Tak ada apa untuk dirisaukan sangat, katanya. Aku tak tahu nak percaya atau tidak. Suaranya macam tersekatsekat. Dia macam nak luahkan sesuatu kepadaku, tapi dia tak mampu. Mungkin dia fikir aku tak mahu dengar apa yang mahu diluahkannya. Mungkin apa yang difikirkannya betul.
Ketika sedang bekerja, aku mengelamun buat beberapa ketika. Aku terfikir tentang mimpi yang aku alami semalam. Aku cuba mengingatinya kembali. Aku bertanya kepada diriku jika aku bermimpi dalam warna atau pun hitam putih. Apa yang pasti, ketika bermimpi, aku dapat alami segala-galanya seolaholah ia benar-benar berlaku di hadapanku.
Bagiku, mimpi adalah imbasan kembali cebisan-cebisan memori yang terkumpul di dalam kepala kita. Cebisan-cebisan memori ini seperti alat-alat muzik yang bermain di dalam satu simfoni, lantas mengeluarkan sebuah lagu yang mendodoikan atau sebaliknya. Memori adalah sesuatu yang terkumpul daripada pengalaman kita ketika sedar. Kita tahu bahawa seekor kucing yang muncul di dalam mimpi kita adalah seekor kucing kerana di dalam keadaan sedar, kita akan menyemak kembali memori kita untuk mengingatkan kita apa yang kita lihat itu adalah kucing dan bukan kuda atau pun ayam.
Jadi bagaimana pula dengan Melati Dia langsung tidak mempunyai memori kepada bunyi. Dia tidak pernah mengalami bunyi atau memahami tentang keindahannya. Adakah Melati mendengar bunyi ketika dia bermimpi
Perkara tentang Melati sememangnya merunsingkan fikiranku. Entah buat ke berapa kali minggu ini aku berfikir tentang dunia Melati. Aku mahu memahami dunianya. Aku mahu tahu bagaimana dia menjalani kehidupan sehariannya tanpa mendengar. Dan kenapa dia mampu melihat keindahan pada awan sedangkan aku tidak dapat melihat apa-apa yang indah di situ. Dengan mempertimbangkan hal ini sahaja membuatkan aku beranggapan Melati ini lebih istimewa berbanding dengan orang-orang yang normal seperti aku.
Semalam aku bermimpi tentang Melati. Dalam mimpiku, aku boleh bermain gitar walau pun aku memang tak tahu bermain gitar. Di dalam mimpiku, aku duduk di hadapan Melati lalu aku menyanyikan sebuah lagu untuknya. Di dalam mimpiku, Melati mampu mendengar nyanyianku. Di dalam mimpiku, Melati tersenyum lalu memberitahuku dengan suara yang lembut bahawa dia suka mendengar nyanyianku. Dia mahu aku nyanyi lagi.
Kemudian aku tersedar dari mimpiku. Aku tahu bahawa apa yang aku mimpikan tidak mungkin akan berlaku di dunia nyata.
Sekurang-kurangnya pada malam tadi aku tidak diganggu oleh mimpi ngeri yang kadangkala muncul untuk menggangguku. Di dalam mimpi ngeri itu aku akan dibawa untuk melihat perkara yang telah dilakukan bapaku sehingga mengganggu fikiranku selama ini. Setiap kali aku mengalami mimpi ngeri ini aku akan bangun tercungap-cungap. Basah berpeluh. Pernah sekali Tamrin dan abang Rastam perlu memegang kedua belah tangannya kerana aku menjerit-jerit sambil meronta-ronta di atas katil. Mereka kata keadaan aku seperti kena rasuk.
Aku mengeluh ketika memikirkan tentang ini semua. Mataku terus terpaku kepada sebiji bola yang dijual di toko sukan tempat kerjaku. Mahu sahaja aku ambil bola itu lalu menyepaknya kuat-kuat agar segala perasaan yang terbuku di dalam jiwaku dapatku sepak jauh-jauh. Aku mengambil bola tersebut lalu menimang-nimangnya. Aku pasti pada saat ini, Tamrin sedang bermain futsal dengan rakan-rakannya tanpa aku. Aku memandang ke hadapan. Aku dapati Andrew sedang berjalan ke arahku. Dia mengingatkan aku bahawa syif aku susah selesai. Aku boleh pulang.
Sebaik sahaja aku keluar dari pintu hadapan toko sukan ini, aku dapat melihat wajah Hasnah. Aku terkejut melihatnya berdiri menungguku. Dia juga kelihatan terkejut memandang wajahku.
Apa awak buat di sini Tanyaku sambil memandang ke kiri dan ke kanan.
Saya tunggu awak.
Untuk apa
Saya nak duduk berbual dengan awak.
Aku memandang ke arah jam tangan yang menunjukkan pukul 7.15 malam. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Takkanlah aku nak blah macam tu jer
Kita keluar makan malam, ya Hasnah menyarankan. Entah mengapa aku mengangguk setuju. Dia tanya jika aku mahu mengerjakan solat Maghrib dahulu. Aku mengangguk. Jadi kami terus ke surau yang terletak di Jusco. Kami mengerjakan solat Maghrib sebelum kami meneruskan program kami untuk malam ini.
