak sebagus mana walaupun abah aku sangat hebat bermain gitar. Diri ini boleh main biasa-biasa je. Lagipun aku minat punk rock. Main gitar pun hanya sekadar power-chord. Kalau dah power sikit bolehlah kot nak bermain secara harmoni dan melodi. Tapi, pada aku power-chord lebih sebati dengan identiti diri.

Lalu kami berlalu keluar dari premis hostel. Sempat juga kami menyapa tiga orang bule; dua orang wanita dan seorang lelaki yang bersarapan di meja makan ruang tamu hostel. Menurut Khai, Mas Johnny telah memberinya peta ke pasar karat terbabit dan juga angkutan berwarna apa yang perlu dinaikinya. Aku dan Haeri tiada apa perancangan hanya mengikut saja Khai. Kami pun menaiki angkutan di jalan utama.

Di dalam angkutan dipenuhi rakyat marhain Indonesia dan juga seorang budak lelaki berseragam sekolah. Gaya macam ponteng sekolah pun ada sebab waktu ini dah pukul 11 pagi. Ke dia bersekolah sesi petang Itu aku tak tahu. Fikir baik saja. Jalan sedikit sesak dan kami melewati sebuah stadium yang disyaki stadium kelab sepakbola atau bolasepak Persib Bandung. Teringat pula Mas Johnny tidak habis bercerita mengenai Safee Sali yang bermain dengan kelab Pelita Jaya. Boleh dikatakan nama Safee Sali sering menjadi sebutan rakyat Indonesia sekiranya kami bersembang mengenai bolasepak.

Sedang aku mengelamun, angkutan berhenti.

Bergegas Khai bangkit sambil menyatakan, Jom, brader tadi kata pasar tu dekat ngan stadium. Ni stadium. tibatiba suatu suara kedengaran, Kalau mau ke pasar turun di depan lagi. Selepas simpang kanan dan kemudian kiri. Jangan diturun ketika sedang macet ini, pakcik yang duduk di sebelah Haeri bersuara. Aku dan Haeri tergelak melihat gelagat Khai yang gocoh hendak turun walhal masih belum tiba ke lokasi. Khai tergelak dan duduk balik. Beberapa ketika kami tiba di tempat yang dituju namun cabaran seterusnya perlu dihadapi dengan menjalani beberapa lorong kecil mencari pasar karat terbabit. Berpandukan pertanyaan kepada warga tempatan, kami menyusuri setiap lorong. Tersesat, terus bertanya berulangkali dan akhirnya kami jumpa pasar yang dihajati. Kawasan pasar ini berada di sepanjang jalan dan ada yang bersambung sehingga ke satu kawasan padang yang luas. Sekali pandang macam pasar tani, tapi tengok lagi macam pasar karat juga. Tapi peduli apa, kami layankan saja. Kawasan pasar ini berdekatan dengan Telekom Indonesia.

Kami berjalan seiringan di sepanjang pasar tersebut. Terdapat juga orang menjual secara longgok barangan aksesori kereta terpakai. Kami berjalan lagi, ada sebuah model radio buruk menarik perhatian Haeri. Ada juga keyboard berjenama Yamaha yang membawa Khai ke situ. Aku pula, masih terus membelek. Ternampak kaset-kaset dan vinyl dari band-band tahun 80 dan 90an. Kaset dan vinyl dijual kebanyakannya adalah band tempatan manakala yang antarabangsa pula adalah artis-artis dan band-band arus perdana. Terselit juga kaset KRU di celahan koleksi jualan. Tak terjumpa kaset atau vinyl band punk rock tempatan. Tapi nak beli piring hitam pun bukan aku ada player. Takkan nak buat gantung dinding je.

