MeNeMPUhI
PePerIKSAAN
Memburu hari-hari terakhir study week cukup menyeksakan. Mood yang tidak stabil, rasa ingin menyendiri, ada masa terasa ingin menangis, sensitif dengan gurauan rakan-rakan, berputus asa, penat yang amat sangat dan sebagainya.
Tika ini, seribu satu rasa bercampur dalam jiwa. Tidak tahu jika ia memberi petanda baik ataupun tidak. Jika dibandingkan dengan makanan, siakap tiga rasa memang sangat lazat hingga air liur menitik tatkala hanya bercerita tentangnya sahaja. Namun, andai mampu dicipta siakap seribu rasa Mungkin ia menjadi makanan yang paling tidak sedap barangkali.
Ada teman-teman yang sudah tidak berselera untuk makan, ada yang diuji dengan ujian berat apabila orang tersayang ditimpa sakit dan ada juga yang diri mereka sendiri sakit.
Ya Allah! Aku bersyukur kerana Dikau lindungi aku dari rasa serabut yang melampau. Andai jiwa ini penuh dengan kesakitan, namun ia masih mampu disembunyikan dengan senyuman. Walau hati ini dilanda ketakutan, ia masih mampu dihiasi dengan gelak tawa. Namun hakikatnya, ada masa meletus jua kepedihan dan kesengsaraan hingga disedari teman seperjuangan. Dan ada masa air mataku menitis jua memikirkan bebanan yang ditanggung.
Seorang pensyarah ada memberikan sedikit kata-kata dorongan kepada kami. Kata beliau;
Usah difikirkan exam yang semakin dekat, fikirkan saat-saat indah apabila nama dipanggil oleh dekan dengan gelaran doktor di pangkal nama. Semoga ia mampu memberi ketenangan
Aku cuba untuk memikirkan saat itu, setiap masa aku bayangkan ia berlaku. Aku andaikan saat itu pasti dihiasi rasa gembira yang amat sangat. Hanya dua minggu sahaja lagi detik itu akan berlangsung.
Nasihat dari seorang registrar perubatan turut menerjah fikiran.
Jangan difikir masa lampau dan usah peduli banyak lagi silibus yang belum dibaca. Apa yang penting ialah usaha pada hari ini dan esok. Rasa resah dan tidak tenteram memikirkan masa yang terbuang di kelmarin hari adalah bisikan syaitan. Jangan sesekali mengatakan bahawa anda sudah berputus asa dan ingin Give Up. Jangan juga mengatakan bahawa anda tidak boleh. Walaupun masa semakin suntuk, berusahalah bersungguh-sungguh. Apa yang penting itu adalah usaha. Di samping itu juga sebagai Muslim, kena perbanyakkan doa kepada Allah. Itulah senjata seorang mukmin.
Namun, peringatan dari orang dulu turut bermain di minda. Usah sentiasa dibayangkan yang indah sahaja kerana hidup bukan sebegitu. Andai masa, perlu jua dibayangkan keputusan terburuk bakal berlaku. Andai takdir menentukan, redha terpaksa ditelan untuk terus tinggal di bumi USMKK untuk tempoh enam bulan lagi. Mungkin bersendirian tanpa temanteman seperjuangan yang sudah pun bertungkus lumus di alam kerjaya.
Ah! Lontarkan sahaja prasangka negatif itu jauh-jauh ke lautan biru. Biarkan ia tenggelam di dasar yang amat dalam itu. Tenggelam menjadi harta karun yang tidak ingin disentuh manusia. Biarkan ia terus tersadai hingga ke akhir kalam.
InsyaALLAH teruskan berfikiran positif walaupun silibus masih belum dihabiskan. InsyaALLAH mungkin sebenarnya ia sudah dibaca barangkali 3 atau 4 tahun yang lampau dan sedikit memori mengenainya masih ada dan mungkin diingati kembali waktu peperiksaan kelak. InsyaALLAH.
CAtAtAN
PePerIKSAAN
PrOFeSIONAl III
Untuk mendapat Ijazah MD USM, kami mestilah terlebih dahulu lulus dalam Peperiksaan Profesional III. Peperiksaan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu teori dan klinikal. Syarat lulus peperiksaan ini adalah dengan lulus kedua-dua komponen dengan markah minimum untuk setiap komponen adalah 50 markah.
