Para pelajar di Sekolah Menengah Alam Shah sering kali terdengar bersungut dan merungutrungut mengenai berbagai-bagai perkara yang dibisik-bisikkan oleh mereka. Dulu sekolah itu telah mencapai kejayaan-kejayaan yang gilang-gemilang, terkenal sebagai sekolah menegah yang terbaik dalam Malaysia.
Rintihan-rintihan yang telah didengar daripada seorang JP dari PJ dan Muttu, bekas mandur Bengkel Pusat KTM, menggambarkan beberapa hal yang tidak baik dari hal masyarakat dalam Malaysia yang sudah merdeka selama 26 tahun. Entah mengapa jalan ke arah Hospital Lady Templer, Sekolah Menengah Sains Selangor dan Maktab Perguruan Ilmu Khas itu dinamakan Jalan Tenteram.
Dengan perlahan-lahan LLB yang telah bertugas dalam kawasan yang kurang tenteram itu telah meninggalkan kawasan itu, balik ke taman kecil dekat Restoran Rakyat untuk melaporkan kerja-kerja yang mereka telah buat di sekitar Jalan Tenteram itu kepada ketua mereka, Profesor Doktor Mentadak Mentadu yang beribu pejabat di situ.
Menerusi sistem HCJJ - Hubungan Cakap Jarak Jauh saya sudah mendengar satu temu bual yang telah dirakamkan oleh LLB G dan H di antara seorang wartawan wanita dengan seorang editor bagi satu majalah bulanan yang akan diterbitkan dalam ibu negara kita. Nama majalah bulanan baru itu ialah Imakara. Apa makna dan maksud Imakara itu anda akan mengetahuinya, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu.
Oh, kawan kami G dan H sudah sampai ke Genting Highlands, tuan profesor bertanya LLB E.
Ya, mereka berdua sudah selamat ke sana. Dengan merentang tali-talian hikmat angkabut pada satu jendela di sebuah hotel di sana maka kawan kamu, G dan H telah dapat merakamkan satu perbualan antara editor Imakara dengan seorang wartawan muda, wartawan wanita yang jelita. Kamu mahu dengarkah temu bual itu Sambil kita berehat beberapa hari di sini saya fikir elok sangat anda mendengarnya kerana daripada perbualan it kita akan mengetahui serba sedikit daripada hal masyarakat kaum bumiputera pada masa-masa yang akan datang. Sebelum itu sukalah saya memberitahu bahawa ada sejenis racun pembunuh rumput-rumpai, paraquat namanya, yang akan membunuh ramai manusia dalam negeri ini. Semakin ramai manusia terbunuh oleh racunracun yang mereka ciptakan maka semakin baiklah nasib akan datang bagi kita kaum serangga, Profesor Doktor Mentadak Mentadu menerangkan.
Kaum manusia, nampaknya, semakin rancak bunuh-membunuh di antara saya dengan lain, tuan profesor. Saya rasa nasib kaum serangga bagi masa hadapan adalah bertambah baik, kata LLB D.
Ya, itu memang betul. Baru-baru ini 200 orang telah terbunuh akibat sebuah kapal terbang Korea Selatan telah ditembak jatuh oleh jet-jet pejuang Soviet Union. Tak lama lepas itu sebuah lagi kapal terbang telah jatuh di Negeri China. Berpuluh orang lagi telah mati. Kamu tahu bahawa ada pembunuhan juga di Hong Kong, bukan Dan di Filipina seorang tokoh politik, Aquino namanya telah dibunuh mati. Di Pakistan dan di Afghanistan semakin ramai manusia yang bunuh-membunuh. Demikian juga di Lebanon dan di negara Islam yang lain. Itu peperangan di antara Iraq dan Iran entah bila akan selesai pun kita tidak tahu. Memangnya masa depan bagi kaum serangga semakin bertambah baik. Sekarang marilah kita dengar rakaman yang pertama daripada Genting Highlands. Siap. . .
