ASKAR BERJALAN KAKI - 11
Setelah pertukaran aku ke sekateriat Tentera Darat di batalkan prestasi kerja aku terus merosot dengan teruknya. Ini adalah kerana pembatalan tersebut dibuat kerana pasukan tidak memberi pelepasan di atas alasan pegawai diperlukan untuk perbarisan perarakan panji-panji sempena lawatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD.

Aku tidak kisah terhadap pembatalan tersebut, tetapi tidak ada usaha untuk merancang perjalanan kerjaya aku. Tenaga aku diperah tetapi masa depan aku tidak diuruskan dengan sempurna.

Sehinggalah pada suatu hari aku dipanggil oleh penolong pegawai memerintah bahawa aku ditukarkan ke Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). Apa tu. Akupun pelik kerana tidak pernah dengar nama itu. Aku tak kisah asalkan dapat keluar dari pasukan ini kerana dah terlalu lama dan telah terlalu padat aktiviti dengan pasukan pertama aku ini.

Biarlah aku mencuba sesuatu yang baru. Aku juga memerlukan sokongan moral. Akhirnya aku melapor di pasukan baru. Kami berkongsi satu blok bangunan empat bilik dengan semua elemen perintis yang telah melapor diri iaitu 16 orang pertama memulakan tugas untuk pelancaran pasukan baru itu.

Pada peringkat awal aku menjawat 5 jawatan iaitu sebagai pegawai tadbir, pegawai keselamatan, pegawai kenderaan, pegawai semboyan dan pegawai Jurutera Letrik dan Jentera. Aku tak kisah buat kerja orang asalkan aku di beri kepercayaan untuk melaksanakan tugas tersebut.

Pendekkan cerita , kami ada lebih kurang sebulan setengah sahaja untuk membuat persiapan pelancaran penubuhan pasukan baru itu. Aku sendiri tak cukup tangan membuat kerja aku serta membantu kerja orang lain. Aku dah tak berkira, asalkan semua kerja-kerja persiapan boleh di bereskan.

Beberapa kali mesyuarat penting dengan Tim Projek PUTD yang bertanggungjawap kepada pasukan baru itu telah di buat. Tim tersebut bertempat di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH ) Kuala Lumpur.

Aku dapat lihat beberapa karektor yang cuba mencari nama di atas kerja orang lain serta cuba menjatuhkan kita agar tidak menyerlah sangat. Tapi bukan nama yang aku cari. Berapa banyak kerja-kerja penting yang aku lakukan dan meletakkan nama mereka supaya ego mereka tidak tercabar.

Tapi orang tetap akan tahu terutama sekali apabila mereka merujuk sesuatu perkara itu. Aku terpaksa mengambil alih tugas kerana mereka tidak tahu hujung pangkal.

Hubungan aku dengan pasukan-pasukan di dalam kem serta agensi awam menjadi bertambah baik kerana kami berurusan untuk menjayakan majlis pelancaran penubuhan pasukan tersebut. Memandangkan masa sudah suntuk dan keperluan tahap pencapaian yang tinggi menyebabkan aku cuba melakukan yang terbaik. Keadaan memang sungguh mencabar.

Aku kata mencabar bukan sahaja kerana tugas tetapi kerana karenah pegawai-pegawai dari cawangan tertentu yang di tumpangkan dengan kami. Ramai juga yang hanya memeluk tubuh dan hanya menunggu aku gagal dalam tugas-tugas yang di berikan.

Tarikh 11 mac 1995 adalah hari penting bagi PUTD, pada hari itulah pasukan ini di tubuhkan dan ia adalah serentak dengan sambutan hari Tentera Darat. Sambutan hari ulang tahun Tentera Darat yang selalunya di adakan pada 1 Mac setiap tahun telah di tangguhkan kerana tarikh tersebut jatuh serentak dengan Hari Raya Aidilfitri

Jadi upacara pelancaran dimulakan agak lambat. Jam 11 pagi, tentulah panas dan membakar kulit-kulit kulit. Tapi tidak mengapa semerah sehitam.!

Majlis pelancaran telah di sempurnakan oleh Dato Sri Najib bin Tun Razak, Menteri Pertahanan Malaysia. Majlis gilang gemilang itu telah menyaksikan juga pengisytiharan lambang pasukan kami iaitu No 881 Skuadron Alloutte Pasukan Udara Tentera Darat.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan pasukan tersebut beroperasi dengan baik. Dua tahun pertama elemen yang paling penting adalah elemen tadbir yang membuat persiapan serta segala aspek dokumentasi dan pentadbiran sebelum diberi taraf operasi.

Aku bangga kerana telah memainkan peranan penting bagi menjayakan sebuah pasukan baru dan sangat muda. Apa yang penting adalah ketelusan serta kesunguhan warga pasukan untuk meletakkan PUTD pada tahap yang tinggi dan mempastikan segala gejala buruk atau elemen-elemen yang boleh menjejaskan kredabiliti pasukan di hindarkan sebaik mungkin.

Hubungan akrap sesama anggota amat penting kerana tidak ada seorang pun yang terpenting. Sebaliknya semua orang adalah sangat penting dan sama penting. Rasa ego serta terlalu bermegah dengan kelebihan yang ada akan menjadi duri dalam daging, dan ia amat merbahaya.

Kita sangka burung di sangkar menyanyi, tapi sebenarnya mereka menangis

Aku doakan agar PUTD akan terus cemerlng dan menjadi sebuah pasukan yang unggul serta mampu menjalankan tugasnya di masa aman dan perang. Amin