Katakanlah purata markah untuk dua kertas ini lulus tetapi salah satu komponennya gagal, maka ia tetap dikira gagal. Jika mendapat markah borderline iaitu 45 dan ke atas, calon akan diberi peluang untuk menduduki sesi khas yang dipanggil vivaborderline di mana pelajar akan ditemuduga oleh beberapa orang doktor untuk menentukan jika mereka boleh menjadi doktor yang selamat ataupun tidak. Untuk mereka yang memperoleh markah 70 dan ke atas pula, mereka akan dipanggil untuk menduduki peperiksaan vivadistinction untuk melihat samada mereka layak untuk diberikan markah A Cemerlang.
Berkenaan dengan struktur soalan pula, untuk bahagian teori ia dibahagikan pula kepada dua kertas iaitu Multiple Choice Question (MCQ) dan Multiple Essay Question (MEQ).
MCQ adalah kertas soalan objektif. Pelajar perlu menduduki dua kertas MCQ yang merangkumi semua posting yang kami jalani. Untuk setiap kertas, ada 100 soalan. Setiap soalan mempunya lima respon. Berbeza dengan peperiksaan peringkat PMR atau SPM, peperiksaan MCQ bukanlah bererti memilih satu respon jawapan yang betul. Sebaliknya kami terpaksa menjawab sama ada setiap respon tersebut adalah benar ataupun salah. Maknanya, jumlah soalan yang perlu kami jawab adalah sebanyak 500 untuk satu kertas. Jumlah respon yang perlu dijawab pula adalah 1000 semuanya. Sekiranya kami menjawab dengan betul, satu markah akan diberikan. Sekiranya salah, setengah markah akan ditolak dan ia akan dibawa ke soalan seterusnya. Tempoh masa yang diberikan adalah selama dua jam setengah untuk setiap kertas.
MEQ pula merupakan soalan berbentuk essei ataupun subjektif. Kami terpaksa menduduki dua kertas MEQ dan setiap kertas mempunyai lima soalan besar. Tempoh masa untuk setiap kertas adalah dua jam setengah. Melalui kertas ini, kami akan diuji dengan senario yang menggambarkan keadaan pesakit bermula mereka bertemu doktor, membuat diagnosis, rawatan yang diberi, komplikasi yang dialami pesakit dan cara-cara untuk mencegah pesakit dari mendapat masalah yang sama.
Manakala untuk bahagian klinikal pula, terdapat tiga bahagian yang perlu kami duduki. Yang pertama adalah sesi longcase di mana kami akan diberi masa bersama pesakit selama satu jam untuk mendapatkan riwayat penyakit, membuat diagnosis dan membuat rangka rawatan untuk pesakit. Selepas itu, kami akan diuji pula dengan dua orang examiner selama setengah jam di bilik khas yang disediakan.
Seterusnya pula kami terpaksa menduduki peperiksaan shortcase. Setiap pelajar akan diberikan tiga pesakit secara rawak mengikut disiplin surgery atau medical dan kami diberikan masa selama 10 minit untuk membuat pemeriksaan, membentangkan hasil penemuan dari pesakit kepada pemeriksa dan juga sesi diskusi bersama pemeriksa.
Komponen terakhir pula adalah Objective Structured Clinical Exams (OSCE) yang menggabungkan aspek klinikal dan juga teori. Peperiksaan ini dibahagikan kepada 26 stesyen dan setiap stesyen mengambil masa lima minit. Ia dijalankan umpama bermain musical chair. Setiap lima minit, kami akan bertukar stesyen.
Pengalaman saya menduduki peperiksaan ini penuh dengan jerit perih yang tersendiri. Apatah lagi persediaan dari sudut ilmu pengetahuannya cukup rendah. Masa yang diberikan untuk kami mengulangkaji pelajaran juga cukup singkat iaitu hanya dua minggu sahaja.
Bayangkan dua minggu tempoh masa yang diberikan untuk mengulangkaji kembali silibus pelajaran selama lima tahun.
