A.I.D.S. - 11
Semakin ramai hadir. Ruang tamu apartmen itu sudah pun padat dan sesak. Tim jadi bimbang kalau-kalau jumlah kehadiran yang ramai ini akan menyebabkan tidak cukup ruang untuk menari kelak. Band yang dijemput khas sudah pun tiba. Mereka sibuk di atas pentas. Kebanyakan gay yang hadir sudah pun dikenalinya. Dan kerana parti ini parti pakaian beragam, yang berkunjung pada malam ini, semuanya dengan fesyen masing-masing. Pelik dan melucukan.

Tim sendiri mengenakan pakaian ala lanun. Sengaja ditutup dengan kain hitam sebelah mata kanannya. Bill, kekasihnya pula kelihatan bersahaja, memakai pakaian seorang paderi. Itu satu sindiran. Yang lain-lain, ada menyarungkan pakaian seperti Santa Claus, ayam, bertopengkan Presiden Clinton, bermekap tebal dan berbagai-bagai lagi yang Tim pun tidak pernah terfikir. Cruise yang tiba setengah jam yang lalu, mengenakan sarung seekor ikan duyung. Tangannya masih tergantung dan berikat. Tangan sebelah kiri itu cedera ketika rusuhan baru-baru ini, masih belum pulih sepenuhnya.

Tim memerhatikan beberapa orang bartender dan waiter yang diupah. Masih remaja dan kacak. Nafsunya meluap-luap namun dipadamkan apabila mengingatkan Bill. Bill yang berpakaian paderi! Arak dihidangkan sementara makanan ala Itali dan Perancis mulai dinikmati oleh hadirin.

Tim masih mencari-cari. Matanya tidak tetap, ke sana ke mari, mencari J.C. Dia tahu J.C hadir. J.C telah berjanji begitu. Dia berjalan bertunda-tunda seraya tersenyum ramah kepada tetamu-tetamunya. Dia menghampiri Bill yang sedang berbualbual dengan sepasang lesbian. Dia menarik Bill keluar dari perbualan itu.

Nampak J.C Dia hadir

Bill berkerut seribu. Ehh, ada, dia ada, cuba cari dalam ramairamai di sana.

Tim cuma angguk, namun sebenarnya dia belum berpuas hati. Dia meninggalkan Bill dengan pasangan lesbian itu semula. Matanya kembali mencari. Dia bergerak dalam himpitan tetamu yang sudah mulai menari rancak. Band memainkan lagu yang pernah dipopularkan oleh M.C Hammer. Hadirin sudah terkinja, mengikut rentak yang pantas itu. Seorang gay dari Harlem menyanyikan sebuah lagu M.C Hammer. Parti yang meriah.

Tim berjaya menemui J.C, tersorok di hujung sana. Dia duduk meneguk segelas arak. J.C berpakaian seorang admiral. Kelihatan sungguh kacak, Tim sedar itulah sebabnya dia gagal menemui J.C pada mulanya. Dia berpandukan mata mendekati J.C. Apabila hampir, dia menyergah J.C yang menyambutnya pula dengan senyuman mesra, lebar.

Kau nampak lain!

J.C ketawa. Ya, aku seorang admiral. Lawa tak

Tim pula ketawa. Kau nampak segak. Bukan itu sahaja, kau nampak sihat dan bertenaga! Tim menyambung ketawanya terus.

Oooo, itu. Aku ke hospital petang tadi, emmm, aku jalani blood transfusion. Hemoglobin dan platelet aku emm, were way down. Sekarang aku nampak baguskan

Ya, ya kau nampak bagus sekali. Tim tidak mahu menyentuh soal pemindahan darah itu. Dia takut dan dia juga tidak mahu J.C mengingatkan saat kematiannya yang menjelang hampir.

Kau tak mahu menari Tim mengubah tajuk perbualan.

J.C ketawa merendah sebelum memadamkan tawanya itu, matanya sempat menoleh ke arah seorang bartender yang tampan melintas di hadapan mereka. Err kau nak ajak aku menari Aku tak berdaya dengan muzik yang rancak.

Kalau begitu kita tunggu irama romantik dan mendayu-dayu nanti, o.k Tim memujuk.

Ya, ya, irama yang mendayu-dayu supaya aku boleh rangkul pinggang kau dan merapatkan tubuh kau yang sasa itu dengan badan aku yang kurus ni. J.C ketawa lagi. Dia kelihatan sungguh riang. Sungguh bermaya. Seolah-olah akan hidup buat selamalamanya.

