MOLOTOV KOKTEL - 11
Sudah terlalu banyak isu timbul berkenaan ehwal menghina dan mengkritik sultan dan raja-raja Melayu. Bukanlah perkara baru.

Sebab itu saya seolah-olah tidak ambil pusing. Bagi saya, sudah ramai yang bermain dengan isu itu. Sudah ramai yang menghina sultan, sudah ramai yang mengkritik raja-raja, dan sudah ramai juga yang mempertahankan kembali.

Eloklah biarkan sahaja orang lain bermain dengan isu tersebut; baik saya ambil pusing perkara lebih penting untuk dibincang oleh masyarakat. Jangkanya, isu raja-raja pasti surut satu masa nanti, namun akhirnya ghairah masyarakat menilai kedudukan, keistimewaan, dan telatah rajaraja semacam tidak ada tanda-tanda melabuhkan tirai.

Secara jujur, tidak begitu pasti atas sebab apa raja-raja Melayu dikecam hebat. Tidak pasti jika kecaman tersebut benarbenar ikhlas. Yang dimaksudkan ikhlas ialah jika tindakan orang yang mengecam itu bersifat memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat, saya hormati dan sokong.

Jika tindakan itu berlandaskan prinsip dan kenyataan tentang adanya keperluan menghakis raja-raja Melayu, saya boleh bersama. Jika penderhakaan dibuat atas dasar menegakkan keadilan dan menghapuskan kelas sosial, saya mahu turut serta.

Namun saya gusar, takut-takut kecaman itu hanya berlandaskan niat untuk mencipta sensasi dan kontroversi. Hanya untuk sengaja mencabar dan menimbulkan kemarahan. Hanya bersifat mencari dan mencipta nama. Hanya kerana ingin mengikut trend semasa. Kalau ini pokok pangkal atas serba-serbi tindakan orang yang mengecam raja-raja Melayu, saya tidak berminat.

Menyentuh pandangan sendiri terhadap raja-raja dan institusi raja seperti yang wujud dan diamal di negara ini, kewujudan mereka adalah realiti yang harus ditelan; sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Benar, saya tidak menyokong institusi raja, apa lagi kalau institusi itu entiti yang tidak berfungsi.

Ibaratkan sahaja institusi raja seperti sebuah tugu mewah yang dibina oleh nenek moyang kita sebesar-besarnya di tengah kota; cantik, indah, menjadi kebanggaan, namun tidak membawa apa-apa kebaikan secara langsung. Tegak keras sahaja ia di situ. Mungkin paling kurang pun, mampu untuk dijadikan simbol kebangsaan, namun ia terhenti setakat itu sahaja. Dan pada satu tahap, akhirnya mungkin tugu itu menjadi satu beban kepada banyak pihak lain.

Terpaksa menjaga, memelihara, mengawal daripada dirosakkan, dan sebagainya. Ini semua pula menelan perbelanjaan besar. Apalagi kalau tugunya bukan satu, tapi sembilan. Satu bentuk pembaziran buat banyak pihak terutama pembayar cukai. Maka apabila tugu itu tidak membawa kebaikan, malah membebankan, adakah kita perlu merobohkannya

Jika merobohkannya tidak memberi manfaat, eloklah dibiarkan sahaja. Merobohkan sebuah tugu juga menelan belanja dan banyak tenaga. Namun andai kata, tugu kota itu jika diroboh mampu pula memberi manfaat lain; contohnya tapak tugu boleh dibina jalan raya atau sekolah; mungkin baik juga diroboh.

Pokoknya, terpulanglah kepada kesinambungan dan hasil daripada tindakan kita merobohkan raja-raja tersebut; maaf, maksud saya merobohkan tugu-tugu tersebut.

Namun, tidak pula saya ghairah untuk menjadi sebahagian daripada siri dan episod drama menderhakai sultan dan raja-raja yang kian rancak ini. Banyak perkara yang perlu sama-sama difikirkan terlebih dahulu.

Apabila saya melihat kecaman dan penghinaan berterusan ke atas raja-raja, terdetik di hati; kenapa begitu ramai yang tidak menyukai raja-raja

Kenapa begitu ramai yang sanggup menghina mereka Kalau ditanya kepada diri, saya boleh katakan yang saya hampir tidak pernah ada pengalaman hidup beraja. Saya dilahirkan di Pulau Pinang yang tidak beraja, dibesarkan di Kuala Lumpur yang juga tidak beraja, menyambut hari raya di Melaka, yang juga tidak beraja.

Saya tidak pernah merasai hidup di bawah payung raja-raja Melayu. Walaupun rumah dan sekolah saya suatu masa dahulu tidak begitu jauh dari Istana Negara, tetap juga saya tidak merasai apa-apa kerana saya faham, negara ini memang secara teknikalnya tidak beraja; yang beraja adalah negeri-negeri.

