MENUJU NAFAS TERAKHIR - 11
Seperti sepuluh tahun yang lalu, rutin harian saya pada setiap pagi Isnin sehingga Jumaat adalah bangun dari tidur pada pukul enam, termenung di atas katil, berangan di dalam tandas, bersiap pakai ke sekolah dan ke sekolah tentunya. Cuma tahun ini, bezanya besar dengan tahun-tahun yang sebelumnya.

Tahun ini, saya sudah pun berada di tingkatan lima. Sudah tujuh belas tahun.

Berada di tingkatan lima merupakan satu perkara yang menyeronokkan. Ini kerana, tahun ini merupakan tahun terakhir saya memakai baju seragam sekolah, tahun terakhir saya menjadi seperti seorang tahanan di penjara dengan kurungan seawal tujuh empat puluh lima pagi sehingga ke pukul dua petang.

Pukul dua petang merupakan waktu yang paling awal untuk pelajar pulang ke rumah, kecuali pada hari Jumaat, dan pada hari-hari sekiranya saya agak berani untuk berpura-pura sebagai pelajar sesi petang dan terus berlari ke luar sekolah.

Sekiranya terdapat para guru yang terlebih rajin berfikir bahawa anak-anak murid ini tidak perlukan rehat kerana mereka semua masih muda remaja, maka kami terpaksa berteleku di atas kerusi memerah otak supaya rancak bergerak, dan memproses setiap maklumat yang kami tidak mampu lagi hadam, sehingga pukul lima petang.

Sesuatu yang buruk pernah berlaku. Sedang setiap pelajar di sekolah itu bergegas-gegas mahu pulang ke rumah masing-masing atau pun rumah buah hati masing-masing, seorang guru yang mengajar kelas kami dalam mata pelajaran Prinsip Perakaunan - Puan Azah, telah masuk ke kelas.

Duduk. Ganti kelas semalam, kata Puan Azah dan terus dibalas oleh keluhan panjang kami sekelas.

Masing-masing menarik muka masam apabila mengenangkan waktu-waktu menyeronokkan sewaktu kelas Prinsip Perakaunan pada hari sebelumnya, yang diluangkan dengan seronok sekali seperti berborak dan berjalan-jalan di sekitar sekolah kerana Puan Azah tidak hadir ke sekolah.

Di waktu itu, saya, Azly, Syidin, Syaidi dan Hairil tidak lekas duduk seperti apa yang disuruh oleh guru kami itu. Kami pantas keluar dari kelas sambil menyembunyikan diri perlahan-lahan di belakang rakan-rakan yang masih berdiri. Kebetulan pula pada ketika itu Puan Azah sedang leka menyelak-nyelak buku teks di mejanya. Jadi, kami dengan tanpa fikir-fikir lagi, terus berlari keluar melalui pintu belakang dan tidak sempat untuk berkelip mata lagi, kami sudah pun hilang. Puan Azah, dia tidak menyedarinya.

Itu adalah sesuatu yang menyeronokkan. Kerana bahagian yang tidak menyeronokkan di dalam cerita ini, masih belum tiba.

Pada petangnya ketika di rumah, ibu memanggil saya turun untuk berjumpa dengannya. Dari cara dia memanggil saya, dengan jeritan yang halus tetapi nyaring, dengan nada yang lembut tetapi berkerut, saya cuba-cuba mengagak apakah kesalahan yang telah dilakukan pada waktu itu.

Ponteng kelas Cikgu Azah tanya ibu. Rupa-rupanya tidak lama selepas kelas dimulakan, barulah Puan Azah perasan bahawa beberapa pelajar tidak berada di dalam kelas pada waktu itu. Termasuklah saya. Dan dengan mudah sekali, kerana seperti sudah kerap kali saya ulang-ulangkan bahawa ibu adalah guru di sekolah itu, Puan Azah berjumpa dengan ibu saya lalu melaporkan tentang hal itu.

Dan akibatnya, hampir enam puluh minit saya duduk menunduk ke lantai - mendengar setiap pekik tengking ibu yang tidak henti-henti menjerit meminta saya berubah sikap, meminta saya memikirkan apa yang telah saya lakukan, meminta saya memikirkan masa depan, meminta saya memikirkan dosa pahala dan akhirnya berlanjutan sehingga kepada perkara-perkara seperti kenapa bilik tidak berkemas, kenapa baju-baju saya berbau asap rokok dan kenapa pinggan dan mangkuk di dapur tidak berbasuh.