Lima tahun Dan adakah silibus sewaktu foundation turut ditanya
Ya! Untuk lima tahun. Soalan untuk foundation tidaklah ditanya secara mendalam. Cumanya, mereka akan meletakkan juga respon mengenai anatomi, fisiologi dan biokimia untuk manusia yang normal di dalam soalan MCQ. Sewaktu peperiksaan klinikal pula, andai seseorang calon tersekat-sekat dalam menjawab soalan berkait dengan management pesakit, mereka akan menguji kami dengan soalan-soalan basic science.
Seseorang calon boleh digagalkan disebabkan perkara ini. Everything under the sun can be asked!
Tempoh dua minggu itu tersangatlah sedikit. Maklumlah begitu banyak sekali topik yang belum saya habiskan. Kerana terlalu banyak menyimpang ke perkara yang lain, saya mengalami masalah untuk menghabiskan subjek-subjek dalam empat rotasi iaitu internal medicine, paediatrics, surgery dan orthopaedics.
Mahu tidak mahu, saya terpaksa bersengkang mata dengan hanya membaca nota ringkasan yang ditulis oleh senior. Ilmu yang digarap hanyalah superficial sahaja. Sudah tidak sempat untuk membuka buku-buku rujukan standard. Saya hanya mampu berdoa pada Allah agar dipermudahkan segala urusan.
Ya Allah. Aku memohon pada Mu, permudahkanlah aku untuk menuntut ilmu, mengingatinya, mengamalkannya dan menyebarkannya. Ya Allah! Bantulah aku untuk lulus dalam peperiksaanku agar tidak menjadi fitnah kepada dakwah yang aku lakukan. Bukakanlah dadaku, lapangkanlah hatiku dan tenangkanlah fikiranku untuk menjawab soalan peperiksaan. Jauhi aku dari cuai dan lalai semasa menjawabnya. Kurniakanlah examiner yang baik padaku dan berilah aku kes-kes yang aku mahir dengannya dan dapat menjawabnya dengan baik. Amin!
Selain itu, saya juga perlu banyak berterima kasih kepada seorang rakan saya yang berketurunan Tionghua dan berasal dari Perak. Beliau cukup berbeza berbanding rakan-rakan Cina yang saya temui. Mungkin kerana beliau berasal dari keluarga yang miskin. Rakan saya itu banyak membantu saya dalam belajar dengan mengajarkan topik-topik yang saya tidak sempat baca. Kami juga banyak membuat soalan latihan dan berlatih pemeriksaan fizikal bersama.
Semestinya peranan study group tidak boleh dilupakan sama sekali. Memandangkan kami telah membuat persediaan awal untuk sesi klinikal, maka pada minggu study week ini kami lebih memfokuskan kepada aspek teori dengan membincangkan soalan-soalan tahun yang sudah. Alhamdulillah, strategi ini cukup berkesan kerana kami tidak perlu berebut dengan pelajar perubatan lain yang memenuhi wad untuk berlatih pemeriksaan fizikal.
Kumpulan study group kami disertai juga dengan beberapa orang pelajar perubatan yang lain dan kami biasanya mengadakan tiga sesi perbincangan setiap hari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan lewat malam. Waktu yang terluang pula digunakan untuk melakukan tugasan yang diberi atau belajar sendiri. Saya tidaklah begitu mematuhi jadual study group untuk minggu peperiksaan ini memandangkan masih banyak subjek yang perlu saya kuasai. Hanya slot-slot penting sahaja yang saya hadiri.
Bagi saya, study group itu memang bagus, namun ada masanya kita perlu juga mempunyai masa untuk diri kita sendiri bagi memperbaiki kekurangan diri. Hanya kita sendiri yang benarbenar memahami keadaan diri dan membuat mana-mana penambahan atau pengurangan yang dirasakan perlu.
Ada kalanya juga kami akan ke skills lab untuk berlatih melakukan prosedur-prosedur yang mungkin keluar stesyen OSCE seperti suturing, digital rectal examination, pap smear, vaginal examination, nasogastric tube, urinary cathether dan newborn assesment.
