Sudah lebih seminggu Alyssa dirawat di hospital. Janinnya yang meninggal dunia dalam kemalangan itu juga sudah selamat dikebumikan. Walaupun itu hanyalah janin yang belum dilahirkan secara sempurna sebagai seorang bayi, tetapi Tuan Fahreen turut mengadakan tahlil di rumahnya, selama tiga hari berturut-turut. Alyssa yang tidak dapat turut serta dalam tahlil tersebut, hanya mampu memanjatkan doanya dari katil hospital sahaja. Keadaannya sudah kembali tenang, namun jiwanya masih terisi bahang penyesalan yang tidak sudah.
Memandangkan keadaan Alyssa yang sudah stabil, Tuan Fahreen bercadang untuk kembali ke pejabatnya, setelah agak lama cuti kecemasan. Dia mahu meninjau keadaan di pejabatnya, dan mengemaskini perkara-perkara yang tertangguh. Ada banyak perkara yang perlu diuruskan dan juga dibuat perhitungan. Lagi pun, Alyssa di hospital, sentiasa ditemani secara bergilir-gilir oleh Mak Chom, Roziana, Elly dan Tuan Fahreen sendiri. Mereka tidak betah membiarkan Alyssa sendirian kerana bimbang dia akan mengalami tekanan perasaan dan emosi.
Sementara itu, Che Ros di pejabat amat resah dan gelisah sekali. Rakan-rakannya yang turut sama semasa mesyuarat Tuan Fahreen bersama-sama rakan pelaburnya di Kelab Golf tempoh hari, menyalahkannya terhadap segala perkara yang terjadi kepada Alyssa. Che Ros sedar, satu pejabat sedang bercakap perkara yang sama tentangnya dan kaitannya dengan tragedi yang menimpa Alyssa. Che Ros berasa bimbang dan takut, apatah lagi apabila dia sudah dipulaukan oleh hampir kesemua rakan sepejabatnya. Hanya seorang dua sahaja yang masih menegur dan bercakap dengannya, itu pun atas urusan pejabat. Yang lain pula, jangankan kata tegur, melihatkan mukanya pun tak sudi. Mereka percaya, Che Ros sengaja melakukan perbuatan tersebut sehingga Alyssa cemburu gila.
Tuan Fahreen pula langsung tidak menghubungi Che Ros, selama seminggu dia tiada di pejabat. Segala arahan dan aturcara yang perlu dilakukan oleh syarikat, akan diberikan kepada Rosni, kakitangan bahagian pentadbiran. Che Ros mula berasa cuak dan tidak sedap hati dengan tindak-tanduk Tuan Fahreen itu. Apa lagi, apabila Tuan Fahreen langsung tidak mahu menjawab panggilan telefonnya. Ini menambahkan resah di hati Che Ros, yang tidak punya teman untuk mengadu bicara. Lalu, pagi itu, dia mengambil keputusan untuk menghubungi Nisya, teman yang sama mempunyai hati busuk sepertinya.
Ala, apa yang you nak bimbangkan tentang itu semua Bukannya you tak biasa dipulaukan oleh rakan- rakan sepejabat you tu. Lagi pun, you sendiri yang berasa tidak setaraf untuk bergaul dengan mereka, kan So, relax sajalah. Sepatutnya, you gembira, sebab impian you bakal jadi kenyataan. Kandungan Alyssa, dah gugur sekarang. Pastinya rumahtangganya dan Tuan Fahreen akan jadi lebih panas lagi. Silap-silap, boleh membawa sehingga bercerai-berai. I dengar cerita, mereka pun dah tak sehaluan lagi. Bukankah itu yang you tunggu-tunggu selama ini jelas Nisya.
I tak tahulah Nisya. Entah kenapa, I rasa tak sedap hati. I tengok, keadaan pun dah lain sangat sekarang ni. Tuan Fahreen seolah-olah meminggirkan I. Dia langsung tak menghubungi I. Segala urusan kerja I, dia arahkan staff lain untuk buat. Semacam dia ada menyimpan perasaan dendam pada I. I rasa, dia benar-benar marahkan I, atas apa yang menimpa Alyssa. I takutlah, kalau-kalau dia ambil apa-apa tindakan pada I nanti. Masa tu, I akan rasa diri I ni, macam Pak Pandir. Yang ditangkap tak dapat, yang dikendong berciciran. You faham maksud I, kan
Come onlah Che Ros, think positive. Bukannya you yang menyebabkan Alyssa accident. Jelas sekali laporan polis menyatakan bahawa, Alyssa kemalangan akibat memandu terlalu laju. Dia terbabas dengan sendirinya. Jadi, Tuan Fahreen tidak boleh menyalahkan you. Legally, you are innocent, my dear, ujar Nisya, menambah keyakinan Che Ros.
Betul juga kata Nisya. Mengapa dia harus berasa takut dan menggelabah sampai begitu sekali Sedangkan, dia hanya membuatkan Alyssa cemburu, bukannya mengheretnya kepada kemalangan. Tiada akta yang menyatakan bahawa, seseorang itu boleh disabitkan kesalahan kerana membuatkan individu lain berasa cemburu terhadapnya. Jadi, secara teorinya, Che Ros rasa dia tidak bersalah dan Tuan Fahreen tidak berhak menjatuhkan sebarang hukuman terhadapnya.
Sekarang, Che Ros berasa dadanya lapang semula. Tidak sia-sia dia menghubungi Nisya sebentar tadi. Che Ros bertekad yang dia akan melayan Tuan Fahreen sebaik mungkin, apabila muncul di pejabat nanti. Dia akan memberikan perhatian dan belaian, jika perlu, supaya Tuan Fahreen dapat merasakan perasaan prihatinnya itu.
Tidak lama sesudah itu, orang yang dirindunya tiba-tiba muncul di hadapan matanya. Che Ros berasa amat teruja sekali apabila menatap wajah Tuan Fahreen yang dirinduinya sejak lebih seminggu lalu. Wajah tampan yang membuatnya igau dalam lena. Dan kerana wajah itulah, Che Ros sanggup melakukan apa saja untuk menyingkirkan pesaingnya, terutama sekali Alyssa.
Namun, Tuan Fahreen langsung tidak menoleh kepadanya maupun memperdulikannya. Sampai sahaja, dia terus meluru masuk ke pejabatnya. Sama ada Che Ros wujud atau tidak di muka pintunya, tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Segala yang terbuku, bakal dijelaskan dengan satu tindakan sahaja. Tindakan yang bakal memberi pengajaran yang sewajarnya kepada wanita itu.
Selamat pagi, tuan. Tuan apa khabar Tuan sudah sarapan atau belum Oh ya, office boy kita ada beli nasi lemak untuk semua hari ni. Nanti saya ambilkan untuk tuan, berserta dengan kopi kaww kesukaan tuan sekali.
Segala soalan dan sapaan Che Ros itu, dibiarkan sepi sahaja oleh Tuan Fahreen. Dia langsung tidak memberikan perhatian kepada pembantu peribadinya yang terkinja-kinja seperti beruk, semata-mata untuk meraih perhatian darinya. Dari tadi, Tuan Fahreen hanya sibuk menulis sesuatu dalam sekeping kertas. Tidak tahu untuk apa, tetapi dipercayai bakal memberi kesan kepada kehidupan seseorang.
Melihatkan majikannya masih berdiam diri, Che Ros lantas berkata lagi, Maafkan saya tuan, sebab tak sempat nak menjenguk Puan Alyssa di hospital. Saya sebenarnya
Cukup tu, Che Ros! Ambil ini, notis pemberhentian dua puluh empat jam efektif dari hari ini. Saya akan arahkan bahagian human resource untuk menghantar surat rasmi kepada kamu, tidak lama lagi. Selepas ini, kamu boleh jumpa Puan Arfah di bahagian kewangan dan ambil gaji kamu selama sebulan. Mulai esok, saya tak mahu lihat muka kamu di pejabat ini lagi. Mengerti
Tuan Fahreen menghulurkan kertas yang ditulisnya sebentar tadi kepada Che Ros. Che Ros terkejut. Dia tidak percaya akan dikenakan tindakan oleh lelaki yang amat dicintainya itu. Malahan, Che Ros tidak menyangka yang Tuan Fahreen akan memberhentikannya dengan serta-merta, tanpa sebarang notis.
Tuan tak boleh buat begini pada saya. Tuan berhentikan saya tanpa alasan yang kukuh. Ini sudah menyalahi undang-undang buruh, jawab Che Ros cuba mempertahankan dirinya yang silap itu.
Oh, kamu bercakap pasal undang-undang Kalau saya turutkan undang-undang, saya tak buang kamu macam tu saja. Sebaliknya, saya sumbat kamu ke penjara. Tetapi memandangkan kamu sudah lama bekerja dengan saya, saya masih mempertimbangkan perkara ini dengan budi bicara saya. Saya tak mahu kamu tuduh saya kejam, walaupun saya begitu marah dan kecewa sekali dengan segala tindak-tanduk kamu selama ini.
Saya tak mengerti, apa sebenarnya salah saya, tuan tanya Che Ros lagi yang masih berpura-pura benar.
Tuan Fahreen yang bengang dengan soalan Che Ros yang dianggap bodoh itu, lalu mengeluarkan beberapa keping gambar dari lacinya, untuk ditunjukkan kepada pembantunya itu sebagai bukti.
