SIDANG SERANGGA - 10
LABAH-LABAH bara A dan B (LLB A dan B yang merayau di sekeliling Hospital Lady Templer, sesudah merakamkan perbualan di antara JP daripada PJ dan Muttu dari Sentul, telah bersua dengan seorang perempuan yang sedang terbaring sendirian dalam sebuah bilik yang jauh dari pintu besi besar hospital itu. Entah apakah penyakit yang dihidapi olehnya maka dia diasingkan jauh daripada pesakit-pesakit yang lain.

Kesian sungguh saya melihatnya; tidak ada sesiapa yang melawat dia, dan dia mengomel-gomel seorang diri, sekejap terlentang sekejap mengereng, dan kadang-kadang meniarap, kata LLB A kepada rakannya.

Sakit tua agaknya, meneka LLB B.

Tapi kalau sakit tua kenapa tinggal di hospital Lazimnya seorang tua dipelihara di rumah oleh anak cucu dan saudara-maranya. Dia belum sangat tua; semua giginya belum tanggal, kedua-dua belah matanya masih bersinar-sinar, dan lihatlah barangbarang kemas yang dipakainya: gelangnya ada sepuluh urat, cincin di jarinya ada empat bentuk, dan di kaki kirinya ada seutas rantai emas. Ada gayanya dia tu dari keluarga yang kaya. Awak fikir macam mana

Ahaa, dengarlah tu dia bersungut, dia merengek dan membebel. Rentanglah talian awak itu; kita mesti rakamkan apa-apa yang ditangisinya. Dengarlah itu dia teresak-esak menangis

Waktu itu hampir senjakala. Perempuan yang kesunyian itu berkata sambil menangis. Sampai hati Man meninggalkan eden. Dulu maso kito mudo, kito kahwin suko samo suko, kito bekerjo bersungguhsungguh mencari dan mengumpul harto, hinggo dapek gelaran datuk dan tidak lamo lagi barangkali kau akan dapek gelaran tan sri, kau tinggalkan eden, kau kahwin pulo dengan wanita mudo yang jelito dan kau simpan pulo Cikgu Latifah, kau berikan banyak wang kau padonyo sampai dio pakai duo kereto, kau belikan pulo sebuah rumah banglo, kau tinggalkan eden sebatang karah. Eden sumpah kau, biar copek-copek mampus.

Bunyi cakapnya dia tu orang Negeri Sembilan. Jangan-jangan dia itu ditimpa oleh Gema Gemenceh. Siapalah tahu Yang disebutnya Man itu nama penuhnya Osman atau Othman, ataupun Kamaruzzaman Ah, dunia zaman sekarang, macam-macam boleh berlaku. Agaknya inilah yang dinamakan Sakit Jiwa Lara. Kalau dia menghidap penyakit itu kenapa dia tidak dirawat di pusat sakit jiwa atau Neorologi Centre di Hospital Besar sana

The Wrath Of a Women, melatah LLB A dalam bahasa Inggeris.

Eden sumpah kau biar mampus dilanggar lori gadang, atau terhumban masuk gaung kereto mersides 350 kau tu, masuk gaung tengah jalan di Gonting Helan tu, kata lagi wanita terbiar itu, merepek-repek lagi. Sejurus kemudian dia terlena kerana keletihan agaknya, hingga datang seorang pekerja berpakaian serba putih membawa makanan baginya.

Bulan purnama malam itu terang-benderang cahayanya, berseri-seri sinarannya dari celah-celah pepohon di bukit hospital itu.

Hari-hari makanan serupo; ayam, ikan, sayur kubis, tomato, ubi kentang dan sup cair. Kalau adolah saudaro-maro yang membawo sayur pucuk tangki, gulai keladi, sambal tempoyak dan ulam petai alangkah sodapnyo, kata wanita seorang diri di bilik wad kelas satu itu.

LBB A dan B berbisik-bisik: Sahlah perempuan itu berasal dari Negeri Sembilan, tetapi dari daerah mana Jelebukah Kuala Pilah, Padang Lebar atau Tanjung Ipoh Suaranya, pelat bahasanya, sayur, sambal dan ulam yang digemarinya membuktikan bahawa dia itu orang Negeri Sembilan. Tetapi kalau dia berasal dari Rembau, apakah nama Datuk Lembaganya Suaminya sahlah bernama Osman atau Othman yang bergelar Datuk, ujar LBB A.

Orang perempuan memang banyak masalahnya, lebih-lebih lagi bila ia sudah berusia lebih lima puluh tahun, dah dekat-dekat enam puluh tahun, dah tak datang haid. Dia mulalah takut tua, takut tak akan dilayani lelaki. Kecualilah kalau dia ramai anak cucu, atau saudara-mara. Bila terlalu takut kepada tua, bukan kepada mati, maka suka sangatlah dia bersolek-solek, memakai barang kemas yang melampau banyak. Tengoklah tu rantai kakinya tu; ada loceng kecik, berdering-dering bunyinya, kata pula LLB B.

