Di kala bersendirian saya teringat beberapa ungkapan yang pernah diajukan kepada saya tatkala masih menuntut ijazah sarjana muda sekitar 2006-2009 dahulu di UPM. Antara ungkapan tersebut berbunyi seperti :
Janganlah menelaah mekanik quantum, amat sukar dan boleh menjadikan anda gagal dan menurunkan PNGK nanti , kata seorang mahasiswa senior kepada saya.
Buat apa kamu nak belajar fizik teori, bukan dapat apa pun, semua teori sudah terpakai, matematik ini tiada kaitan dengan hukum alam , kata seorang profesor kepada saya.
Itulah beberapa ungkapan yang dimomokkan kepada saya dan beberapa rakan sepengajian mahasiswa fizik tulen UPM suatu ketika dahulu. Masih hangat telinga saya apabila teringat ungkapan tersebut hingga kini. Apa yang saya mahu kongsikan disini adalah berkenaan usaha saya memecahkan mitos ungkapan-ungkapan tersebut dengan menekuni bidang fizik teori dan juga sedikit sebanyak berkongsi tentang kepentingannya dalam menuju penyelidikan fizik kurun ke-21 ini.
Menelaah Fizik dan Matematik
Sebenarnya minat saya dalam menekuni subjek fizik dan matematik dengan serius adalah terinspirasi daripada guru fizik saya yang membuka minda saya tentang sains (atau lebih tepat lagi fizik) bahawa ia sebenarnya wujud dalam kehidupan sekeliling kita dan bukanlah tertulis sematamata di dalam buku teks. Saya masih ingat hari pertama saya memasuki makmal untuk mempelajari subjek fizik (kami adalah pengambilan kedua aliran sains tulen di sekolah) , guru fizik saya (Cikgu Razak Othman namanya) menceritakan kepada kami tentang konsep termodinamik serta kaitannya dengan keruntuhan bangunan pencakar langit WTC di Amerika Syarikat yang heboh diperkatakan dunia ketika itu. Selain itu, beliau pernah menceritakan kepada kami dengan asyiknya tentang sebutir zarah subatom yang dikenali sebagai kuark, yang dijumpai dipemecut zarah terbesar (LHC) di Geneva, Switzerland. Lebih menarik lagi pada setiap minit di dalam kelas, kami disajikan dengan penjelasan yang lugas tentang konsep-konsep fizik daripada beliau. Apa yang boleh saya katakan beliau adalah seorang guru fizik terbaik pernah saya jumpai kerana beliau berjaya membuka ruang imaginasi saya seluas-luasnya supaya dapat berfikir, meneroka dan merasai keindahan hukum-hukum fizik yang berada disekiling kita.
Semenjak daripada itu, saya bercita-cita ingin menekuni bidang fizik dan matematik hingga ke peringkat universiti. Pada masa yang sama, saya juga amat meminati subjek matematik dimana subjek ini boleh dikatakan makanan harian saya. Apa yang menariknya, semasa saya menelaah subjek matematik tambahan di peringkat SPM dahulu saya telah jatuh cinta dengan salah satu topik dalam subjek berkenaan iaitu topik gerakan pada garis lurus. Topik ini menjelaskan tentang bagaimana mencari halaju zarah dengan menggunakan persamaan pembezaan. Saya dapati topik ini sangat menarik kerana ianya berkait rapat dengan subjek fizik yang saya tekuni, lalu menambahkan lagi rasa keterujaan saya terhadap matematik dan fizik. Tatkala menekuni matematik, selain dari keindahan matematik sebagai latihan akal, saya juga seringlah memikirkan tentang bagaimana sesuatu konsep matematik itu boleh wujud dan apakah intuisi disebalik persamaan-persamaan matematik yang telah diterbitkan. Sila lihat dua contoh yang saya bawakan diperenggan berikutnya.Contoh yang pertama, andaikan sebutir zarah tunggal dalam sistem (fizik) klasik Newton bergerak pada garis lurus sepanjang paksi-x. Ini bererti zarah beranjak