Ayah Nurul mendiamkan diri beberapa ketika. Memandu dengan hemah menuju keluar ke Simpang Jengka. Dari Jengka Dua, perlu melalui jalan yang akan membelah Jengka Tiga, kemudiannya akan bertemu dengan simpang Jengka Empat, Jengka Enam dan Tujuh serta Jengka Lima.
Abah diam je selama ni tak tegur Nurul. Abah tahu kau sekarang suka dengar lagu. Itu pun abah tak marah. Cuma, abah perlu elakkan kau dari situ. Jauh dan abah sukar nak kawal sesiapa yang mengganggu kau. Itu yang kau perlu faham. Ayah Nurul mula bersuara.
Bukannya abah yang nak kau pindah. Kau dah elok bersekolah di situ. Tapi emak kau yang beria. Jadi fahami sahajalah. Abah pun tak tahan nak tanggung emak kau membebel sepanjang masa. Paling penting apabila kau ada dekat, mudah untuk semua urusan. Hati mak kau, hati abah semuanya dapat tenang-tenang.
Ini dah jadi begini, semua akan risau tak sudah. Ayahnya menambah
Tahun depan dah SPM, itu yang Nurul bimbang. Sekolah baru tu nanti Nurul tak kenal sesiapa. Susahlah.... Nurul cuba menjawab.
Carilah kawan baru. Bukan susah. Abah pun dah dapat rumah di Bangi. Kita pindah sahajalah ke sana. Lebih seronok hari-hari dapat berjumpa. Kan
Nurul mengangguk sahaja. Air matanya turun perlahan-lahan lalu lekas beliau usap dengan tangannya. Pandangannya jauh menembusi cermin kereta lalu terus sahaja menampakkan wajah Jaja, La, Ustazah Nora, Kak Iman dan lain-lain. Kenangan di Aspuri tersebut tidak akan beliau lupakan. Akan tinggal sejarah dalam kamus hidupnya. Entah bila boleh bertemu lagi dengan mereka ini. Kali ini bukan sahaja berlainan daerah. Terus berlainan negeri. Mereka di tengah semenanjung. Nurul pula menghala ke selatan. Semakin berjarak dan semakin menjauh.
Nurul membuka perlahan hadiah yang diberikan oleh Ustazah Nora. Rupanya ada dua bungkusan di dalam satu pembalut yang sama.
Pertama, sebuah buku tulisan Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang yang berjudul Degup Jantung. Manakala satu lagi ialah bekas pensel berwarna hijau muda yang dihadiahkan untuknya. Bekas pensel tersebut dibeli di Temerloh itu hari semasa sama-sama berjalan ke sana. Ia memang dibelek-belek oleh Nurul beberapa kali namun kerana harganya agak mahal, Nurul meletakkannya semula. Perkara itu dinampak oleh Ustazah Nora. Sangka ustazah mahu menghadiahkan kepada Nurul apabila beliau membantunya nanti mengemas asrama dan rumahnya. Namun, ia terpaksa diberi lebih awal dari itu.
Ustazah Nora amat memahami Nurul tentang hal-hal membaca buku. Lalu dihadiahkannya naskhah tersebut untuknya. Nurul tersenyum memandang luar kereta yang semakin memecut.