Serta menghasilkan kekejaman perang yang amat buruk sekali, malangnya.
Tapi itu cerita lain. Tokoh yang kita bincangkan dalam bab ini kedua-duanya dilahirkan di Jerman, ataupun pada masa itu dikenali sebagai Prussia. Untuk menyediakan kau mengenai Prussia, aku akan buat detour sedikit ke negara jiran Prussia iaitu Perancis. Pada waktu itu, Perancis adalah seperti periuk nasi yang sedang mendidih dengan idea-idea revolusioner, kebebasan dan kritikan terhadap monarki di Paris. Tahun 1762, Jean-Jacques Rousseau, seorang ahli falsafah kelahiran Switzerland namun banyak mempengaruhi dan membentuk idea Pencerahan (Enlightenment) di Perancis, mengeluarkan karya popularnya Du contrat Social ( Kontrak Sosial) yang bermula dengan kata-kata yang menggoncangkan dunia proletariat Perancis.
Manusia dilahirkan merdeka, dan dimana-mana pun dia di rantai
Ahli-ahli falsafah yang aktif menulis dalam dunia intelektual Perancis, seperti Voltaire, Montesquieu dan Rousseau memberi idea dan menjadi dorongan kepada rakyat Perancis yang berada dibawah telunjuk monarki yang tidak kompeten, akhirnya membawa kepada Revolusi Perancis pada tahun 1789, dan beberapa tahun selepas itu, kepada kejayaan Napoleon mengalahkan empayar Prussia dan menjadikan dirinya sebagai Emperor Perancis. Perancis juga sememangnya sudah amat sebati dengan idea-idea skeptis terhadap agama, autoriti dan tradisi ortodoks, walaupun hanya beberapa ratus tahun lalu Universiti Paris merupakan pusat pengajian agama Katholik yang sangat berprestij. ( Sedikit digresi; perubahan universiti-universiti kota-kota besar di Eropah dari Katholik kepada liberal adalah satu cabang yang sebenarnya amat menarik untuk diterokai, kerana perkara yang sama juga boleh berlaku malahan sudah berlaku di universiti-universiti berprestij dalam tradisi dunia Islam).
Prussia pada masa itu tidak se-liberal Perancis. Prussia agak konservatif dan masih lagi mempunyai monarki dan ramai para intelektual Jerman pada ketika itu masih menyatakan sokongan terhadap pemerintahan berasaskan monarki (ini juga adalah kerana mereka melihat kegagalan Revolusi Perancis dan merasakan sistem monarki itu lebih baik). Prussia juga lebih popular dengan tradisi Kristian Protestan, bukannya Katholik seperti dunia Eropah Latin.
Mengenai dunia moden Eropah pula, sejak dari kurun ke 16, ilmu sains semakin giat dikembangkan, dan kurun ini lah yang menyaksikan munculnya penggoncang dunia sains seperti Copernicus, Galileo, Bruno dan Newton yang melawan pemahaman dogmatik. Adanya kemajuan dalam ilmu sains membawa kepada kemajuan teknologi. Impian manusia untuk memberi penerangan kepada fenomena-fenomena yang berlaku di sekeliling mereka semakin dapat dicapai. Tidak seperti zaman lampau dimana ilmuwan hanya boleh mempersoal dan menjawab dengan melakukan penaakulan dengan akal, teknologi dan pemodenan membuatkan manusia bukan sahaja setakat menjadi seorang penanya, tetapi juga boleh menjawab dan mempunyai bukti-bukti kukuh yang mengenainya. Penerokaan cabang ilmu baru yang melawan dogma berlaku dengan sebanyak mungkin. Manusia mula merasakan bahawa sekatan yang diletak oleh institusi gereja dan tradisi konservatif sebagai mengongkongkan perluasan ilmu pengetahuan. Dari sini lahirlah para skeptis seperti Hume yang kita telah lihat, dan kalau kau ingat, Hume pergi ke Perancis dan tinggal disana untuk beberapa tahun selepas dikecam di Scotland oleh idea skeptiknya, namun di Paris Hume disambut baik oleh golongan intelektual disana.