Setelah penat meredah pasar karat, tiada apa pun kami beli. Sekadar membuang masa. Khai menyatakan tiada apa yang menarik minatnya manakala keyboard yang dilihatnya tadi tidak berfungsi dengan baik dan perlu banyak penambahbaikan sekiranya dibeli. Selepas itu, hujan mulai turun dan kami berteduh di sebuah gerai sambil pekena kopi jahe (halia) panas. Suasana hujan membuatkan kami berasa begitu asyik menghirup kopi jahe yang panas sambil merokok. Namun Khai tidak merokok. Bila dah minum halia ni, seperti biasalah terkentut-kentut atau sendawa kerana halia berfungsi sebagai ejen pembuang angin di dalam badan.

Siang hari ini hanya dipenuhi dengan aktiviti melilau dalam shopping complex yang banyak di Bandung. Memandangkan tak terasa hendak bershopping sakan maka kami pulang ke hostel apabila hari menjelang lewat petang. Sebenarnya banyak tempat menarik boleh dikunjungi di Bandung selain dari tempat membeli-belah. Boleh melawat ladang teh, pergi mandi air panas Maribaya atau Trans Studio yang dikatakan versi mini untuk Universal Studio, boleh juga pergi zoo dan tempat-tempat lain. Menurut rakanku yang pernah ke zoo di Bandung, konsepnya berbeza dari Malaysia di mana binatang di biarkan bebas dan pengunjung melihat gelagat mereka dari dalam kereta. Boleh beri makan melalui tingkap. Itu pun ikutlah binatang apa korang sedang tengok. Tapi aku dan Haeri kesuntukan masa kerana perancangan tidak rapi ditambah pula musim cuti akhir tahun sedang melanda seluruh Indonesia.

Dalam perjalanan pulang, hanya kami bertiga sahaja di dalam angkutan tersebut bersama supirnya. Haeri rancak bersembang dengan supir tersebut yang menceritakan tempat-tempat untuk mendapatkan cewek murah. Mendengar

Haeri seakan fasih berbahasa Indonesia membuatkan Khai terasa kagum. Khai kata agak sukar untuk dia berbahasa Indonesia. Dia hanya bercakap seperti orang Malaysia di sini. Katanya, malas dia nak pening-pening kepala belajar bahasa lain walaupun hampir serupa. Biasalah tu malas. Masing-masing punya kemalasan. Rasanya elok belajar sedikit mengenai bahasa dan budaya tempatan tempat kita hendak pergi. Mungkin itu akan memudahkan sedikit urusan sekiranya ada apa-apa berlaku.

Petang itu pula kami melepak tengok TV bersama seorang pekerja Mas Johnny dan juga anak Mas Johnny. Ketika ini sedang ditayangkan perlawanan separuh akhir bolasepak sukan SEA antara Malaysia dan Indonesia. Indonesia berjaya memenangi perlawanan tersebut. Selepas itu aku keluar merokok di depan premis hostel meninggalkan Haeri dan Khai di ruang tamu menonton televisyen. Sedang merokok, seorang pekerja Mas Johnny juga menemani aku merokok. Dihulurnya rokok tersebut kepada aku namun aku membalas dengan senyuman. Mas itu bernama Joko dan merupakan suku Batak. Dia berhijrah ke Bandung untuk menyiapkan rakaman album sulungnya. Mas Joko merupakan pemuzik yang malamnya bekerja bermain muzik di kelab malam yang berada selang satu blok dari hostel ini. Bandung merupakan syurga muzik di Indonesia. Menurutnya lagi, Bandung merupakan tempat di mana industri muzik tempatan berkembang pesat. Tidak kira muzik bawah tanah ataupun arus perdana. Burgerkill, Rocket Rockers, The Sigit, Mocca dan ramai lagi adalah artisan kelahiran Bandung ataupun menetap di Bandung. Lalu dia ke sini untuk mencuba nasib sebagai artis dengan memainkan lagu-lagu tradisional suku kaum Batak.

Sedang rancak berborak itu, Mas Johnny, Haeri dan Khai pun keluar turut serta bersama kami.