Menjadi pelajar tingkatan lima rupa-rupanya lebih rumit dan berat berbanding menjadi pelajar tingkatan tiga yang pernah saya tempuhi suatu ketika dahulu. Kelas-kelas tambahan lebih kerap diadakan, kelas-kelas tuisyen di merata-rata pusat tuisyen turut saya hadiri dan pelbagai jenis cara yang katanya lebih efektif untuk membantu saya di dalam pelajaran turut telah dilakukan.

Walaupun ini semua menimbulkan rasa kurang senang di dalam diri saya, saya terpaksa untuk melakukannya juga demi menjaga hati kedua-dua ibu dan bapa. Mereka beranggapan bahawa pelajaran dari dalam kelas merupakan pelajaran yang paling berkesan sekali. Tetapi saya mempunyai satu percanggahan pendapat dengan mereka di dalam hal ini.

Saya lebih suka mempelajari sesuatu kerana saya ingin mempelajarinya. Bukannya kerana dipaksa, terpaksa, dan kerana entah apa-apa peperiksaan yang tidak langsung saya mahu lakukan. Ianya seperti satu tekanan apabila memikirkan tentang kata-kata ibu bapa sewaktu mereka membanding-bandingkan kita dengan orang yang lebih pandai dari segi pelajaran ketika kita mendapat markah yang rendah di dalam peperiksaan.

Hidup adalah sebuah perjalanan. Apabila telah tiba suatu waktu, kita akan terbaring sepi, tidak bernafas lagi, dan hilang terus dari dunia yang selama ini kita jalani.

Dan hidup bukanlah sebuah perlumbaan. Perkerjaan bukanlah satu pelarian yang memungkinkan untuk sebarang kejatuhan apabila kita gagal dan tidak lagi berjaya. Kegagalan merupakan sebuah permulaan untuk kehidupan. Dan kehidupan adalah sebuah perkataan pertama untuk kematian.

Antara hari-hari yang sering sahaja saya doakan supaya pantas berlalu adalah hari Selasa dan Khamis. Ini kerana setiap malam Selasa dan Khamis, saya terpaksa berjalan kaki ke lorong perumahan yang bersebelahan dengan lorong perumahan saya untuk belajar mata pelajaran yang paling saya benci, Prinsip Perakaunan.

Setiap malam Selasa dan Khamis itulah, selama dua jam saya akan didera secara mental. Hanya saya dan guru wanita itu - Cikgu Shima, berada di ruang tamu rumahnya. Dia akan mengajar saya membuka lejar akaun, mengajar ertinya debit dan kredit dan macam-macam lagi terma perakaunan yang sudah saya lupakan sejurus sahaja dua jam penyeksaan itu berakhir.

Di sebelah kanan meja kami terdapat sebuah jam dinding yang digantung kemas. Saya hampir-hampir bertumbuk dengan jam di dinding itu kerana menyangkakan bahawa dia telah menipu saya.

Apakah logik akalnya rasional, ketika saya mula duduk di kerusi itu dan merasakan bahawa masa telah berlalu dengan begitu lama, rupa-rupanya baru lima belas minit waktu melangkah

Jadi, untuk tidak merasa terseksa berada di ruang itu, saya cubacuba untuk tidak memandang jam itu lagi.

Dalam kesibukan mempersiapkan diri untuk menghadapi SPM, saya juga tidak lekang untuk membuat aktiviti-aktiviti yang menjadi kegemaran saya.

Pada tahun itu, saya menjadi sangat rajin membaca buku. Banyak buku-buku yang telah saya beli di pelbagai acara-acara seni yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam. Saya juga terus-terusan berubah sikap dengan selalu melawat ke perpustakaan sekolah ketika waktu rehat. Banyak juga buku yang telah saya pinjam.

Tetapi, tabiat meminjam buku di perpustakaan itu hanya sempat kekal selama beberapa hari sahaja. Saya menjadi bosan dengan prosedur yang perlu dipatuhi semasa hendak meminjam buku di perpustakaan. Saya tidak suka apabila terpaksa pergi ke kaunter perpustakaan dan melayan kerenah pengawas perpustakaan yang lebih banyak bercinta di situ berbanding menjalankan tanggungjawab mereka.