dari kedudukan asal (titik asalan) dan akan melibatkan arah dan jarak. Bagi arah gerakan di sepanjang paksi-x positif ditandakan positif, manakala di sepanjang paksi-x negatif ditandakan negatif. Oleh yang demikian, kita dapat lihat anjakan merupakan suatu kuantiti vektor dengan jarak diukur dari suatu titik asalan. Pergerakan zarah di sepanjang paksi-x, jika anjakan x ditentukan pada setiap ketika bagi tempoh masa t, maka anjakan ini dapat diwakili dengan suatu fungsi yang boleh dibezakan terhadap masa x(t) dimana t=0. Manakala, berdasarkan maklumatmaklumat tersebut kita boleh tentukan halaju v bagi sebutir zarah tersebut yang diwakili oleh persamaan terbitan pertama bagi anjakan terhadap masa t iaitu
v = dx/dt
Halaju seketika ialah halaju zarah pada sebarang ketika bagi masa t, dan tanda (positif atau negatif) bagi halaju ini menunjukkan arah untuk gerakan zarah di sepanjang suatu garis lurus. Dalam erti kata lain halaju sebutir zarah ini ialah kadar perubahan anjakan x(t). Jika dilanjutkan lagi kita boleh tentukan pecutan a sebutir zarah tersebut , dimana ianya diwakili oleh persamaan terbitan kedua iaitu
a = d/dt ( dx/dt ) = d^2(x)/(dx)^3
manakala daya F sebutir zarah tersebut dapat ditentukan oleh F = m(d^2(x)/(dx)^3) ma dan momentum P = m(dx/dt) = mv
persis Hukum Newton dalam fizik yang kita pelajari. Manakala, contoh yang kedua, andaikan anda bersama dua orang lagi rakan anda pergi ke warung mamak untuk bersarapan pagi. Dua lagi rakan anda itu bernama Zaki dan Nurul, setelah tiba di warung mamak, oleh kerana kelewatan, maka makanan yang tinggal hanyalah Nasi Lemak, Roti Canai, dan Mee Goreng. Jadi, masingmasing memesan sarapan pagi kegemaran semua. Secara matematiknya kita boleh mengkelaskan situasi ini kepada dua set iaitu set A = { Anda, Zaki, Nurul} dan set B = {Nasi Lemak, Roti Canai, Mee Goreng}, manakalah f pula adalah tanda yang mewakili sarapan kegemaran bagi setiap orang.
Jadi, persoalannya bagaimana hukum alam dan peristiwa harian seperti ini boleh diperagakan oleh simbol-simbol atau persamaan-persamaan matematik ringkas sahaja Apakah itu objek-objek matematik Dan apakah pula intuisi fizikal Bagaimana keduanya boleh berhubung menghasilkan satu teori besar Adakah sebenarnya hukum-hukum alam dan peristiwa harian yang berlaku ini adalah konsep matematik Menarik dan mendalam bukan persoalan-persoalan seperti ini
Maka, persoalan-persoalan tersebut berlarutan dalam minda pemikiran saya sehingga berada di universiti tetapi saya gagal untuk menjawabnya. Lalu, dengan rasa ingin tahu yang sangat mendalam ketika itu, saya terus memasang niat ingin menelaah fizik dan matematik hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah dan menjadi seorang penyelidik dalam bidang ini.
Bagaimana boleh minat dengan fizik teori
Setelah tamat SPM, saya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi aliran sains fizikal dan seterusnya ke UPM dalam bidang fizik tulen. Tiga tahun di UPM tidaklah banyak membantu saya dalam menekuni ilmu fizik ini secara mendalam. Pada awal pengajian lagi, saya sudah berpatah semangat dek kerana momokkan karut dari mahasiswa senior dan beberapa pensyarah tentang kesukaran subjeksubjek berbaur teoretikal seperti mekanik dan gelombang, mekanik quantum, mekanik statistik, fizik matematik, fizik moden dan sebagainya. Tambahan pula istilah fizik teori begitu asing bagi saya ketika itu dan juga aktiviti persekitaran yang tidak membantu mengurangkan lagi minat saya.