Ini apa Ini apa Ini apa Kamu yang punya kerja, kan Kamu yang hantar gambar-gambar ini pada Ayssa, kan Tolong jawab pertanyaan saya, desak Tuan Fahreen sambil mencampakkan gambar-gambar tersebut kepada Che Ros.
Che Ros menjadi semakin terperanjat. Dia ditunjukkan segala gambar-gambar yang telah merampas kebahagiaan Alyssa. Gambar-gambar yang telah menghancur-luluhkan hati Alyssa dan menyebabkan deritanya menjalar sehingga ke peringkat sekarang ini. Siapakah Che Ros untuk menebus segala derita ini Sedangkan, dialah dalang yang menjadi perosak segala kebahagiaan orang lain.
Tuan tak boleh tuduh saya sembarangan. Apa buktinya, saya yang menghantar gambar-gambar ini pada Puan Alyssa tanya Che Ros, semakin gelabah.
Huh, kamu jangan lupa hukum Tuhan. Yang salah, tetap salah. Semua gambar-gambar ini, cleaner yang jumpa, terselit di fail-fail atas meja kamu. Lalu, dia serahkan kepada saya kerana curiga dengan gambar-gambar ini dan niat kamu menyimpannya.
Sekilas pun, Tuan Fahreen tidak ingin memandang muka Che Ros lagi. Kali ini, dia benar-benar nekad dengan keputusannya. Selama ini, dia menangguhkan tindakannya. Namun hari ini, setelah apa yang terjadi, rasanya tidak perlu lagi dia menyimpan cendawan liar di syarikatnya lagi. Kelak bakal menjangkitkan masalah yang lebih melarat lagi.
Kalau turutkan hati, saya boleh dakwa kamu kerana memalsukan gambar-gambar saya dan menyebarkannya kepada pihak lain. Kamu boleh dihadapkan ke mahkamah dan dipenjarakan, gara-gara niat jahat kamu itu. Kerana kamu, Alyssa menderita. Kerana kamu juga, bayi saya yang tidak berdosa mati tanpa dilahirkan. Sekarang, pergi kamu dari sini dan jangan berani untuk kembali lagi. Saya dah tak mahu tengok muka kamu lagi. Pergi!
Kemarahan Tuan Fahreen memuncak apabila jeritannya kepada Che Ros didengari hampir kesemua kakitangan yang berada di aras yang sama. Ada yang keluar meninjau dan ada juga yang hanya memerhatikan dari meja mereka sahaja. Rata-rata mereka semua tahu, apa yang telah dilakukan oleh Che Ros sehingga dia diusir dari pejabat sebegitu sekali. Memang wajar dan kenalah dengan dirinya yang sentiasa sombong, angkuh dan berhati busuk itu.
Che Ros menangis tanpa hentinya dengan tindakan yang dikenakan kepadanya itu. Namun, dia tidak berani untuk membantah lagi. Segala bukti sudah berada di tangan Tuan Fahreen dan jika di bangkang lagi, pastinya dia akan di hantar ke balai polis. Che Ros kesal dengan perlakuannya yang tidak beretika itu. Malahan, dia bertambah kesal kerana mendengar hasutan dari manusia sejahat Nisya. Kalau tidak, tentu keadaannya tidak jadi macam itu. Tetapi, apa yang hendak dibuatkan lagi Nasi sudah menjadi bubur. Ditelannya juga.
Aku sudah terlalu banyak mengalah. Semakin aku diam, parasit-parasit tu semua semakin berani pijak kepala aku. Aku takkan biarkan kamu semua menyusahkan hidup aku lagi.
Setelah Che Ros beredar ke tempatnya, Tuan Fahreen yang masih lagi marah terus mencapai telefon bimbitnya. Ada seorang lagi makhluk Allah yang perlu diberi pengajaran, atas segala yang telah dia rencanakan. Biar dia menerima balasan di atas segala tindakan jahatnya selama ini.
Hello, Tuan Rahman, saya ada aduan yang hendak saya buat terhadap seorang perempuan bernama Nur Nisya binti Abdullah. Boleh saya ke tempat tuan sekarang
Kini dengan kekuatan dan kekuasaan yang ada, Tuan Fahreen telah bertindak.Tiada lagi budi bicara, tiada lagi pujuk rayu. Semua orang yang sanggup mengganggu kebahagiaannya harus dikasi pengajaran. Tanpa berlengah, Tuan Fahreen ke balai polis di mana dia sudah berjanji temu dengan Tuan Rahman. Urusan yang perlu disusuli dengan tindakan oleh pihak yang berwajib untuk mengajar pihak yang tidak bertanggung jawab.
Kau tunggulah nasib kau, Nisya. Aku sudah memberi amaran kepada kau dahulu, tapi kau engkar. Biarlah keadilan undang-undang yang menghukum kau kini, desir Tuan Fahreen di dalam hatinya.
Hari itu, Elly mengambil gilirannya untuk menemani Alyssa di hospital. Sebaik sahaja habis kerja, Elly langsung ke hospital setelah menitipkan ibunya kepada Mak Chom. Nasib baik Mak Cik Markonah tidak mempunyai sebarang masalah untuk tinggal bersama Mak Chom kerana mereka sudah menjadi begitu rapat sekali. Selesai membantu Alyssa membersihkan dirinya, Elly segera memotongkan buah-buahan untuk sahabat baiknya itu.
Beb, banyak sekali perkara yang dah berlaku semenjak engkau berada di hospital ni. Che Ros sudah dibuang kerja sebab Tuan Fahreen mendapat bukti bahawa dialah yang telah mengirimkan gambar-gambar palsu Tuan Fahreen bersama beberapa orang perempuan, kepada engkau. Manakala dalangnya pula, telah ditangkap setelah Tuan Fahreen membuat laporan polis, cerita Elly.
Aku tahu, Che Ros memang dendamkan aku. Tapi setahu aku, perempuan tu mulut saja celupar, tapi hatinya macam semut. Siapa pula dalang yang membantunya itu, tanya Alyssa, tegas walaupun masih lemah.
Kau kenal dengan dia. Nisya namanya.
Alyssa tersentak. Sudah terlalu lama dia tidak berhubung dengan Nisya. Semenjak kes di Genting tempoh hari, Tuan Fahreen menghalangnya untuk terus berkawan dengan Nisya. Dan Alyssa sendiri tahu, Nisya sememangnya berdendam padanya. Tetapi, terlalu besar sangatkah dosanya pada Nisya sehingga perempuan itu tergamak mengatur rancangan untuk menghancurkan hidupnya
Dialah yang telah menghasut dan membantu Che Ros untuk menjahanamkan hidup engkau, beb. Nampak gayanya, dia begitu berdendam kepada engkau. Tuan Fahreen punya banyak bukti tentang dia, yang diperolehi menerusi mata-mata Abang Mat. Sebab itu, dia buat laporan polis. Bagus juga. Si Nisya tu telah terlalu banyak menghancurkan hidup orang, terutama sekali gadis-gadis Melayu yang mentah dalam dunia pelacuran dan hiburan. Sindiket menjual gadis-gadis naf untuk kepentingan diri sendiri, jelas Elly.
Tetapi mengapa dia begitu berdendam pada aku beb Sampai sanggup gunakan Che Ros untuk menghancurkan aku. Apa salah aku pada dia
Itu aku tak tahu, beb. Aku pun bukan kenal dia sangat. Apa yang aku ingat dari apa yang diberitahu oleh Rossa dulu, sememangnya dia bukanlah dari jenis perempuan yang baik-baik. Aku tak terkejut kalau dia terlibat dalam hal ni, tambah Elly lagi.
Alyssa berasa tidak sedap hati. Mengapakah nama Nisya timbul secara tiba-tiba dalam percaturan memusnahkan hidupnya Alyssa tidak sangka yang Nisya menaruh dendam kepadanya. Walaupun sudah agak lama mereka tidak bertemu, namun Nisya masih punya kesempatan untuk menganiayainya. Namun, apa sebenarnya masalah yang timbul antaranya dan Nisya Alyssa sendiri tiada jawapan untuk itu.
Aku kesal kerana jadi mangsa kebencian dua orang wanita yang tidak berhati perut itu. Kerana mereka, aku kehilangan bayi di dalam kandungan ini. Kerana mereka jugalah, aku menderhaka kepada suamiku sendiri, dengan menuduhnya curang, rintih Alyssa dengan kesalnya.
Alyssa berasa amat bersalah terhadap suaminya. Terlalu nipis sekali kepercayaan terhadap Tuan Fahreen. Malahan, dia lebih mempercayai orang luar dari suaminya sendiri. Alyssa tahu bahawa hukuman yang diterimanya sekarang adalah disebabkan dosa yang tidak terhingga kepada suaminya itu. Jika diberi peluang, mahu sahaja dia melutut kepada Tuan Fahreen bagi memohon kemaafan.
Beb, Tuhan takkan berhenti menduga kita.
Anggaplah saja itu semua sebagai cabaran hidup. Mungkin ada hikmah yang lebih baik menunggu kau berdua selepas ini. Jangan sempitkan fikiran dengan rasa bersalah pada dosa semalam. Kita tak akan dapat ubah perkara yang dah terjadi. Apa yang penting sekarang, kau kena beri peluang untuk diri kau dan suami kau bagi membina penghidupan baru, nasihat Elly, bersungguh-sungguh.