WARTAWAN: Saya dengar khabar tuan editor akan menerbitkan sebuah majalah bulanan yang baru. Bolehkah tuan beritahu saya apa namanya majalah itu dan apa pula tujuan-tujuannya
TUAN EDITOR: Namanya ialah Imakara dan antara objektif-objektifnya ialah hendak mengeratkan hubungan-hubungan kerjasama antara Malaysia dengan Jepun, sesuai dengan dasar Pandang ke Timur. Dan kerana itulah majalah bulanan yang akan saya terbitkan itu akan memakai nama Imakara.
WARTAWAN: Itu bahasa Jepun, ya tuan Apakah ertinya
EDITOR: Imakara ertinya dari sini atau dari sekarang Misalnya dalam cakap Jepun: Imakara doko ni ikimasyoka ertinya, dari sini atau dari sekarang hendak ke mana
WARTAWAN: Nama majalah yang tuan nak terbitkan itu bunyinya cukup sedap, tuan, dan objektifnya pun baik, tetapi bahasa yang akan digunakan keseluruhannya bagaimana, tuan
EDITOR: Saya bercadang hendak menggunakan bahasa mix-mix atau bahasa campur-campur. Pada pendapat saya untuk mengeratkan dan mencepatkan perpaduan dan sefahaman sekalian rakyat Malaysia maka Bahasa Malaysia perlulah dijadikan bahasa cmpur-campur dengan macam-macam bahasa, istimewa bahasa Inggeris, sebab kaum intelek kita dari berbagai-bagai kaum nampaknya lebih suka kepada bahasa mix-mix. Di Filipina, misalnya, kini sudah ada Taglish yakni bahasa Tagalog campur English.
WARTAWAN: Tetapi ternyata bahasa Taglish tidak berjaya menyatu padukan bangsa Filipina. Negara itu kini mengalami kekusutan politik, lebih-lebih lagi semenjak pemimpin agung puak pembangkang telah terbunuh ataupun dibunuh baru-baru ini. Tuan tentu sudah tahu daripada kematian Aquino baru-baru ini. Negara jiran kita itu nampaknya tidak stabil, tidak kukuh perpaduannya, dan mungkin keadaan yang sama akan berlaku dalam tanah air kita ini jikalau Bahasa Malaysia kelak dijadikan Bahasa Malish, yakni Melayu campur English.
EDITOR: Belum try, belum tahu. Kita mesti cuba dulu. Sekarang pun kita sudah memakai banyak kata asing dalam percakapan rakyat kita sehari-hari. Misalnya tauge, taucu, pau, yong-tau-fu, menu, lif, tiket, platform, metafora, simili, aksi, aktor, aktres dan banyak lagi yang saya boleh sebutkan. Misalnya, hari ini saya ada terima sekeping cek Bank Negara yang memakai perkataan amaun bukannya jumlah. Saya fikir kita tidak dapat mengelak perkembangan Bahasa Malaysia menjadi bahasa mix-mix. Tandatandanya sudah ada banyak dalam akhbar-akhbar Malaysia, dalam siaran-siaran Radio dan Televisyen Malaysia.
WARTAWAN: Ada juga betulnya apa yang tuan katakan itu, sebab saya sendiri pernah mendengar pegawai-pegawai kerajaan kita bercakap kepada orang-orang kampung dalam bahasa mix-mix itu, tuan. Contohnya, pada suatu malam saya sendiri telah mendengar seorang pegawai pertanian bercakap kepada orang-orang kampung dengan berkata Objektif projek ini ialah hendak membanyakkan output kerana apabila output bertambah maka input pun akan ikut bertambah. Tetapi, saya terdengar orang ramai dalam dewan tempat diadakan dialog itu berbisik-bisik, malah mengejek pegawai itu kerana menyebut-nyebut bunyi orang terkentutkentut.
EDITOR: Itu apa boleh buat sebab orang-orang luar bandar masih ramai yang buta huruf. Tetapi mujurnya, generasi tua akan digantikan oleh generasi muda yang lebih berminat kepada perubahan dan kemajuan. Generasi muda akan faham dan meminati apa yang akan saya muatkan dalam bulanan Imakara kelak. Bahasa Malish, saya yakin akan lebih menarik generasi muda kepada membaca hal-hal yang serius, kepada sains dan teknologi.
