PERISTIWA DI PADANG KARBALA - 11
DISEBABKAN terlalu banyak peperangan maka banyak panglima Baginda Yazid telah tewas, terpaksalah juga Raja Yazid sendiri keluar untuk mengetuai bala tenteranya.

Apabila hari siang Baginda Yazid pun menyuruh orangnya memukul gendang perang. Keluarlah Baginda Yazid melawan Muhammad Hanafiah. Baginda telah bersedia dengan tentera yang mahir untuk menangkap Muhammad Hanafiah.

Setengah dari askar Baginda Yazid menyediakan jaring untuk mengepung Muhammad Hanafiah. Pada saat yang baik selepas mengepung Muhammad Hanafiah, Baginda Yazid terus memerintah askarnya mencampakkan jaring itu kepada baginda. Tertangkaplah Muhammad Hanafiah.

Berita Muhammad Hanafiah tertangkap tersebar dengan cepatnya. Baginda Umar Ali berasa dukacita. Dia segera memanggil saudara-saudaranya untuk bermesyuarat. Baginda Yazid begitu gembira, kerana musuhnya yang selama ini begitu ditakutinya telah dapat ditangkap. Baginda menjamu seluruh askar yang menangkap musuhnya itu. Dikhabarkannya juga berita itu kepada keluarga Rasulullah yang berada dalam penjara. Mendengar berita itu, mereka menangis.

Muhammad Hanafiah telah ditangkap dibawa ke balai penghadapan untuk dijatuhkan hukuman.

Hai, Muhammad Hanafiah, di manakah nyawa askar beta yang kamu bunuh selama ini tersimpan, agar dapat beta melihatnya betapa ramainya yang telah kamu bunuh

Dengan senyuman Baginda Muhammad Hanafiah menjawab, Di mana pula aku mencari nyawa yang telah lenyap itu sebagai menggantikan nyawa saudaraku Hasan dan Husin

Sekiranya kau dapat menggantikan nyawa saudaraku Hasan dan Husin pasti aku menggantikan nyawa askarmu itu. Aku menanti sudah lebih kurang tiga puluh tahun untuk ini. Belum pernah aku melihat wajahmu. Baru sekarang aku dapat menatap wajahmu yang buruk itu.

Apabila didengar oleh Baginda Yazid akan penghinaan itu dengan segera marahlah dia kerana Baginda Muhammad Hanafiah mengatakan di depan raja-raja yang di bawah takluknya serta orang besar-besarnya.

Cis, Muhammad Hanafiah! Anak Ali yang tak tahu untung. Kau akan merasai seksaannya kerana menghina aku.

Menteri beta, segera himpunkan askar kita dan suruh mereka kumpulkan kayu api kerana beta ingin melihat musuh beta dipanggang hidup-hidup.

Tapi jangan lupa awasilah sekeliling kerana pasti saudaranya yang Iain akan menyerang bagi membebaskan saudara tuanya. Kerjakan secepat mungkin kerana beta dah tak sabar lagi untuk melihatnya.

Dengan segera Marwan keluar menjalankan perintah Baginda Yazid. Dikumpulkan kayu-kayu untuk membakar Muhammad Hanafiah.

Tuanku, semuanya telah siap. Acara pembakaran itu akan diadakan di Bukit Lin. Patik telah siapkan pasukan kawalan untuk menjaganya kerana kawasan itu terlalu baik sekali, kata Menteri Marwan.

Oh, bagus menteri, segera bawakan tawanan untuk disalai di sana Baiklah tuanku, hamba akan jalankan dengan segera.

Tapi menteri! Jangan lupa sediakan pasukan kawalan yang cukup rapi untuk mengawalnya kerana beta berasa saudaranya pasti akan mencuba sedaya upaya untuk melepaskan tawanan ini.

Itu pun telah patik sediakan, tuanku.

Askar-askar Muhammad Hanafiah berdukacita kerana tertawannya ketua mereka. Ali Akhbar terus memanggil saudaranya untuk menjalankan tipu muslihat bagi membebaskan saudaranya Muhammad Hanafiah.

Begini saudaraku semua, mengikut laporan dari perisik kita, saudara kita akan disalai hidup-hidup di atas Bukit Lin.