Betul bagai dikata Elly. Sekarang adalah masa untuk Alyssa merenung ke depan dan memperbaiki kerosakan yang pernah dilakukannya dalam kehidupan sebelum ini. Matlamat utamanya sekarang adalah kesetiaannya terhadap suami tercinta.
Sebaik sahaja aku pulih, aku ingat nak ketemu dengan Nisya di penjara. Aku perlukan penjelasan dari dia. Mengapa dia benar-benar mahu menghancurkan hidup aku Aku nak tahu, apa sebenarnya salah aku pada dia sehingga dia mendendami aku sehingga ke tahap ini, ujar Alyssa.
Terpulanglah, beb. Aku hanya berharap agar engkau tidak terpengaruh dengan kata-katanya lagi. Orang seperti Nisya itu, bijak menyusun strategi, terutama sekali dalam menyakiti hidup orang lain, nasihat Elly.
Elly sudah tidak sanggup lagi melihat hidup Alyssa hancur gara-gara terpengaruh dengan cakap-cakap orang jahat seperti Nisya. Kalau boleh, Elly tidak mahu langsung Alyssa bertemu dengan Nisya lagi. Namun pilihan, keputusan dan kehendak berada di tangan Alyssa. Dia berhak menentukan, siapa yang berhak dia ketemu atau tidak.
Perbualan kedua sahabat ini terhenti apabila doktor masuk untuk memeriksa keadaan kesihatan Alyssa. Doktor Hamidi memberikan senyumannya bila melihat keadaan Alyssa yang tampak sedikit ceria berbanding ketika baru-baru tersedar selepas kemalangannya tempoh hari.
Alhamdulillah. Nampaknya, keadaan puan sudah beransur pulih. Segala-galanya stabil, termasuk tekanan darah puan. Kalau tidak ada apa-apa masalah, puan boleh keluar dalam masa beberapa hari lagi.
Really, doc Im glad to hear that. Tak sabar rasanya nak keluar. Dah lama sangat saya duduk di hospital ni. Saya teringin sangat nak menziarahi pusara bayi saya, jelas Alyssa, gembira dengan perkembangan terbaru itu.
Nyata sekali, trauma Alyssa sudah beransur pulih. Dengan sokongan suami dan orang-orang di sekelilingnya, Alyssa sudah dapat menerima kenyataan akan kehilangan bayinya itu. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang, adalah untuk pulang semula ke rumahnya dan memulakan kehidupan baru.
Jadi, apa rancangan puan selepas ini Adakah puan akan mengambil anak angkat untuk menyerikan kehidupan puan tanya Doktor Hamidi yang cuba untuk ramah.
Apa Anak angkat soal Alyssa, agak terkejut.
Mendengarkan itu, Elly pula mencelah, Dok, mengapa mesti ambil anak angkat Alyssa masih muda. Biarlah dia merancang untuk mempunyai anaknya sendiri. Bukannya dia tak boleh hamil lagi, kan
Doktor Hamidi yang kehairanan, lalu berkata lagi, Pelik, hari tu, semasa berbual dengan Tuan Fahreen, katanya dia sedang merancang untuk mengambil seorang anak angkat, bagi menceriakan rumahtangganya bersama Puan Alyssa.
Doktor, saya tak tahu pula yang Tuan Fahreen ada membuat rancangan sedemikian. Tapi, untuk pengetahuan doktor, saya tak berminat lagi untuk ambil anak angkat. Saya mahu anak saya sendiri, tegas Alyssa pula.
Kehairanan Doktor Hamidi dan kemangguan Alyssa menimbulkan suatu cerita baru. Elly dapat merasakan bahawa ada sesuatu perkara yang sedang disembunyikan dari pengetahuan Alyssa. Nampak gayanya, hanya Tuan Fahreen sahaja yang tahu akan perkara yang sebenarnya.
Puan Alyssa sudah tidak boleh mengandung lagi. Bagaimana hendak mempunyai anak sendiri Suami puan tak beritahu puankah
Terpana seketika Alyssa mendengar kenyataan itu. Begitu juga dengan Elly yang terperanjat kerana dia juga baru mengetahuinya. Kenyataan yang tentunya sukar untuk diterima oleh wanita-wanita yang waras seperti Alyssa.
Doktor, apa yang doktor cakapkan ini
Tolong jelaskan perkara ini kepada saya. Mengapa saya tidak boleh hamil lagi desak Alyssa sambil matanya sudah mulai merah di situ.
Pada hari kejadian tempoh hari, saya ada beritahu Tuan Fahreen, yang hentakan kuat semasa kemalangan itu, bukan sahaja telah menyebabkan anak dalam kandungan puan itu maut. Ia juga mendatangkan kerosakan yang teruk pada rahim puan. Kami terpaksa membuangnya kerana tidak mahu nyawa puan terancam.
What Tidak!!
Alyssa meraung sekuat-kuatnya dan menangis semahu-mahunya. Kenyataan yang baru ini lebih perit dari berita kematian anak yang di dalam kandungannya. Alyssa mula merasakan dirinya sudah tidak sempurna, jika gagal berfungsi sebagai ibu yang melahirkan. Atas keperluan apa lagi dia bergelar isteri Memberikan zuriat kepada suaminya pun, dia tidak mampu.
Elly cuba untuk mententeramkan Alyssa. Dia mengerti perasaan Alyssa dan turut sama berkongsi kesedihan dengannya. Berita itu terlalu drastik, sampai ke pengetahuan Alyssa di saat dia baru sahaja tenang dari traumanya sebelum itu.
Sabarlah, beb. Percayalah, mesti ada jalan untuk menyelesaikan masalah engkau ni. Dunia perubatan hari ini kan dah moden. Lagi pun, engkau dan Tuan Fahreen mampu untuk mendapatkan rawatan-rawatan terbaru. Janganlah bersedih sampai macam ni sekali. Nanti engkau akan kena tekanan perasaan.
Aku sudah tak dapat berfungsi sebagai wanita sejati. Aku tewas dalam hidup aku. Aku tewas! Aku tewas! raung Alyssa lagi.
Alyssa menangis lagi, sepuas-puasnya. Dia memeluk erat sahabatnya itu. Doktor Hamidi pula berasa serba-salah kerana telah membuat Alyssa bersedih. Dia tidak menyangka yang Alyssa masih belum mengetahui keadaannya yang sebenar. Yang pastinya, Tuan Fahreen masih belum lagi berterus-terang tentang kenyataan itu kepada isterinya.
Tuan Fahreen mengeluh panjang. Dia tidak sangka, sebegitu cepat perkara itu sampai ke pengetahuan Alyssa. Satu lagi frasa kesedihan yang akan dilalui oleh isterinya itu, menyebabkan Tuan Fahreen tandus idea untuk menanganinya.
Maafkan saya, tuan. Saya benar-benar tak tahu. Saya fikir, tuan dah menjelaskan segala-galanya kepada dia, sebab dia nampak tenang sahaja sejak akhir-akhir ini, beritahu Doktor Hamidi apabila dia terserempak dengan Tuan Fahreen termenung di muka pintu. Dia telah mendengar segala-galanya.
Tak apalah, doktor. Ini memang salah saya. Saya tak tahu bagaimana untuk memberitahu Alyssa tentang berita buruk ini. Tapi, saya sedar yang saya perlu juga berterus-terang pada dia.
Bukan masanya untuk menyalahkan Doktor Hamidi. Sebagai seorang doktor, dia telah menyempurnakan tugasnya. Sudah menjadi tatasusila profesion seorang doktor agar tidak merahsiakan apa-apa kepada pesakitnya. Sama ada buruk atau baiknya nasib seseorang pesakit itu, dia tetap punya hak untuk tahu tentang keadaannya yang sebenarnya. Cuma sekarang, Tuan Fahreen buntu. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapi Alyssa yang jelas tenggelam dengan rasa kecewanya. Raungannya lebih dahsyat kali ini. Ketenangannya mula tergugat kembali.
Tangisan Alyssa tambah kuat apabila dia melihat suaminya muncul di hadapannya. Alyssa kesal kerana Tuan Fahreen merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuannya. Elly segera beredar dari bilik tersebut bagi memberi laluan kepada suami isteri itu, untuk menyelesaikan masalah terbaru mereka. Walaupun jauh di sudut hati Elly, mahu terus berada di samping sahabatnya itu bagi memberi sumber kekuatan kepadanya. Namun, Elly merasakan bahawa Tuan Fahreenlah yang lebih berhak untuk berada di sisi Alyssa ketika itu dan mencari jalan untuk mententeramkannya.
Kenapa abang tak beritahu Lyssa tentang perkara ini Sampai hati abang rahsiakan kekurangan Lyssa ini dari pengetahuan Lyssa sendiri. Sampai bila abang nak mendiamkan perkara ni Kalau doktor tak beritahu, Lyssa akan jadi orang bodoh yang menanam angan-angan untuk menjadi seorang ibu sambil ditertawakan oleh abang, suami Lyssa sendiri.
Sayang, tak salah untuk kita menanam angan-angan. Nama pun angan-angan kan, tak semestinya menjadi kenyataan.
Itu bukan angan-angan, tapi itu adalah kebodohan yang nyata.