Hasnah mahu membawaku makan malam di luar, bukan di Mid Valley. Tetapi di kawasan yang dekat-dekat dengan sini, katanya. Aku setuju. Lagi pun dia yang nak bawa aku keluar makan, bukannya aku.
Jadi kami ke tempat meletak kereta. Sepanjang aku berjalan dengannya dia langsung tidak bersuara. Tapi aku ada perasan ada kalanya dia menoleh ke arahku.
Hari ini awak ada kelas tak Tanyaku sebaik sahaja aku masuk ke dalam keretanya.
Ada. Tapi saya tak boleh concentrate.
Kenapa
Saya fikirkan fasal awak, kata-kata Hasnah membuatkan aku melepaskan nafasku dengan perlahan.
Hasnah menghidupkan enjin keretanya. Dia mengingatkan aku supaya memakai tali pinggang keledar. Aku menurut sahaja. Setiap kali aku naik kereta dengannya, setiap kali itulah dia akan mengingatkan aku supaya memakai tali pinggang keledar.
Hasnah terus memandu keretanya keluar dari Mid Valley. Dia bergerak ke arah Bukit Damansara lalu membelok ke Jalan Batai. Dia memberhentikan keretanya di hadapan Restoran Klimts. Dia tidak pernah membawaku ke sini. Kata Hasnah, Klimts ini restoran masakan Austria. Dia dan keluarganya telah makan di sini baru dua minggu yang lepas. Sebaik sahaja aku masuk ke restoran ini, Hasnah terus memberitahu pelayan wanita yang sedang memakai kostum ala Austria bahawa dia mahu duduk di meja berdekatan dengan tingkap. Si pelayan senyum lalu meminta kami duduk di tempat yang dinyatakan Hasnah.
Aku memandang ke luar. Aku tak nampak suasana di sebuah pekan kecil di Austria. Aku nampak lebuh raya LDP. Awak patut cuba Lamb Shank... Tak pun Sirloin. Sedap rasanya. Mesti awak suka, ujar Hasnah sebaik sahaja kami menerima menu.
Harga makanan di sini mahal-mahal. Aku tak mampu nak bayar. Aku tahu mesti Hasnah nak belanja. Apabila si pelayan datang kembali ke meja kami untuk tanya apa yang ingin dipesannya, dia pesan salmon strudel.
Awak nak makan apa Tanya Hasnah kepadaku. Si pelayan terus memandang kepadaku menunggu jawapan daripadaku.
Mahal sangat lah kat sini. Saya nak minum saja, kataku, lalu menoleh ke arah pelayan: I just want a glass of Coke please. Thank you.
Zwiebel Rostbraten, medium rare, kata Hasnah dengan pantas. Dia masih macam dulu lagi. Tak apa, hari ini saya belanja, katanya kemudian.
Aku terus duduk di situ sambil termenung ke luar. Aku tak tahu apa yang aku menungkan. Mungkin aku rasa bersalah. Mungkin segala perasaan yang mungkin aku ada kepada Hasnah kini datang kembali. Aku memandang ke arahnya. Hasnah mempunyai wajah yang comel. Dia mampu buat hatiku sejuk. Wajah Hasnah entah mengapa sedikit sebanyak mengingatkan aku kepada wajah mak aku. Mungkin matanya menyerupai mak aku. Mungkin sebab itulah aku terasa dekat kepadanya. Dialah awek pertama yang berjaya buat aku rasa bersalah bila aku minta perpisahan.
Awak tak sepatutnya pulangkan balik barang-barang
yang saya hadiahkan untuk awak.
Saya tak nak benda-benda tu lagi.
Duit yang saya berikan kat awak tu pun ikhlas saya bagi.
Hasnah... Kalau mak bapa awak tahu awak bagi duit kat saya nanti macam mana Saya tak nak kena tuduh saya ni kaki kikis pula nanti.
Hasnah mendiamkan dirinya. Mungkin kerana dia tak mahu bertengkar denganku. Dia tak mahu aku menaikkan suaranya kepadaku.
Saya nak berbaik dengan awak.
Untuk apa
Dia diam, mungkin dia tidak menyangka aku akan bertanyakan soalan ini kepadanya. Aku dapat merasakan dia seolah-olah meniti di atas batang pinang. Dia sedaya upaya mengimbangi badannya agar dia tak jatuh.
Saya dengar awak mula main futsal dengan Tamrin dan Raslan.
Ya.
Best tak main futsal
Macam main bola, tapi dalam dewan tertutup dan padangnya kecil sikit, jawabku. Aku dapat melihat Hasnah meramas-ramas tangannya. Kalau dia buat begini, pasti ada sesuatu yang ingin dinyatakan kepadaku.
Awak masih marahkan saya ke
Saya tak marahkan awak. Kenapa awak fikir saya marahkan awak ni
Jadi kenapa awak minta kita berpisah.
Aku dah agak mesti dia akan tanya soalan ini kepadaku. Aku rasa malas nak jawab soalan ini. Sebab aku sendiri tidak ada jawapan yangkukuh untuk aku berikan kepadanya.
