Bagaimanapun Dhiya sangat terkesan dengan perpisahan ini. Belum pun tamat waktu persekolahan sebelum penggal, dia telah merindukan sekolah itu. Dia gentar kiranya menaiki tangga darjah empat bermakna hilang segala keseronokan belajar sambil bermain seperti yang pernah dirasakannya semasa menaiki darjah satu. Dan yang paling penting adalah kehilangan Cikgu Maimunah yang faham erti sebenar di sebalik kenakalan dan kemalasannya.
Memang sukar memahami mengapa sukar untuk budak seperti Dhiya menukar guru dan persekitaran sekolah. Memandangkan Dhiya seorang mandiri, ramai tidak menyedari kelemahan ini. Sedangkan kebolehan dan bakat perempuan itu sentiasa memerlukan silibus dan guru khusus supaya pada akhirnya bakat agung itu tidak tersia-sia.
Dan kerana itu, setiap hujung penggal akhir tahun, kau akan menyaksikan mata Dhiya yang berkaca menunggununggu jika tahun baru akan memberikannya guru yang memahaminya.
***
Pelari tegar. Setiap jejak meninggalkan bunyi derap di atas jambatan. Mengejar apa-apa saja yang kami mahukan. Tamat sahaja waktu sekolah, aku dan Dhiya berlari pulang meninggalkan ibunya jauh di belakang.
Kami pantas menyalin baju dan berlari kembali ke arah jambatan besar Kampung Morten. Pasti saja ke rumah budak sepet itu, Lim. Lama juga kami tidak bertemu dengannya. Bapanya telah dibawa kembali ke rumah. Perlahan-lahan pulih daripada kesakitan. Atas pertolongan beberapa orang kawan dan jiran, mereka berjaya mengumpulkan sedikit wang dan membantu urusan perubatan bapa Lim.
Pertolongan besar hingga berjaya membayar keseluruhan rawatan itu juga menandakan Lim dan bapanya secara rasmi diterima sebagai sebahagian komuniti peniaga Cina bandar Melaka. Perlahan-lahan kami sedar mereka telah menyertai banyak aktiviti kemasyarakatan komuniti Cina yang datang ke Tanah Melayu penghujung abad ke-19 supaya menjadi sebahagian daripada mereka termasuklah bermain instrumen opera Cina.
Lim kembali ceria. Tiada lagi mata bengkak dan muram seperti beberapa hari lepas. Dia malah membayar kembali wang yang diberikan Dhiya untuk pendaftaran hospital. Bapa Lim telah lali dengan kedatangan kami ke rumah kedai itu. Dia juga seperti ibu Dhiya. Daripada pandangan matanya yang bening sudah cukup menggambarkan dia dengan mudah merestui persahabatan tulus kami.
Apalah yang ada pada perbezaan kulit Apatah lagi kasta Kata guru spiritual dari India, Sri Sathya Sai Baba, cuma ada sejenis kasta di dunia ini. Kasta kemanusiaan. Kita semua bangsa manusia. Oleh itu wajar mencintai setiap daripada kita secara sama rata. Bagaimanapun, kami cuma boleh mengharapkan semua orang sependapat dengan kami. Kebanyakan manusia itu membesar dan dewasa bukan untuk menjadi matang malah semakin bebal.
Kami menyedari canggungnya orang ramai tidak senang apabila aku dan Dhiya duduk berkepit bersama Lim mencicip sengkuang calit dan ais kepal manis di Kampung Jawa. Banyak pula mata Kampung Morten menjeling prejudis apabila kami membawa Lim menyertai pesta layang-layang. Malah beberapa peniaga Cina konservatif Jalan Bunga Raya memarahi Lim apabila mendengar dia membawa kami bertemu Uncle Chen dan Tauke Chong. Aneh sekali sikap berburuk sangka begini.
Kami tetap melawan arus. Tidak peduli. Tiada yang dapat menghalang perhubungan ini. Namun sejak beberapa hari ini kami sedikit gentar. Lim yang mula-mula menyedarinya. Seorang lelaki awal 30-an memerhatikan kami. Dengan mata helangnya dan berpura-pura menghisap rokok. Hari ini sudah lima hari dia memerhati dari jauh. Kami bagaimanapun mengharapkan itu cuma imaginasi liar kami.
Dan hari-hari seterusnya, lelaki bermata liar itu terus mengekori.