Saya tidak suka apabila mereka menetapkan bilangan buku yang boleh dipinjam dalam satu-satu masa dan saya juga membenci peraturan yang ditetapkan seperti denda sekiranya terlambat memulangkan buku dan lain-lain lagi. Semua itu melecehkan.

Jadi, bermula dari saat saya menyedari ketidak-sukaan saya pada proses-proses peminjaman itu, saya terus melakukan satu perkara yang lebih memudahkan kerja dan menjimatkan masa iaitu mencuri.

Mencuri dalam konteks ini bukanlah yang benar-benar mencuri. Mencuri dengan maksud mudahnya adalah mengambil sesuatu kepunyaan orang lain tanpa pengetahuan tuannya. Tapi di dalam hal ini, memang benarlah saya mengambil sesuatu kepunyaan orang lain tanpa pengetahuan mereka. Namun begitu, buku-buku yang telah saya curi itu saya pulangkan semula setelah selesai membacanya.

Antara buku-buku yang pernah menjadi mangsa curian saya adalah seperti buku dari Usman Awang iaitu Tulang-Tulang Berserakan, buku tulisan A. Samad Ismail - Sutinah, koleksi-koleksi cerpen dari Arena Wati dan macam-macam lagi. Kebanyakannya adalah buku-buku sastera dan penulisan biografi.

Apabila banyak bahan bacaan sudah saya khatamkan, keinginan untuk menulis pula perlahan-lahan timbul dalam diri. Kerana pada waktu itu saya tidak mempunyai komputer riba untuk menaip sesuatu, jadi ruang bilik saya dipenuhi dengan kertas-kertas comot yang ditulis dengan pelbagai perkataan. Di atas lantai, di atas katil, di bawah meja, di bawah karpet dan di mana-mana sahaja tempat yang tidak sepatutnya, kertas-kertas itu akan berada.

Sehingga sampai suatu masa, ayah sudah tidak tahan dengan sikap saya itu. Dia memberi amaran dan menakut-nakutkan saya untuk membuang semua hasil penulisan saya yang berselerak itu sekiranya tidak dikemas. Dan amaran ayah itu berkesan untuk dalam jangka masa yang pendek sahaja. Selepas itu, kertas-kertas yang diconteng dengan pensel itu kembali berselerak sehingga ke luar bilik.

Ada satu perkara yang menjadi seperti perkara biasa pula di dalam kehidupan saya. Apabila sesuatu benda seperti buku misalnya telah dikemaskan, disusun di tempat yang sepatutnya, dua atau tiga jam kemudian buku-buku atau barang-barang itu pasti akan bersepah semula.

Kerana terlampau banyak buku-buku yang telah dibeli, saya mempunyai masalah di mana buku-buku tersebut sudah tidak ada ruang lagi untuk diletak. Jadi, rak-rak untuk buku-buku tersebut hanyalah lantai, meja, katil dan merata-rata tempat lagi. Ayah naik angin sekali lagi.

Dia membuang buku-buku tersebut yang tersangat-sangat saya sayang, ketika saya tiada di rumah. Apabila saya mengetahui tentang perkara itu, dengan tidak lengah-lengah lagi dada saya mulai sebak. Saya melangkah keluar dari rumah dan membeli tiket LRT ke Kepong. Sepanjang perjalanan ke Kepong itu, saya tahan-tahankan perasaan dengan air mata yang hampir memecah. Saya tenteramkan jiwa dan tidak mahu fikir-fikir lagi.

Apabila sudah sampai di Kepong, saya terus berjumpa dengan Lan. Lan adalah seorang kawan perempuan saya. Dia merupakan seorang siswi di sebuah universiti di Gombak. Pada waktu itu, saya sering sahaja meluangkan waktu-waktu sengkang dengannya dan beberapa lagi kawan lain dari universiti yang sama.

Kau kenapa tanya Lan.

Dan apabila sudah sahaja dua perkataan itu terbit dari mulut Lan, air mata saya bersepah menemui tanah. Tapak tangan saya berkalikali mencuci pipi yang sudah jernih dengan air mata. Alirnya tidak mahu berhenti. Ia terus rancak mempermainkan perasaan.