Abang minta maaf. Abang tak berniat untuk menyimpan rahsia ini. Cuma abang rasakan yang abang perlu masa untuk melihat satu perkembangan positif pada diri sayang terlebih dahulu. Abang memang nak beritahu sayang tentang ini. Abang tahu, perkara ini akan lebih menyedihkan sayang lagi, dan abang tak sanggup tengok sayang bersedih dalam keadaan yang masih belum cukup pulih ini, terang Tuan Fahreen.
Alyssa merenung sayu pada wajah suaminya. Air mata berselirat membasahi wajahnya. Tiada lagi serinya seperti tadi. Bungkam perasaannya untuk tersenyum lagi. Sekali lagi, kekasalan yang amat hebat dirasakannya. Keterlanjurannya telah membunuh masa depannya sendiri.
Maafkan Lyssa, bang. Lyssa terlalu banyak dosa kepada abang. Sebab itu, Tuhan menghukum Lyssa. Semua ni salah Lyssa, bang. Salah Lyssa! Kalau tidak kerana terlalu hipokrit dan mengikut perasaan, tentunya Lyssa tak jadi macam ni. Dan, tentunya abang sudah dapat menimang cahaya mata abang sendiri.
Abang tak salahkan sayang langsung. Semua ini adalah dugaan untuk kita berdua. Sayang jangan bersedih lagi. Abang berjanji, kita akan hadapi kekurangan ini bersama. Ketidak-sempurnaan sayang adalah kekurangan abang.
Tuan Fahreen mendakap erat isterinya. Di situlah dirasakannya tempat yang paling tenang untuk Alyssa melepas perasaannya. Bagi Tuan Fahreen, mungkin kunci kebahagiaan mereka telah hilang. Tetapi, mereka masih punya peluang untuk mencari kunci yang baru.
Kita boleh ambil anak angkat untuk menyerikan kehidupan kita di masa hadapan kelak. Abang tahu, sayang sayangkan abang. Tapi, tak semestinya sayang perlu lahirkan zuriat untuk abang, kan Abang bersyukur sangat, sebab Tuhan tak ambil sayang dari abang. Kalau tidak, hidup abang akan lebih menderita lagi. I love you so much, sayang.
Alyssa terharu dengan kata-kata suaminya itu. Mungkin dia dapat merasakan sedikit kekuatan menerusi kata-kata semangat Tuan Fahreen itu. Namun, ianya masih tidak cukup untuk membasuh rasa terkilannya. Alyssa tidak mahu terus-menerus menyusahkan suaminya itu dengan segala esak tangisnya.
Wanita mana yang tidak berasa sedih Sudahlah dia kehilangan satu-satunya zuriat yang dikandung, kini dia disahkan tidak mampu hamil lagi. Walau bagaimanapun, Alyssa tahu, yang Allah sememangnya berkuasa dalam menentukan apa yang terbaik untuk hambanya. Sesungguhnya, wang dan harta yang banyak, tidak mampu menjamin kebahagiaan berkekalan.
Masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Kini, hampir dua bulan telah berlalu. Alyssa sudah lama keluar dari hospital dan menjalani proses penyembuhan sepenuhnya dengan membanyakkan rehat di rumah. Hari-hari Alyssa tidak lagi sesuram seperti sebelumnya. Dia sudah dapat menerima kenyataan hidupnya untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh. Namun, masih ada banyak perkara yang perlu dilakukannya untuk memperbetulkan jalannya. Dia juga menyimpan tekad untuk mencari alternatif kebahagiaan yang sejati bersama suaminya.
Perasaan bersalah dan sesal terhadap segala perbuatannya pada Tuan Fahreen, masih belum hilang lagi, malahan terus menebal di sanubarinya. Namun Alyssa sedar, sebagai wanita matang yang telah menempuh pelbagai dugaan, dia harus bersikap lebih dewasa dalam menangani musibah dirinya. Masalah tidak akan selesai dengan hanya bermurung dan kecewa mengenang nasib diri. Dia perlu bangkit menjadi isteri yang mampu memberi kebahagiaan kepada suaminya walaupun terikat dengan kekurangan sendiri.
Sepanjang berehat di rumah, tidak banyak cerita yang Alyssa tahu tentang dunia luar. Hari-harinya berjalan dengan penuh tenang. Tuan Fahreen pula, akan sentiasa berada di sisi, menemaninya di kala tidak berada di pejabat atau di mana sahaja atas urusan perniagaannya. Sedikit pun Alyssa tidak mendengar suaminya itu mengungkit perihal kematian bayi mereka dan ketidak-mampuan Alyssa untuk hamil lagi. Semuanya dilalui dengan penuh reda dan tulus. Malahan sekarang, hubungan mereka lebih akrab lagi.
Abang, Lyssa rasa dalam beberapa hari lagi,
Lyssa nak mula bekerjalah. Sudah lama sangat Lyssa berehat di rumah. Tentu banyak sekali kerja-kerja Lyssa di pejabat Abang Bob dan Wadi Afzan yang telah tertangguh, beritahu Alyssa pada suatu pagi, ketika bersarapan dengan suaminya.
Abang tak kisah, cuma abang bimbangkan keadaan kesihatan sayang tu. Sayang ni, benar-benar dah sihatkah
Insya-Allah bang. Lagi pun Lyssa dah bosan duduk lama-lama di rumah. Semalam pun, Lyssa ada call Abang Bob. Katanya, banyak projek-projek yang masih menunggu buah idea kreatif dari Lyssa. Lyssa pun kasihankan Elly, sebab uruskan Wadi Afzan sendirian, jelas Alyssa.
Tuan Fahreen mengangguk. Mengerti akan komitmen besar yang ditinggalkan Alyssa selama dia terpaksa bercuti sakit. Kini, tenaganya diperlukan semula dan biarlah dia menyibukkan dirinya dengan tugas-tugasannya, asalkan dia boleh melupakan segala kenangan pahit yang masih menghantuinya.
Tak apalah, kalau sayang dah cakap macam tu. Abang faham, sayang bosan tinggal lama-lama di rumah ni, kan Lagi pun, mungkin esok lusa, abang akan ke Kelantan untuk meninjau keadaan kilang kita di sana. Kata mereka, ada masalah sikit dengan bahan mentah. Mereka minta abang tolong bincang dengan supplier, sebab mereka tu semua hanya segan dengan abang seorang sahaja.
Sebagai seorang isteri, Alyssa faham dengan kesibukan yang dilalui suaminya itu. Dia tidak pernah berkecil hati, walaupun sering ditinggalkan. Bagi Alyssa, ramai lagi orang di luar sana, yang memerlukan perhatian Tuan Fahreen. Tidak adillah jika Alyssa mahu merebut semua masa Tuan Fahreen untuk dirinya seorang sahaja. Dan, kerana itu jugalah, Tuan Fahreen juga tidak menentang apabila Alyssa menyibukkan dirinya dengan dua tugas sekali gus, iaitu di pejabat Abang Bob dan juga Wadi Afzan. Selagi Alyssa mampu, Tuan Fahreen tidak mempunyai sebarang halangan.
Abang, siapa yang ganti tempat Che Ros sekarang ni soal Alyssa, yang tiba-tiba teringat akan posisi pembantu peribadi Tuan Fahreen yang sudah kosong itu.
Pihak Human Resource masih mencari calon yang sesuai. Abang pun tak pressure mereka untuk cepat-cepat mencari pengganti Che Ros, sebab abang memerlukan calon yang benar-benar berkebolehan dalam mengendalikan segala kesibukan abang. Buat sementara ni, Rosni dari admin, yang ambil-alih kerja-kerja tu semua.
Alyssa termenung seketika. Banyak juga memori yang boleh dikenang semula selama dia mengenali Che Ros. Walaupun dia tidak begitu berkenankan Che Ros seperti rakan-rakannya yang lain, tetapi Alyssa kagum dengan sifat cinta segila mungkin yang ada pada diri Che Ros. Alyssa sendiri mengaku bahawa dirinya tidaklah sehebat Che Ros dalam menyintai suaminya. Cuma, nasib Che Ros sedikit malang kerana Tuan Fahreen tidak menaruh hati kepadanya. Jika Che Ros tidak bertepuk sebelah tangan, pastinya mereka akan menjadi pasangan yang bahagia.
Che Ros tu memang bagus jadi PA abang. Bertahun-tahun dia bekerja dengan abang, tentu dia tahu dan cekap dalam mengendalikan segala hal, kan Sayang juga, bila dia dibuang dari Tajul Holdings.
Tuan Fahreen berasa tidak selesa apabila Alyssa menyebut nama Che Ros di hadapannya. Apa lagi, bila Alyssa sedikit memujinya. Tuan Fahreen tak akan sekali-kali memaafkan orang yang telah memporak-perandakan rumahtangganya dan mendatangkan bala terhadap isterinya. Mukanya berubah kelat, namun masih mampu berdiam diri.
Kasihan Che Ros, dia jadi mangsa pada perasaannya sendiri, tambah Alyssa lagi.
Boleh tak, sayang jangan sebut lagi nama perempuan tu depan abang Abang dah benci dengar nama dia. Sebaik manapun kerja dia, tak akan dapat menyembuhkan segala duka yang telah dia lemparkan kepada kita. Dia masih bernasib baik sebab abang tidak mendakwanya. Kalau tidak, dah lama dia jadi penghuni penjara tu, tegas Tuan Fahreen.