Pensyarah juga tidak ketinggalan dalam memberikan sumbangan terakhir mereka dengan mengadakan taklimat akhir posting masing-masing. Mereka akan menyampaikan tips-tips menjawab peperiksaan serta expectation mereka mengenai cara-cara calon menjawab peperiksaan.
Dua minggu tersebut nyata diisi tanpa dibazirkan sedikit ruang pun. Di saat ini, masing-masing berada dalam kepenatan dan kurang mood untuk bergurau atau bersembang soal-soal yang tidak sepatutnya. Saya sendiri menutup akaun Facebook dan meminimakan aktiviti sosial yang kurang perlu.
Saat-saat menakutkan akhirnya bermula. 17 April 2011 adalah merupakan tarikh di mana saya menduduki dua kertas iaitu MEQ I di sebelah pagi dan MEQ II pada petangnya. Cabaran terbesar peperiksaan ini adalah apabila saya tidak dapat tidur langsung pada malamnya kerana terlampau berdebar-debar. Pada hari peperiksaan, saya terpaksa membawa masuk air kopi bagi menghilangkan mengantuk.
Apabila calon-calon yang lain khusyuk menjawab peperiksaan, saya terpaksa berhenti sekali-sekala untuk menghirup kopi yang dibawa agar hilang mengantuk dan untuk memastikan fikiran saya terus fokus pada soalan peperiksaan. Kopi yang merupakan sejenis diuretic itu juga menyebabkan saya terpaksa ke tandas berulang kali untuk membuang air kecil.
Paling menyerabutkan adalah apabila berlaku sedikit kesilapan pada pihak pengurusan dimana kami berkongsi dewan peperiksaan dengan pelajar sains kesihatan yang juga menduduki peperiksaan akhir mereka. Bayangkan betapa stresnya apabila sedang khusyuk menjawab soalan, anda akan mendengar pengumuman dari pengawas peperiksaan di sebelah sana. Saya hanya mampu mengetip gigi kerana geram dan kecewa. Semoga ia menjadi punca untuk saya terus kuat.
Alhamdulillah, hari pertama peperiksaan tidak mengecewakan saya. Hampir kesemua soalan yang dikeluarkan pernah dibincangkan sewaktu study group. Soalnya adalah sama ada ingat ataupun tidak fakta-fakta yang dibincangkan itu. Boleh dikatakan saya tamat menjawab soalan peperiksaan dengan masa berbaki lebih dari setengah jam. Sayangnya, untuk kertas ini kami tidak boleh menyemak kembali atau membetulkan jawapan kerana apabila siap satu-satu helaian dijawab, ia perlu terus dimasukkan ke dalam sampul surat yang disediakan kerana helaian baru mempunyai jawapan untuk soalan terdahulu.
Pulang dari peperiksaan saya hanya tidur dan bangun untuk mengerjakan solat. Ada masanya, saya membelek-belek kembali nota yang saya sediakan awal-awal lagi untuk menghadapi peperiksaan OSCE pada hari berikutnya.
Peperiksaan OSCE pada hari kedua sangat mencabar. Stesyennya seimbang dengan soalan senang dan susah. Ada stesyen yang saya mampu skor markah penuh seperti stesyen yang melibatkan sesi konsultasi di mana kami diminta untuk menunjukkan demonstrasi bagaimana menasihatkan pesakit tentang cara-cara memakai kondom. Namun ada juga satu atau dua stesyen yang saya tidak mampu untuk menjawab langsung soalannya iaitu soalan yang berkaitan dengan statistik dan interpretasi partogram untuk kes O&G.
Ada masanya saya turut merasa geram apabila ada calon yang melambatkan diri untuk beralih dari satu-satu stesyen hingga menyebabkan aliran tertangguh sedangkan masa tetap berjalan seperti biasa. Maklumlah saya bukan jenis yang boleh terus menjawab soalan apabila beralih ke stesyen baru. Setidaktidaknya saya memerlukan masa barang setengah minit untuk menenangkan diri.