Dalam dunia falsafah pula, falsafah moden cuba untuk meloloskan diri dari idea-idea skolastik yang penuh dengan pernyataan-pernyataan yang sudah mengandungi sangkaan(pre-supposed). Cabaran yang disahut oleh falsafah moden adalah untuk lari dari paradigma keagamaan untuk menjelaskan fenomena epistemologi (bagaimana kita mengetahui) dan justifikasi moraliti/prinsip akhlak serta falsafah politik dan kerajaan. Zaman falsafah Moden di Prussia/Jerman terbahagi kepada tiga. Akhir Zaman pencerahan dan pemula Idealisme (Kant), Idealisme Jerman ( Fichte, Schelling, Hegel) dan Pasca-Hegel, iaitu respons terhadap falsafah yang dipelopori Hegel ( Marx, Schopenhauer, Kierkegaard,Nietzche). Kita akan mulakan penerokaan zaman falsafah moden khususnya Jerman di sebuah kota yang berada di paling utara Jerman.
Immanuel Kant (1724-1804) dilahirkan di Konigsberg, Prussia, yang sekarang ini dinamakan sebagai Kaliningrad dan diambil oleh negara Russia. Konigsberg, walaupun terletak jauh di utara daripada bandar-bandar Prussia yang lain, merupakan sebuah bandar yang pesat dan mempunyai aktiviti intelektual yang rancak. Kant lahir dalam keluarga Protestan dan pendidikan formalnya adalah disebuah sekolah yang amat mementingkan tradisi Kristian Protestan. Kant masuk universiti di Konigsberg dan kemudiannya menjadi guru di universiti tersebut, mengajar pelbagai subjek antaranya Logik, Matematik dan Falsafah. Dia menjadi terkenal di bandar itu sebagai seorang intelektual muda yang terserlah kepintarannya. Namun pada usia awalnya dia tidak melahirkan apa-apa idea yang original,hanya mahir membuat komentari kepada karya falsafah lain.
Ini semua berubah apabila dia membaca Treatise karya Hume. Serangan Hume terhadap teori kausaliti menggegarkan dunianya dan membuatkannya memulakan sebuah sistem falsafah yang seterusnya akan melahirkan impak yang sungguh hebat dalam dunia falsafah moden. Seperti kata-kata Kant sendiri, ..ingatan terhadap David Hume; perkara ini lah yang telah membangunkan ku dari tidur yang dogmatik seterusnya memberi sebuah arah tuju yang baru kepada falsafah spekulatifku..
Kesan dari bacaan David Hume, sebuah soalan berputar di minda Kant. Bagaimanakah mungkin metafizik boleh ada jika tiadanya konsep kausaliti Bagaimana metafizik boleh terus hidup disebalik serangan Hume
Sebelum pergi kepada soalan ini, aku ingin mengingatkan kau mengenai isu Rasionalis versus Empiris. Rasionalis yang dipelopori oleh Descartes, Spinoza dan Leibniz mementingkan proses abstraksi menggunakan akal fikiran semata, tanpa bergantung kepada panca indera. Geng Empiris yang dipelopori oleh Locke dan Hume mementingkan panca indera dan mengatakan ilmu sebenar hanya boleh didapati dari perkara-perkara yang kita boleh alami dengan deria. Kant yang datang selepas mereka-mereka ini ,tidak seperti ahli falsafah lain yang biasanya akan memilih salah satu pegangan, tetapi menilai semula cara pengambilan ilmu lantas mencetuskan satu revolusi pemikiran yang dia sendiri gelarkan Revolusi Copernican dalam falsafah .
Nampak kan Kant ni sangat konfiden. Kalau kau masih yakin betapa konfiden dan signifikannya Kant dalam dunia falsafah, ianya ibarat dekat Malaysia ni, sebagai contoh, hanya ada dua parti politik yang wujud, parti A dan B. Kau yang lahir sebagai rakyat Malaysia yang ingin mengundi hanya boleh memilih antara parti A dan parti B sahaja. Tetapi kau, berbekalkan semangat zaman Pencerahan, mengatakan kau tolak kedua-duanya. Tapi kau bukan mewujudkan Parti baru, tetapi menimbulkan persoalan kenapa kita perlu mengundi hanya dua parti ini Kenapa kita memilih demokrasi berparlimen Kenapa tidak saja memilih anarko-sindikalisme yang lebih membawa manfaat terus kepada rakyat . Dan dasar yang kau bawa amatlah baru namun efisien sehingga mencuri semua pengundi-pengundi parti A dan B untuk menyokong sistem kau.