Lan memegang tangan saya, memainkan bahasa-bahasanya supaya saya tenang dan tidak lagi menangis. Ah. Siapa yang mampu berhenti tersedu apabila dirinya semakin dipujuk-pujuk

Saya tidak menceritakan apa-apa kepada Lan. Saya serba salah kepada diri sendiri untuk menceritakan hal itu kepadanya. Dia pula tidak begitu memaksa-maksa. Sebagai seorang yang lebih tua, Lan seperti tahu peranannya untuk menghadapi manusia yang berperangai anak-anak seperti saya pada waktu itu.

Pada mulanya, saya tekad untuk tidak pulang. Saya mahu mogok. Mahu protes. Mahu tunjuk pada ayah yang saya punya hak untuk membaca, untuk menyimpan, untuk mengumpul. Dan bukubuku itu ilmu, yang tidak sepatutnya dihumban buang. Saya mahu ayah tahu keadaan sakitnya hati saya apabila dia berbuat begitu. Saya mahu ayah tahu.

Tapi, apabila azan Maghrib sudah menguat, saya perlahan-lahan menjadi lemah. Perancangan asal untuk tinggal sehari dua di rumah Lan mula menyusut. Amarah terhadap ayah perlahanlahan menjadi lemah. Dan oleh kerana teringatkan soal letih, soal peluh, soal rimas badan belengas, jadi saya pun pulang ke rumah dengan hati yang pasrah.

Selain membaca dan menulis secara kecil-kecilan, saya juga rajin menterjemahkan hasil penulisan saya menjadi nada-nada yang sesuai. Oleh kerana tidak tahu bermain apa-apa alat muzik, saya akan terus menghafal rentak lagu yang sudah pun bermain di kepala, lalu merujuk kepada rakan-rakan yang pandai bermain instrumen muzik. Kebanyakan rakan-rakan saya pada waktu itu sangat meminati permainan gitar. Mereka mengidolakan namanama besar seperti Malmsteen dan ramai lagi sebagai motivasi diri untuk berlatih menjadi yang lebih baik.

Sehingga satu waktu, setelah beberapa lagu telah saya lakukan hasil kerjasama antara saya dan Syamie, akhirnya saya membuat keputusan untuk mula belajar bermain gitar. Saya tidak mahu lagi bergantung kepada orang lain. Saya berfikir tentang apakah akan terjadi sekiranya tiada Syamie, tiada Aiman, atau tiada lagi sesiapa yang boleh membantu saya sekiranya terdapat sebarang idea yang berlegar-legar di kepala.

Syamie memahami niat saya. Mungkin dia juga sudah muak apabila setiap hari saya berjumpa dengannya dan meminta untuk dia mencarikan kord bagi lagu-lagu yang telah saya cipta. Jadi, dia terus setuju untuk menaburkan sedikit ilmunya kepada saya. Tidak seperti beberapa rakan lain, apabila seseorang mahu mempelajari ilmu yang masih belum sedikit pun dikuasai, mereka akan memberi macam-macam dalih seperti tidak pandai bermain, tiada masa dan macam-macam lagi. Ini secara langsung akan mematahkan semangat untuk belajar, tapi Syamie tidak langsung bersikap sedemikian.

Malah, apabila dia tahu yang saya sudah mula untuk belajar bermain gitar, dia sanggup menjual gitarnya kepada saya. Dari apa yang dia cerita, gitar yang dibelinya itu murah sahaja. Dibeli di pasaraya Giant. Jadi, dia tidak merasa terbazir sekiranya gitar itu dijualkan kepada saya. Dan dengan harga yang juga sangat-sangat murah, saya membeli terus darinya.

Gitar yang pertama, RM35.

Oh Mat Ganja,

Batang betik botol Coca-Cola,

Isi air separuh saja,

Kita layan sama-sama.

Nyanyi Syamie pada suatu hari, ketika dia mula mahu mengajar saya.

Otot kena lembut, jari kena regang, tangan kena cepat, kata Syamie lagi.

Ini kord C, katanya sambil perlahan-lahan mengatur jari saya yang kadang-kadang keras, kadang-kadang lembik di permukaan fret.