Raja Umar Ali pun terus berkata kepada saudaranya, Kiranya saudara melihat asap api di balik Bukit Lin itu, segeralah kita menggempurnya. Kerana kita seharusnya mengepungnya terlebih dulu pasukan kawalan itu.

Setelah bersetuju semuanya segeralah mereka berjalan ke Bukit Lin. Perjalanan ke tempat itu terlalu sukar. Hanya Raja Ibrahim Astar yang tahu jalan ke situ. Dengan segera Raja Umar Ali memerintahkan menterinya agar melantik saudaranya Ibrahim Astar sebagai penghulu jalan.

Semuanya siap untuk membuat kepungan. Apabila sampai sahaja Raja Umar Ali di atas bukit itu dilihatnya ada panji-panji sedang berkibar-kibar. Ditanya oleh baginda kepada menterinya, Siapakah yang punya panji-panji itu wahai menteri beta

Mengikut laporan dari perisik kita panji-panji itu dipunyai oleh Raja Yazid, tuanku.

Baginda Umar Ali pun berdoa memohon syafaat. Dengan segera diperintahkan askarnya memukul gendang perang. Baginda Yazid yang berada di bukit itu terus memerintahkan askarnya menjalankan tugas.

Panglima, segera campakkan musuh beta itu ke dalam api yang sedang marak itu. Cepat, musuh telah menyerang, kata baginda.

Baginda Yazid melihat askarnya terkepung. Dengan segera baginda memerintahkan panglimanya yang bernama Dalmal Zanggi menahan serangan Raja Umar Ali.

Panglima Dalmal Zangj, segera kamu tahan serangan itu. Sekiranya kamu berjaya menahan serangan ini, beta akan hadiahkan sebuah negeri untuk kamu memerintahkannya.

Baginda Yazid terus menaiki gajahnya dan berundur lari ke dalam kota. Manakala Dalmal Zanggi pula terus melawan serangan lawannya.

Talib Ali melihat Dalmal Zanggi. Dia segera menyerbu untuk menentang pahlawan itu. Dalam keadaan kelam-kabut itu sempat panglima Dalmal Zanggi memarang kaki kuda Talib Ali. Talib Ali segera pula menyambar kaki dan pinggang panglima itu lalu dihempasnya ke tanah. Matilah Dalmal Zanggi dengan serta-merta. Baginda Yazid yang melihat pertarungan itu berasa takut. Baginda terus memerintahkan menterinya memalu gendang berhenti berperang.

Menteri beta segera tutupkan pintu kota Damsyik, titah baginda.

Apabila dilihat oleh Ali Akhbar menteri Marwan hendak menutup Pintu kota dengan segera dilanggarnya Pintu itu hingga roboh. Masuklah baginda ke dalam kota Damsyik bersama-sama dengan askarnya.

Banyak askar yang dibunuh oleh Ali Akhbar. Panglima-panglima Baginda Yazid pun bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Melihat keadaan ini Baginda Yazid segera menyembunyikan diri tanpa pengetahuan sesiapa. Manakala askar yang diperintahkan oleh Baginda Yazid mengumpulkan kayu api telah bertempiaran lari melihatkan begitu ramai askar yang bersenjata menuju kepadanya.

Ali Akhbar yang telah menyerang setiap penjuru telah dapat menemui saudara Muhammad Hanafiah yang terikat di palang pintu penyalai. Dengan segera Ali Akhbar membuang tali pengikat di tubuh baginda.

Kanda, maafkanlah adinda kerana terlewat menyelamatkan kanda, kata Ali Akhbar.

Baginda Muhammad Hanafiah hanya tersenyum sambil menepuk-nepuk belakang Ali Akhbar.

Tidak saudaraku, adinda masih tidak terlewat lagi. Sekarang yang perlu kita lakukan ialah mencari Raja Yazid celaka itu. Beta serahkan tugas ini kepada saudara-saudara semua, kata Muhammad Hanafiah.

Mereka mencarinya di segenap penjuru kota tetapi tidak juga berjumpa. Dengan takdir Allah keluarlah satu cahaya dan turun dari langit lalu menyuluh ke puncak mahligai.

Tuanku, ada satu sinar cahaya menyuluh ke puncak mahligai sana, kata salah seorang askar.

Cahaya! Cahaya menyuluh pada puncak mahligai! teriak askar-askar.

Baginda Muhammad Hanafiah mendongak ke puncak mahligai itu.