KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 11
Kini, sudah tiba masanya kamu perlu buka minda terhadap cinta. Kamu perlu buka minda kepada cinta yang kamu dambakan. Mungkin selama ini kamu takut dengan cinta, sudah masanya kamu mengubah persepsi terhadapnya.

Bersikap terbuka ini bukanlah bermakna kamu perlu melakukan apa sahaja demi mendapatkan cinta seorang lelaki. Sebenarnya, ia lebih kepada apa yang kamu fikirkan mengenai cinta. Berfikir secara positif membuatkan kamu semakin mudah didekati oleh cinta.

Jika kamu sentiasa berfikir negatif terhadap cinta, pastinya kamu sudah membina tembok pemisah antara kamu dan cinta. Maka, sukarlah cinta mahu mendekatimu. Bukankah kamu mahu cinta mudah datang dan dapat kamu kecapi Dengan berfikir negatif, ia tidak akan membantumu.

Terbukalah dengan apa sahaja berkaitan cinta. Kerana kita tidak mungkin tahu apakah cinta yang datang itu merupakan jodoh kita.

Tahukah kamu, salah satu punca yang melambatkan kamu menerima cinta seorang lelaki adalah kerana kamu menolaknya secara tidak sengaja. Kamu tidak perasan akan hal ini kerana ia berada dalam dirimu tanpa disedari.

Wahai gadis, usahlah kamu takut untuk menerima cinta. Usahlah kamu mengatakan yang cinta itu adalah perkara jahat dan perlu dijauhi.

Apa yang boleh kamu lakukan kini adalah meruntuhkan sebarang pemikiran negatif tentang cinta yang wujud dalam diri. Mulai kini, kamu perlu menjadi magnet yang menarik cinta mendekatimu. Kamu perlu sentiasa tanamkan dalam minda, kamu adalah seorang gadis yang baik, kamu adalah kesukaan ramai insan dan kamu juga seorang yang terbuka terhadap perhubungan.

Dalam memastikan konsep keterbukaan ini berjalan dengan cara yang betul, kamu perlu tahu apa batasan yang kamu perlu ada dalam sesuatu hubungan. Kamu tidak boleh sewenang-wenangnya memberi peluang kepada mana-mana lelaki membawa kamu keluar tanpa adanya teman dalam kalangan mahram kamu sendiri.

Keterbukaan bukanlah satu kaedah yang jahat. Ia juga tidak membawa kamu ke arah yang tidak elok. Ia membolehkan kamu menerima sesuatu hubungan. Tanpa hubungan, sukar kamu mahu mendapatkan si dia yang kamu idamkan selama ini.

Lelaki suka jika orang yang dia mahukan itu tidak terlalu jual mahal. Tetapi tidak juga terlalu murah. Konsep keterbukaan ini bukan mahukan kamu menjaja diri kamu pada lelaki. Ia lebih kepada merapatkan hubungan kamu dan si dia. Bertimbang rasalah dalam mengamalkan konsep keterbukaan ini. Peliharalah diri kamu sebaik-baiknya.