Iaitu berjualan di ekspo, bazar dan apa saja jenis pasar malam.
Mengapa aku pilih pasar begini Kerana aku perlukan lebih banyak pendedahan dalam aktiviti menjual. Untuk menjadi seorang ahli perniagaan pada masa depan, aku mesti faham tentang penjualan. Bukan itu sahaja, aku juga mesti tahu cara-cara menjual, menarik perhatian pembeli, berkomunikasi dengan pembeli dan mendengar masalah mereka.
Melalui cara ini sahaja, aku akan menjadi lebih berani dan lebih cepat belajar. Kau bayangkan jika sehari kau terpacak di pasar malam, berapa ribu manusia yang lalu lalang di hadapan kau Apakah kau hanya mahu membatu dan membisu sahaja di situ
Aku nekad untuk mencari peluang dan terus bertindak. Seorang kawan memperkenalkan aku kepada seorang peniaga kain dan baju, aku panggil beliau Abang Dolah. Beliau berasal dari Kemboja, datang hijrah ke Malaysia pada tahun 80-an lagi. Pada waktu aku menghubungi beliau untuk berjumpa, beliau sedang sibuk menguruskan jualan di Parit Buntar. Abang Dolah minta aku datang ke rumahnya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh. Sampai hari yang ditetapkan, aku amat terkejut sebaik saja sampai di hadapan rumahnya.
Kau bayangkan, sudahlah susah hendak cari, selepas puas melalui jalan-jalan kampung barulah aku nampak deretan rumah-rumah kayu yang biasa-biasa sahaja. Di kawasan itu, penuh dengan van-van pasar malam berwarna putih. Dan penghuni di kawasan itu nampaknya begitu sibuk sekali dengan urusan masing-masing. Ada yang memunggah barang dari guni, ada pula yang sedang menyusun pelbagai jenis pakaian. Semuanya pakaian wanita dan kanak-kanak.
Aku semakin bersemangat mahu mengenali Abang Dolah.
Jemputlah masuk Ikram, rumah abang biasa-biasa saja. Bersepah sikit, pelawa beliau sambil menghampar tikar mengkuang.
Tiada sofa, tiada karpet. Benda yang aku nampak di dalam rumahnya, cuma susunan guni yang penuh dengan barang jualan dan sebuah meja tv.
Ikram mahu berniaga apa, tanya beliau.
Tak tahu lagi bang. Saya ingat nak belajar-belajar berniaga di pasar malam. Apapun boleh asalkan saya boleh menjual. Saya ada (Perodua) Kancil dan boleh ke pasar malam seorang diri, balas aku dengan penuh yakin.
Abang Dolah mula keluarkan beberapa barang dan meletakkannya di hadapan aku. Beliau menerangkan satu persatu tentang barang yang boleh dijual.
Ikram, kalau nak senang menjual, kita mesti kena jual barang orang perempuan dan budak-budak. Abang memang menjual baju kurung, tudung, telekung, jubah dan pakaian budak. Abang ada sepuluh van pasar malam. Setiap van ada dua orang budak abang yang akan jaga dan bawa menjual di pasar malam. Kadang-kadang abang ikut juga ke pasar malam berniaga dengan diorang.
Setiap van abang berikan duit belanja sebanyak RM200. Mereka mesti kena habiskan barang jualan dalam masa seminggu. Kalau tak habis, mereka tak boleh balik ke sini. Mesti habis baru balik. Abang bagi mereka gaji hari dan upah ekstra apabila semua barang habis. Mereka semua ini anak buah abang dari Kemboja dan Vietnam. Maaf cakap Ikram, orang Melayu kita susah nak buat benda ini. Penat dan payah. Budak-budak kita mahu kerja-kerja senang saja! Sekali lagi aku kena sekolah.
Aku hanya diam, mendengar dengan penuh khusyuk butir tutur yang beliau sampaikan. Aku memang betul-betul serius hendak belajar cara berniaga begini. Aku memang suka. Dan akhirnya di sinilah permulaan aku berniaga di pasar terbuka. Abang Dolah bawa aku mengikut beliau berniaga di pasar malam sekitar Lembah Klang, Pasar Panas di Jengka Pahang, pasar Lambak di Ulu Tiram Johor dan pelbagai lokasi lagi. Aku lihat dengan mata kepala sendiri bagaimana beg duit beliau (beg silang) yang biasanya dipakai oleh orang berniaga pasar malam itu penuh dengan wang! Setiap kali membuka jualan, lebih-lebih lagi pada waktu orang sudah gaji. Bagai nak gila aku menyaksikan akak-akak dan makcik-makcik memilih kain baju.
Aku mula belajar cara menyusun rak barang, menyusun khemah, barang biar nampak banyak dan menarik, memasang lampu pasar malam dan seni menjual kepada orang perempuan. Rupa-rupanya orang perempuan ini, mereka mahu beli apa sahaja fesyen atau corak yang baharu. Mereka akan membeli dan terus membeli asalkan harganya murah dan berpatutan. Abang Dolah ajar aku bagaimana untuk upsell pelanggan yang beli baju kurung supaya mereka turut membeli tudung. Rupa-rupanya kita sebagai penjual juga kena pandai tentang warna. Orang perempuan mahu warna setiap pakaiannya matching! Apabila kau faham ilmu ini, amatlah mudah untuk kau membuat jualan demi jualan.
Dipendekkan cerita, selepas beberapa bulan mengenali dan mengikut Abang Dolah, aku mendapat kepercayaan beliau untuk mengambil stok secara kredit. Aku mesti ambil dan buat bayaran dalam masa sepuluh hari selepas menerima barang. Dan aku amatlah bersyukur diberi kepercayaan oleh beliau. Aku memang tak malu untuk mengaku yang aku banyak belajar daripada orang Kemboja ini. Hasil daripada jualan ini juga aku mampu beli sebuah van Hiace secara tunai untuk buat berniaga. Sehinggalah ke saat ini, aku masih lagi meneruskan perniagaan pakaian tetapi tidak lagi bermain di pasar malam tetapi menjadi pengimport dan pembekal pula.
Terima kasih Abang Dolah!