Alyssa mulai perasan akan perubahan air muka Tuan Fahreen. Kesal juga, kerana dia hampir menaikkan darah Tuan Fahreen. Jelas sekali yang suaminya itu sudah tidak dapat menerima Che Ros kembali dalam tatakerjanya. Jangankan itu, mendengarkan nama Che Ros juga, sudah boleh mendatangkan kemarahannya.
Hari itu, Alyssa keluar dari rumah untuk ke suatu tempat yang sudah dirancangnya. Itu pun, sesudah mendapat keizinan dari suaminya. Pada mulanya, Tuan Fahreen mahu pemandu yang menghantarkan Alyssa ke destinasi yang mahu dia tuju. Namun begitu, Alyssa berjaya memujuk suaminya itu untuk membenarkannya memandu sendirian dengan menyatakan yang dia sudah cukup sihat. Lagi pun, ada banyak destinasinya hari ini. Alyssa akan berasa tidak selesa jika pemandu terpaksa menunggunya.
Destinasi pertama Alyssa hari itu, adalah ke pusara bayinya. Semenjak keluar hospital, Alyssa kerap mengunjungi pusara itu. Air matanya bagai tidak dapat ditahan-tahan untuk mengalir keluar, setiap kali melihat pusara bayinya itu. Kesedihan yang tidak tertanggung, kerana bayi itu pergi sebelum sempat membuka matanya untuk menikmati keindahan dunia.
Anakku, ibu minta maaf sebab berlaku tidak adil kepadamu. Ibu terlalu kejam. Ibu yang telah membunuhmu, merosakkan masa depanmu, dan menghancurkan hati ayahmu. Ibu rela dengan hukuman terhadap ibu, sayang. Allah tahu, yang ibu sememangnya tidak layak menjadi ibumu. Malahan, ibu tidak layak untuk menjadi ibu kepada anak yang lain juga, sebab ibu telah mensia-siakanmu, sayang.
Air mata mencurah-curah bagaikan air sungai yang mengalir tanpa hentinya. Alangkah indahnya jika sekarang ini Alyssa berdiri dengan menggendong bayinya. Alyssa mengesat air matanya sambil tangan memegang nesan yang terpahat di situ.
Percayalah sayang, bahawasanya ibu terlalu menyayangimu dan juga ayahmu. Tidak terlintas langsung di hati ibu untuk menidakkan hak sayang menikmati kehidupan di dunia ini. Namun, kata-kata ibu yang tanpa niat itu, telah memusnahkan kehidupanmu dan menggelapkan masa depan ibu sendiri. Maafkan ibu sayang, ibu benar-benar menyesal.
Ibu sedar, ibu hanyalah insan kerdil di muka bumi ini. Ibu tetap mengharapkan doamu di syurga, supaya ibu diberi kekuatan untuk menghadapi bala yang dicipta oleh ibu sendiri. Tolonglah doakan agar ibu berjaya membina kebahagiaan buat ayahmu yang amat ibu cintai. Ibu rela, sayang, walaupun kebahagiaan ibu sendiri yang bakal hancur. Ibu harus membuatkan ayahmu bahagia, sebagai balasan terhadap segala penderitaannya yang dicetuskan oleh ibu. Semoga engkau sentisa bahagia di syurga Firdausi, ditemani bidadari-bidadari indah di sana, anakku. Doakan supaya ibu dan ayahmu akan menuruti jejakmu menjadi penghuni di sana juga, setelah kita tidak dapat hidup bersama di alam dunia ini. Ibu sayangkanmu, nak. Sayang sangat.
Kehancuran dan kekecewaan terendam bersama air mata kekesalan Alyssa. Pusara bayinya itu, dihujani hujan air mata yang tidak ada noktahnya. Alyssa pasrah. Sampai bilakah air mata itu akan mengalir Ataupun, mungkinkah ianya akan kering suatu hari nanti Hanya Allah yang tahu. Asalkan, janji yang dimeterai di pusara anaknya itu, untuk membahagiakan suaminya, akan terlaksana. Mudah-mudahan, itulah harapan Alyssa.
Agak lama juga Alyssa berada di pusara bayinya. Terlalu banyak luahan yang hendak dicurahkan, namun tidak terucap. Alyssa begitu terkilan kerana tidak berpeluang untuk memeluk bayinya, mengendongnya, membelai kulitnya, dan menyusukannya. Dan apa yang paling parah sekali, Alyssa juga tidak berpeluang untuk melihat zuriatnya itu membesar di hadapan matanya.
Duka lara yang berterusan menemani Alyssa sepanjang pemanduannya keluar dari taman pusara. Tuan Fahreen telah menghadiahkannya sebuah kereta baru sebagai menggantikan keretanya yang rosak teruk ketika kemalangan tempoh hari. Alyssa merasakan, alangkah indahnya jika dirinya juga baru seperti kereta yang dipandunya itu. Dia mahu rasa sesempurna kereta baru yang tidak ada cacat celanya di mana-mana.
Namun, peredaran masa tidak mungkin dapat diputarkan kembali. Jika sudah cacat, maka selama-lamanyalah ianya berkekalan. Ia tidak mungkin sempurna seperti benda baru lagi. Apa yang Alyssa tahu, dirinya hanya indah di luarnya. Namun di dalamnya, telah rosak binasa, umpama kereta potong.
Alyssa menghalakan keretanya menuju lokap tempat Nisya ditahan. Entah mengapa, hatinya meronta-ronta untuk bertemu dengan Nisya semenjak mendapat tahu bekas teman liburannya itu ditahan polis. Semuanya terjadi akibat dari aduan yang dibuat oleh Tuan Fahreen. Namun Alyssa sedikit pun tidak menyalahkan suaminya itu. Dia tahu, Tuan Fahreen membuat pengaduan tersebut, atas sebab-sebab yang bernas dan berasas.
Orang seperti Tuan Fahreen, tidak akan mengambil tahu urusan orang lain, sama ada baik atau buruk, asalkan orang itu tidak mengganggu kepentingannya. Tetapi, Nisya sudah bertindak melampaui batas, sedangkan Tuan Fahreen pernah memberinya amaran suatu ketika dahulu. Melanggar amaran orang yang berpengaruh seperti Tuan Fahreen, bermakna dia menempah balanya sendiri.
Suasana di lokap agak tenang. Setelah melaporkan diri di kaunter hadapan, Alyssa telah dibawa menuju ruang menunggu untuk bertemu dengan pesalah. Alyssa telah diiringi oleh dua orang anggota polis. Walaupun geram dan marah, namun hati Alyssa masih berdebar-debar untuk berhadapan dengan Nisya.
Nisya yang bakal ditemuinya hari ini, adalah Nisya yang jauh bezanya dari yang dikenalinya sebelum ini. Nisya yang berada di dalam tahanan sekarang, boleh bertindak lebih dari batasannya kerana dia sudah hampir bergelar banduan. Oleh itu, Alyssa perlu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk dan tutur katanya sebentar nanti.
Tidak lama Alyssa menunggu. Nisya dibawa kepadanya oleh dua orang lagi polis perempuan di samping. Dari jauh, Nisya sudah tersenyum sinis bila melihat Alyssa menunggunya di situ. Walaupun geram melihat wajahnya, Alyssa harus mampu untuk mengawal dirinya sendiri. Ada beberapa kepastian yang perlukan jawapan dan perempuan durjana itu.
Oh, Puan Alyssa, kawan lamaku. Apa tujuan puan datang ke mari Rindu dengan kawan ini kah Ha ha ha....bravo, ujar Nisya sambil duduk dengan tangan bergari.
Nisya, kalau engkau tu kawan aku, sudah tentunya aku tak akan datang tengok kau di sini. Aku tak sampai hati melihat kawan aku menderita di tempat sebegini. Busuk dan terkurung. Tetapi, aku datang ke sini untuk lihat penderitaan engkau, orang yang telah berjaya merosakkan kehidupan ramai orang di luar sana.
Puan Alyssa, tentu you dah puas hati sekarang, kan Melihat I terkurung dalam tempat ni. Sekurang-kurangnya, you pastinya akan berasa selamat di luar, ujar Nisya, selamba.
Terkurung di sebalik jeriji besi, tidak begitu memberikan kesan kepada Nisya. Dia seolah-olah berpuas hati dan bersikap agak menjengkelkan. Dia sedikit pun tidak menyesali segala perbuatannya sebelum itu. Mungkin kerana hatinya sudah menjadi hitam akibat perbuatan khianatnya itu.
Nisya, aku sedikit pun tidak pernah mengganggu urusan engkau di luar, walaupun aku tahu segala kegiatan jahat engkau. Bukannya aku tak tahu, yang engkau ini penipu, pemeras, menjual perempuan untuk dijadikan pelacur dan juga mengedar dadah di kelab-kelab malam dan pub. Aku tak pernah kacau engkau, kenapa engkau kacau hidup aku
Nisya merenung Alyssa dengan satu senyuman sinis.
Engkau tahu tak, perbuatan engkau telah menyebabkan Che Ros kehilangan punca pencariannya dan aku, kehilangan segala-galanya. Puaslah hati engkau sekarang, kan Nisya, kenapa engkau buat aku macam ni tanya Alyssa, meluahkan isi hatinya.