Begitulah signifikannya fungsi yang dimainkan oleh Kant iaitu mewujudkan satu sudut pandang yang berlainan. Memang dalam penulisan Kant sendiri, dia menyedari bahawa apa yang dilakukannya adalah suatu yang unik dan tulen, dan dia mendeklarasikan bahawa dia sudah memberi rumusan terbaik kepada sistem falsafah dan falsafah yang datang selepasnya akan bergerak dari sistem yang dibuat olehnya. Beberapa kali dalam karyanya Kant menyatakan dengan bangganya betapa dia dapat melihat sesuatu sudut pandang yang lain dari para pendahulu dalam ilmu falsafah. Dan apabila melihat sistem Kant, memang hebat dan wajar diberi pujian apa yang dilakukan oleh nya. Aku dah jadi macam fangirl Kant (walaupun aku bukanlah seorang Kantian) dan kau sampai sekarang masih belum lagi dapat mencungkil apa sebenarnya yang Kant buat
Hume merobohkan metafizik,kesemuanya sekali termasuklah asbab, bahan dan lain-lain. Kant merasa tidak senang duduk dengan penghapusan metafizik secara total kerana ada sesuatu dalam metafizik yang amat penting untuk ilmu sains iaitu kausaliti dan uga ilmu geometrid an matematik yang tidak disandarkan kepada bukti empirical. Metafizik, bagi Kant terbahagi kepada dua, iaitu Metafizik General dan Metafizik Khusus. Metafizik General antaranya adalah konsep-konsep seperti asbab, kewujudan, masa, ruang, bahan dan lain-lain manakala Metafizik Khusus adalah cabang yang menyiasat konsep Tuhan, Alam dan Roh.
Aku ingin lagi sekali mengingatkan kau kepada dua sudut pandang epistemologi yang wujud pada masa Kant, iaitu Rasionalis dan Empiris. Katakan sekarang ini aku bawakan kau ke luar, dan kita akan fokus hanya pada satu objek. Katakan objek itu adalah sebiji bola yang entah siapa yang tinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari pintu rumah kau. Melalui pandangan Rasionalis(dan aku akan hanya ambil salah satu dari variasi pandangan Rasionalis), bila kau keluar dan melihat bola, sebelum kau dapat menilai lagi bola , kau sudah ada dalam diri kau sebuah struktur yang dapat membuat kau mengenal akan bola tersebut (ingat kembali teori Rekoleksi yang diberi oleh Plato mengenai ilmu). Kalau kau empiris, ianya tidak ada kena mengena dengan apa yang ada di dalam diri kau, tetapi semuanya adalah kerana imej bola yang diberi apabila kau melihat bola dengan deria mata kau sendiri. Apa-apa memori yang ada dalam otak kau adalah kerana kau pernah dalam jangka hidup kau sendiri, selalu melihat bola dan sebab itu lah kau kenal akan bola tersebut.
Dalam bukunya Kritik der reinen Vernunft, KrV ( Kritik terhadap Taakulan Asli / Critique of Pure Reason) , dan seterusnya ditegaskan lagi dalam sebuah karya yang lebih pendek dan pendekatan yang lebih mudah, Prolegomena (Mukadimah) , Kant mengatakan bahawa, minda manusia mempunyai sejenis kerangka built-in yang membolehkan manusia mengetahui apa yang berlaku di luar dirinya (fenomena luaran). Kant meletakkan dua entiti, Subjek dan Objek, dimana kau sebagai Subjek, melihat bola sebagai Objek. Objek di luar dari padakau, sebagai contoh yang kita gunakan, bola berada di luar dari diri kita sendiri. Apabila kita melihat objek, kita tidak melihat bola itu sebagaimana bola itu sebenar-benarnya, tetapi kita melihat bola sebagai mana ianya muncul pada minda kita. Kita tidak akan dapat melihat bola sebagai bola itu sendiri, tetapi akan sentiasa melihat bola setelah di fit kan ke dalam struktur yang sudah terbina dalam minda kita.