Kau nakal ya Tim membalasnya dengan ketawa juga.

Muzik dimatikan. Tetamu-tetamu bertepuk tangan. Bill sudah berada di atas pentas. Dia tersenyum kepada hadirin sebelum mencapai mikrofon. Dia sempat melambai kepada Tim dan J.C. Matanya besar memerhatikan setiap yang ada. Dia memusatkan matanya kepada seorang gay di bawah pentas dan berdehemdehem seketika.

Selamat malam semua.

Ada suara yang menjawab, namun lebih ramai yang cuba menumpukan perhatian kepada tuan rumah dan penganjur parti malam ini. Mereka ternanti-nanti ucapan Bill.

Saya rasa bersyukur kita dapat berkumpul malam ini. Sebelum saya terus berucap, marilah sama-sama kita bertafakur sebentar untuk mendiang sahabat-sahabat seperjuangan kita yang terkorban dalam rusuhan baru-baru ini.

Semua akur. Sunyi dan senyap.

Terima kasih. Kita harap rakan-rakan kita itu damai di alam mereka sendiri. Lebih damai dari alam kematian para paderi. Bill bersuara lantang.

Beberapa orang ketawa. Dua tiga orang bertepuk tangan kesukaan.

Baik ini adalah pertemuan pertama bagi ahli-ahli GAA kawasan tenggara Sixth Avenue selepas rusuhan. Kita dapat lihat betapa ramai kawan-kawan kita telah menjadi mangsa ketidakadilan. Sesungguhnya perjuangan kita belum berakhir. Tidak sama sekali saudara-saudaraku.

Suara bergemuruh, bercakap serentak, masing-masing memberi ulasan.

Perhatian, perhatian, perhatian saudara dan semua hadirin, minta beri perhatian.

Senyap.

Saudara sekalian, pilihanraya hujung tahun ini akan kita manfaatkan sebaiknya. Kita akan meletakkan enam calon homoseksual dari GAA untuk merebut kerusi di Kongres. Kita juga akan cuba menembusi Capital Hill dengan pemilihan Senator Lorice Washington, kita akan ada seorang senator.... Bergemuruh semula.

Perhatian, perhatian, errrm, kita akan mengisytiharkan tahun hadapan sebagai Tahun Revolusi Homoseksual.

Bising lagi.

Kita akan memberontak lagi jika perlu. Kita akan mengorbankan nyawa lagi jika perlu! Err, tetapi sekarang kita bergembira, lets have some fun O.K Music....

Muzik rancak kembali bergema. Tetamu kembali ke tengah, menari gila-gila. Bill turun dari pentas menuju ke arah beberapa orang pasangan lesbian dan gay.

J.C menghabiskan araknya. Dia bersandar dan tersenyum kepada Tim. Dia kemudian bersuara. Sudah berapa lama kau bersama dengan Bill

Tim ketawa. Emmm, lingkungan enam ke lapan tahun, err tujuh barangkali, tujuh tahun.

Lama tu.

Ya, kalau laki bini boleh dapat tujuh orang anak. Satu setiap tahun. Tim berseloroh, disambut dengan ketawa J.C.

Dia agak tua, terus-terang aku katakan. Kurang sesuai untuk kau.

Memang ada yang pernah bercakap begitu, tetapi Bill terbuka. Dia bebaskan aku untuk memilih pasangan. Berpuluh-puluh tetamu di sini pernah aku adakan seks oral dan seks berat dengan mereka.

J.C agak kehairanan. Tak cemburu

Cemburu Tim ketawa panjang. Tiada dalam kamus hidupnya kalimat cemburu. Kami boleh kekal bersama pun kerana ada tolak ansur begitu.

J.C teringatkan Norman, namun dikambus lekas-lekas ingatan itu. Apa kata ibu bapa kau Mereka tahu

Emmm, syukur, mereka memahami. Very supportive.

J.C angguk. Bagus ya begitu.

Bill naik ke atas pentas semula. Dia berdehem beberapa kali di sana. Muzik telah berhenti membingit, tetapi tidak disedari J.C dan Tim lantaran asyik berborak kosong.

Kita ada tetamu istimewa di sini.

Hadirin menanti siapa.

Dia dari Malaysia.

Hadirin semakin tertanya-tanya.