Sewaktu saya berada di tahun tiga pengajian, saya dan seorang rakan telah memohon untuk berkerja sambilan sebagai pembantu penyelidik bagi mengisi masa lapang sewaktu cuti semester selama sebulan dibawah seliaan Prof. Madya Dr. Hishamuddin Zainuddin (penasihat akademik saya waktu itu merangkap penyelia tesis sarjana saya) di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM. Apa yang menariknya pada masa yang sama Expository Quantum Lecture Series 2 (singkatannya eQuaLS 2) sedang berlangsung - dan untuk pengetahuan pembaca, sewaktu saya mengarang tulisan ini eQuaLS 8 juga sedang berlangsung. EQuaLS adalah aktiviti tahunan yang bertaraf antarabangsa bagi kumpulan penyelidikan fizik teori dan matematik di Jabatan Fizik dan INSPEM, UPM. Program ini telah membawa ramai saintis-saintis terkemuka dunia untuk datang ke Malaysia umumnya dan INSPEM khususnya bagi berkongsi idea dan arah penyelidikan mereka yang mana penyelidik tempatan boleh mengambil manfaat daripadanya.
Apa yang mengujakan saya ketika itu bukanlah disebabkan EQuaLS, secara jujurnya saya pun tidaklah faham apa yang mereka bincangkan kerana kajian mereka itu terlalu tinggi dan abstrak untuk mahasiswa seperti saya fahami. Tetapi yang lebih mengujakan saya ialah saya telah ditakdirkan bertemu dengan saintis-saintis hebat dari luar negara seperti Karl Svozil yang pakar dalam bidang logik quantum, Bob Coecke yang pakar dalam bidang mekanik quantum berkategori (singkatan dalam Inggerisnya ialah CQM), Andreas Doering yang pakar dalam bidang aljabar operator dan teori topos, Almarhum Prof. Syed Twareque Ali yang pakar dalam bidang kaedah pengkuantuman dan matematik-fizik dan ramai lagi. Mereka ini telah membuka minda saya tentang pemahaman saya tehadap fizik dan matematik dengan lebih mendalam lagi. Tanpa disangka, saya berpeluang berborak bersama Andreas Doering sewaktu membantu beliau menguruskan urusan peribadi di bank. Kami berborak tentang banyak hal dan beliau mencadangkan kepada saya jika saya berminat dengan teori kuantum agar menelaah buku Chris Isham bertajuk Lectures On Quantum Theory Mathematical and
Structural Foundations (buku ini adalah salah satu buku rujukan kami semasa mengambil subjek mekanik kuantum diperingkat ijazah pertama dahulu) bagi memahami dengan lebih mendalam lagi apakah struktur-struktur matematik dan konsep-konsep penting yang berkait-langsung dengan landasan mekanik quantum. Bertitik tolak dari sinilah saya terus memasang niat ingin menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Insyaallah) dalam bidang fizik teori selepas menamatkan ijazah pertama saya.
Bidang kajian yang ditekuni.