Apa yang aku merapu ni, mesti kau tertanya begini. Dengan berbekalkan lagu Kau Boleh! dalam otak aku, aku akan cuba sekali lagi menerangkan konsep epistemologi Kant yang sememangnya bukan mudah.
Teori Hume menolak akan adanya konsep kausaliti. Hume mengatakan ianya hanyalah sesuatu yang minda kita ambil bila sentiasa melihat sesuatu perkara mengikuti perkara yang lain, dan minda kita memanggil insiden ini sebagai asbab/kausaliti. Bagi Kant, jika Hume dan orang-orang selepasnya menolak kausaliti, maka ianya amat mustahil untuk merealisasikan bidang sains. Sains berkait rapat dengan teori asbab, terutama sekali bidang fizik klasikal atau dipanggil juga fizik Newtonian. Konsep inertia dan konsep tenaga umpanya memerlukan sesuatu daya untuk menjadi pemula atau pengakhir. Walaupun Hume bertujuan untuk meroboh mahligai metafizik dan seiring dengan itu, pahaman dogmatik yang membawa kepada kepercayaan agama, secara tidak sedar, dia juga telah memusnahkan kemungkinan untuk ilmu sains.
Salah satu lagi cabaran buat empiris adalah geometrid dan matematik. Bagaimana Matematik boleh dijelaskan tanpa mempercayai bahawa minda berupaya membuat induksi dan deduksi tanpa perlu bergantung kepada panca indera Teorem-teorem universal difikirkan oleh minda manusia sendiri tanpa perlu terlebih dahulu melihat kepada objek empirikal (bukti empirikal hanya datang untuk mengesahkan teorem atau persamaan matematik).
Namun begitu, Kant sebenarnya juga bersetuju dengan Hume dalam kritikannya terhadap metafizik khusus (special metaphysics), cabang metafizik yang ingin menjawab persoalan mengenai Tuhan, Roh dan Alam. Namun begitu, Kant perlu menyelamatkan metafizik umum (general metaphysics) seperti teori asbab, bahan, ruang dan masa untuk kelangsungan sains dan matematik. Maka Kant mengusulkan suatu pandangan yang amat unik.
Kant mewujudkan suatu prinsip konsep yang terdiri dari 12 konsep fundamental untuk objek yang dipanggil oleh Kant sebagai kategori-kategori. Kant mengatakan manusia mempunyai kategori-kategori ini yang sudah sedia ada built-in dalam minda mereka. Selain dari duabelas kategori-kategori, Kant mewujudkan sesuatu yang dinamakan forma asli, iaitu Masa dan Ruang.
Bagaimana ianya berfungsi Apabila aku sebagai subjek melihat sebuah objek, sebagai contoh, meja yang berada dihadapanku, aku bukanlah melihat secara terus kepada objek ini. Penampilan dari objek ini muncul semacam perwakilan (representation) dan perwakilan objek ini menyesuaikan diri (fit) objek tersebut kepada struktur kategori-kategori yang sudah tersiap built-in dalam minda aku.
Jadi sekarang ini ada dua posisi, subjek dan objek. Apabila subjek memandang kearah objek, objek menyesuaikan kepada struktur yang aku halakan kearah objek. Apakah sebenarnya struktur ini Jika kita mengambil ruang dan masa, meja (objek) sebagai sebuah jisim perlu memenuhi ruang, bukan Masa pula memainkan peranan bila aku melihat sesuatu, ianya sentiasa didalam sebuah jalinan masa (timeline), membentuk sebuah memori yang disimpan dalam minda kita. Ruang untuk luaran, masa; dalaman. Imej meja perlu diterbitkan kepada ruang dan masa untuk imej tersebut masuk akal (make sense) bagi aku. Dan representasi meja aku selaraskan dengan mana-mana dari dua belas kategori yang relevan; dalam kes meja, aku akan mengaplikasikan kategori totaliti untuk mengakui kuantiti objek yang aku saksikan, yang aku saksikan adalah SEBUAH (kuantiti- total) meja. Aku melihat meja ini tidak bergerak tetapi tetap, maka aku menggunakan kategori Kausaliti untuk menentukan hubungan meja ini dengan persekitarannya, dan aku menentukan bahawa meja ini tidak jatuh ke bawah KERANA (hubungan- kausaliti) adanya lantai rumahku yang menahannya.