Jesse Steven, dia akan menyanyi untuk kita. Laung Bill dengan mata bersinar-sinar.

Apa J.C tersentak. Tim ketawa kuat.

Pergilah permintaan ramai....

Aku tak pandai menyanyi, suara aku macam katak! J.C berusaha mengelak.

Oooo, tiada alasan. Pergilah.... Tim mendesak.

J.C come on, jangan hampakan kami. Bill bersuara di atas.

Ada suara yang menggalak. Di sana sini sudah ada yang melaung nama J.C berulang kali seperti memanggil-manggil nama penyanyi pujaan mereka.

Tapi....

Janganlah begitu J.C. Tim memujuk.

Berikan tepukan anda. Bill seraya ketawa kecil di atas pentas terus mendesak.

J.C tewas. Dia mengalah lalu berjalan ke pentas dengan tepukan melantun kuat dari setiap sudut. Dia naik ke atas pentas dan mencebik kepada Bill. Bill cuma ketawa lalu turun. J.C menarik nafas panjang dan memandang ke arah Tim yang tersenyum sambil melambai-lambai. Tetamu-tetamu lain di bawah sana senang hati. Saya bukan pandai menyanyi.

Hadirin ketawa.

Betul saya tak tipu. Ketawa semakin menjadi-jadi.

Tapi saya akan menyanyikan untuk anda.... J.C menoleh ke arah band. Dia berbisik entah apa dengan ketua kumpulan tersebut sebelum berhadapan dengan penonton-penontonnya semula.

Lagu Inneggiamo karya Cavalleria Rusticana. Sebuah lagu opera yang popular. Tapi, tapi kalau tak menjadi tenor dan soprano saya, jangan ketawakan ya!

Ketawa masih ada. J.C pun mulai menyanyi diiringi band tersebut. Namun irama itu agak sumbang dan kekok kerana lagu-lagu opera mesti diiringi dengan sebuah kumpulan orkestra berpengalaman. Namun tetamu tidak endah, mereka menari berdakapan erat di bawah sana. Bill dan Tim bersentuhan menari lambat-lambat, mereka larut.

Suara memuji heboh setelah J.C menghabiskan nyanyiannya. Dia turun bersalaman dengan beberapa orang dan menuju terus kepada Tim dan Bill.

Bagus benar. Puji Bill.

Anda bergurau. Itu teruk. J.C tersipu-sipu.

Tidak, anda sungguh teratur. Baik betul. Tim pula memuji. Bill angguk mengiakan.

Lima minit kemudian muzik bergema semula. Rentaknya perlahan. Bill menari dengan seorang profesor dari Harvard. Dia lesbian.

Tim berpasangan dengan J.C. Lagu yang dimainkan adalah Heaven Knows dan berganti dengan Sacrifice.

Tim erat berpelukan dengan J.C. Tari mereka berdua seragam dan gemalai pula. J.C meletakkan dagunya di atas bahu Tim dan mereka bersentuhan. Tangan mereka digenggam. Kedua-duanya sirna. Larut dan berlarutan.

Kau menangis J.C

J.C tidak menjawab. Kenapa kau bertanya

Tim tersenyum. Kerana aku mengambil berat.

Aku Aku, aku takutkan kematian Tim.

Tim tergamam. Janganlah kita cakapkan soal ini. Kitakan sedang bergembira. Lupakan. Tim mengesat air mata J.C dan mereka kembali menari asyik hingga ke penghujung.

***

Majlis selesai. Semua telah pulang kecuali J.C. Dia, Tim dan Bill duduk di beranda terbuka melihat bahagian New York yang terdedah kelihatan. Mereka menikmati kopi cappuccino. Bill berdiri di palang besi pemisah. Dia tersenyum nipis dan membiarkan mukanya di tampar angin. Tim menghirup kopinya yang masih panas sedikit-sedikit. J.C sekali-sekala membaca memorandum yang ada di tangannya. Ia panjang santak ke dua puluh tiga muka. J.C cuma berminat dengan bahagian muka surat yang terpampang sub-tajuk. Tuntutan Gay.

Mansuhkan semua hak-hak dan akta-akta peringkat pusat yang membabitkan polisi pemerintahan berupa diskriminasi dalam bidang pekerjaan, perumahan, perkhidmatan awam dan akomodasi.

