Tiada Tajuk - 11
Bab 11

Zack bersetuju untuk berjumpa dengan mereka di tempat yang telah dijanjikan. Tapi dia singgah di rumahnya dulu untuk meletak barang yang baru dibelinya tadi. Sebelum keluar semula, Zack sempat berpesan pada Anom agar tidak menangis sewaktu dia tak ada. Takut akan menakutkan jiran-jiran. Anom menjawab dengan sentuhan halus pada bahagian belakang kepala Zack. Memang itu cara mereka berkomunikasi. Zack tak pernah melihat rupa Anom. Hanya merasa sentuhan-sentuhan dingin. Dan suara tangis atau ketawa Anom bila dia sedih atau gembira. Kadangkala pelukan rindu dari belakang bila ada waktu-waktu yang Zack tidak pulang selama beberapa hari. Juga rasa cekikan pada leher, bila ada waktu-waktu Zack membuatkannya marah.

Selepas itu, Zack pun menjalani harinya seperti biasa. Bersiar-siar bersama rakan. Balik mandi dan tidur. Keesokan pagi bangun dan pergi bekerja seperti selalu. Habis kerja, pergi tonton wayang sehingga lewat malam. Habis tengok wayang, Zack bergegas pulang. Dia mengambil beg pakaian yang sudah disiapkan awal-awal. Kemudian cepat-cepat pula ke stesen bas. Nak mengejar bas yang akan bertolak pukul sebelas empat puluh lima malam ke Pahang.

Di atas bas, kebanyakan masanya Zack hanya tidur untuk mengumpul semula tenaga yang hilang setelah seharian sibuk. Kalau ada masa-masa dia terjaga pun, Zack isi dengan mendengar lagu yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

Bas berhenti di destinasi tepat pukul empat pagi. Zack turun dan meregangkan tubuhnya untuk menghilangkan rasa sengal. Dia singgah di sebuah kedai mamak yang masih hidup di situ walaupun kebanyakan orang sudah tidur mati. Zack makan roti bom gula tiga keping dengan milo panas. Setelah puas dan kembali bertenaga, dia menahan teksi lalu meminta pemandu teksi tersebut menghantarnya ke sebuah rumah.

"Yang mana" tanya pemandu teksi.

"Abang berhenti kat sini. Kat rumah hujung ni," jawab Zack.

Zack turun setelah menghulurkan lima belas ringgit tanpa mengambil semula wang baki. Dia menunggu untuk teksi tersebut beredar, sebelum berjalan ke tempat sebenar yang dia ingin tujui. Zack sengaja meminta pemandu teksi tersebut menurunkannya di tempat lain. Hanya untuk mengaburi.

Zack berjalan dalam sepuluh minit lagi. Sehinggalah dia sampai di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Zack mengetuk pintu rumah tersebut berkali-kali dengan kuat sehingga satu wajah mengantuk membuka pintu sambil menenyeh matanya yang masih kelat.

"Kau siapa Apasal datang rumah orang pagi-pagi buta ni" lelaki itu mempersoalkan.

Zack senyum. Dia mengeluarkan sesuatu dari beg galasnya.

"Aku nak bagi kau ni..." kata Zack sambil menghulurkan sehelai kain batik warna biru.

Mata lelaki itu yang tadinya layu terus terbeliak. Lelaki itu cepat-cepat menutup pintu tapi sempat disekat oleh Zack. Zack menolak pintu itu dengan kuat sehingga lelaki tersebut jatuh terlentang. Zack mengeluarkan satu lagi item dari beg galasnya. Sesuatu yang panjang, runcing dan bersinar.

Untuk dua jam yang seterusnya, hanyalah diisi dengan proses berkenal-kenalan di antara Zack dan lelaki itu. Proses perkenalan yang begitu intim. Proses perkenalan yang akan kekal sehingga ke akhir hayat. Proses perkenalan... yang turut melibatkan kerja-kerja menyembelih, menyiat dan melapah.

Senyum. Bukan reaksi yang Munir jangka untuk lahir dari Adib apabila dia menyerahkan dokumen-dokumen itu. Dokumen yang berisi tiga buah kisah yang ada kaitan dengan cerita-cerita yang pernah ditulis oleh arwah ibu Adib dulu.

"Kenapa Adib senyum Adib kenal cerita-cerita ni" soal Munir.

"Tak. Tapi aku perasan bahawa ianya ada persamaan dengan cerita-cerita yang ditulis ibu aku kan"

"Iya.... Jadi, Adib tau apa-apa tak pasal cerita-cerita ni"

Adib menggeleng.

"Abang Munir dah habis baca kelima-limanya"

"Lima"

Adib diam. Riak wajahnya berubah. Seolah, terjerat.

"Maksud aku, Abang Munir dah baca kesemuanya"

"Tadi Adib cakap lima. Sedangkan hanya ada tiga cerita di sini. Kenapa Adib cakap lima" tekan Munir.

"Aku tersilap cakap. Aku bukan manusia sempurna Abang Munir. Aku boleh melakukan kesilapan ketika aku berbicara..."

Munir mengeluh. Ada sesuatu yang Adib sedang sembunyikan darinya. Dia mula sedari akan hakikat itu. Tapi dia tak tahu bagaimana hendak menariknya keluar dari mulut Adib.

"Masa mak Adib tulis novel hitam tu dulu, Adib tau tak dari mana dia dapat sumber untuk cerita-cerita tu Mungkin dia berpandukan pada buku lain, atau cerita daripada orang lain" soal Munir. Cuba untuk mendalami.

Adib senyum lagi. Kali ini lebih bercorak sinis.

"Ibu aku tulis cerita-cerita tu semasa aku belum dilahirkan lagi Abang Munir.... Mana mungkin aku tau apa cetusannya," jawab Adib dengan bersahaja. Sambil itu jari-jemarinya terus membelek kertas-kertas itu tadi. Menyelak helaian demi helaian. Dan akhirnya berhenti pada cerita yang kedua.

"Oh... tentu ini sambungannya," ujar Adib tiba-tiba.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang dimaksudkan oleh Adib dengan kata-katanya itu