AURA KEJIRANAN - 11
Hidup ini indah jika mempunyai garis panduan dan hala tuju...Namun, Kehidupan ini hanyalah sekali, sekali bererti satu, dan Satu ialah ESA, hanya Keredaan Allah yang di cari.

Jagalah diri mu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi manusia yang paling abid mempunyai sifat kehambaan), dan terimalah dengan penuh kerelaan akan pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan menjadi manusia yang paling kaya, dan berbudilah kepada jiran anda, nescaya anda akan menjadi mukmin yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang Muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa itu akan

mematikan hati. (Riwayat Imam Ahmad).

Hadis ini mengandungi beberapa garis panduan akhlak Muslim yang kita perlu hayati dan laksanakan dalam kehidupan supaya dapat satu bentuk kehidupan luhur, penuh kedamaian dan kesejahteraan.

1. Menjauhi Perkara-perkara yang diharamkan

Untuk mencapai darjat para muttaqin, siddiqin, abidin dan solihin, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari terjerumus ke dalam maksiat dan haram seperti makanan, minuman, perbuatan, tutur kata, pendengaran, penglihatan dan tindakan. Usaha untuk menghindari perkara-perkara ini amat rumit kerana ia biasanya begitu hebat mempesonakan keinginan dan kecenderungan hati.

2. Relakan pengurniaan dari Allah

Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang Muslim itu haruslah membentuk sifat-sifat qanaah (bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah) sifat tidak tamak dan haloba dalam memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta bersyukur maka ia merasa dirinya selaku orang yang paling kaya di dunia.

3. Hubungan baik dengan jiran

Untuk mencapai ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga yang lain.

4. Cintakan orang lain

Islam adalah agama kasih sayang dan kedamaian diri dari kekusutan hidup. Oleh itu, setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang lain sama seperti perasaan kasih terhadap diri sendiri. Apa yang tidak disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku pada orang lain.

5. Jangan banyak ketawa

Ketawa pernah disifatkan sebagai ubat jiwa. Akan tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan banyak ketawa. Barang siapa banyak ketawa di dunia dia akan menangis di akhirat dan barang siapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat.

Abu Hurairah menyatakan Rasulullah bersabda orang yang naik kenderaan hendaklah memberi salam kepada yang berjalan, orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada yang

duduk kelompok yang sedikit memberi salam kepada kelompok yang banyak. Hadis riwayat Muslim