Dah meratap pula dia tu. Pilu sangat bunyi suaranya, hiba dan sedih, bercampur rawan. Apa tidak sedihnya Kita kaum labah-labah, seperti halnya dengan buaya, udang dan ketam, bersalin kulit setahun sekali, dan itulah sebabnya kita boleh hidup lama, sampai seratus tahun lebih. Tetapi manusia, istimewa dalam zaman sains dan teknologi sekarang ini, mudah menghidap berbagai-bagai penyakit yang menyebabkan mereka mati cepat.

Janganlah awak bersyarah kepada saya. Memang saya tahu awak punya bahasa Melayu yang sangat bagus, mengerti kata-kata sedih, hiba, pilu dan rawan. Anak-anak Melayu zaman sekarang ramai yang tak tahu makna dan maksud kata-kata itu, bergurau LBB A.

I can speak English quite well. too, as well as a few words of Japanese and French. bermegah LBB B.

Saya pandai cakap Arab, sebab saya telah di lahir dan dibesarkan di rumah keluarga Arab. Serangga jenis kita ini mereka namakan angkabut. Dalam Quran ada kisah angkabut. Tetapi sekarang saya terasa malu pandai cakap Arab, sebab bangsa Arab sekarang berpecah belah, kurang bersatu padu seperti bangsa Iran. Ahaa, dengarlah lagi ratapan wanita dari Negeri Sembilan itu.

Sampai hatilah kau, Man, Datuk Othman, Datuk Seman Suud. Bilo eden dah tuo, kau tinggalkan eden, kau nikah wanita cantik, bekas ratu cantik yang pandai menyanyi. Kau bagi dio duit banyakbanyak. Kau bawak dio makan angin ke Bangkok ke Bali ke Hong Kong, Tokyo, Hawaii dan lain-lain. Kau dah jual rumah bosa milik kito berduo. Kau pengelat, penipu. Baiklah kau; bilo eden sembuh penyakit eden ini kelak, eden minta cerai talak tigo; eden akan nikah dengan jantan mudo. Eden masih ado banyak duit. Ingat tak duit kau dapat hampir-hampir satu juta ringgit daripada jualan hutan balak di Jolobu dulu Kau beri eden seratus ribu ringgit. Eden simpan duit itu dalam bank, dalam akaun simpanan tetap. Duit itu belum luak malahan dengan bungo-bungonya sudah berjumlah hampir dua ratus ribu. Nantilah eden tayangkan laki mudo eden tu pada kau, depan mato kau. Rasolah kau nanti betapo podihnya hati dan perasaan kau.

Zaman ini Man, ada duit serba jadi. Eden masih jadi orang kuat parti. Rahmat Satiman boleh bayar duit loyar sebanyak tujuh puluh limo ribu ringgit. Eden akan tuntut harto bahagian eden. Kau penipu, Man, penipu gadang. Eden boleh upah loyar. Nantilah kau. Lamo mano kau nak idup. Bini mudo kau tu berkehendak dengan jantan-jantan mudo kau tak tau. Kau memang tak tau malu.. . .

Wah, wahh, sampai mencarut-carut pulak perempuan itu, sampai menyebut-nyebut kemaluan suaminya pernah menanah, bengkaklah, pendeklah, kata LLB A

Sampai begitu sekali murkanya seorang perempuan yang dimadukan. Ini sudah jadi kes Tampoi, atau Tanjung Rambutan, ujar lagi LLB A yang mengerti bahasa Arab

Tetapi dalam repek dan ratapannya itu ada sesuatu yang boleh kita pelajari, iaitu bagaimanakah dia boleh bayar upah loyar atau peguam begitu banyak Dan di negeri Pahang sana ada satu lagi kisah yang tak kurang peliknya. Bagaimanakah seorang tukang kebun bagi seorang bekas menteri besar boleh mewah hidupnya, boleh pakai kereta, punya pakaian-pakaian moden yang mahal Malangnya, dia sudah miskin semula. Begitu juga halnya seorang yang terkenal dengan gelaran Jeneral Bilat. Sutsutnya dia terpaksa masuk tanah rancangan dalam Jengka Tiga Segi. Pendeknya, kerja macam kita ini boleh mengetahui macam-macam rahsia hidup manusia zaman moden. Ingin pula saya nak tahu apa-apakah yang telah dirakamkan oleh kawankawan kita yang bertugas di Maktab Ilmu Khas, di Sekolah Menengah Alam Shah dan di Bandar Tun Razak, dan juga kawan-kawan kita yang bertugas di Genting Highlands.

Mereka itu belum sampai lagi ke Puncak Kasino itu, kata LBB A. Tetapi mengikut laporan-laporan akhbar tempatan dua orang Islam telah didapati berjudi di sana. Seorang daripadanya ialah wanita Melayu dari Kampung Balak, dekat Bandar Kajang, tambahnya.

Kalau boleh saya nak memohon pada boss kita, Profesor Doktor Mentadak Mentadu, supaya boleh pergi ke Terengganu dan Kelantan. Mesti ada banyak kes yang luar biasa di sana. Misalnya, kes penyelia agama yang telah dihukum denda $900.00 kerana cuba bersetubuh dengan seorang isteri orang lain dan kisah seorang mata-mata yang didapati bercumbu-cumbu dengan seorang gadis berusia 14 tahun, baru dalam tingkatan dua, di sebuah Sekolah

Menengah di Bandar Tanah Merah.