TORA DATANG LAGI - 101
Selain bermain Super Contra, bermain air merupakan antara aktiviti lasak yang sangat dirai oleh semua kanakkanak. Tanpa pernah mempedulikan apakah sumber air tersebut, kanak-kanak akan teruja setiap kali terpandangkan kumpulan-kumpulan air.

Di antara sumber-sumber air yang digunakan kanak-kanak untuk bermain adalah sungai, tali air, parit, banjir dan laut. Sungai berada di tempat pertama sumber air yang paling digemari sekali untuk bermain. Ini mungkin kerana faktor keluasan, air mengalir, mempunyai air terjun, teduh dari sinaran matahari dan juga kedudukan yang jauh dari penempatan manusia. Antara permainan yang dapat dimainkan di sungai adalah: Lumba berenang ke tebing

Menyelam paling lama

Baling batu yang disusun meninggi

Terjunan paling lawa atau tinggi

Jentik air keluar bunyi plop!

Baling batu supaya melantun di atas permukaan air

Bergayut pada tayar yang diikat pada tali

Mencari batu tenggelam

Susun batu berdiri

Berperang menggunakan percikan air

Sebenarnya banyak lagi permainan jika hendak disenaraikan semua. Percaya atau tidak, banyaknya permainan yang boleh dimainkan di sungai sehinggakan setiap kanak-kanak boleh berada di sungai dari awal pagi sehinggalah senja. Kalau tak pasal sungai tiada tiang lampu dan cerita hantu air keluar pada waktu Maghrib, mungkin boleh bertahan lagi sampai pukul 11 malam.