RUANG pejabat dihimpit sunyi. Lazim tidak pasti siapa yang patut ditemui. Sekejap dia ke sana, kemudian berjalan laju ke hujung pula. Siapa sahaja yang dicarinya, tidak dia pasti. Khalaik dalam pejabat itu memandangnya penuh hairan.
Ini kali pertama Lazim menikmati dingin pejabat. Nyaman sungguh udaranya. Padanlah orang kita suka bekerja dalam pejabat, bisiknya mengata.
Dia perasan banyak pasang mata memandangnya. Dia berpura-pura sudah membuat temu janji dengan pegawai berjawatan tinggi. Dengan gaya korporat yang dibuat-buat, langkah dan tarinya tertib dijaga.
Maaf, encik ini sedang mencari siapa sapa seorang kerani perempuan yang sedang lalu-lalang.
Saya cari....
Telefon bimbit Lazim tiba-tiba berdering.
Sepantas kilat ditekannya butang hijau.
Ya, Datuk. Datuk sudah di bawah Ya, saya datang sekarang.
Kerani tadi senyum. Berasa sudah mendapat jawapan kepada soalannya tadi.
Tak ada apa-apa, puan. Saya minta diri dulu. Terima kasih.
Lazim terus beredar meninggalkan kerani itu yang masih tercengang. Luas bukaan mulut perempuan itu.
Aduh, hampir-hampir saja tadi! Datuk Murad pun satu, saat-saat genting macam ni baru nak telefon. Lazim membebel sepanjang berada di dalam lif. Selagi tidak sampai di aras paling bawah, selagi itu dia berleter.
Debar, tidak keruan. Jantung Lazim berdegup-degap. Dia kini sedang menyusun ayat satu per satu untuk jawapan kepada soalan yang belum pun ditanya. Dia sangat yakin Datuk Murad tetap akan bertanya.
Langkahnya semakin hampir di parkir. Dia dapat melihat dari jauh Datuk Murad sedang berteduh di bawah pokok palma yang menjadi landskap sekitar kawasan bangunan pentadbiran itu.
Ingatannya langsung menangkap suara Datuk Murad dalam telefon tadi. Tinggi nadanya. Barangkali orang tua itu geram kerana terpaksa menunggu lama.
Jiwa Lazim berculang-caling dek ketakutan yang melampau. Ayat-ayat manis yang telah disusun pun bisa bercempera jika disergah bengis wajah majikannya itu.
Kamu ke mana, Lazim
Belum pun sempat Lazim menyapa, Datuk Murad lebih pantas menerpa. Lazim menelan air liur.
Maafkan saya, Datuk, ujar Lazim pantas meminta maaf. Tidak dihiraukan soalan Datuk Murad. Bukan niatnya untuk memulaukan pertanyaan itu. Cuma ketika ini dia sukar untuk mencerna jawapan.
Kamu tahu tak, saya dah menunggu lama di sini. Dengan berpanasnya lagi. Nasib baik ada pokok ni untuk berlindung, leter Datuk Murad.
Ya, Datuk. Saya betul-betul minta maaf.
Senang saja kamu minta maaf. Saya nak cepat sebenarnya. Tapi kamu dah buang masa saya.
Nafas Lazim melaju. Wajahnya mendung bukat. Dia tertunduk sambil hatinya menyalahkan diri sendiri.
Tak apalah. Kamu ke mana sebenarnya Ton suara Datuk Murad merudum. Termakan helah wajah Lazim mungkin.
Lazim masih membatu. Mencari akal untuk menipu.
Sebenarnya, saya cari Datuk di atas. Lazim berbohong.
Hah Cari saya Untuk apa
Fasal ... anak Datuk telefon tadi. Ha ... Sebab itu saya sibuk mencari Datuk di atas, tergaguk-gaguk balasnya.
Selama ni tak pernah-pernah pun kamu naik cari saya. Pelik. Kenapa dia telefon Penting sangatkah sampai tak menyempat nak tunggu saya datang tanya Datuk Murad hairan.
Dia kata ada kelas tambahan. Lewat sedikit balik hari ini. Lazim memberitahu perkara yang tidak penting untuk diceritakan.