Setelah menamatkan pengajian ijazah pertama, tanpa berfikir panjang saya terus mendaftar untuk pengajian Sarjana dalam bidang sains nano memfokus kepada teori fungsian ketumpatan (DFT), iaitu menyelesaikan persamaan Schrodinger dengan menggunakan kaedah simulasi pengkomputeran. Persoalannya, mengapa saya tidak terus mendaftar dalam bidang fizik teori ketika itu Sukar Ya, memang ketika itu saya masih dalam dilema dan kabur tentang hala tuju saya kerana pada masa yang sama saya juga minat dengan subjek fizik pengkomputeran. Tetapi faktor yang lebih utama ialah saya berasa amat gusar jika saya mendaftar dalam bidang fizik teori, saya tak dapat menghabiskan kerja-kerja penyelidikan (gagal separuh jalan) oleh kerana saya tiada latar belakang matematik tulen (Ya, dalam bidang saya ia memerlukan penguasaan beberapa subjek matematik tulen!) yang sangat kukuh bagi menyokong penyelidikan nanti. Saya hanya pernah menduduki tiga subjek matematik semasa ijazah pertama dahulu iaitu kalkulus, persamaan pembezaan dan fizik matematik. Pada awalnya, saya cuba mencari masalah dalam bidang sains nano, tetapi jodoh kami tak panjang kerana jiwa dan akal saya sentiasa memberontak ingin menceburi bidang fizik teori.
Ditakdirkan Tuhan, sedang saya kebingungan, saya berpeluang berborak dengan seorang pensyarah wanita yang agak berumur (dan beliau ialah penyelia bersama tesis Sarjana saya) tentang hasrat ingin berubah angin ke bidang fizik teori. Dengan nasihat beliau, yang saya anggap sebagai nasihat daripada seorang ibu kepada anak, saya terus menukar bidang dengan menjurus secara spesifik kepada kajian fizik teori . Pada masa yang sama saya juga sedang ``kemaruk menonton filem ``A Beautiful Mind yang berdasarkan sebuah novel tulisan Sylvia Nasar lakonan Russel Crowe. Ia berkisarkan kehidupan seorang matematikawan tersohor John Nash, yang berjuang dalam melawan
penyakit schizophrenia yang dihidapinya. Kemudian melalui kerja-kerja akademiknya, beliau berjaya menyumbang satu teori baru dalam matematik yang di guna pakai dalam bidang ekonomi moden dikenali sebagai Nash Equilibirium. Dengan sumbangan ini, beliau dianugerahi Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi. Selain itu antara filem lain yang menginspirasikan ialah ``Good Will Hunting, lakonan Matt Damon dan Ben Affleck. Ia berkisar tentang seorang remaja bermasalah (Will Hunting) yang mempunyai tahap IQ yang tinggi bekerja sebagai tukang kebun di sebuah institusi bertaraf Ivy League di AS iaitu MIT. Dengan kepintaran yang beliau miliki, beliau dapat menghafal fakta dan mempunyai bakat dalam membuktikan teorem-teorem matematik sukar yang diusulkan oleh seorang profesor matematik, pemenang pingat Fields dan pakar dalam bidang kombinatorik, di papan hitam diluar dewan seusai kuliah bersama siswa matematik MIT. Filem ini bukan sahaja berkisar tentang remaja pintar matematik, tetapi ianya meliputi tentang kehidupan sosial dan juga persoalan-persoalan dalaman tentang makna diri manusia. Kedua-dua filem ini telah mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada saya untuk lebih minat kepada matematik dan fizik. Justeru, berbekalkan semangat, niat dan tawakal kepada Tuhan maka saya membulatkan tekad dengan membuat keputusan menukar bidang pengajian pada semester ketiga pengajian.
Setelah mengubah hala tuju, saya memilih untuk menelaah bidang topologi dan geometri. Secara ringkasnya, kajian yang saya jalankan ialah berkenaan kaedah penkuantuman berteori kumpulan terhadap ruang geometri unjuran kompleks bermatra satu atau secara simbolnya diwakili oleh CP. Ruang ini secara topologinya bersifat homeomorfik dengan ruang sfera bermatra dua atau secara simbol matematiknya S. Jadi, apakah itu kaedah pengkuantuman Kaedah pengkuantuman secara mudahnya ialah proses dimana jika kita diberi satu sistem fizik klasik, kita boleh membina teori kuantum dengan mengkuantumkan pembolehcerap kepada pengoperasi. Kajian saya tertumpu kepada mencari sifat simetri bagi ruang fasa daripada tindakan kumpulan Lie ke atasnya (dan dalam teknik ini ianya dipanggil kumpulan berkanun) dan kemudian membina teori perwakilan daripadanya untuk menentukan sifat ruang Hilbert. Dalam kajian ini, kami cuba untuk menghubungkannya dengan bidang geometri keadaan kuantum yang berkait dengan bidang teori maklumat kuantum.