Saya tidak mahu peristiwa lalu sewaktu peperiksaan OSCE Profesional II berulang kembali. Ketika itu, saya mengalami blank untuk beberapa stesyen. Saat itu, saya tidak mampu untuk berfikir langsung walaupun soalannya senang. Apabila saya beralih ke stesyen yang lain, jawapan untuk stesyen yang lepas kembali menerawang dalam fikiran. Ia menjejaskan fokus saya untuk menjawab soalan baru.
Saya hanya mampu menarik nafas lega apabila peperiksaan ini tamat setelah satu jam setengah mendudukinya. Saya tidak berani untuk berangan-angan mendapat markah cemerlang kerana soalannya memang sukar. Ada juga soalan yang saya tidak jangka dan soalan asas yang keluar. Dan semestinya saya gagal menjawabnya dengan baik.
Apa-apa sekalipun, saya harus melupakannya terus memandangkan saya perlu membuat persediaan untuk peperiksaan berikutnya iaitu Long Case.
Ada sedikit perasaan cemburu pada rakan-rakan saya kerana sesetengah dari mereka mempunyai masa untuk berehat setelah dua hari memerah otak. Akan tetapi, saya terpaksa menduduki sesi long case pada hari Selasa dan short case pada hari Rabu. Ia benar-benar menguji ketahanan apatah lagi minda diuji secara berturut-turut tanpa rehat.
Untuk sesi longcase, kami mencabut undi untuk menentukan kes apa yang bakal kami perolehi. Antara redha dan bersyukur, saya mendapat kes pediatrik dan diuji oleh dua orang pemeriksa iaitu profesor dalam bidang NICU di tempat kami dan juga seorang profesor dalam bidang perubatan dalaman dari Universiti Malaya.
Ada perasaan gusar di hati saya kerana waktu peperiksaan saya merupakan waktu rehat tengah hari. Menurut kata sesetengah pensyarah, saat ini merupakan detik di mana pemeriksa sudah pun penat, lapar dan mudah menjadi marah. Semoga Allah melindungi saya.
Kes asthma tergolong dalam kategori kes mudah berbanding kes lain seperti Lupus Nephritis, kanser, rheumatic fever mahupun kes surgikal lain. Akan tetapi, tidak ramai pelajar yang mampu skor kes ini. Pemeriksa pula menetapkan standard piawaian yang tinggi untuk lulus kes ini. Mungkin itulah nasib yang menimpa saya apabila diuji dengan kes pesakit yang mengalami mild acute exacerbation of Asthma secondary to chest infection with underlying persistent mild asthma and atopy. Dalam kes ini, pesakit mengalami masalah kronik iaitu asthma dan juga penyakit kulit yang disebabkan masalah sistem immunologi badan iaitu atopy. Tahap kawalan penyakit asthma-nya adalah bagus tetapi beliau mengalami exacerbation ataupun penyakit tersebut tiba-tiba menjadi teruk disebabkan adanya jangkitan kuman pada paru-paru.
Banyak soalan-soalan asas yang ditanya oleh pemeriksa dan saya seringkali lupa. Dengan menundukkan kepala, saya hanya mampu berkata;
Im sorry Prof, I could not recall the answer right now
Antara soalan yang ditanya termasuklah bagaimana meningkatkan kerjasama pesakit kanak-kanak sewaktu melakukan pemeriksaan fizikal, bagaimana menggunakan ubat inhaler dalam kanak-kanak, faktor yang menyumbang kepada serangan asthma dalam kanak-kanak, jenis-jenis asthma, punca-punca wheezing (nafas berbunyi seperti dalam pesakit asthma), bagaimana cara untuk mengklasifikasikan tahap keterukan serangan asthma, bagaimana ingin menentukan sama ada pesakit alah pada debunga, ujian makmal untuk asthma dan alergik dan banyak lagi. Malah saya juga ada memberikan jawapan yang pelik hingga menyebabkan pemeriksa ketawa terbahak-bahak. Antaranya adalah sewaktu beliau bertanyakan saya bagaimana cara untuk mengetahui seseorang itu alah kepada debunga ataupun tidak. Secara spontan saya menjawab;
Ask him to kiss the flower, Prof!
Mujurlah mereka tidak menggagalkan saya.
