PERSEPSI TERBIAR SEPI - 11
I

NILAH realiti yang terpaksa kita hadap. Manusia lebih pantas menghukum, berbanding memberi ruang. Sehingga kita terpaksa memilih jalan berdiam, kerana hanya itu pilihan yang tersisa.

Keputusan sudah dibuat. Banyak perkara yang kita senaraikan telah pun kita laksanakan. Setelah timbal balik. Sesudah memikirkan baik buruk hasilannya. Sesuatu yang kita buat dan bertindak sebab kita jelas alasannya. Namun ketika sampai di mata-mata manusia, pada deria dengar khalayak, akan wujud pelbagai persepsi. Ada yang menghidupkan. Ada yang membunuh. Akurlah, dunia ini bukan kita seorang yang huni.

Kita berusaha memahamkan. Memberi penjelasan akan satu-satu hal yang berlaku. Ada manusia yang mahu mendengar, ada yang berbuat tak endah. Ada juga yang bertempik seolah-olah dia serba tahu akan semua hal di muka bumi ini. Suram dunia dengan makhluk-makhluk yang kegeringan sifat toleransi.

Orang dahulu kalau menentukan hukum, sungguhsungguh diteliti dahulu punca perbuatan atau perkataan yang tersalah. Orang sekarang melulu menikam jiwa. Sebab adab bukan lagi satu hal yang terpenting dalam komunikasi masyarakat kini. Siapa yang lantang, dia yang dikira berani untuk mendapatkan tempat kemenangan meskipun hal yang disuarakan itu adalah sesuatu yang salah. Keberanian menjadi ukuran tertegak akan sesuatu hal.

Memetik kata-kata Buya HAMKA,

Ukuran kemanusiaan itu ialah ukuran perangai, terpuji atau tercela.

Media sosial menjadikan manusia kian rakus menjadi hakim. Semakin membiak manusia yang tertutup mata hati. Apabila terjadi sesuatu yang tak sealiran dengan pandangan mereka, habis selembah umpat cerca dicurahkan. Pun wujud golongan yang mengangkat diri seakan faqih dan alim. Sewenangwenang menggunakan hadis dan petikan ayat al-Quran tanpa hujah dan rujukan yang sahih.

Ketika itulah insan yang diuji cukup merasakan beban tekanan yang dahsyat. Kalau perempuan, ada air mata pun cukup sebagai peneman. Kalau laki-laki, dibiarkan anak mata menikam jendela. Di luar terlalu bingit dengan pekikan manusia yang hanya tahu menyalahkan tetapi tidak pernah mencuba. Inikah kehidupan

Siapa lagi yang sudi mendengar dan benar-benar faham melainkan Dia Lalu kita tersentak, ketika kita tidak punyai siapa-siapa barulah kita mencari Dia. Tegar kita meletakkan Allah di sudut yang terpencil. Lihat bagaimana kita menghukum Tuhan Ruang kita pada-Nya hanya saat-saat kita buntu. Adakah Dia juga adalah pilihan yang tersisa

Maaf kalau sentuhan ini menyakitkan. Sebab diri ini juga adalah hamba yang sering kali tergelincir. Ketika saya mempersoalkan tentang sukarnya manusia merendahkan hati sesama manusia, bagaimana ketika saya sendiri menghadap Pencipta

Membuat refleksi atas segala hal yang menyakitkan adalah jalan yang menemukan kerasionalan manusia terhadap fungsi dirinya dicipta. Sebagai makhluk yang paling istimewa kerana dikurniakan akal untuk membezakan dirinya dengan makhluk yang lain. Agama terpikul oleh orang yang berakal. Sebab itu dengan menyedari diri seorang Islam, dia sedar bahawa Allah tidak pernah menyerahkan sesuatu perkara dengan tujuan yang sia-sia.

Tenanglah ketika terlalu ramai manusia yang membuat pertikaian. Mereka tak memberi ruang, kita cari sendiri ruang itu. Pisahkan diri daripada anasiranasir yang mengganggu tenteram. Kelompok yang lebih gemar menghukum daripada memberi ruang hanyalah terdiri daripada mereka yang tidak pernah mencuba atau merasai jalan yang serupa. Mereka itu orang-orang yang kalah dengan kemanisan dunia. Yang tahu payah perit mencapai matlamat, tentu tahu menghormati bahagian ujian orang lain.

The first duty of love is to hear. Tanggungjawab utama dalam mencintai adalah mendengar. Kalau sayangkan persaudaraan sesama Islam, berilah ruang kepada mereka yang diuji. Jangan terus menghukum. Lihatlah hakikat bahawa kita juga adalah khalifah Allah di muka bumi yang tidak akan terlepas daripada timbangan di akhirat. Ketika mahu menyalahkan, imbas semula khilaf kita kepada insan lain. Secara sengaja atau yang tersembunyi.

Manusia diciptakan dua telinga, satu mulut. Biar lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Tetapi betapa payah untuk melentur masyarakat kini. Teknologi telah mencengkam dunia tarbiah sehingga berbuat kejahatan itu menjadi sesuatu yang bersahaja. Seronok dengan komuniti yang gemar percaya tanpa menyiasat terlebih dahulu. Terabai satu hadis Nabi

Muhammad s.a.w yang berpesan,

Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain.

(HR al-Baihaqi)

Seorang yang arif (berpengetahuan yang mendalam) tidak akan ada unsur yang boleh mencemar kejernihan hatinya sama ada fitnah, celaan, cemuhan atau pujian. Abu Turab al-Nakhsyabi pernah ditanya tentang sifat-sifat arif. Jawab beliau, Arif ialah seseorang yang tidak pernah dikeruhkan oleh sesuatu pun, sebaliknya segala sesuatu menjadi jernih kerana dirinya.