Antara cabaran paling besar yang saya hadapi semasa menjalankan kajian sarjana ialah kelemahan dalam penguasaan beberapa subjek matematik tulen seperti analisis nyata dan kompleks, aljabar niskala dan linear, analisis fungsian, kalkulus lanjutan, analisis tensor, geometri kebezaan, topologi, dan sebagainya. Secara peribadi, bidang yang saya tekuni ini memerlukan penguasaan, sekurangkurangnya kesemua subjek matematik tulen pada peringkat ijazah pertama. Ada beberapa subjek, seperti topologi aljabar, geometri kebezaan, dan geometri simplektik yang tidak ditawarkan langsung di Jabatan Matematik UPM. Ini membuatkan saya terpaksa berhempas pulas menelaahnya sendiri. Berbekalkan semangat ingin tahu, saya telah memperuntukkan masa 8 jam setiap hari (sekurangkurangnya dan kebiasannya lebih) untuk menelaah subjeksubjek tersebut, ditambah pula dengan menelaah dan menyorot literatur dengan terperinci yang berkaitan dengan masalah yang ingin diselesaikan. Ianya amat perit tapi mencerahkan! Ya, mencerahkan dan memberi kepuasan kepada akal dan jiwa yang tak dapat dikongsikan bersama orang lain! Benarlah kata peribahasa melayu, Jika tak dipecahkan ruyung, mana pula dapat sagunya. Menuntut ilmu itu perlu kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan agar hasilnya nanti mencerahkan akal dan jiwa serta akan menjadi sumbangan keilmuan kepada masyarakat kelak. Berbekalkan usaha tersebut, saya berjaya mempertahankan tesis sarjana saya dan sekaligus membuktikan ungkapanungkapan dan momokkan di atas itu adalah palsu belaka. Jika kita berusaha dengan ikhlas, kita akan dapat atasi segala kepayahan yang kita alami.
Sepanjang pengajian sarjana, saya berpeluang berjumpa dan berbincang dengan beberapa nama-nama besar dalam bidang matematik dan fizik teori antarabangsa (teori quantum khususnya), selain nama yang disebutkan di atas tadi, sekadar menyebut beberapa nama, seperti John Baez (pakar dalam Teori Rangkaian dan graviti Kuantum ), Mathai Varghese (anak murid kepada pemenang pingat Fields, Daniel Quillen, dan terkenal dengan formulasi Mathai-Quillen dalam bidang geometri dan topologi), Rob Spekkens (pakar dalam bidang landasan Kuantum), Michal Planat (pakar dalam bidang geometri aljabar dan Teori Maklumat Kuantum )- dan ramai lagi fizikawan dan matematikawan terkenal. Peluang keemasan yang jarang diperoleh seperti ini memang saya tidak akan lepaskan dan lupakan, ianya akan terpahat dalam memeori hidup saya. Jika tidak dapat memahami penyelidikan abstrak mereka, sekurang-kurangnya, berborak dengan mereka ini dapat juga memberi motivasi dan inspirasi kepada diri agar kita tidaklah berasa terlalu rendah diri untuk terus berusaha memajukan diri ke peringkat yang lebih tinggi setaraf dengan pencapaian mereka kelak.
Kepentingan Fizik Teori dan Matematik.