Kalau mau makan sate Malang yang enak, kalian bisa pergi ke waroenk (warung) berhampiran stasiun kereta di sana. Ramai orang Malaysia sudah ke sana, Mas Johnny bersuara mempromosikan warung sate Malang seakan dia mendapat komisyen apabila berjaya memujuk orang ke sana.

Bagus juga. Malam ini kami akan ke sana, balas Haeri sambil disahut dengan anggukan kepala yang serentak di kalangan kami.

Malam menjelang tiba, kami bertiga mengatur langkah ke gerai sate Malang yang disebutkan. Sempat juga kami bersembang dengan seorang warga Korea yang menetap di hostel terbabit. Dia baru tiba dari Jogjakarta. Bertanya juga serba-sedikit mengenai Jogjakarta dengan lelaki Korea itu. Dia memberitahu kalau hendak ke sana, duduklah di kawasan Jalan Malioboro. Kami menjemputnya untuk makan sekali namun ditolak kerana dia sudah berjanji dengan kawannya yang baru dikenali iaitu seorang warga tempatan. Begitu juga Mas Joko dan Mas Johnny. Pelawaan kami ditolak namun mereka tersenyum dan mengharapkan kami menikmati makan malam hari ini.

Dalam kesibukan kota dan dingin malam kami menyusuri lorong pejalan kaki bersebelahan jalan utama. Melintasi satu jambatan di mana ia melewati laluan keretapi di bawahnya. Kelihatan jelas grafiti-grafiti besar memenuhi ruang dinding di tepi laluan rel keretapi diterangi dengan lampu-lampu bangunan. Di depan sedikit ada sebuah restoran yang besar tapi gelap-gelita. Mungkin tutup kerana pergi bercuti. Berjalan mengikut apa yang disebut oleh Mas Johnny, namun tidak juga kesampaian. Terdapat juga sebuah gerai sate Malang di tepi jalan tidak jauh dari restoran gelap tadi. Kami mengesyaki itulah tempatnya kerana terdapat kain rentang besar yang disebut oleh Mas Johnny. Kain rentang tertulis sate Malang. Tanpa berfikir panjang kami masuk dan duduk di situ. Gerai itu hanya menempatkan dua meja sahaja dan peniaganya memasak sate di tepi. Tidak ubah seperti gerai cendol di sebuah hentian bas. Kami memesan sate perut, sate kambing dengan kuah tradisi Malang beserta sup yang aku lupa namanya.

Duduk di gerai tanpa orang dan hanya ditemani bunyian deruman enjin kenderaan lalu-lalang. Beberapa minit kemudian datang dua tiga orang pakcik berkopiah duduk di meja sebelah memesan sate sebaik saja makanan dan minuman kami sampai.

So, korang gerak Jogja besoklah ni Pukul bape tanya Khai kepada kami berdua.

Awal doh! Nom... nom... Pukul 7 pagi. Nom... Nom... aku membalas sambil mengunyah sate. Awal sangat tu. Boleh bangun ke Hehe. Esok pagi tak jumpalah korang, aku mesti tidur punya. Hehe. Khai bertanya lagi sambil tangan kami bertiga sibuk mencapai sate yang terhidang. Sedap juga rasanya.

Boleh kot. Nom... nom.... Sejak first time sampai sini.. Nom... nom... senang pulak nak bangun pagi. Nom... nom... aku menambah dan mengunyah.

Aku rasa sebab kat dalam suasana asing kot. Sebelum ni kita asyik ngadap mende sama je hari-hari. Slurrppp... ujar Haeri menyambung perbualan sambil menghirup sup. Benar juga kata Haeri. Suasana kota di sini lebih kurang seperti di Malaysia. Namun satu perasaan asing tetap wujud dan mungkin ini menyebabkan aku senang bangun untuk menikmati suasana yang berlainan dari kehidupan seharian.

Usai menjamu selera, kami keluar berjalan-jalan di malam hari. Kami mengelilingi sekitar kawasan berhampiran dengan hostel. Ternampak pula kedai bakso. Kami pun menyinggah.