Untuk sesi short case pula, saya sedikit beruntung kerana mendapat kes surgical based yang agak straight forward dan tidak susah. Tiga kes yang saya perolehi adalah non union right tibia fibular fracture, graves disease dan uterus larger than date. Alhamdulillah saya mampu untuk skor dua dari stesyen tersebut. Untuk stesyen O&G, saya tidak dapat melakukannya dengan cemerlang kerana kurangnya latihan.
Non union right tibia fibular fracture adalah keadaan yang berlaku apabila kepatahan yang mengakibatkan tulang tibia dan fibula di kaki tidak bertangkup dan sembuh. Akibatnya, kaki pesakit kelihatan tergantung pada kulit dan terbentuk sendi palsu. Pesakit ini memerlukan pembedahan untuk memperbetulkan kecacatan tersebut.
Graves disease pula merupakan sejenis penyakit yang mengakibatkan kelenjar tiroid pada leher membengkak. Selain itu, ia mengakibatkan ketidakseimbangan hormon dan menyebabkan pesakit mempunyai mata yang terbonjol keluar, cepat berasa marah, kitaran haid yang tidak normal, tangan yang sentiasa menggeletar, tekanan darah tinggi, sentiasa berasa berdebar-debar dan lain-lain lagi.
Uterus larger than date pula merupakan istilah yang digunakan apabila ketinggian rahim lebih tinggi berbanding dengan bilangan minggu pesakit wanita itu mengandung. Dalam kes ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti kandungan air dalam rahim yang terlalu banyak, berlaku kesalahan dalam mengira usia kandungan, saiz bayi yang terlampau besar, kandungan kembar ataupun terdapat ketumbuhan di dalam rahim dan anggota sekitar rahim. Oleh yang demikian, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan berdasarkan kemungkinan ini.
Saya hampir menitiskan air mata apabila salah seorang pemeriksa berpuas hati dengan teknik pemeriksaan saya dan jawapan yang saya berikan hingga meluahkan rasa bangganya kerana pernah menjadi guru saya. Katanya lagi, tidak sia-sia dia mengajar saya. Hampir sahaja saya rebah menerima pujian tersebut.
Saya memang seorang yang kurang senang dengan pujian dan ia seringkali membuatkan saya berasa takut. Ini kerana, pujian itu bisa sahaja membuatkan kita terleka dan kita senang terjatuh dek kerananya. Pujian akan membuatkan kita mudah lupa diri dan seolah-olah kita sudah mahir dengannya.
Habis sesi short case, saya sudah boleh menarik nafas lega kerana mempunyai ruang untuk merehatkan minda kerana peperiksaan seterusnya adalah pada hari Ahad akan datang. Ada juga rakan-rakan yang sudah mengadakan sambutan setelah tamat peperiksaan klinikal dengan makan-makan di KFC. Saya terpaksa menolak pelawaan mereka kerana tidak mahu terlampau gembira selagi mana tidak ada keputusan yang tetap.
Biarlah saya menangis terlebih dahulu agar tawa saya dapat dijimatkan untuk diguna pada masa yang tepat.
Tiga hari cuti ini tidak pula digunakan untuk berehat kerana kami sedar bahawa perjuangan kami belum berakhir. Study group kami kembali bertungkus-lumus untuk membuat latihan MCQ tahun lalu. Usaha perlu diteruskan agar Allah dapat menjadi saksi kepada sebuah pengorbanan yang kecil ini. Sekecil mana pun ia, ini adalah jihad yang kami lakukan demi mengejar sebuah cita-cita.
Bukankah jihad itu berasal dari perkataan jahada yang bererti usaha yang bersungguh-sungguh
Ahad, 24 April 2011. Hari ini dilalui dengan penuh gusar sekali. Masing-masing terkesima apabila berhadapan dengan soalan MCQ yang sangat susah. Jauh lebih sukar dari soalan-soalan tahun terdahulu. Hanya Allah yang mengetahui akan kesedihan hati kami.
Dan kopi semestinya menjadi peneman setia saya sewaktu menjawab kedua-dua kertas tersebut!
500 respon yang dijawab pada sesi pagi dan 500 respond dijawab pada sesi petang benar-benar memakan semua tenaga yang ada pada kami. Kami layu dan lemah longlai. Namun hati pastinya tidak jemu-jemu berdoa agar keputusan terbaik menanti kami pada hari Khamis nanti.