Pada hari itu, dia mengajar saya bahawa dengan empat kord sahaja sudah boleh membuat sebuah lagu yang menjadi permainan orang-orang yang lain. Dan beberapa hari kemudian, selepas saya sudah mahir dengan beberapa kord yang diajar oleh Syamie, kami bersama-sama menjerit di bangsal rumahnya patah-patah perkataan yang menjadi bahan latihan saya sehingga hari itu.

Ambil daun lipat-lipat.

Nyanyi saya dan Syamie dengan suka sekali.

Oleh kerana tujuan saya belajar bermain gitar adalah untuk mencipta lagu sendiri, jadi, setelah sudah mahir hanya dengan beberapa kord, saya sudah tidak sabar untuk menulis setiap liriknya. Dan itulah yang menjadi pemikiran saya pada waktu itu. Apakah lagu pertama yang patut saya tuliskan liriknya, dan bagaimana pula rentaknya

Pada tahun 2008, ketika saya merupakan seorang pelajar tingkatan tiga, ada seorang rakan lelaki yang bernama Farhan. Ramai memanggilnya sebagai Paan Budu kerana dia berasal dari Kelantan. Saya tidak mengenalinya dengan begitu akrab. Tetapi kami saling kenal antara satu sama lain.

Apabila kami berselisih di jalan raya ketika sedang menaiki motor, kami akan saling mengangkat kepala, melemparkan senyuman dan kadang-kala turut mengangkat tangan. Hanya beberapa kali sahaja saya sempat berbual dengannya.

Kerana pada suatu hari, seminggu sebelum Ramadhan tahun itu berakhir, Farhan telah pun pergi dari dunia ini. Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami kemalangan jalan raya. Dari cerita-cerita orang, Farhan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Topi keledar yang tersarung di kepalanya, tertanggal lalu melambung jauh sehingga satu kilometer di depan.

Di perhimpunan hari Jumaat itu, para pelajar menjadi sunyi mendengar berita yang menyedihkan itu. Semuanya memandang tanah mengenangkan kenangan-kenangan yang pernah dilalui bersama arwah Farhan. Itu bukanlah kali pertama jalan raya meragut nyawa manusia. Dan itu juga bukanlah kali terakhir ianya terjadi sekiranya manusia masih belum sedar akan harga sebuah nyawa. Kita lebih suka menjadi telur di hujung tanduk, dari menjadi sebuah sampan buruk.

(Al Fatihah)

Dan apabila terkenangkan semula ramai di antara rakan-rakan saya yang telah pergi bertemu Tuhan dalam usia yang sangat muda, saya menuliskan sebuah lirik lagu yang bertujuan untuk mengingati pemergian arwah Farhan, arwah Faisal dan ramai lagi di antara mereka serta berharap perkara tersebut menjadi pengajaran untuk rakan-rakan yang lain.

RINTANGAN AKHIR ZAMAN

I

Dia sudah sampai di perkuburan,

bertanya soalan pada tanah merah.

Tentang malaikat yang menjerit, dan laungan yang memeritkan.

II

Bumi pun memberikan jawapan,

tanah bergoncang bagai halilintar menyambar.

Ada pahit di saku kirinya,

dan kelat di dalam baju dunia.

*

Timbul lah syaitan menunjukkan neraka, berpuluh senjata di pintu syurga.

Dan menjerit teriak jadi bahana, dia sudah tiada.

III

Melangut lah dia tinggi di awan, mencari pelangi selepas hujan.

Menari lah dia di padang permainan, dan cuba meneka beribu persoalan.

IV

Datang pula bulan dan bintang,

menerangkan tentang malam dan siang.

Ada gentar dalam dirinya,

dan gelap hitam di sebalik peristiwa.

*

Timbul lah syaitan menunjukkan neraka, berpuluh senjata di pintu syurga.

Dan menjerit teriak jadi bahana, dia sudah tiada.

Setelah beberapa lama bermain gitar dan merasa bosan bermain seorang diri, saya mula belajar untuk bermain di tempat awam, ataupun busking. Kali pertama saya bermain gitar di ruang awam adalah di tepi jalan, berdekatan dengan Pavillion. Ramai orang yang menggunakan jalan itu kerana jalan itu merupakan salah satu jalan untuk ke Pavillion. Jadi, dikesempatan saya menyanyi dan bermain gitar, macam-macam rupa manusia telah saya lihat. Ada yang hitam legam tetapi hatinya putih bersih dan ada yang pucat gebu tapi jiwanya pahit hempedu.