Datuk Murad hairan. Tiada apa pun yang penting kalau hal itu yang dimaksudkan pemandunya.
Macam-macamlah kamu ni. Sudah. Saya dah lewat. Hantar saya ke Institut Integriti Malaysia. Saya kena rasmikan suatu majlis di sana.
Datuk Murad terus masuk ke dalam perut kereta tanpa bantuan Lazim. Dia syak akan sesuatu. Tetapi, tidak mahu menyesakkan fikiran kerana ada tugas penting yang perlu diselesaikan.
Lazim melopong melihat tindakan bosnya. Matanya disepetkan. Pancaran matahari sedikit menyilaukan pandangan. Tugasnya dimulakan
sedang hatinya masih menyeranah kerana melepaskan peluang keemasan tadi.
DI pejabat JHEOA, Cikgu Isa sedang duduk di bilik menunggu. Jam di tangan kirinya diteliti.
Cikgu Isa mengeluh. Dalam perancangan asal, dia sepatutnya singgah di hospital petang ini. Akibat tertangguh banyak kerja di sekolah, dia kesuntukan masa. Untuk ke pejabat ini sahaja dia sudah lewat, apatah lagi ke hospital nanti.
Sakit-sakitnya tampak mereda. Ubat yang hilang itu tidak mengapa jika tidak dipedulikan untuk masa beberapa hari. Besok akan diambil yang baharu.
Pagi tadi Cikgu Omar menasihatinya supaya terus ke pejabat ini. Awalnya dia tidak mahu kerana bimbang terlalu mendesak pegawai berkenaan. Selepas memikirkan sudah sebulan masih tidak mendapat balasan e-mel daripada mereka, Cikgu Isa tidak terbata-bata untuk bersemuka.
Matanya melilau ke serata dinding. Ada potret orang-orang penting negara. Namun, wajah-wajah mereka langsung tidak membantu melenyapkan debarnya. Kakinya gesit digoyanggoyangkan.
Encik Isa, kami dah semak dalam data.
Memang tiada rekod tentang Ajai. Datang seorang pegawai tiba-tiba tanpa salam dan ketukan pintu di bilik tetamu itu.
Tak ada Encik pasti Cikgu Isa memperlihatkan ketidakkeruanannya.
Ya, kami dah semak berkali-kali. Mungkin dia tidak didaftarkan.
Kalau begitu, tak mengapalah. Maaf ya, encik kerana mengganggu.
Cikgu Isa meminta diri. Sebelum keluar dari pejabat itu dia menoleh lagi. Entah apa yang diharapkan. Yang pastinya, hasratnya sudah terkubur. Dia perlu segera mencari jalan lain sebelum segalanya dinoktahi.
Dalam perjalanan pulang, Cikgu Isa terkenangkan Ajai. Bagaimana dia harus mencari jalan untuk anak jagaannya itu terus menduduki peperiksaan Masa kian mengasak.
Sepanjang perjalanan itu dia berdoa tidak putus-putus. Sampaikan perjalanan yang jauh dirasakan dekat. Juga kesesakan lalu lintas di lebuh raya tidak dihiraunya. Yang dia tahu, berdoa, berdoa dan terus berdoa.
SORE yang tenang dengan angin yang menyerang setiap penjuru rusuknya, damai.
Ajai terbersin ketika menyandarkan penyapu lidi di balik pintu. Hidungnya mungkin
telah dicerobohi debu dan habuk dari karpet. Lalu ditenyeh batang hidungnya yang penyek itu. Merah padam jadinya.
Kemudian, dia terduduk di lantai. Membebaskan lelah semahunya. Sekian lama dia tidak mengemas rumah. Selama ini, Cikgu Isa yang menguruskan semuanya. Sejak guru itu kerap diserang demam dan sakit-sakit badan, dia pula menjadi pengganti.
Rumah itu semakin sunyi. Cikgu Isa sibuk dengan buku-buku agamanya, Ajai pula dengan buku-buku sekolahnya. Seperti tidak wujud sebuah ikatan mesra antara mereka. Malah, boleh diibaratkan seperti sepasang suami isteri yang sedang merajuk. Kedua-duanya tidak mahu mengalah.