Jaminan daripada Presiden dengan arahan eksekutif menghalang tindakan undang-undang, penyingkiran atau pemecatan yang beralasankan orientasi seks di dalam pasukan tentera dan memberi golongan gay hak-hak kenaikan pangkat, kenaikan gaji tanpa mengurangkan sedikit pun hak-hak mereka, serta memberikan keistimewaan sama seperti golongan bukan homo.

Jaminan daripada Presiden dengan arahan eksekutif menghalang diskriminasi di dalam perkhidmatan sivil peringkat pusat beralasankan orientasi seks dan menghalang diskriminasi yang berupa menafikan hakhak homosexual.

Hapuskan segala bentuk cukai tidak adil yang dikenakan ke atas orang perseorangan dan pasangan sejantina.

Hapuskan halangan dan sekatan kemasukan terhadap imigran homosexual.

Galakan, dokongan dan bantuan penuh pusat untuk mewujudkan program pendidikan seks yang lebih adil terhadap golongan homo, dikendalikan oleh gay dari lelaki dan wanita, supaya mereka (pelajar-pelajar) memahami cara perhubungan seks yang selamat, cara hidup yang sepatutnya supaya mereka menyedari homosexual adalah satu alternatif lain berbanding dengan heterosexual.

Memberi pilihan bertaraf arahan eksekutif kepada individu untuk memilih pasangan dan cara berhubungan seks.

Bantuan kewangan kepada pertubuhan-pertubuhan gay yang ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah-masalah golongan homo yang ditimbulkan oleh ekstremisekstremis seks.

Pembebasan tanpa syarat dan segera mungkin ke atas golongan gay yang ditahan di pusat pemulihan, penjara, institusi mental semata-mata kerana kehendak dan orientasi seks mereka. Juga menghapuskan rekod buruk mereka yang direka bertujuan untuk membantutkan masa hadapan.

Pembebasan aktivis-aktivis gay yang ditahan sejak rusuhan Christopher Street. Tuntutan perbicaraan dan pemilihan juri yang lebih adil dalam mengadili mereka yang ditahan.

J.C menarik nafas panjang. Bill masih merenung ke luar sana. Angin dingin tidak dipedulikannya. Tim sudah menghabiskan kopi. Dia juga entah apa yang difikirkannya. Masih termenung tanpa mata berkedip.

Aku akan pulang ke K.L untuk dua minggu mulai awal Februari ini. J.C memecahkan keheningan. Bill menoleh, Tim meletakkan cawannya, tersenyum.

Kenapa

Ada banyak yang perlu kuselesaikan. Aku mahu letak jawatan, menguruskan jualan rumah dan tanah aku di Malaysia, menemui rakan-rakan buat kali terakhir dan meninjau bekas kekasihku.

Bill tersenyum. Rindu

Bukan. Bimbang. J.C berdiri menghampiri Bill.

Bimbang Tim ragu.

Ya, dia kurang pertimbangan.

Bill ketawa perlahan. Err, jam sudah dua pagi J.C, bagaimana

Subway tak selamat waktu-waktu begini. Tim bersuara gusar. Lagipun mesti menjaga kesihatan.

Kami hantar dengan kereta. Bill memberi cadangan. Tim angguk tanda setuju.

J.C akur. Mereka turun dari tingkat dua puluh tiga apartmen Bill dan Tim menuju ke tempat kereta diletak. Di dalam perjalanan J.C hanya mendiamkan diri. Ini memancing Tim untuk bertanya.

Apa yang kau fikirkan

J.C tersenyum. Hak-hak yang kita tuntut.

Kenapa Bill yang sedang memandu tertarik.

Bolehkah

Entah. Aku tidak mahu terlalu mengharap, tetapi barangkali kita tak berpeluang sekarang ini. Mungkin pada masa akan datang. Seperti mengharapkan seorang Presiden di Rumah Putih yang berkulit hitam...

J.C kembali mendiamkan diri. Dia tahu Bible menentang. Dia tahu Al-Quran lebih-lebih lagi menentang. Dia tahu dia tidak berpeluang menikmati hak-hak itu kerana usianya kian singkat. Dia bertanya kepada diri sendiri, siapakah Tuhan Kenapa dihalang homosexual Dia seorang free-thinker. Ateis. Dia tidak tahu kenapa. J.C memejamkan mata dan di matanya Norman terbayang.

Norman dibawanya dalam lelap.