Woi, banyak makan korang ni! jerit Khai sebaik saja kami melabuhkan punggung ke kerusi di kedai bakso. Hehe. Entahlah, sejak kitorang sampai sini asyik makan je. Haha. Haeri berseloroh dan aku tersengih. Menu ditenung. Terdapat pelbagai jenis bakso. Baru aku tahu bakso ada pelbagai jenis. Ada bakso sapi (lembu), bakso ayam, bakso cumi-cumi, bakso ikan, bakso keju, bakso urat dan bermacam lagi. Aku memilih bakso cumi-cumi dan ketika ditanya apa itu cumi-cumi, rupanya sotong. Comel bunyinya. Manakala Haeri memesan bakso keju. Khai hanya memesan minuman saja kerana masih kekenyangan. Bakso yang dipesan kini berada di atas meja. Kami lahap seperti lama tak makan walaupun baru saja makan sate Malang. Baksonya banyak dan besar-besar tak macam di Malaysia yang mana kebanyakan baksonya kecil saja. Sebaik saja bakso memasuki mulut kami, terasa begitu enak sekali. Rasa lemak-lemak manis melekat dalam mulut dan membuatkan mata aku dan Haeri tertutup ketika mengunyah bakso. Terus terasa bakso di Malaysia tidak boleh menandingi bakso di sini. Memang gurih! Lazat! Bapak sedap bakso kat sini, tak macam kat Malaysia! Ko nak rasa tak aku berseloroh memandang Khai sambil mulut masih bersisa bakso yang belum habis dikunyah. Selorohan aku didengari oleh makcik menjaga bakso lalu dia tersenyum melihat gelagat kami. Khai pun mencuba sebiji bakso.

Hmmm... betullah! Bapak sedap! Bakso kat sini rasa lain macamlah! Khai juga terjerit sebaik mengunyah bakso.

Pastilah sedap di sini berbanding di Malaysia. Indonesia ini tempat aslinya bakso, makcik menjaga bakso itu menyampuk lalu disambut gelak tawa pelanggan bakso yang lain. Kami duduk tersengih saja memandangkan kami seperti rusa masuk kampung ketika mencuba bakso ini.

Usai melahap bakso kami pulang ke hostel. Sebaik membuka pintu hostel terus saja kami bersuara. Waduh mas, enak sekali sate Malang yang kami makan tadi. Mas Johnny dan Mas Joko terlopong mendengar keterangan kami. Kami pula membuat muka kehairanan dengan reaksi mereka.

Waduh, sate Malang mana kamu coba ini balas Mas Johnny pelik. Kami pun bertambah pelik dengan kelakuan pelik Mas Johnny dan memandang sesama sendiri antara kami bertiga.

Maaf ya, sebaik saja kalian keluar dari sini, saya baru saja tau waroenk yang saya bilang tadi itu udah tutup. Mereka pergi berlibur sampei hujung tahun. Mendengar penjelasan Mas Johnny membuatkan kami terfikir bahawa gerai sate Malang yang kami pergi tadi bukanlah gerai yang dimaksudkan. Maknanya kami pergi ke salah tempat. Tergelak juga kami bertiga sebaik menyedari perkara itu.

Hahaha... Waroenk mana aja kamu pergi ini. Waroeng yang saya maksudkan itu benar-benar berada di sebelah kanan selepas melintasi jambatan di mana punya banyak contengan di dinding, balas Mas Johnny. Nampaknya restoran gelap kami lalui itulah tempat yang dimaksudkan.

Waduh-waduh, udah silap tempat gamaknya.

Hahahaha! Haeri pula berseloroh.

Enggak apa, bisa coba lain kali. Bila berkesempatan kami akan ke mari lagi. Haha! aku pula menyambung perbualan. Khai sudah menumbuk-numbuk dinding memikirkan betapa konfidennya kami bercerita mengenai keenakan sate Malang tadi kepada Mas Johnny tapi sebenarnya salah tempat.