Tempat pertama saya ber-busking terletak berhadapan dengan sebuah kafe. Mungkin saya menyanyi terlalu kuat dan mengakibatkan berlakunya kemerosotan kepada ekonomi kafe tersebut. Lalu, pada suatu hari, ketika sedang leka memetik talitali gitar, bahu saya ditepuk.

Dik. Sorry. Tolong main tempat lain. Tak boleh kat sini, dengan perlahan dan tertib, seorang lelaki yang mungkin pekerja di dalam kafe tersebut mendatangi saya. Mendengar kata-kata yang sopan dari seorang lelaki berpakain kemas itu, saya akur. Selepas meminta maaf dan mengemas segala peralatan yang dibawa, saya pun pulang ke rumah.

Keadaan itu selalu berlaku. Dan saya perlu memahami betapa perlakuan yang dianggap pekerjaan oleh sesetengah orang ini, sangat-sangat berisiko. Bermacam-macam perkara boleh terjadi dan akan terjadi. Walaupun sebenarnya kita tidak mengganggu sesiapa, dan kita turut tidak mengambil simpati walau sesiapa pun, tetapi itu lah yang sering berlaku. Dan ruang untuk bekerja di khalayak seperti itu, sudah jarang-jarang ada.

Selepas gagal di situ, di tempat yang pertama kalinya itu, saya mula bergerak dan mencari tempat yang baru yang lebih sesuai.

Di dalam perjalanan hendak ke Bukit Bintang, saya ternampak ada seorang dua wanita yang agaknya di dalam lingkungan tiga puluhan sedang memberikan sehelai kertas kepada orang yang lalu lalang. Mereka memakai kimono berwarna putih. Dari apa yang tertulis di kertas yang diberikan, mereka itu merupakan pekerja di sebuah pusat spa yang terletak di dalam bangunan, bersebelahan dengan mereka.

Di depan bangunan yang besar itu, terdapat kedai-kedai kecil yang didirikan. Ada yang meniaga baju-baju cenderamata, ada yang membuka butik baju dari jenama yang terkemuka dan ada juga yang menjual kasut-kasut berjenama buaya. Tetapi pada hari itu, terdapat satu kedai yang tidak dibuka.

Saya memberhentikan langkah di situ, di depan kedai yang tidak dibuka itu, membuka beg lalu mengeluarkan gitar. Saya membaringkan beg gitar dan membukanya, supaya sesiapa yang merasa dihargai dengan siul-siulan saya, mereka mungkin mampu melayangkan sehelai not kecil di dalam beg itu.

Pada suatu hari, saya bermain gitar di situ bersama-sama seorang rakan. Umurnya jauh lebih tua dari saya. Mungkin sudah tiga puluh tahun, atau lebih. Saya tidak pernah bertanya padanya soal itu, kerana umur bukanlah apa-apa persoalan yang patut dibangkitkan.

Dia sudah biasa ber-busking di sekitar Kuala Lumpur. Selain Pasar Seni, banyak lagi tempat-tempat awam yang dia sudah biasa dengan kawasannya. Cuma hari itu, atas ajakan yang dipujukpujuk, barulah dia berminat untuk sekadar menemani saya dan bukan mendapatkan hasilnya.

Saya mengikut rentak permainan gitarnya. Kami tidak pernah bermain gitar bersama. Sekali pun tidak pernah. Sebagai seorang yang baru sahaja faham sedikit tentang muzik, permainan gitar rakan saya itu sangat-sangat hebat pada diri saya sendiri.

Sampai satu waktu, saya menjadi letih. Lalu saya biarkan dia bermain gitar seorang diri dan menghiburkan setiap inci pendengaran manusia yang lalu lalang. Ada yang mengangkatkan kepala dan tersenyum padanya, ada yang berjalan pantas-pantas sambil memandang ke tanah dan ada juga yang berhenti sebentar, mendengar rentak lagunya, lalu berlalu pergi. Macam-macam kisah.

Tiba-tiba, datang sekumpulan lelaki luar negara yang berkulit gelap melalui jalan di mana kami bermain gitar itu. Mereka berborak dengan rancak dan kuat, langsung tidak menyedari kami. Tetapi, salah seorang dari mereka perasan akan kewujudan kami di pinggir jalan yang kecil itu.