***
Pagi monsun yang mengejutkan. Sunyi damai Villa Sentosa bertahun-tahun nampaknya dicalarkan pagi itu. Juga mencatat sejarah hidup kami apabila penghuninya keluar menunjukkan dirinya kepada kelompok orang kampung. Seperti yang aku ceritakan, keluarga itu bukanlah sombong tidak mahu bercampur. Tetapi, mereka mengambil keputusan mendiamkan diri dan menjalani kehidupan sendiri-sendiri. Tidak mahu dikenali sebagai keluarga pengasas Kampung Morten apatah lagi keturunan pembesar Melaka.
Dan pagi itu, kali pertamanya aku dan Dhiya melihat tuan rumah yang menjadi bayang misteri selama ini. Tuan Haji Ibrahim Hashim, pewaris Villa Sentosa telah pun membuat laporan polis kejadian malam tadi. Ramai sekali orang kampung berkumpul di depan rumahnya. Kami anak kecil terpaksa berjingkit-jingkit melawan tinggi orang dewasa untuk melihat tuan rumah misteri.
Begitu rupanya. Langkahnya jantan. Segak berbaju batik. Walaupun sudah separuh umur, tidak dapat kau nafikan bersisa gantangnya. Dalam wajah muram kerana insiden malam tadi, dia tetap punya aura bangsawan yang bisa membuat sesiapa memandang dua kali. Aku dan Dhiya melopong. Selepas bertahun-tahun, dapat juga kami menatap wajahnya.
Kejadian malam tadi bukan saja mengejutkan kerana Kampung Morten punya rukun tetangga berjaga malam dan membuat rondaan setiap malam. Juga kerana kami sudah terbiasa dengan keamanan bertahun-tahun dan membuatkan kami rasa selamat tidur dinihari tanpa mengunci pintu. Haji Ibrahim menjelaskan kepada orang
kampung bahawa kehilangan barang berharganya itu bukan calang-calang harta simpanan tetapi telah menjadi warisan beberapa keturunan. Haji Ibrahim menggeleng-geleng kepala, kesal dengan kejadian itu. Dia duduk di serambi menenangkan diri.
Aku cadang mahu guna untuk majlis kahwin anak aku nanti. Jarang aku bawa keluar. Kali terakhir aku beri pinjam untuk pameran Muzium Negeri Melaka.
Barang apa tu Haji Seorang lelaki pertengahan umur tidak dapat menduga.
Barang kemas pengantin, Bakar! Waris pusaka keluarga aku! Dah lebih tujuh keturunan kami simpan. Sekarang hilang!
Apa kata polis, Haji oi Tak kan mereka tak ambil tindakan seorang mencelah.
Ini masalahnya. Aku cuma boleh buat laporan polis. Mereka tak nak menyiasat kalau tak ada kesan pecah rumah. Tak ada kesan orang masuk atau keluar!
Eh. Pelik benar tu Haji. Mungkin orang dalam rumah ni sendiri yang ambil. Haji dah periksa Wah, seorang tua mencucuk Haji Ibrahim.
Sudah! Aku kenal benar isteri, anak-anak aku. Mereka tahu nilainya. Lagipun, aku simpan dalam peti besi. Tak siapa tahu nombor sirinya kecuali aku!
Dan tiba-tiba muncul Pak cik Jasmi. Bukan main. Seperti pernah ku bilang. Lelaki beraura politikus sepertinya akan muncul bila-bila masa adanya musibah. Menjalankan peran mencucuk teori konspirasi. Lantang dia
berkata;
Bertahun-tahun kita duduk aman. Tak pernah ada kecurian! Entah-entah kerja orang kampung seberang!
Ayatnya itu lebih kepada penyataan daripada soalan. Haji Ibrahim mencantas;
Jasmi! Kita berkumpul bukan untuk tuduh menuduh. Semua terdiam.
Macam mana rupanya Haji Mungkin kami boleh tengoktengokkan di kedai pajak. Mungkin kerja penagih sesak!
Ya, tak ya juga. Betul cakap kau Zaidi! Kebetulan aku ada ambil gambarnya sebelum hantar ke muzium dulu.
Haji Ibrahim mengeluarkan beberapa keping gambar dan kemudian berlegar di antara kami. Haji Ibrahim malah tidak kisah melihat anak-anak kecil turut menyibuk melihat. Aku pasti dia mahu seberapa ramai mengenali barang itu dan menolongnya mencari. Justeru itu apabila sampai saja ke tangan budak-budak, Dhiya dengan rakus merampas daripada tangan mereka ingin memonopoli.