Sungguh, Cikgu Isa tidak seceria dahulu. Hujung minggu yang kebiasaannya dihabiskan dengan berkelintaran di kompleks beli-belah, berganti dengan memasungkan diri sepanjang hari. Ajai melihat revolusi gurunya itu sebagai sesuatu yang positif. Mungkin mahu memberi masa yang lebih kepadanya untuk mengulang kaji. Apatah lagi debaran PMR kian menggetar.
Mutakhir ini, Cikgu Isa sudah tidak banyak bercakap di rumah. Selagi tidak ditanya, selagi itu tiada bicaranya. Dia kerap menyendiri di dalam bilik. Jika ke ruang tamu pun, cuma seminit dua. Hatta di sekolah pun dia sudah kurang melawak. Masuk sahaja kelas, terus
mengajar. Tanpa induksi dan sebarang sumbang saran isu-isu semasa seperti mana sebelumnya. Apatah lagi lawak jenaka.
Kerap kali juga Ajai ditanya oleh rakan sekelas tentang masalah guru mereka itu. Tetapi, dia sendiri tidak tahu-menahu. Malah, berasa takut untuk mengambil tahu walaupun ada gundah pada setiap kali melihat wajah Cikgu Isa.
Ajai memandang siling. Dia teringat saat dia dimarahi kerana sibuk mengambil tahu urusan Cikgu Isa. Sampaikan ada satu masa Gana memaksa dia bertanyakan sendiri tentang perubahan guru itu. Selepas dia menyatakan dia tidak berani, Gana menuduh dia takut dengan bapa saudara sendiri.
Dia jadi kecut diganggu rasa bersalah. Sehingga kini Gana masih menganggap dirinya ada hubungan persaudaraan dengan guru itu.
Ajai menutup mukanya. Suam tapak tangannya. Sampai bila dia harus menanggung dosa ini Sampai bila Gana akan terus tertipu dengan wayangnya suatu ketika dahulu Tipu daya yang terdesak dilakukan dek pertanyaan mengejut Gana.
Dalam kegelapan tekupan itu, Ajai terbayang saat penipuan itu bermula. Ketika itu Gana masih lagi menahan sakit di stesen bas pada pertemuan pertama mereka berdua.
Cikgu Isa tu, pak cik aku.
Oh, pak cik. Patutlah kamu berdua rapat. Untunglah kau ada pak cik macam Cikgu Isa. Dia baik orangnya.
Selepas beberapa ketika, Ajai menjarakkan tangannya dari muka. Dia menggaruk-garuk kepala. Bingung. Tenat mengimbau satu per satu peristiwa yang mencubit batinnya. Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan segera. Dia tidak mahu ditimpa gelisah sedang resah yang lama masih tepu. Tetapi, bagaimana
Ajai terus bangkit dari sandarnya. Dia mahu melupakan sejenak masalah yang membebankan pundaknya. Ruang tamu masih belum dikemas sepenuhnya. Rak-rak buku masih berhabuk. Siling ada sawangnya lagi.
Usai membersihkan sawang yang bersarang, dia kembali ke sofa. Tergerak hatinya untuk membuang kotoran di bawah sofa. Lalu diambil penyapu, dikuisnya dari dalam. Berat. Ada sesuatu yang terjerat.
Plastik apa pula ni
Habuk-habuk di luar bungkusan plastik putih itu dikibas dengan tangan yang sememangnya sudah berhabuk. Pantas dibukanya.
Ubat apa ni Muhammad Isa Ajai membaca nama yang tertera pada kulit luar ubat. Justeru, dia melihat kandungan di dalamnya.
Aneh. Ubat-ubat tersebut jarang dilihatnya. Namun, dia pasti biji-biji itulah yang mengubah warna dalam rumah itu. Daripada cerah kepada kelam. Dia mahukan kepastian segera. Penyakit apa yang selama ini menghantui Cikgu Isa.
Sementara di luar rumah, deruman enjin kereta Cikgu Isa semakin membingitkan. Ajai gelabah. Guru itu sudah pulang.
Dia berpura-pura tenang. Bungkusan di tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Tangan kanan kembali mencekak batang penyapu. Seperti tiada apa-apa yang berlaku.