Dia berhenti sebentar melihat rakan saya yang sedang bermain gitar sambil menyanyi. Sebuah lagu dari Ebiet G. Ade sedang lancang keluar dari mulutnya. Wajah pemuda berkulit gelap itu kosong, seperti tidak ada apa-apa perasaan, atau tidak tahu bagaimana hendak menunjukkan reaksi pada keadaan yang sedang dilihatnya sekarang. Entah. Mungkin kerana dia tidak faham apakah maksud bait-bait lirik yang dikeluarkan;

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita, yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa.

Selepas rakan-rakan lelaki itu semakin menjauh ke depan meninggalkannya seorang diri, dia pantas mengeluarkan sekepuk duit dari poket seluarnya yang besar melondeh. Kemudiannya lelaki itu mencubit helaian duit yang banyak itu tanpa mengira dan seperti tidak kisah berapa banyak yang diambilnya, lalu mencampakkan ia di depan kami berdua.

Lima atau enam helai duit Ringgit Malaysia bernot seratus sedang terbang melayang dan jatuh perlahan-lahan ke atas lantai. Dan sebelum lelaki berkulit gelap itu melangkah pergi, dia menghadiahkan kami sebuah senyuman dan gelak kecil yang mengejek.

Saya terkejut, dan pantas menghala ke arah duit yang sudah pun bersepah di atas lantai. Sebelum sempat saya menyentuhnya, rakan saya yang sedang bermain gitar itu berhenti dari petikan nya.

Jangan ambil, katanya, tegas. Suaranya sedikit keras.

Itu bukan duit, bilangnya lagi.

Duit itu bukan sekadar apa yang kau dapat. Tapi duit juga adalah dari mana kau dapatkannya, dia menyambung. Saya terdiam. Memang benar apa katanya. Dan saya terlalu menyintai uwang dari sebuah maruah dan kehormatan diri. Kesal.

Selepas beberapa minit saya hanya terdiam, terpaku melihat kertaskertas itu, datang seorang pengemis yang kudung kaki kirinya dan mengutip duit-duit yang bersepahan. Dia memasukkan kesemua duit itu di celah pinggang seluarnya. Wajahnya gembira. Terlalu gembira. Mungkin dia boleh berehat dari bekerja selama beberapa minggu. Dan saya juga, pada hari itu, turut memahami sesuatu yang baru.

***

Di dalam kelas saya terdapat seorang pelajar perempuan yang bernama Asilah. Mungkin Asilah pernah menunjukkan gambar saya di Facebook kepada seorang sepupunya, Afifah. Ini kerana pada suatu hari saya menerima satu pesanan ringkas dari sebuah nombor yang tidak dikenali. Hai. You budak kelas Asilah kan

Siapa ni tanya saya, tanpa menjawab soalan darinya. Dan perkara paling menyakitkan hati, dan membuatkan kita seperti tidak mahu peduli lagi itu siapa dan dari siapa pesanan ringkas itu adalah apabila dia membalas seperti;

Ini manusia lah.

Mungkin kerana waktu itu saya sedikit bosan serta baki kredit telefon bimbit saya masih lagi dalam nilai yang memuaskan, jadi, saya melayan sahaja perangainya.

Walaupun pada mulanya agak bosan, tapi kemudian kami berbual agak lama selepas saya mengetahui bahawa Asilah telah memberikan nombor telefon saya kepada sepupunya itu, Afifah. Kami berbual macam-macam perkara. Seperti yang telah saya katakan, pada waktu itu saya sungguh bosan. Dan hanya kerana itu sahajalah yang membuatkan saya terus menerus membalas pesanan ringkasnya.

Dia Afifah. Namanya di Facebook adalah Afifah Ali. Seorang perempuan yang sebaya dengan saya. Kulitnya sawo matang. Tidak terlampau cerah dan tidak pula gelap. Perempuan Melayu, kata saya. Dia banyak bercakap. Lepas itu, ini. Lepas ini, itu. Bermula dari kebosanan, akhirnya menjadi satu keseronokan pula dapat berbual dengannya.