Tanpa Ruang, Masa, dan Kategori-kategori, mana-mana objek yang aku halakan pandangan aku tidak akan aku fahami. Ianya harus memenuhi ruang dan berada didalam jalinan masa. Bukan meja ini sahaja, bahkan kesemua objek fizikal. Telefon pintar ku, perlu wujud dalam kategori ruang, atau dalam pandangan alam Kant, apabila aku menoleh ke kanan kerana terdengar bunyi pemberitahuan akan adanya mesej masuk, dengan serta merta , telefon pintar sebagai sebuah objek mendatangkan penampilan kepadaku dengan mengisi ruang dan masa, serta kategori asbab; aku menoleh kerana adanya bunyi yang mengisi masa. Ruang, masa dan asbab sudah terdapat dalam struktur minda aku.
Ianya seperti kau yang pergi ke pawagam untuk menonton filem 3D, dan kau sudah tentu akan diberi spek menjengkelkan yang akan membolehkan kau melihat imej dalam 3D. Apabila kau pakai spek ini, barulah imej dari skrin dapat dipaparkan dalam 3D. Hanya bila kau pakai, imej itu dapat hidup.
Begitulah kategori-kategori yang dipanggil pure concepts of understanding (konsep-konsep asli untuk pemahaman) serta Masa dan Ruang yang dipanggilnya dengan terma pure forms of understanding ( struktur-struktur asli untuk pemahaman). Namun, berbeza dengan spek 3D, struktur asli ini tidak boleh dicabut. Kau tak boleh lari dari melihat sesuatu selain diolah oleh struktur asli ini. Maka manusia akan sentiasa menyekutukan ruang, masa, asbab,bahan ,logik dan lain-lain kategori yang dirangka oleh Kant kepada segalanya yang dialami.
Namun, ada satu lagi perkara menarik yang Kant usulkan. Jika kita kembali kepada contoh kau yang berada di pawagam filem 3D dan menggunakan spek 3D sebelum kau pasang spek tersebut, kau dapat lihat objek (iaitu skrin filem 3D tersebut). Bila kau kenakan sahaja spek itu, yang kau lihat bukanlah objek (skrin filem yang sebenar) namun penampilan imej yang hidup yang diselaraskan oleh spek tersebut. Dapatkah kau agakkan apa yang ditegaskan oleh Kant disini Ingat lagi seketika tadi aku sebutkan, Kant mengatakan bahawa manusia tidak boleh lekang (tidak dapat buang) konsep konsep dan struktur-stuktur asli.
Apa yang ingin ditegaskan oleh Kant adalah kita tidak akan mampu untuk melihat objek yang sebenar-benarnya. Skrin filem itu tidak akan dapat kita alami, yang kita alami hanyalah penampilan yang telah diselaraskan melalui spek 3D, kerana masuk-masuk sahaja kedalam dewan pawagam itu kita sudah punyai spek yang melekat di mata. Aku tidak mungkin dapat alami/ melihat meja, telefon pintar, gelas, pen. Apa yang aku dapat lihat hanyalah pernampilan imej yang telah disesuaikan setelah melalui konsep/kategori serta struktur-struktur asli. Maka disini, Kant menyatukan rasionalisme (minda boleh membuat intuisi dan mempunyai struktur yang sudah sedia ada) dan empirisme (objek perlu ada untuk imej diterbitkan).
Ianya seperti seorang yang hidupnya tidak lekang dari sebuah spek mata yang berwarna , hijau contohnya. Dimana-mana pun dia hanya dapat melihat objek yang dicemari dengan warna hijau (macam Zainal Abidin dalam lagu popularnya Hijau, ku lihat Hijau.).