Mereka yang dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong hanyalah bertindak ibarat pengerusi majlis bagi sebuah sidang, tidak lebih daripada itu. Sebab demikian, saya kurang mampu untuk memahami sentimen orang-orang ini terhadap raja-raja. Namun apabila cuba untuk fahami apa sebenarnya yang tidak disukai oleh masyarakat terhadap raja-raja, saya terfikirkan satu perkara; benarkah rakyat menghina raja atau raja sendiri yang memang hina

Saya kerap melayari laman yang menghentam raja-raja ini. Ada yang mengkritik berkaitan dengan isu peribadi, ada berkaitan isu politik, ada mengkritik isu ekonomi, malah ada juga yang mengkritik atas sebab sukan. Akhirnya saya fahami, apabila saya terbaca sepotong ayat dari George Carlin, seorang stand up comedian dari Amerika yang mengatakan:

Penghormatan ke atas seseorang itu datangnya bukan daripada siapa diri mereka, apa bangsa mereka, atau apa keturunan mereka, sebaliknya daripada apa yang telah diusaha dan dicapai mereka..

Erti kata lain, interpretasi saya ialah kita tidak boleh memaksa orang untuk menghormati kita, ia akan datang sendiri apabila orang itu merasakan kita memang layak dihormati. Einstein, Tesla, Lennon, Kubrick, Gates, atau sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai; mereka ini dihormati, disanjung, dibangga atas pencapaian masing-masing.

Bukan atas darah ataupun keturunan mereka, maka begitu jugalah hendaknya kita. Namun tidak pula saya katakan bahawa kerana raja-raja berdiri di tempat mereka hari ini hanya kerana keturunannya, maka tidak perlu bagi kita menghormati mereka. Itu juga satu bentuk diskriminasi terhadap golongan raja-raja. Jika mereka punya pencapaian masing-masing, mereka wajar dihormati.

Saya muda dan gemar memberontak. Saya percaya kewujudan institusi raja sudah menjadi liabiliti kepada masyarakat moden terutama daripada segi ekonomi, politik, dan sosial. Jika ada yang mahu menghapuskan sistem beraja; saya perlu titipkan beberapa perkara penting sebelum menyerang institusi raja.

Yang utama ialah niat dan sebab musabab; tidak guna menyerang raja-raja kerana ehwal peribadi mereka. Setiap isu peribadi yang berlegar di sekitar raja-raja ini cukuplah sekadar dijadikan rencah penyedap serangan, tapi bukan isu pokok dalam berhujah.

Harus difahami, terdapat pelbagai sebab raja-raja lain di dunia dijatuhkan rakyat terutama sekali pada peringkat awal iaitu golongan pedagang dan pemodal mahukan kuasa ekonomi. Hak mengutip cukai suatu masa dahulu milik mutlak feudal dan kebanyakan kutipan pula tidak digunakan untuk kebaikan rakyat, sebaliknya untuk menjaga kemewahan rajaraja. Dan sebab inilah raja dijatuhkan; supaya golongan rakyat majoriti dapat memegang kuasa ekonomi.

Sebab lain pula ialah kelas sosial, yang turut disebut sebagai class struggle. Apabila dalam sebuah negara, wujudnya kelas sosial yang pelbagai, dan penghuni negara itu dibeza-beza antara satu sama lain; golongan atasan dan bawahan, wujud diskriminasi terhadap hak dan peluang.

Golongan atasan lazimnya akan terus kaya dan mewah manakala yang di bawah terpaksa berusaha keras untuk meneruskan survival tanpa apa-apa keistimewaan. Dan atas sebab kesedaran politik dan sosial, maka untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan, diwujudkan penentangan terhadap kelas sosial; dan raja tentu sekali tidak boleh terus berada di atas.

Semua rakyat termasuk raja dan hamba menjadi sama dan saksama. Ini asas penentangan terhadap sistem raja; bukan kerana mereka gemar memukul orang dengan kayu golf, bukan kerana mereka gagal menjaga pasukan bola sepak, malah bukan juga kerana mereka gemar berparti arak botol besar.

Saya mencadangkan buat masa ini, biar raja-raja ini dengan telatah mereka. Tidak perlulah kita terlalu ghairah menjatuhkan air muka mahupun menumbangkan sistem beraja. Dalam keadaan negara yang belum sempurna demokrasinya, menjatuhkan raja-raja hanya menambah beban kerja kepada kita semua.

Yang paling mustahak ialah mengukuhkan dahulu demokrasi. Dibandingkan dengan demokrasi negara lain, kita masih terlalu jauh ketinggalan. Percayalah! Buat masa ini, anggap sahaja setiap siri penghinaan ke atas raja-raja hanyalah gurau senda rakyat yang rindukan rajanya. Daulat Rakyat!