***

Pauletta tidak terhibur menonton siri kartun yang ditayangkan di televisyen. Doraemon dan Nobita. Dia dengan wajah bosan, menukar siaran. Janet Jackson pula sedang terkinja di siaran lainnya. Dia tambah bosan. Dia duduk semula di sofa menonton Doraemon. Dalam kegelisahan begitulah, J.C menelefonnya dari New York.

Aku dapat tahu yang kau dah transfer semula ke K.L. Suara J.C tidak bertenaga pada Pauletta.

Kau gila! Ke mana kau pergi, aku risau kau tak hubungi aku langsung. Di mana kau semasa rusuhan Pauletta tidak menghiraukan topik perbualan yang cuba ditimbulkan oleh J.C. Kau sihat

Cuba bawa bertenang, aku sihat, ya, buat masa ini. Kau hilang terus. Pauletta memarahi J.C.

Bila kau pulang ke K.L J.C kembali bertanya.

Dalam tiga minggu lepas.

Sempat merasa rusuhan J.C ketawa perlahan di sebelah sana.

Apinya tidak. Errr, tetapi bunga-bunga rusuhan sempat aku alami juga.

Kau tak diapa-apakan

Nyaris mati!

Hahhh J.C mengejutkan Pauletta. Habis, bagaimana

Nanti saja aku ceritakan. Aku baru saja recover from Pneumonia.

Ooohhh, J.C. Semoga kau... Pauletta tidak sampai hati untuk melengkapkan ayatnya.

Ya, semoga aku panjang umur... J.C menyambung sendiri.

Zhi Cheng berubah sedikit. Pauletta menggambarkan suasana yang ada.

Maksud kau Positif Negatif J.C bertanya semula.

Lebih teruk! Kakitangan di sini buat demo! Suara Pauletta bersemangat.

Demo Seronoknya! Mogok J.C ghairah.

Mogok juga.

Apa kerenahnya

Macam dulu juga. Pauletta ketawa kecil. Anugerah Jurnalis ditangguhkan sehingga hujung minggu hadapan. Media di sini, sebut-sebut nama kau J.C.

Ah, aku tak berminatlah Paul. J.C bernada bosan.

Pauletta diam. Dia membendung resahnya.

Norman. Ada kau dengar cerita dia

Pauletta memuntahkan resahnya menjadi bimbang yang parah. Dia lekas-lekas mengalihkan ke lain. Aku nak buat pameran fotografi di London, Paris, Geneva dan New York.

Tahniah! Itu cita-cita kau sejak dulu. Congratulations Paul! Nada J.C gembira. Pauletta jadi aman seketika.

Bila tu Soal J.C lagi. Emmm, gambar-gambar di Rwanda ada tak

Pauletta buat-buat ketawa menutup rahsia. Ya, ya memang ada.

Aku akan pulang ke K.L lusa.

Apppaa Pauletta terkejut metah. Pulang Nak balikkk

J.C ketawa kuat. Kenapa terkejut sangat Jangan-jangan ada rahsia.

Rahsia Tak ada. Tak ada. Sumpah tak ada. Pauletta gugup.

Hei, Paul kenapa ni Kau tak suka aku nak balik

Taklah, suka, suka, memang suka.

Jadi Relaks. Jangan terkejut benar. Berita biasa saja. J.C tidak mengesyaki apa-apa.

Kenapa kau nak balik pula Pauletta risau dan gusar sekali. Dia gagal melindunginya.

Cuba teka. Selamba nada suara J.C.

Teka Err. Teka Pauletta terus gugup. Kau nak letak jawatan

Tepat sekali. Itu yang kau mahukan selama inikan Supaya aku berehat dan enjoy sisa hidup yang ada.

Ya, ya kau sepatutnya berehat. Pauletta mengiyakan kata-kata J.C.

Aku juga nak jual harta benda aku dan habiskan hidup ini bersama keluarga aku di sini.

Kau nak pindah terus Oh, J.C kau sayangkan Malaysia bukan Pauletta tersentuh tiba-tiba. Dia tidak sanggup kehilangan sahabat seperti J.C dari hidupnya.

Apa nak buat Aku dah tak ada apa-apa.

Pauletta tersentak mendengar itu.

Oh ya, kau belum jawab pertanyaanku tadi. Apa khabar Norman agaknya J.C menimbulkan semula kegusaran Pauletta.

Pauletta hanya diam. Dia tidak tahu bagaimana ingin memulakannya. Dia cuma berbisik di dalam hati. Memang kau sudah tidak ada apa-apa lagi J.C, di sini. Memang!