Sebetulnya fizik (lebih-lebih lagi fizik teori) merupakan jurusan yang sangat luas dan menarik. Namun, di negara kita, kerjaya graduan fizik seolah-olah terhad kepada guru sains ataupun bekerja di industri sahaja. Secara fakta graduan fizik tidak perlu terkongkong berada dalam bidang fizik sahaja. Kemampuan graduan fizik dalam menganalisis dan menaakul membuatkan mereka menceburi bidangbidang lain seperti perbankan serta insurans, pengurusan dan kepimpinan, perniagaan, ekonomi , muzik dan banyak lagi. Jika di luar negara, keadaan ini kerap berlaku. Sebagai contoh, Brian May seorang gitaris kumpulan lagenda rock terkenal Queen berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang astrofizik, Angela Merkel canselor negara Jerman berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang kimia kuantum , Yanis Varoufakis bekas ahli parlimen dan Menteri Kewangan Greek berkelulusan dalam bidang matematik statistik dan ramai lagi. Malah, di negara kita juga apa kurang hebatnya ada beberapa tokoh politik dan ahli akademik yang terkenal berlatar pendidikan matematik atau fizik diperingkat ijazah pertama ataupun kedoktoran, sekadar menyebut beberapa nama yang saya kenal, seperti Menteri Besar Selangor yang terkini berkelulusan ijazah pertama dalam bidang matematik dan ekonomi, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkelulusan ijazah pertama dalam Fizik, ahli akademik tersohor dan Pengarah CASIS UTM, Prof. Dr.Muhammad Zainiy Uthman, berkelulusan ijazah pertama dalam bidang Fizik, Dato Dr. Aziuddin Ahmad bekas rektor KUIS dan seorang profesor Pengurusan Risiko di Sekolah Perniagaan Putra (Putra Bussines School), berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang fizik nuklear, Dr. Che Rosli Che Mat seorang Ahli Parlimen Malaysia berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang fizik nuklear, juga seorang sahabat saya berkelulusan ijazah pertama dalam bidang fizik dan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dan kini beliau berkhidmat di Kementerian Kewangan Malaysia. Ramai lagi tokoh-tokoh yang ada dalam negara kita jika kita telusuri. Ini menunjukkan graduan yang terlatih dalam bidang fizik dan matematik boleh merentas ke bidangbidang yang lain untuk mengembangkan ilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Berlatar-belakangkan ilmu fizik dan matematik yang ampuh mereka juga boleh meneroka bidang-bidang yang kini menjadi perhatian utama serta merentas bidang lain sebagai contoh astrobiologi, biofizik, pengkomputeran kimia, biologi kuantum, neurosains, rangkaian kompleks, bioinformatik, dan bahkan ada juga yang menggunakan fizik (contohnya mekanik statistik) dalam bidang sains sosial dan ekonomi bagi menentukan pasaran stok . Pada pandangan saya fenomena ketara di negara kita ialah kurangnya mementingkan bidang fizik dan matematik. Nyata, kita sememangnya kekurangan pakar dalam bidangbidang asasi seperti ini. Ya, kekurangan pakar, barangkali ianya juga berfaktorkan pembentukan minda dan pemikiran masyarakat yang memandang graduan fizik hanya menjadi guru sains semata-mata, berbanding graduan kejuruteraan dan perubatan.
Bagi bidang fizik teori ini, jika kita benar-benar menelaah dengan serius dan ikhlas ia sebenarnya boleh membawa kita menerjah ke dalam bidang-bidang yang abstrak dan maju terkehadapan seperti Teori Maklumat Kuantum, kriptografi quantum, pengkomputeran kuantum, kosmologi kuantum, graviti kuantum, Teori medan kuantum, mekanik kuantum tak komutatif, teori bebenang, logik kuantum, fizik zarah keunsuran dan banyak lagi. Begitu juga bagi bidang matematik. Dengan keseriusan kita, dapatlah meneroka bidang seperti topologi simplektik, teori kategori, teori topos, geometri tak komutatif, geometri aljabar , teori operator, geometri berhiperbola dan sebagainya. Kesemua nuansa fizik dan matematik ini masihlah lagi langka dan belum ditekuni serta diterokai secara kental di negara kita.