Maafkan saya kalau saya dah sakiti hati awak, kataku perlahan. Dalam hal-hal serius macam ini aku tak mahu ego.
Aku tahu aku bersalah.
Kita lupakan sahaja tentang ini semua ya, Emmet
Hasnah... Saya lebih suka jika kita macam ini.
Masa tu aku harap dia tak kisah kalau aku anggap dia sebagai kawan. Tapi aku pasti dia tidak mungkin dapat menerima aku sebagai kawannya. Dia mahu aku lebih daripada itu. Dia mahu memiliki aku seperti dia memiliki segala apa sahaja yang mampu dimilikinya.
Macam ni apa What are you talking about
Sebagai kawan, kataku akhirnya tanpa mahu berdolak dalih lagi. Aku menoleh ke arah pengunjung-pengunjung lain yang sedang berada di dalam restoran eksklusif ini. Mereka nampaknya sedang sibuk melayani hal masing-masing.
Emmet, please!
Mata Hasnah mula berkaca-kaca. Dia mahu menangis. Inilah dia senjata utama kaum Hawa. Tangisan. Tapi aku ada hati yang tak lut dengan air mata. Aku terus duduk kaku dengan mataku memandang penuh ke arahnya.
Seingat aku, mak aku hanya pernah sekali sahaja menangis di hadapanku. Sebelum ini, walau apa pun yang berlaku, mak tetap tak akan menangis. Dengan tenang dia akan menghadapi segala-gala bebanan yang terpaksa dihadapinya dengan tabah. Aku masih ingat lagi kepada wajah mak ketika wajahnya itu terpampang di surat khabar gara-gara bapa aku. Wajahnya ketika itu nampak tenang, walau pun aku tahu jika perkara ini berlaku kepada perempuan lain, pasti mereka akan menangis tak henti-henti. Tapi bukan mak. Dengan wajah yang tenang dia berjalan di sebelah bapa apabila gambar mereka tidak henti-henti diambil juru kamera.
Mak hanya menangis pada hari dia mengetahui bahawa dia telah dikhianati. Pada hari itu lah aku akhirnya dapat melihat titisan air matanya jatuh ke bumi. Aku tak akan maafkan bapa aku sampai bila-bila kerana telah membuatkan mak aku menangis begitu.
Pada malam itu Mak menangis dengan cukup sayu sehingga kedengarannya seperti dia ketawa. Sehingga ke hari ini suaranya ketika menahan sebak masih menghantui jiwaku ini. Segala perasaan sedih, marah dan duka yang selama ini ditahan-tahan dan dipendam-pendamnya akhirnya dibiarkan mengalir melalui air matanya.
Maafkan saya jika saya tak sepenuh hati inginkan awak lagi, kata-kataku ini seperti pisau yang tajam menghiris hatinya.
Aku mengambil napkin di atas meja dengan harapan untuk mengelap air matanya. Dia menepis tanganku. Saya bukan orang yang awak cari selama ini, Hasnah... Saya tak mungkin dapat berikan kepada awak apa yang awak mahu.
Dont bother making pathetic excuses, Emmet! Saya
sayangkan awak, awak tahu tak
Saya tahu.
And I know that you love me!
Mungkin betul kata-katanya itu, jadi aku tidak mahu membangkang. Tapi aku bertegas tidak mahu meneruskan apaapa hubungan istimewa dengan Hasnah. Aku ada sebab aku sendiri, dan sebabnya akan aku beritahukan kepadanya agar dia faham.
Kita tidak boleh bersama... Sebab kehidupan kita terlalu berbeza.
Beza apa ni Emmet What are you talking about Hasnah, saya sebenarnya bukan berasal dari JB. Saya telah lahir dan dibesarkan di Shah Alam. Bapa saya bukan lecturer kat UTM.
Hasnah nampak bingung. Aku akhirnya memberitahunya tentang diriku yang sebenar. Biar dia tahu. Aku tak mahu berbohong dengannya lagi.
Aku berdiri daripada dudukku. Aku berjalan menghampirinya. Aku membisikkan ke telinganya sesuatu yang dia patut tahu tentang diriku. Aku memberitahu kepadanya siapa bapaku sebenarnya.
Wajah Hasnah berubah pucat. Apa yang diketahuinya kini tentang diriku sememangnya telah membuatkan dirinya terkejut. Kini aku bukan lagi manusia serba sempurna yang dicari-carinya selama ini.
Aku dapat melihat pelayan datang ke meja kami dengan membawa makanan yang kami pesan. Dia menoleh ke arahku yang sedang berjalan meninggalkan Hasnah. Kemudian kepada Hasnah pula yang kelihatan kaku dengan matanya terus memandang ke hadapan. Dia tidak faham apa yang telah berlaku di antara aku dengan Hasnah sehingga membuatnya begitu.
Dengan pantas aku berjalan melintasi jalan raya yang sibuk di hadapanku lalu berjalan ke arah Bangsar tanpa menoleh ke belakang. Aku tak mahu menoleh ke belakang. Tak ada apa di situ yang perlu aku perhatikan...