TRAVELOG FAGHUZI - 11
Bandung, Indonesia

Ones destination is never a place, but a new way of seeing things.

- Henry Miller

Kami bangun seawal jam 6 pagi. Tak mahu terlepas keretapi yang bertolak jam 7. Ketika keluar dari hostel tersebut setelah menyelesaikan segala urusan, kelihatan langit tidak segelap seperti yang dijangkakan. Sekali lagi teringat bahawa jam 6 pagi di sini bersamaan dengan 7 pagi Malaysia. Suasana yang sama. Kami pun menyusuri jalan pintas yang diberitahu oleh Mas Johnny semalam. Jalan pintas ini menembusi laluan bawah tanah ke pintu stesen bahagian selatan.

Sepanjang perjalanan selepas terowong itu kelihatan seni-seni jalanan grafiti terpampang dengan membawa mesej kepada masyarakat. Antara beberapa mesej yang disampaikan adalah Tetap Kuat Melawan Korupsi dengan grafiti bergambarkan politikus memeluk sejumlah wang yang banyak sambil matanya dibutakan dengan tulisan koruptor. Adakah ini seni Suatu karya seni itu perlu menyampaikan mesej kepada masyarakat dan juga kepada diri sendiri. Seni grafiti seringkali dianggap vandalisme. Namun adakalanya apa yang terpamer di pameran seni hanya longgokan seni menjilat bontot. Seni di jalanan yang mempunyai mesej keras diperlekehkan oleh pihak berkuasa. Mungkin terasa dengan

Tulisan Jalanan

mesej seni-seni jalanan menyebabkan mereka mengadakan propaganda bahawa grafiti adalah satu bentuk vandalisme. Di mana-mana tempat, kebanyakan pihak berkuasa sangat takut kepada kuasa di dalam sesuatu karya seni. Seni diangkat sebagai senjata di dalam susur galur sejarah tamadun manusia. Di serata tempat seluruh dunia, karya seni merupakan medium dalam menyampaikan sesuatu mesej. Ia menggambarkan apa yang terjadi di kalangan masyarakat pada waktu itu. Setelah melihat karya seni grafiti di jalanan, kami tiba di pintu Stesen Bandung. Indomaret disinggah untuk membeli beberapa bekalan makanan ringan, minuman dan rokok. Aku kena jamah sedikit makanan dan minuman sebelum merokok. Aku bukan jenis perokok yang bila bangun tidur je terus hisap rokok. Aku jenis kena isi perut dulu dan ada minuman kopi atau Nescafe untuk hisap rokok pertama pada hari itu. Maka aku membeli air Nescafe tin. Aku buka tin dan mula bakar sebatang rokok. Masih ada 15 minit lagi sebelum keretapi bertolak. Kelihatan ramai orang berpusupusu di terminal. Semuanya sibuk mengejar keretapi. Ramai rakyat tempatan sudah mula bercuti panjang barangkali. Ada yang bawa beg berduyun-duyun banyaknya macam pindah rumah. Ada yang rilek bawa beg galas kecil sambil bersiul mengikut irama lagu yang kedengaran di earphone.

Puas merokok, aku dan Haeri memasuki gerabak keretapi mencari tempat duduk kami. Tiket ditunjuk kepada pramugari keretapi yang berada di pintu masuk bagi memeriksa tiket penumpang. Cantik. Memang cewek-cewek Bandung cantik. Ketika di Bandung juga kelihatan ramai cewek-cewek melirik mata ke arah Haeri setiap kali dia melalui melepasi mereka. Haeri ni mukanya jambu malah muka kebudakbudakannya menyerlahkan kecomelan dan kejambuannya. Cemburu juga aku namun aku terima seadanya diri ini. Haha! Papan punggung dilabuhkan di tempat duduk masingmasing. Tempat duduk kami paling hadapan di gerabak 7. Backpack kami letak di lantai saja kerana malas nak angkat letak di ruangan beg. Di hadapan kami ada televisyen tapi dah rosak. Keretapi pun mula bertolak. Perjalanan yang bakal ditempuhi adalah selama 8 jam. Gila lama. Tak boleh merokok pula tu dalam train. Aku menyandarkan kepala manakala Haeri mengeluarkan senaskah buku bertajuk What Your Teacher Didnt Tell You karya Farish A. Noor. Tingkap di tepi aku pula kelihatan kesan rekahan retak. Mungkin kerana budak-budak nakal yang baling objek keras ketika keretapi melalui sesuatu kawasan. Walaupun retak, aku masih mampu melihat pemandangan luar di sebalik garisan-garisan rekahan. Aku cuba melihat kecantikan di sebalik garis rekahan yang buruk.

Sepanjang perjalanan kami tergamam melihat keindahan alam. Dunia terbentang luas ciptaan Tuhan ini ternyata cantik untuk dinikmati. Perjalanan kami melewati lereng-lereng bukit dan gunung. Adakala ia menerbitkan sedikit perasaan gayat sekiranya keretapi ini terjatuh ke lereng tapi ia tidak berlaku. Pemandangan padi bukit yang indah juga menjadi santapan mata. Diselangi dengan pemandangan tanah yang luas serta gunung-ganang di sekeliling. Dari rekahan cermin juga kelihatan sebuah air terjun serta sungai di bawah kami. Sungguh mempesonakan. Perjalanan kami keluar dari kabupaten Bandung dihiasi dengan alam yang menghijau diterangi dengan sinar matahari. Langit kebiruan yang menjadi siling bumi menyerlahkan kebesaran Sang Pencipta. Haeri dan aku mengambil beberapa foto di balik rekahan tingkap. Ada ternampak budak-budak berbogel berkejaran ketika melalui satu perkampungan.

Di sebelah kami kedengaran seorang anak kecil sedang menyoal beberapa perkara kepada ibunya. Mungkin rasa teruja ditambah dengan perasaan ingin tahu budak kecil membuatkannya tak berhenti bertanya. Sang ibu melayankan saja kerenah anak kecilnya. Kasih ibu tidak pernah penat melayan kerenah anaknya. Kasih ibu juga membuatkan mereka tetap menyayangi walau seteruk mana anaknya. Tiba-tiba teringat pula kepada emak di rumah. Sihatkah dia dan juga mereka yang lain