Nisya sengaja tertawa seraya mengejek, lantas berkata, Memang I puas hati. Padan muka you. Kalau I menderita di dalam sini, you juga menderita di luar sana. Apa rasanya, bila anak you mati depan mata you, ha
Dengan tidak disangka-sangka, Alyssa terus naik angin dan bangkit dari kerusinya, lalu memberikan satu tamparan yang kuat di pipi kanan Nisya. Segala kemarahan dan kekecewaannya dilepaskan menerusi tamparan tersebut. Nasib baiklah ada beberapa anggota polis yang menahannya dari terus berbuat demikian. Kalau tidak, mahu bengkak muka Nisya dikerjakannya.
Puan tak boleh bertindak begini. Perbuatan memukul tahanan adalah salah. Kalau tahanan mengadu, puan boleh dikenakan tindakan. Harap puan dapat bersabar, nasihat salah seorang anggota polis yang bertugas.
Alyssa lantas mencapai tas tangannya, untuk segera meninggalkan tempat itu. Dia tidak ingin melihat wajah Nisya yang terlalu menyakitkan hatinya. Biarlah tempat itu sahaja yang menghukum segala perbuatan jahat Nisya. Bagi Alyssa, Nisya ibarat bangkai kucing yang mati di tengah jalan.
Namun, tiada yang sudi mengangkatnya pergi. Maka, ia hancur digilis tayar kereta yang lalu-lalang.
Ketika Alyssa mahu melangkah keluar, dia terdengar Nisya bersuara sehingga menghentikan langkahnya.
You telah merampas seseorang yang I puja dan cintai, Alyssa. Sekarang ni, you rasalah bagaimana pedihnya bila ditinggalkan seseorang yang you sayangi. Walaupun, Tuan Fahreen tidak meninggalkan you, tetapi you sudah kehilangan bayi dalam kandungan. Tentu you dah rasa, bagaimana meratapnya hidup you bila baby you mati, kan
Siapa yang aku dah rampas dalam hidup kau Jawab soalan aku, Nisya! tanya Alyssa, separa berteriak.
Fir!
Fir soal Alyssa, kehairanan.
Yes, Fir. You tentu tak tahu, kan Betapa dalamnya cinta I pada Fir Kerana Fir, I sanggup korbankan masa depan I sendiri. I jual dadah, jual perempuan dan jual pil-pil khayal, semata-mata untuk membantu dia berjaya dalam businessnya. I tak pernah takut pada hukuman, tetapi I takut akan kehilangannya.
Sudah agak lama juga Alyssa tidak mendengar nama Fir. Dia tidak tahu sama ada lelaki itu masih hidup di muka bumi ini ataupun telah meninggalkan Malaysia akibat ketakutan akan segala kemungkarannya yang bakal terbongkar. Namun, Alyssa tidak menyangka bahawa Nisya punya perasaan terhadap Fir. Sedangkan selama ini, Nisyalah yang membekalkan gadis-gadis untuk menjadi teman liburan Fir yang tiada batasannya itu. Tidak mungkin dia tergamak melihat Fir mendampingi perempuan di hadapan matanya sendiri.
Semenjak you datang dalam hidup Fir, segala-galanya berubah. Kalau you nak tahu, Fir sebenarnya menyintai you, sehingga sanggup menolak cinta I yang sudah berkorban terlalu banyak untuknya. I tak boleh terima itu semua.
Aku tahu, engkau marahkan aku, sebab engkau gagal jual aku pada Taukeh Ang di Genting Highland dulu, kan Sebab tu engkau berpakat dengan Fir untuk kenakan aku. Engkau mengaku sajalah Nisya, jangan letakkan kesalahan hanya pada Fir seorang, bentak Alyssa.
I bukannya buat business ni baru sebulan dua, tetapi dah bertahun-tahun. Adat berniaga, biasalah. Ada kala berjaya, adakalanya, kantoi. I tak pernah simpan dendam, kalau ada di kalangan perempuan yang I cuba jual, berjaya menyelamatkan dirinya. Bagi I, mungkin nasibnya baik. So, I just let her go. Tapi, bila Fir pun pergi dari sini sebab kecewa dengan you, I rasa hidup I sudah tak ada ertinya lagi. He left me just like that, because of you, Alyssa. Dia lari tinggalkan Malaysia, semata-mata kecewa dengan you, tahu tak jelas Nisya bersungguh-sungguh membongkar kebekuan perasaannya di hati.
Alyssa hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia tidak mengerti mengapa Nisya harus merosakkan dirinya sendiri, semata-mata kerana seorang jantan kasanova seperti Fir.
Memang Alyssa akui, yang dia pernah rapat dengan Fir. Tetapi, tidak pernah terlintas langsung di hatinya untuk jatuh cinta pada jantan yang sedemikian. Kalau pun dia ada mengakui yang dia sukakan Fir, ini mungkin disebabkan Alyssa berada di bawah pengaruh pil-pil khayal yang dibekalkan oleh Fir kepadanya.
Nisya, kalau Che Ros yang marah dan dendam kepada aku kerana merampas lelaki yang dicintainya, aku tidak terkilan. Aku hormati kasihnya itu kerana ia bertapak kepada lelaki yang benar-benar baik. Tetapi, jika engkau menggunakan alasan cinta engkau kepada Fir, aku rasa usaha engkau selama ini, sia-sia belaka. Engkau sanggup memperlekehkan diri dan cinta engkau sendiri, untuk Fir, lelaki paling tidak berguna yang pernah aku kenali. Tetapi, aku memang tak boleh salahkan engkau, kerana cinta itu sememangnya buta. Engkau buta dalam mengenali dan melihat sejauh mana cinta lelaki keparat seperti Fir itu.
Nisya merenung Alyssa dengan satu pandangan marah. Sekarang, dia terpaksa pula mendengar lelaki kesayangannya dikutuk oleh Alyssa.
Untuk pengetahuan engkau, aku langsung tidak menyintai Fir. Dan kalau Fir tinggalkan engkau sekali pun, aku percaya itu bukan kerana aku, tetapi kerana perempuan lain. Cintanya telah mati bersama engkau. Engkau tahu tak, sebenarnya, aku kasihan sangat pada engkau. Disebabkan cinta bodoh engkau ini, engkau jadi mangsa tempat macam ini.
Apa yang kau cakapkan ni Kau jangan hina aku dan cinta aku!
Aku tak hina kau, sebab kau ni memang perempuan bodoh. Aku percaya, engkau pasti akan dipenjarakan di atas segala jenayah yang telah engkau lakukan. Mungkin sudah nasib engkau untuk tinggal dalam tempat tikus seperti itu. Walau bagaimanapun, aku harap, tempat itu akan memberikan pengajaran yang paling berguna untuk engkau nanti. Semoga engkau akan lebih menghargai orang lain, selepas ini, ujar Alyssa sebelum beredar dari situ.
Alyssa pergi tanpa sedikit pun menoleh kepada Nisya. Biarlah ditingalkannya Nisya bersama kenangan pahitnya di situ. Jawapan yang ditagihnya dari Nisya, sudah diperolehi. Perbandingan yang akan dijadikan sempadan dalam menjalani kehidupannya selepas ini.
Alyssa mahu terus melangkah, sambil mengutip kembali sisa-sisa kenangan yang tinggal. Dia bertekad untuk menggubah satu corak penghidupan baru, demi kesucian cintanya dan keharmonian rumahtangganya. Pengorbanan yang akan dilakukan Alyssa, demi memelihara martabat dan menjamin keturunan suaminya. Kini adalah masanya untuk Alyssa berhenti dari semata-mata memikirkan diri dan perasaannya sahaja. Keanggunannya sebagai isteri akan tetap terpelihara walaupun menetapkan pemikiran hidup yang berbeza kelak.
Nah, minum air ni dulu, beb. Biar sejuk sikit dada engkau tu, ujar Elly sambil menghulurkan segelas air sejuk kepada Alyssa.
Alyssa yang baru sahaja tiba di pejabat Wadi Afzan, menceritakan segala yang telah terjadi kepada sahabatnya itu. Kemarahannya terhadap Nisya masih meluap-luap, sehinggakan dia seakan-akan sesak nafas setiap kali menyebut nama perempuan itu. Mujurlah Elly bijak menenangkan Alyssa. Kalau tidak, mahu histeria jadinya.
Itulah engkau, aku cakap tak perlu pergi jenguk perempuan tu di lokap. Tetapi, engkau berdegil juga. Tengok sekarang, apa yang engkau dapat Sia-sia sahaja kerja kau, beb. Orang macam Nisya tu tak akan pernah berubah, walaupun disumbat ke lubang neraka sekali pun.
Aku bukan suka-suka nak melawat dia, beb. Aku cuma mahukan kepastian, kenapa dia buat aku macam ni. Ternyata kenyataannya, langsung tak masuk di akal, ucap Alyssa pula.
Alyssa tetap mempertahankan pendiriannya yang pergi berjumpa dengan Nisya di lokap polis, tanpa pengetahuan sesiapa, kecuali Elly. Malahan Alyssa juga sedar, suaminya juga pasti tidak suka dengan perbuatannya itu, jika dia mengetahui perkara ini.
Habis tu, dia tahukah yang engkau dah tak boleh hamil lagi
Alyssa hanya mengelengkan kepalanya.
Baguslah kalau dia tak tahu. Kalau dia tahu, tentu dia tengah terguling-guling ketawakan engkau dalam lokap sekarang ini, ujar Elly.