Sebagai contoh, melalui bidang Teori maklumat Kuantum, kita boleh membuka ruang perbincangan baru untuk menyelesaikan beberapa masalah dasar dalam landasan mekanik kuantum seperti masalah keterbelitan, setempat dan tak setempat, paradoks EPR , pengukuran kuantum, Teorem Kochen-Specker, Teorem Bell dan lain-lain lagi. Manakala, dari aspek matematik pula, contohnya, bidang geometri aljabar dan teori kategori masing-masing mempunyai kegunaan dalam membina struktur matematik teori maklumat kuantum dan member formulasi baru untuk teori quantum, yang juga boleh diaplikasikan dalam bidang komputer kuantum diera pesat maklumat ini.
Oleh itu, saya ingin mempelawa graduan fizik yang mempunyai minat dalam bidang ini tetapi masih kabur dengan hala tuju mereka agar mencari peluang untuk menyertai diskusi-diskusi ilmiah anjuran beberapa kumpulan penyelidikan fizik teori dan matematik yang ada di negara kita. Sebagai contoh, kepada yang berminat untuk menerokai bidang fizik tenaga tinggi atau fizik zarah keunsuran boleh ke Pusat Fizik Zarah Kebangsaan di UM, manakala bagi sesiapa yang berminat ingin mencabar minda dengan menerokai keabstrakan struktur matematik dan matematik gunaan bolehlah ke Institut Penyelidikan Matematik , UPM dan jika berminat untuk menerokai masalah matematik dalam industri bolehlah ke Pusat Matematik Industri dan Gunaan (UTM-CIAM), UTM atau mana-mana institusi-institusi tersohor di luar negara yang difikirkan sesuai untuk menyambung pengajian ijazah lanjutan bagi menerokai bidang fizik teori dan matematik.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, jangan kita bimbang dan merasa rendah diri dalam menekuni fizik. Kita sepatutnya yakin dan percaya bahawa menekuni fizik tidaklah sebosan seperti yang tercanang dalam minda masyarakat kita. Ayuh! Marilah menekuni sains terutamanya fizik, tekuni dengan jiwa yang besar, akal dan minda terbuka agar kita berasa takjub dan dapat merenung kembali diri kita dengan cuba memahami dan menerokai keindahan hukum alam jagat raya ciptaan Tuhan ini. Semoga perkongsian pengalaman saya ini dapat memberi inspirasi kepada para pembaca yang masih tercari-cari atau baru mula memupuk minat dalam sains, tidak kiralah dalam bidang apa sekali pun; fizik, kimia, biologi atau matematik. Pesan saya, jadikanlah minat sebagai kerja yang anda suka lakukan setiap saat dalam hidup anda. Dengan minat, siapa tahu satu hari nanti, anda dapat mengubah dunia dengan idea yang besar seperti mana Einstein mengusulkan idea besarnya 100 tahun yang lalu, dan kini sudah ditentusahkan oleh para saintis menerusi ujikaji LIGO di Amerika Syarikat dan beberapa pakatan lain, bahawa wujudnya gelombang kegravitian! Maka, saya akhiri tulisan ini dengan kalam T.S Eliot berbunyi:
``It is obvious that we can no more explain passion to a person who has never experienced it than we can explain light to the blind.
Selamat meneroka!
Biodata
Beliau kini sedang berkhidmat sebagai Pembantu Penyelidik di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) UPM. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Fizik dan Sarjana Sains Fizik Teori. Seorang pembaca buku tegar, gemar menonton filem (berunsurkan dokumentari, sains fiksyen, biografi, kesejarahan dan kefalsafahan) dan juga gemar merenung keindahan alam. Jika miliki wang yang banyak beliau ingin mengembara mengelilingi dunia melihat keindahan alam ciptaan Tuhan dan menjejak tinggalan sejarah.