AURA KEJIRANAN - 10
Hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Kita tidak akan dapat hidup bersendirian kerana kita memerlukan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat yang antaranya diperoleh melalui kehidupan berjiran.

Dari itu agama Islam sangat menitikberatkan agar umatnya sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan jiran tetangga kerana jiran merupakan orang yang utama diberikan perhatian dan

dimuliakan, sebagaimana hadis Rasulullah s,a.w maksudnya:

Dari Abu Hurairah r.a, dari Baginda s.a.w bersabda: Siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya. (Riwayat Muslim).

Firman Allah yang bermaksud:

Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia dari pada mereka di hari Kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki Nya tanpa batas. (Surah Al Baqarah: 212)

Bimbingan Allah terhadap umatnya adalah bimbingan untuk membangun Umat Muhammad yang memiliki tahap kualiti Khairu Ummah (Umat terbaik) yang ditampilkan Allah untuk seluruh manusia di tengah panggung peradaban sejarah Dunia. Khairu ummah ini ada di mana-mana namun mereka terikat dalam kesatuan iman dan amal soleh.

Umat Muhammad di setiap generasi tetap merupakan Umat pilihan, ummatan washatan (adil dan menengah) dibandingkan dengan selain mereka. Umat ini paling unggul dilihat dari tiga sisi,

Pertama, Aqidah iaitu iman dan takwa yang menjadi asas dari kejiwaan dan hati mereka.

Kedua, Amar makruf nahi mungkar iaitu kebiasaan mereka menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran.

Ketiga, Akhlaqul Karimah, keperibadian mulia yang menghias peribadi, keluarga dan masyarakatnya

Meskipun benar bahawa Umat sekarang jauh berkurang kualitinya dibandingkan Umat terdahulu ditinjau dari nilai khairu ummah ini, namun di sisi Allah mereka tetap unggul dari umat mana pun yang ada pada zaman ini. Allah senantiasa menyayangi umat ini kerana ketaatan dan Ke satu paduan mereka dalam perjuangan amar makruf nahi mungkar,

Islam menghendaki setiap anggota masyarakat supaya berbuat baik kepada jiran. Mengeratkan hubungan dengan jiran adalah sangat penting kerana jiran umpama saudara yang dekat dan berada di kedudukan yang paling mudah untuk memberi atau meminta bantuan, apatah lagi dengan adanya kemesraan dan sikap saling mengambil tahu, ia dapat menjadikan kehidupan bermasyarakat itu lebih harmoni dan jauh dari persengketaan dan permusuhan.

Dalam konteks menjaga hubungan silaturahim sesama jiran, janganlah sekali-kali menyakiti hati mereka, baik dengan perkataan mahupun perbuatan dan tingkah laku yang boleh menyinggung perasaan. Ini termasuklah dalam perkara menjaga kebersihan di kawasan tempat kita tinggal atau kawasan jiran yang tinggal berdekatan dengan kita, antaranya seperti tidak membiarkan sampah bersepah apatah lagi hingga mengeluarkan bau yang busuk dan tidak menyenangkan.

Bagi menjaga hati dan ketenteraman hidup berjiran, kita hendaklah sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur seperti memberi laluan jalan kepada mereka, tidak membiarkan binatang peliharaan berkeliaran, apatah lagi sehingga memasuki kawasan jiran dan membuat kotor atau merosakkan tanaman atau harta benda jiran, dan termasuklah juga berbuat bising yang melampau lebihlebih lagi sehingga larut malam seperti berkaraoke, memainkan alatalat muzik ketika mengadakan pesta atau acara-acara perkahwinan, memainkan muzik yang kuat dari kenderaan dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w ada bersabda dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a, Baginda bersabda:

Tidak akan masuk syurga siapa yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman dari gangguannya.

Terdapat sebuah kisah di mana datang seorang lelaki kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam seraya berkata:

Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepada ku kepada suatu pekerjaan yang kalau aku kerjakan, nescaya kerananya aku akan dapat memasuki syurga, maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menjawab, Berbuat baiklah kepada manusia! Lelaki itu bertanya lagi: Bagaimana aku tahu yang aku sudah berbuat baik kepada orang lain Jawab Rasulullah seterusnya:

Tanyakanlah hal itu kepada jiran tetangga mu, maka jika mereka katakan engkau orang yang baik, maka engkau adalah baik dan jika mereka mengatakan engkau orang jahat, maka engkau adalah jahat. (Hadis Riwayat Al-Imam Al-Baihaqi).

Dari itu dapat kita katakan betapa pandangan dan pendapat seorang jiran terhadap kita akan memberi kesan kepada balasan yang akan kita terima di akhirat kelak. Kerana itu untuk menjadi jiran yang baik, kita hendaklah bersikap prihatin, saling bekerjasama dan hormat-menghormati, sedia menghulurkan bantuan dan sebagainya. Dengan amalan sedemikian akan terjalinlah ikatan kasih mesra dan mahabbah yang seterusnya dapat menguatkan hubungan silaturahim dan perpaduan sesama kita.

Selain itu, kita hendaklah menjaga pandangan mata kita, sebagai contoh, jika jiran kita dari golongan yang kurang berkemampuan, janganlah memandang dengan pandangan yang rendah, sinis dan sebagainya. Dan jika mereka itu pula dari golongan yang lebih berkemampuan dan berada, hindarilah dari perasaan iri hati, dengki dan tidak berpuas hati. Ketahuilah bahawa sesungguhnya segala nikmat dan rezeki yang kita miliki di dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata dan semua itu adalah milik Allah Subhanahu Wa taala jua.

Sesungguhnya untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga itu tidaklah terlalu sukar. Apa yang penting adalah kita hendaklah bersifat sabar, pemaaf dan mengamalkan budi pekerti yang mulia, jika semua ini diamalkan dalam kehidupan berjiran, insya-Allah, kita akan dapat mengecapi nikmat kehidupan yang aman tenteram, bahagia dan bersatu padu.

Firman Allah s.w.t Surah An Nisa :36, bermaksud:

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua: Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh , ibnu sabil dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. (surah an nisa:36)

Hati itu adalah tempat rahsia dan bibir itu kuncinya sementara lidah adalah anak kuncinya. Oleh itu hendaklah setiap orang menjaga anak kunci rahsianya.