Memang benar kata Elly. Orang seperti Nisya tidak akan senang melihat kesenangan orang lain, tetapi akan bergembira melihat penderitaan orang. Terbit kesal di hati Alyssa, kerana dipertemukan dengan manusia sejahat Nisya. Namun Alyssa sedar, segala-galanya berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tidak berjinak-jinak dengan kehidupan malam suatu ketika dahulu, tentu keadaan yang sekarang ini tidak akan terjadi kepadanya. Pastinya Tuan Fahreen dan bayi yang pernah dikandungnya, tidak akan terheret sama ke dalam masalah ini. Tetapi, segala-galanya sudah hancur. Nasi sudah menjadi bubur.
Namun, Alyssa tidak akan terus-terusan membiarkan Tuan Fahreen menanggung penderitaan akibat dari kesilapan bodohnya. Alyssa sedar, sebagai isteri, dia seharusnya membahagiakan suaminya. Paling tidak pun, dia perlu melakukan sesuatu yang akan dapat dinilai dengan mata kasih suaminya. Jika dia hanya ditakdirkan menjadi pemegang payung emas sahaja di syurga nanti, dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya dia tidak akan berada jauh dari suaminya itu.
Beb, aku nak tebus segala kesalahan aku kepada suamiku selama ini. Aku kepingin dia bahagia selama-lamanya. Aku tak mahu menjadi penghalang keupayaannya.
Apa maksud engkau ni, beb Aku tak faham. Kenapa engkau katakan yang engkau tak mahu menjadi penghalang keupayaannya soal Elly, keliru.
Aku mahu, Tuan Fahreen punyai zuriat dari hasil benihnya sendiri, bukannya zuriat angkat.
Tapi, macam mana beb Engkau kan ... opps maaf.
Elly menutup mulutnya. Tidak mahu keterlanjuran meluncur keluar, bimbang akan menyentuh dan menyakiti hati sahabatnya itu.
Engkau jangan cakap yang engkau nak Tuan Fahreen berkahwin lagi, kata Elly.
Alyssa hanya terdiam seketika mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Memang benar kata Elly itu. Alyssa mahu Tuan Fahreen berkahwin lain supaya dia boleh memperolehi zuriat dari perkahwinan keduanya kelak. Perlahan-lahan, Alyssa menganggukkan kepalanya dan ini membuatkan Elly hampir ternganga luas melihat pengakuan sahabatnya itu.
Engkau jangan jadi gilalah, beb. Engkau sedarkah apa yang engkau rancangkan ni
Aku sedar beb, dan aku seratus peratus siuman, ujar Alyssa dengan yakinnya.
Engkau tak fikirkah tentang diri engkau nanti Bagaimana perasaan engkau bila suami engkau beristeri lain Sedikit sebanyak, engkau pasti akan menderita, walaupun semua itu terjadi dengan keizinan engkau. Aku rasa, baiklah engkau stay saja macam keadaan sekarang ni. Selepas ini, engkau ikut sahaja saranan Tuan Fahreen untuk segera ke Rumah Anak-anak Yatim Wadi Afzan dan ambil seorang anak angkat. Aku akan bantu uruskan semua itu. Kalau tidak pun, engkau boleh pergi mana-mana rumah kebajikan untuk mencari budak-budak yang berkenan di hati engkau berdua.
Alyssa menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan dia tidak bersetuju, tetapi merasakan perkara itu hanya akan menyeksa suaminya. Memegang status ibubapa angkat tidak segah ibubapa kandung. Itulah menurut pandangan Alyssa.
Memang aku sudah tak boleh untuk menjadi seorang ibu, tetapi Tuan Fahreen masih boleh menjadi seorang ayah. Adilkah aku menjadi penghalang baginya mendapatkan zuriatnya sendiri persoal Alyssa.
Elly tak mampu menjawab soalan sahabatnya itu. Alyssa sedang meletakkan posisinya di tempat Tuan Fahreen, dan dia dapat merasakan kekecewaan yang tertanam jauh di lubuk hati suaminya itu. Jika Alyssa tidak bertindak sekarang, dia bimbang kekecewaan itu akan menjadi barah yang mengeluarkan nanah, suatu hari kelak.
Sampai bila dia boleh bersabar dengan semua ini, beb Dia seorang lelaki. Dia lebih dari berkemampuan untuk beristeri lagi. Sedangkan aku Aku hanyalah isteri yang sudah tidak mampu untuk memberikannya zuriat. Bukankah itu adalah alasan yang kukuh untuknya berpoligami terang Alyssa lagi.
Tetapi beb, aku percaya cinta Tuan Fahreen terhadap engkau, tidak senipis yang engkau sangka. Dia reda menerima segala kekurangan engkau. Engkau ada pernah dengar dia merungut Tak pernah,
kan Jadi, seharusnya engkau tidak menimbulkan soal beristeri lagi kepadanya. Melainkan, kalau dia yang berhajat sedemikian.
Namun, lain pula yang berada di fikiran Alyssa. Dia tidak mahu suaminya menjadi seseorang yang diam-diam ubi. Walaupun sukar, kenyataan untuk Tuan Fahreen beristeri lagi tetap harus diterima dengan hati yang terbuka oleh Alyssa.
Kesabarannya itulah yang membuatkan aku jadi bertambah takut, beb. Aku tak mahu jiwanya memberontak suatu hari nanti. Sebelum dia tersungkur, lebih baik aku bertindak sekarang. Sekurang-kurangnya, dia akan menghargai apa yang aku cuba lakukan untuk dia.
Hai, aku tak tahu nak cakap apa lagilah, beb. Semua keputusan di tangan engkau. Aku rasa, lebih baik engkau bincangkan perkara ini dengan suami engkau, sebab apa-apa sahaja yang engkau rancangkan pastinya akan melibatkan masa depannya sama, nasihat Elly.
Sememangnya Alyssa berhasrat untuk memperbincangkan perkara tersebut bersama suaminya. Dia berharap semoga suaminya itu bersetuju dengan rancangannya dan bersetuju untuk berpoligami, demi satu zuriat. Alyssa sedar, bukan mudah untuk memujuk hatinya yang bakal terluka dengan keputusannya itu. Namun, demi sebuah kasih sayang yang begitu besar maknanya, maka Alyssa harus merelakannya.
Beberapa hari selepas itu, Alyssa solat isyak berjemaah bersama suaminya. Sudah lama rasanya tidak bersolat bersama. Memandangkan hari itu Tuan Fahreen baru saja pulang dari Kelantan, maka mereka sama-sama melaksanakan ibadah berjemaah yang dituntut pada setiap suami isteri muslim itu.
Seusai solat bersama, Alyssa cuba menyatakan hasrat hatinya. Bagi Alyssa, itu adalah kesempatan yang terbaik untuk mereka berbincang. Diharapkan keberkatan ketika masih lagi berada di atas tikar sejadah, akan dapat memberikan satu perbincangan yang mendamaikan. Semoga apa yang diperkatakan nanti, bakal mendapat keberkatan Ilahi. Pada mulanya, Alyssa berasa sedikit berat untuk memulakan bicaranya. Bimbang juga, kalau cadangan dan permintaanya itu, bakal ditentang Tuan Fahreen.
Namun, hatinya sempat membisikkan, Apa yang engkau nak bimbangkan, Alyssa. Engkau mahu melakukan sesuatu yang baik, dan penuh dengan kerelaan hati. Insya-Allah, rancanganmu ini akan mendapat bantuan dari Allah, mudah-mudahan.
Abang, boleh kita cakap sekejap, kata Alyssa, menahan suaminya yang kelihatan sudah mahu bangkit dari sejadah.
Ada apa, sayang
Alyssa merapatkan dirinya kepada suaminya. Mereka duduk bertentangan mata antara satu sama lain. Dalam pada itu pula, Tuan Fahreen masih sempat menghadiahkan senyuman manisnya buat isterinya yang tercinta. Senyuman dan air muka itulah yang membuat Alyssa bertambah getar. Apa lagi, suaminya itu semakin kacak dan hebat jika acapkali direnung begitu.
Ya Allah, kuatkan hatiku untuk berhadapan dengan insan-Mu yang memukau kalbu ini, bisik nuraninya.
Sayang, kenapa ni Tadi kata, ada benda nak cakap. Tapi, kenapa sekarang diam membisu soal Tuan Fahreen apabila melihat Alyssa masih termanggu-manggu mencari idea untuk memulakan bicara.
Begini abang, Lyssa rasa lebih baik kita straight to the point sahaja. Lyssa nak abang kahwin lagi. Sebagai hamba Allah, Lyssa reda dan sebagai isteri abang, Lyssa ikhlas.
Sayang, kalau nak berguraupun, janganlah di atas sejadah ni. Tak baik tau, sayang permainkan abang macam ni. Baru sebentar tadi, kita berdoa memohon kemaafan dan keberkatan dari-Nya. Sekarang, kita nak berseloka pula ujar Tuan Fahreen, masih tersenyum.
Tak abang, Lyssa serius. Lyssa betul-betul nak abang kahwin seorang lagi. Dah beberapa malam Lyssa istikharah, minta petunjuk dari Allah. Lyssa yakin, ini adalah yang terbaik untuk kita dan untuk abang, khasnya.