Sehinggalah pada awal bulan Mac, saya telah mewakili pasukan pantun sekolah. Kami menyertai pertandingan berbalas pantun yang diadakan di sebuah sekolah menengah yang berada di Cangkat Tambi Dollah, Kuala Lumpur.

Kebetulan pula sekolah di mana pertandingan berbalas pantun itu merupakan sekolah Afifah.

Kedatangan saya ke sekolah itu telah diberitahu terlebih dahulu kepadanya. Dia pula hanya mengiakan sahaja dan berniat untuk berjumpa dengan saya secara depan-depan ketika saya berada di sekolah itu nanti.

Apa yang paling mengejutkan sekali setelah tiba di sekolah itu pada hari pertandingan adalah, sekolah Afifah, sekolah tempat saya akan berbalas pantun ini merupakan sebuah sekolah perempuan! Apabila berada di sekolah itu, barulah saya tahu akan perkara ini. Mengapa tidak ada sesiapa yang memaklumkan tentang ini terlebih awal kepada saya

Sebelum sempat bersiap untuk menghadapi pertandingan yang akan bermula lebih kurang sejam saja lagi, saya sudah pun terserempak dengan Afifah. Rupa-rupanya wajahnya agak berbeza dengan yang berada di dalam gambar. Sebenarnya dia agak tinggi berbanding dengan di dalam gambar dan sedikit cerah pula. Saya terpegun.

Sebelum-sebelum ini, saya hanya menyangkakan Afifah adalah seorang perempuan biasa-biasa yang sama seperti di dalam gambar di Facebook nya. Tetapi sebenarnya tidak. Gambar suka berbohong. Tidak jujur dengan realiti. Dia sebenarnya seorang perempuan yang cantik, dengan pipi yang licin tiada sebarang jerawat, hidung yang sedikit mancung dan bibir yang agak mungil.

Cantik. Sungguh.

Kami berbual hampir setengah jam di dalam sebuah kelas kosong. Kerana takut dilihat oleh para guru, maka kami memilih tempat itu untuk berborak. Percakapan kami berdua agak janggal dan tidak sama seperti berbual menggunakan sistem pesanan ringkas. Mungkin kerana masih tidak biasa, kerana masih baru berjumpa.

Suaranya gagah, seperti wanita-wanita yang sangat matang. Tingkah lakunya pun tidak kebudak-budakan. Cuma dia seorang periang. Periang yang sangat tepat dengan usianya kerana keriangannya tidak melebih-lebih atau dengan erti kata lain, tidak gedik.

Di dalam setengah jam pertama setelah jatuh cinta itu, saya terasa lain. Terasa seperti inilah dia apa yang selalu disebut-sebut orang sebagai cinta pandang pertama. Terasa seperti ini lah kali pertamanya saya merasa sungguh terpegun dan kaku melihat perempuan yang tidak pernah saya sangkakan wajahnya sehebat ini. Terasa seperti inilah ciptaan Tuhan yang paling indah sekali yang pernah saya lihat. Terasa seperti;

Bila lagi kita akan berjumpa

Lalu soalan itu sekadar menjadi simpanan di dalam hati. Kerana selepas itu, tiba-tiba sahaja saya mengeluarkan satu kenyataan yang jujur, dan lebih ganas dari soalan yang disimpan di dalam hati itu. Sebuah kenyataan yang keluar dari mulut saya itu, mungkin agak terburu-buru kerana kami baru pertama kali berjumpa. Namun, ianya meluncur laju, tidak mahu berhenti dari setiap getar suara yang terhasil.

I suka you, kata saya. Dia diam. Kemudian tersenyum dan menunduk malu.

I pun suka you. Tapi, I suka you sebab you kawan I lah, kata Afifah.

Tapi I suka lain. I suka bukan sebab kawan. Sebab lain, balas saya.

I suka you sebab lebih dari tu. Lebih dari seorang kawan yang you sangkakan, terang saya lagi. Afifah mula melunturkan senyumnya dengan gantian sebuah wajah yang tenang. Dan ketika saya sedang mengumpul seluruh kekuatan untuk meluahkan butir-butir perkataan yang sudah pun disusun, tiba-tiba Afifah bersuara.

I faham you, kata Afifah.

Tapi, I lesbian, jawabnya, antara penjelasan, dan kasihan.

I lesbian, ulangnya lagi.