WARTAWAN: Saya harap tuan akan berjaya. Tetapi setakat ini saya tahu majalah-majalah yang dikatakan moden yang menggunakan bahasa mixmix dan diselenggarakan oleh orang-orang intelek tidak boleh maju, tuan.
EDITOR: ltu saya tahu, tetapi majalah-majalah yang bersifat intelektual boleh hidup dengan iklaniklan rokok, kosmetik, fesyen-fesyen pakaian yang ultramodern. Belum try, belum tahu. Saya berharap akan dapat banyak iklan-iklan daripada firma-firma Jepun. Biarlah majalah Imakara tidak laku asalkan saya dapat memungut banyak wang daripada iklaniklan.
WARTAWAN: Jadinya tujuan tuan yang utama ialah hendak mengaut wang daripada iklan-iklan, sambil mengharap bahasa mix-mix atau Malish akan diterima oleh rakyat Malaysia yang intelektual dan tidak intelektual
EDITOR: Precisely, sebab pada pendapat saya Bahasa Malaysia tanpa mix-mix bahasa Inggeris tidak mampu emit atau memancarkan sifat-sifat keintelektualan. Jelasnya kita sudah nampak bahawa generasi baru dalam negara kita sekarang ialah muda-mudi yang memakai jean dan t-shirt, yang hisap rokok, yang makan burger, hotdog, suka pergi disko.
WARTAWAN: Dan juga ramai yang hisap dadah.
EDITOR: ltu bukan soal saya. Tujuan saya mahu cari wang seberapa banyak yang boleh, saya mahu beli rumah besar, mahu pakai kereta besar. Saya mahu hidup seronok. Apa akan jadi kepada bahasa dan kebudayaan bangsa Melayu bukan tanggungjawab saya...
Rakaman di bilik hotel di Genting Highlands itu sudah habis. Tetapi ada satu lagi rakaman di sebuah bilik yang Iain di sana, Profesor Doktor Mentadak Mentadu memberitahu.
Nampaknya kaum bumiputera kelaparan wang semuanya. Mereka tidak kira sangat apa akan jadi kepada negara, bangsa, agama dan kebudayaannya, kata LLB D.
Rakaman yang kedua ini pendek saja, Sekarang lah, kata lagi pemimpin agung kaum serangga itu.
Ini kerajaan Malaysia betul tidak patutlah, Saya ada banyak wang, tetapi tidak boleh masuk kasino; ada merinyu jaga, kata seorang Melayu.
Itu apa susah Datuk kasi wang pada saya, Berapa puluh ribu ada Saya boleh jadi ejen datuk, saya boleh tikam, main apa Black Jack atau roulet Kalau menang saya boleh dapat komisen daripada datuk, dan kalau datuk suka nanti datuk boleh tikam saya. Kita sudah kawan lama, bukan kata suara seorang nyonya.
Hanya sebanyak itu saja yang kita boleh dengar, Tetapi saya percaya LLB G dan H akan dapat membuat beberapa rakaman lagi, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu.
Tetapi datuk Melayu yang banyak wang itu apa namanya, tuan profesor, tanya LLB E.
Namanya tidak ada tersebut. Kita panggil saja Datuk Dongok, dan nyonya itu pun tidak disebutkan namanya, Tetapi yang mungkin terjadi ialah Datuk Dongok akan kehilangan atau kalah main judi beribu-ribu ringgit. Saya sudah perintahkan LLB G dan H supaya terus bertugas di sana beberapa minggu lagi. Sudah ternyata bahawa masa depan kaum serangga semakin cerah. Kita mesti bekerja keras. Cari kelemahan-kelemahan manusia. Nampaknya itu benah merah atau ulat bom yang makan padi di Kedah dan lain-lain belum ada ubatnya lagi. Mereka akan membuat macam-macam racun lagi yang pada akhirnya akan memusnahkan manusia sendiri.