Apa yang Kant katakan ini adalah suatu penegasan berani. Kita tidak melihat objek Objek walaupun ada di luar sana tidak akan dapat kita lihat Buat selamanya Kant memanggil objek yang sebenarnya objek, yang tidak dilihat melalui struktur, objek yang tidak dapat kita lihat ini sebagai noumena (singular : noumenon) , dan kadang-kadang turut merujuk kepada noumena ini sebagai ding ansich ( sebuah perkataan Jerman yang bermaksud thing in itself , kerana aku gagal mencari terjemahan tepat untuk frasa ini aku akan gunakan sahaja frasa asal Jerman).
Kant juga mengatakan bahawa Vernunft (Penaakulan), tidak mampu untuk melangkaui struktur-struktur asli yang dirangka olehnya ini. Aku tidak akan mampu untuk melangkaui struktur minda aku untuk mengetahui sebenar-benarnya mengenai meja objek/ ding ansich).
Kant mengkritik para ahli falsafah sebelumnya terutamanya mereka ahli falsafah zaman pertengahan Eropah yang rata-ratanya pendeta agama Kristian kerana menggunakan proses penaakulan dan rasional untuk menubuhkan bukti kewujudan Tuhan dan objek-objek noumenon. Pada Kant, Vernunft telah melangkaui batasnya sendiri bila berpura-pura untuk menyelesaikan sesuatu isu yang berkaitan dengan konsep-konsep Tuhan. Apa-apa kesimpulan atau sistem falsafah yang didirikan atas proses penaakulan yang melangkaui batasan struktur ini tadi adalah kesemuanya nonsense , tidak boleh diterima. Dititik ini lah kita dapat lihat persamaan pegangan Hume dan Kant dalam mengkritik metafizik khusus.
Dalam erti kata lain, manusia selamanya tidak boleh mengetahui, atau mempunyai apa-apa ilmu mengenai Tuhan, Alam dan Roh, hanya terhad kepada perkara-perkara fenomena. Ini adalah kerana untuk mengaplikasikan kategori dan struktur Masa dan Ruang, objek fizikal ataupun sesuatu yang boleh menghasilkan respons dari deria (bunyi, bau) perlu betul-betul wujud di hadapan/dekat dengan kita. Namun Tuhan, Alam dan Roh tidak mampu di register oleh deria rasa. Bagaimana kita mahu meletakkan bahawa wujudnya ketiga-tiga entiti ini Kant tidak menolak mengenai kemungkinan adanya entiti-entiti ini, tetapi kita tidak akan dapat membuktikan secara kukuh mengenai wujud/tidak wujudnya entiti-entiti ini.
Persoalannya, apakah prinsip Kant sendiri bila kita datang kepada konsep-konsep ini Adakah, dia sendiri, dan adakah sistem yang didirikannya menolak Tuhan , Alam dan Roh Menariknya, jika dalam KrV Kant menguburkan apa-apa usaha untuk membuktikan kewujudan mereka, dalam Kritiknya yang kedua, Kant mengembalikan entiti-entiti ini. Buku Kritiknya yang datang selepas KrV adalah Kritik terhadap Penaakulan Praktikal ( Kritik der praktischen Vernunft / Critique of Practical Reason) membincangkan isu falsafah moral. Kant mengatakan bahawa untuk falsafah moral itu ada, perlunya kepercayaan terhadap entiti supernatural seperti Tuhan , Alam dan Roh. Ini membolehkan seseorang untuk menjustifikasikan pilihan untuk hidup beretika. Jika tiadanya Tuhan, teori moral atau etika Kant tidak mampu untuk memastikan kebaikan kehidupan yang beradab. Ianya agak paradoks, dalam satu tahap, kita tidak boleh dan tidak mampu tahu kewujudan Tuhan, tetapi sebaliknya hanya perlu mempercayainya sahaja untuk menggunakan konsep Tuhan dalam memastikan kehidupan kemasyarakatan sentiasa dalam keadaan aman. Roger Scruton dalam bukunya Falsafah Moden : Sebuah Survey mengaitkan pendirian ini dengan kepercayaan Protestan Kant. Kant yang lahir dan membesar dalam keluarga dan sekolah Protestan sememangnya sudah terdidik untuk lebih mementingkan kepercayaan personal dari penaakulan dan pertelingkahan isu-isu keagamaan yang rumit yang menjadi tren dalam tradisi Katolik.