AKU DOKtOr!
Khamis, 28 April 2011 merupakan tarikh keramat di mana keputusan peperiksaan kami diumumkan.
Semua pelajar telah pun berkumpul di Dewan Kuliah 3, Pusat Pengajian Sains Perubatan pada jam 11 pagi sementara dekan dan pensyarah lain masih lagi di dalam mesyuarat terakhir untuk menentukan sama ada calon dapat diluluskan ataupun tidak.
Setengah jam kemudian, dekan masuk sambil diiringi pensyarah yang lain. Debaran setiap pelajar perubatan semakin kuat. Apakah usaha selama hampir lima tahun akan membuahkan hasil. Apakah kami akan menuai hasil dari benih yang kami tanam Sesetengah dari kami, ada juga yang sudah pun berada di sini selama tujuh tahun disebabkan rezeki mereka sentiasa tertangguh. Mungkinkah percubaan kali ini menjadi rezeki buat mereka.
Dekan mula mengumumkan nama-nama pelajar yang lulus mengikut susunan abjad. Bezanya kini, nama kami dimulakan dengan gelaran doktor di hadapan nama. Semua pelajar bersorak dan bertepuk tangan apabila nama rakan-rakan disebut oleh dekan. Jauh di sudut hati, mereka juga cemas menantikan nama mereka dipanggil.
Satu demi satu nama dipanggil. Kesedihan sudah terbayang di riak wajah beberapa orang rakan yang gagal dalam peperiksaan apabila nama mereka tidak disebut dekan. Semoga Allah memberikan kekuatan buat mereka untuk menjalani remedial selama enam bulan sebelum menduduki kembali peperiksaan Profesional III.
Akhirnya detik yang ditunggu tiba jua.
Dr Muhamad Naim B. Ab Razak.
Suara dekan yang lantang itu menembusi hati saya. Akhirnya mimpi yang menjadi teman sejak dari kecil dahulu sudah pun menjadi nyata. Gelaran doktor akhirnya menjadi milik saya secara rasminya juga.
Alhamdulillah!
Sesi diteruskan pula dengan bacaan ikrar buat pelajar perubatan yang menamatkan pengajian mereka. Saat yang penuh dengan emosi yang menyentuh sanubari.
Oath Of USM Medical Students Graduation Day
In the name of God, We seek from you:
The ability to be truthful, honest, modest,
Merciful and objective in our dealings
The fortitude to admit our mistakes, to amend our ways and to forgive
The wisdom to comfort and counsel all our patients
Towads well being, peace and harmony regardless of their
Social status, race and religion
The ability to understand that our profession is sacred,
Dealing with Your most precious gifts of life and intellect
We promise to devote our lives in serving mankind,
Poor or rich,
Literate or illiterate,
Irrespective of race and religion
With Patience and tolerance,
With virtue and reverence,
With knowledge and vigilance,
And with Your love in our heart
Ada titis-titis air jernih melepasi kelopak mata dan berguguran di tanah pada saat ikrar tersebut dilafaz. Saya sedaya upaya menahan sebak di dada tatkala hati cuba menyelami makna disebalik bait-bait ikrar yang dilafazkan oleh lidah. Maknanya sungguh mendalam sekali dalam menggambarkan nilai gelaran doktor yang baru kami perolehi ini.
Mampukah saya menempuhi saat-saat sebenar di alam kerjaya nanti Apakah cita-cita yang tertanam benar-benar akan terlaksana Mampukah ikrar untuk menjadi Doktor Muslim yang komited pada agama akan menjadi realiti atau sekadar menjadi retorik bicara
Keputusan yang dibuat sewaktu mengisi borang penempatan houseman kembali menerjah fikiran. Hati pada masa itu bulat sekali untuk memilih Sabah dan Sarawak sebagai destinasi seterusnya.
Destinasi yang menjadi lapangan untuk menuntut ilmu dan berkhidmat kepada masyarakat. Mampukah aku menghadapi segalanya
Kerana kini aku adalah seorang doktor!