Tuan Fahreen mulai mengerut dahinya. Hatinya tertanya-tanya, mengapakah persoalan tersebut boleh keluar dari mulut isterinya secara tiba-tiba. Apakah yang sudah menghasutnya untuk membuat keputusan sedemikian
Kenapa tiba-tiba sayang ambil keputusan macam ni Sebab sayang tak boleh mengandung lagi, ya
Namun, tiada jawapan yang terkeluar dari mulut Alyssa. Dia tidak tahu hendak memberi jawapan. Nak jawab bukan, nampak benar menipunya. Tetapi, kalau jawab ya, takut dimarahi pula.Tiba-tiba sahaja Alyssa merasa agak serba-salah. Perasaannya pula, berbelah bagi kerana bimbang bakal melukai hati suaminya itu.
Abang jangan salah sangka. Lyssa jujur mahu mempertahankan kebahagiaan yang kita bina ini. Lyssa yakin, abang akan lebih bahagia apabila beristeri lagi. Zuriat pula, adalah pilihan abang dan bonus untuk kita berdua.
Jadi, sayang nak abang bahagia soal Tuan Fahreen.
Alyssa mengangguk.
Kalau abang bahagia, sayang akan bahagia jugakah duga Tuan Fahreen lagi
Kebahagiaan abang adalah kebahagiaan Lyssa juga. Lyssa suka tengok sinar dalam mata abang. Semakin mata abang dipagari cahaya, semakin tenang jiwa Lyssa memandangnya.
Tetapi, kebahagiaan abang adalah apabila memandang sayang seorang sahaja. Macam mana sayang nak lihat sinar tersebut kalau abang memandang perempuan lain Hidup abang tak akan punya apa-apa makna, tanpa sayang, akui Tuan Fahreen.
Perlahan-lahan, Alyssa mengusap paha suaminya. Dia tahu apa sebenarnya yang bermain di kepala Tuan Fahreen. Mungkin dia takut yang dia akan kehilangan Alyssa jika dia berkahwin lain nanti.
Abang masih boleh memiliki Lyssa, walaupun abang sudah beristeri lain. Lyssa tak akan tuntut talak dari abang. Abang masih boleh pandang muka Lyssa bila-bila masa pun yang abang suka. Lyssa reda dengan pernihakan kedua abang nanti.
Alyssa sedar, bukan mudah untuk bertentang kata dan mempengaruhi perasaan Tuan Fahreen. Tuan Fahreen adalah jenis lelaki yang teguh pada pendiriannya. Baik soal perniagaan maupun soal hati dan perasaan. Tetapi, Alyssa tidak boleh memendam begitu sahaja impiannya untuk melihat Tuan Fahreen punya zuriat sendiri. Dia harus berusaha sedaya-upaya untuk memujuk Tuan Fahreen agar bersetuju dengannya.
Abang, Tajul Holdings dan Wadi Afzan perlukan waris sejati, bukannya untuk diwarisi oleh anak-anak yang tidak ketahuan asal-usulnya. Zuriat dari benih abang adalah sebaik-baik umat untuk meneruskan legasi itu.
Tetapi, mereka tetap manusia, kan Kalau dididik dengan baik, pastinya mereka tidak akan menghampakan harapan kita. Abang tak rasa yang anak angkat ini berbeza sama sekali dengan anak sendiri. Contohnya, arwah papa sayang sendiri. Bukankah dia merupakan anak angkat pada arwah atuk Tetapi, keluarga angkatnya tidak pernah meminggirkannya, malahan sayang dapat juga bahagian sayang, sebab sayang adalah waris Pak Cik Yuyu, kan luah Tuan Fahreen.
Abang lupakah Bukankan arwah papa lari meninggalkan atuk, suatu masa dahulu
Tuan Fahreen terdiam. Hakikat masa silam itu masih kuat terpahat di ingatan Alyssa. Walaupun mereka semua sudah tiada, namun Alyssa masih punya nas yang kuat untuk mempertahankan kemahuannya berdasarkan kecelaruan yang pernah berlaku dalam keluarga Dato Suffian, almarhum datuk mereka.
Lyssa dapat bayangkan, betapa kecewanya hati atuk ketika itu. Dia bersusah-payah membesarkan papa. Apabila dewasa, papa telah meluluhkan hatinya dengan meninggalkannya. Lyssa tak mahu perkara itu turut terjadi kepada kita. Kerana itulah, abang mesti punya zuriat sendiri. Hanya baka abang sahaja yang dapat mewarisi keturunan abang yang baik itu, hujah Alyssa dengan yakin.
Tuan Fahreen makin terkedu tidak terkata apabila mendengar penjelasan panjang lebar dari Alyssa. Tuan Fahreen tahu bagaimana deritanya arwah atuknya apabila arwah Pak Cik Yuyu lari meninggalkannya. Bertahun-tahun atuknya mencari Pak Cik Yuyu namun tidak jua ketemu, sehinggalah dia meninggal dunia. Tetapi, perkara itu terjadi bukan disebabkan keturunan mereka yang berbeza, tetapi kerana perkara lain yang lebih menghiris rasa. Perkara yang masih rahsia dan hanya ketiga orang tuanya sahaja yang tahu. Adalah tidak adil jika Alyssa membuat perbandingan antara Pak Cik Yuyu dan atuk, dengan anak angkat yang bakal mereka ambil.
Abang, tolonglah. Lyssa merayu kepada abang. Demi kebahagiaan kita, tolonglah tunaikan harapan Lyssa yang satu ini. Itu pun, kalau abang sayangkan Lyssa. Selama ini, Lyssa telah banyak mendatangkan kesusahan dan keresahan pada abang. Abang adalah wira Lyssa, sejak dari mula kita kenal lagi. Tanpa abang, Lyssa tak tahu apakah kesudahan hidup Lyssa. Mungkin Lyssa akan merana seperti arwah mama juga.
Untuk pertama kalinya, Alyssa merendahkan keegoannya demi meraih persetujuan suaminya. Tuan Fahreen mulai sebak dengan permintaan isterinya itu.
Lyssa sanggup sujud di kaki abang, demi sebuah kebahagiaan. Tolonglah abang, selagi abang tak bersetuju, hati Lyssa tak akan tenang. Tolonglah abang, Lyssa rayu sangat pada abang, tangis Alyssa.
Alyssa terus merebahkan kepalanya di riba Tuan Fahreen. Tuan Fahreen dapat merasakan kainnya basah dengan air mata Alyssa. Nampaknya, Alyssa bersungguh-sungguh dengan hasratnya itu. Tuan Fahreen tidak mampu untuk menolak kemahuan Alyssa, namun dia juga tidak mampu untuk menerimanya. Jika ditolak, Alyssa akan sedih, tetapi jika diterima, Tuan Fahreen yakin yang Alyssa akan merana.
Sayang, abang tidak mahu memberikan jawapan yang pasti. Segala-galanya abang serahkan kepada sayang. Abang akan menurutkan segala kehendak sayang, asalkan sayang yang uruskan segala-galanya. Tetapi sentiasa ingat dalam hati sayang, yang abang hanya menyintai sayang seorang sahaja. Tiada sesiapapun yang dapat merampas tempat istimewa sayang di dalam hati abang.
Alyssa tersenyum, ceria kembali dengan pengakuan suaminya itu. Kata-kata Tuan Fahreen ibarat pengakuan keramat yang bersetuju dengan segala kehendak Alyssa yang satu itu. Alyssa berjanji kepada dirinya sendiri dan juga suaminya, yang dia akan mencarikan jodoh yang terbaik untuk dijadikan sebagai madunya.
Tuan Fahreen pula, bersetuju hanya untuk memuaskan hati Alyssa semata-mata. Dia tidak pernah bercadang untuk menduakan isteri kesayangannya itu. Tuan Fahreen tahu yang dia tidak akan dapat menyayangi isteri keduanya nanti, sepertimana dia mengasihi Alyssa. Tuan Fahreen berasa bimbang juga, andainya kebahagiaan yang diidam bakal bertukar menjadi bencana, terutama sekali kepada Alyssa.
Namun, Tuan Fahreen menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Andainya kebahagiaan yang bakal tersurat untuknya nanti, dia bersyukur. Tetapi, jika derita yang tiba, dia tetap bersyukur, selagi Alyssa ada di sampingnya.
Sesungguhnya, bukan mudah untuk membahagikan kasih sayang. Sebelum ketemu Alyssa, belum ada seorang perempuanpun yang berjaya memegang maupun menyentuh hatinya. Alyssa telah mengubah persepsinya yang agak sempit tentang wanita. Bukan harta yang dikejari wanita seperti Alyssa, hanya kasih sayang yang menjadi tonggak kehidupan sejati.
Ya Allah, bagaimanakah aku boleh menjadi umatmu yang sejati Sedangkan, membahagiakan isteriku sendiri pun, aku tidak mampu. Isteriku merayuku untuk kebahagiaanku sendiri. Tetapi, aku tidak mampu untuk rela menunaikan kehendaknya. Sukarnya untuk aku hidup dengan membahagikan kasih sayangku. Tuhanku, sesungguhnya, aku amat mencintainya.
Tuan Fahreen merintih dalam tafakurnya malam itu. Perlukah kekurangan Alyssa dijadikan sandaran untuknya beristeri lebih Adilkah dia nanti
Ya Allah, tiada siapa yang maha adil selain- Mu. Aku berserah segala takdir jodohku kepada-Mu. Kau berikanlah petunjuk hidup bahagia kepadaku dan isteriku, doa Tuan Fahreen lagi.
Tanpa dia sedari, air matanya menitis membasahi pipi lagi.