Walaupun Kant mempunyai banyak idea dalam cabang falsafah yang lain seperti teori politik, dan teori kenegaraannya yang agak menarik, aku akan berhenti sampai sini sahaja dalam menyampaikan idea-ideanya. Namun sebelum aku bergerak ke sosok falsafah moden seterusnya, aku ingin berkata sedikit lagi kenapa Kant dilihat sebagai begitu penting dalam falsafah moden Eropah.
Kau mungkin tertanya apakah yang terlalu revolusioner mengenai pandangan epistemologi Kant ini Kant sendiri dengan bangganya menyamakan apa yang dirangkanya dengan gelaran Revolusi Copernican dalam dunia falsafah. Kalau kau masih ingat sejarah ilmu sains di Eropah, tahun 1533, Nicolaus Copernicus merupakan seorang ahli astronomi yang dikredit sebagai orang pertama yang mengasaskan teori Heliosentrisme , iaitu pendapat bahawa matahari (Helios) yang berada ditengah (kentron/ center) dan planet-planet lain termasuklah planet Bumi bergerak mengelilingi matahari. Pendapat ini berlawanan dengan kepercayaan yang popular pada masa itu, termasuklah pendapat autoriti gereja bahawa bumi yang menjadi pusat dan yang lain termasuklah matahari bergerak mengelilingi bumi . Malahan bertahun-tahun setelah kematian Nicolaus, barulah teori ini menjadi popular dan mula diterima ramai sehinggakan pihak gereja menghukum pandangan ini sebagai sesat enam dekad kemudian.
Namun teori heliosentrisme Copernicus memainkan peranan penting dalam meledakkan revolusi Saintifik di Eropah yang akhirnya membolehkan ahli-ahli astronomi menemui solusi kepada banyak lagi permasalahan astronomi, kerana setelah begitu lama dibelenggu oleh kepercayaan yang salah.
Begitu juga Kant dengan Revolusi Copernicusnya dalam dunia falsafah. Dia ingin mencipta suatu cara pandang baharu dalam falsafah. Nicolaus Copernicus berjaya mengalihkan paradigma daripada bumi sebagai pusat kepada bumi sebagai hanyalah sebuah planet yang mengelilingi matahari. Sebelum ini, para falsafah fokus kepada objek semata , namun dia mengalih perhatian daripada objek kepada subjek apabila mengasaskan bahawa minda manusia sendiri, minda subjek itu sendiri yang mempunyai struktur-struktur dimana objek di luar minda mengadaptasikan diri mereka untuk diselaraskan kedalam struktur ini. Walaupun sistem Kant tidak meletakkan emfasis kepada subjek, namun hasil daripada peralihan pandangan alam ini, ianya tidak dapat dielakkan untuk memfokus kepada subjek, Aku ataupun Ego, dan ini terbukti apabila para falsafah moden di Jerman menyedari akan hal ini, ke superioriti subjek seterusnya memulakan zaman Idealisme Jerman.
Wajar juga disebut disini Johann Gottlieb Fichte , seorang ahli falsafh Jerman yang mengambil teori Kant dan kemudia mengembangkan tesis Subjek, kerana baginya sebuah sistem falsafah perlu mempunyai asas yang tidak dapat diragui, dan asas ini adalah Aku ataupun Ego, sekaligus meletak tepi kepentingan objek. Baiklah, seterusnya akan melihat sebuah lagi sosok penting dalam Falsafah Eropah Moden, tetapi kita tidak perlu pergi jauh, kerana dia juga merupakan seorang Jerman.
Sumber Primer:
1. Prologomena to Any Future Metaphysics that will be Able to Come Forward as Science (1783) karya Kant, diterjemah oleh G. Hatfield ( 2002).
2. Critique of Pure Reason karya Kant (Edisi Pertama 1781, Edisi Kedua 1787) , edisi Cambridge terjemahan P. Guyer dan A.W. Wood (1998)
Sumber Sekunder :
1. On the History of Modern Philosophy: Kant karya Schelling diterjemah oleh Andrew Bowie (1994)
2. Continental Philosophy : A Critical Approach karya W.R. Schroeder (2005)
3. Modern Philosophy: An Introduction and Survey karya Roger Scruton ( 1994)