Mana beg duit saya. Nurul Liyana mengerutkan kening. Nada suaranya menengking.
Saya tidak tahu. Sejak saya di sini, memang sudah tiada. Aku menjawab acuh tidak acuh dan kembali ke tempat asalku. Aku tidak kuasa melayan perkara yang tidak ada kena mengena denganku.
Nurul Liyana mendapatkan rakan-rakannya dan mengeluarkan kenyataan bahawa aku mencuri beg duitnya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM5. Nilai itu lima kali ganda daripada jumlah wang saku sekolah untuk sehari. Desas desus tentang kes kecurian itu terus menjadi buah mulut oleh Nurul Liyana.
Khabar angin tentang isu kecurian itu menyingkirkan kewujudan aku dari bilik darjah. Kawan-kawanku mengelak dari mendekatiku. Di mana tempat aku berdiri, di situlah murid-murid lain melarikan diri. Kalaulah Shuhada masih bersekolah di sini, perkara itu bukanlah suatu musibah. Biasanya genius kecil itu pandai meneutralkan emosiku. Kini aku cuma tinggal Wafa Thahirah. Satu-satunya murid yang tidak melihat aku sebagai watak transparent. Sepanjang kebiadaban pertuturan Nurul Liyana, aku menumpang kasih dengan Wafa Thahirah.
Aku begitu sengsara. Aku harus membiasakan diri supaya tidak lagi ponteng perhimpunan pagi. Aku rindu untuk mendengar leteran Shuhada, cendekiawan kecil yang bermulut murai. Shuhada pula pasti tidak teragakagak meninggalkanku, lantaran aku telah membuangnya hujung semester lalu. Aku sama sekali tidak tahu, bahawa dia benar-benar pergi dariku. Aku kehilangan Albert Eistein miniku.
Sekolah menjadi ruang yang sangat membosankan. Hobiku membuli Wafa Thahirah telah beransur hilang, malah diganti dengan naluri sayang. Hobi ponteng kelas tidak akan menjadi jika seorang diri. Terkesanlah bagiku, apabila bekas penjenayah akademik ini dihargai oleh gadis yang dahulu ku anggap tolol.
Wafa Thahirah begitu baik. Dia memujukku untuk terus menulis diari, supaya aku tidak sunyi. Katanya, dia cuma tidak boleh menemaniku jika aku mengajaknya melakukan perkara yang bukan-bukan. Sejak kejadian kes curi, aku dihukum dengan kesalahan yang tidak aku lakukan. Mujur ada gadis sawo matang itu, yang setia menjadi teman.
Sehingga tiga hari kemudian, didapati beg duit Nurul Liyana dilempar keluar ke kaki lima melalui tingkap oleh Hong Leong Leong, seorang murid lelaki berbangsa Cina. Nurul Liyana tidak kesal dengan tuduhan pertamanya, menyebabkan tercetus di dalam hatiku kenyataan, tidak ada maaf buatmu atas tuduhan yang melulu.
Hong Leong Leong tahun sebelumnya pernah cuba mencuri beg sekolah berjenama milik Shuhada. Hari tersebut Shuhada pulang tanpa beg sekolahnya. Shuhada bersikap tenang, atau mungkin sahaja kecelaruan di dalam hati tidak ditunjukkan. Keesokan harinya, beg sekolah itu ditemui di belakang almari.
Rakan-rakan perempuanku kembali menerimaku seperti biasa. Tahun itu, akrablah aku dengan Wafa Thahirah sebagai sahabat baru.