Aku masih ingat betapa Dhiya teruja melihat gambargambar luar biasa itu. Bulat mata Dhiya menyedari barang yang hilang itu bukan barang kemas biasa. Lebih tepat kau namakannya dengan barang antik. Dokoh emas tiga serangkai yang unik butir ukirannya lengkap tatahan intan purbawara. Juga ada tali pinggang tembaga, kerongsang, pending dan himpunan pelbagai rupa cucuk sanggul bertatah intan. Dari reka bentuk butirannya, mudah kau meneka ianya bukan datang dari abad ini. Terlopong kami. Seumur hidup, tidak pernah kami menyaksikan barang kemas bersusun seperti harta karun. Walaupun yang kami lihat cuma keping gambar tersusun.
Kami mengerti sekarang mengapa himpunan barang itu pernah dipinjam Muzium Melaka. Nilainya bukan pada emas, intan mahupun tembaga, tetapi warisan sejarahnya. Sayang sekali. Semuanya hilang tanpa jejak pada dinihari.
***
Buat sekian kalinya setelah kesibukan beberapa minggu, kami membuat keputusan berehat hari itu. Aku, Dhiya dan Lim. Masih di Jambatan Persiaran Haji Othman. Dhiya sudah menerawang. Tangannya sudah melentik menari-nari seorang. Aku dan Lim melihatnya dengan pelik, kasihan dan lucu tidak dapat ditahan. Aku mahu saja ketawa berguling. Dasar kuat berangan.
Di dalam mimpi siang itu, dia menari ayu dengan sepersalinan kebaya songket tabur lengkap bertali pinggang, pending dan dokoh keturunan Haji Ibrahim. Dhiya malah bersanggul indah dengan beberapa cucuk sanggul intan. Dia menyusun langkah diiringi dondang sayang dikelilingi dayang-dayang.
Aku mengulum senyum. Hati-hati aku menghampirinya. Dengan niat mengusik, aku berbisik kepada Dhiya,
Jangan risau. Sampai kiamat pun kau dengan rambut mengerbang kau tak kan jadi tuan puteri, Dhiya!
Musnah sudah mimpi siang. Pantas perempuan itu berpaling menjengil mata. Marah sungguh Dhiya kerana aku menyentap mimpi rakus begini.
Diam kau! Apa kau tahu pasal barang kemas warisan
Giliran Lim pula menyinggung. Sengihnya bukan main.
Kalau kau tahu sangat pasal barang kemas, mungkin kau tahu mana nak cari.
Kenapa aku Baru sembilan tahun, dah nak buat kerja polis.
Sebab kita tahu apa yang mereka tak tahu, Lim mencelah.
Dhiya berpura-pura bodoh. Malas melayan.
Apa yang kita tahu Yang barang kemas tu tak akan dijual di kedai pajak
Aku senyum mengenyit kepada Lim. Umpan mengena. Aku menyambung.
Kita juga tahu ini bukan kerja penagih. Dhiya menyambung cerlang.
Kan Gila apa budak penagih susah payah buka peti besi.
Hilangkan jejak. Lagi senang ambil kasut kulit luar rumah!
Aku dan Lim ketawa kecil kerana berjaya membangkitkan amarah Dhiya. Kami mahu memaksanya keluar zon selesa dan menjaga urusan tepi kain pelikat Haji Ibrahim, keluarga yang disanjungnya selama ini. Aku menyambung;
Kesian Haji Ibrahim. Bertahun-tahun kita tunggu dia keluar rumah. Hari ini dia keluar; di hari rumahnya dirompak. Sedih kan
Dhiya menarik nafas panjang, menjeling tajam kepada aku dan Lim.
Memang kesian. Tapi aku tak nak masuk campur. Ini masalah orang kaya. Biar mereka selesaikan.
Perempuan itu memandang dalam. Dengan mudah dia menebak. Dhiya dapat membaca jelas fikiran kami. Dan jika dia sudah membuat satu-satu keputusan memang tidak makan dek pujuk. Aku dan Lim memandang satu sama lain hampa. Apa gunanya bakat jika tidak dimanfaatkan Sia-sia. Kami pulang longlai. Sekali lagi berpisah di jambatan besar. Berjanji bertemu esok hari.
Dari jauh, lelaki bermata helang sekali lagi memerhatikan kami.