Memang hujan belum turun-turun lagi di kota kita ini. Barangkali menanti kepulanganmu. Ayuh, Ali, marilah sama-sama berjuang demi pembaharuan negara bangsa kita.
Untuk apa lagi kau berada di negara orang, merantau membawa hati lara. Kadang-kadang aku enggan faham perangaimu ini, beginikah sikapnya seorang pejuang Aku sangkakan kau teman, punyai peribadi yang kuat, dan tidak mudah tewas oleh cinta sesama insan.
Barangkali kau sendiri sudah merasa kehangatan reformasi di sini. Aku dengar hangatnya tiba di Kuala Lumpur. Aku sebetulnya agak terkejut apabila kau mengutusiku. Memang engkau terlalu lama di Kuala Lumpur, kau cepat kerusuhan apabila dua tiga orang rakan mahasiswa kita hilang begitu sahaja di Medan dan Ujung Padang. Kau kukira bersikap tergesa-gesa dengan berangkat ke Malaysia. Namamu memang mekar dalam senarai pihak berkuasa, tetapi kekuatanmu nyata membeloti. Aku faham, selain tertekan dengan unsur luaran, kau juga patah hati apabila Sitiawati tidak memilihmu tetapi mengambil Budiman Basri sebagai suami. Argh, cerita ini cerita keremajaan Ali, alangkah baiknya kalau pemikiranmu sematang dulu. Kau bertindak terburu-buru. Merantau ke luar tidak mengembangkanmu!
Kautanyakan tentang Dr. Amien Rais, ya dia memang tokoh baru yang menonjol; tetapi kukira tidaklah terlalu segar sehingga tidak wajar dikenali. Dr. Amien aku lihat lebih berpihak kepada kepentingan bangsa Indonesia daripada bercakap soal reformasi. Dia meledak dengan isu suksesi nasional. Katanya, kerana pemerintah terlalu lama bertahan, maka yang ada kini ialah kebekuan politik, rakyat amat takut untuk berfikir dan melakukan perubahan. Apa yang salah sudah dikelirukan sehingga massa menyangkakan ia betul. Orangnya hangat mengkritik semua, korupsi, kolusi, nepotisme, manipulasi, dan kehancuran ekonomi- apa yang dikira menarik barangkali telahannya yang mengatakan kemerosotan nilai rupiah bakal membibitkan kebangkitan mahasiswa dan reformis; langsung menjatuhkan Suharto, menjadi kenyataan. Kau masih ingat peristiwa estet emas Busang di Kalimantan, bagaimana penguasaan saham diberi lebih 90% kepada orang asingtanya Amien tidakkah fasal 33 ayat 3 UUD 1945 ada tertulis bahawa bumi, air dan kekayaan alam yang terkandung di dalamnya milik negara dan manfaatnya untuk bangsa Indonesia, jadi mengapa boleh sampai teralir ke luar Akibatnya dia dipaksa berundur dari Dewan Pakar ICMI yang kau pun tahu dipelopori oleh presiden kita sekarang ini, - Pak B.J. Habibie.
Kalau dalam hal ekonomi, katanya, kita menuai badai ekonomi yang begini buruk kerana ulah satu dua oknum sahaja di tingkat tertinggi piramida kekuasaan, yang sudah tidak mahu melihat lagi kenyataan yang dialami rakyat. Inikah realiti yang kita ingini, Ali
Setakat ini sahaja, Ali. Kami menanti kepulanganmu, banyak perubahan yang memerlukan tenagamu untuk bersama-sana digemblengkan.
Sahabatmu, Hussein Sina.
Ali Sabda melipat helaian surat itu, tersenyum, dan menyedut keretek lebih dalam.
Lho senyum seorang diri, usik Affandi, teman sebiliknya.
Gue teringatkan kisah-kisah lama. Aduh, pejam celik sudah dekat sepuluh tahun gue mengungsi ke sini. Bermula jadi buruh saja sekarang gue menyambung belajar di Universiti Malaya ini.
Teringat siapa Gadis Yogjakarta itu ya
Ali Sabda senyum. Asap berkepul dari mulut, keluar dari hidung. Wajah Sitiwati yang sedikit tembam dan mata berair, bibir mongel berhidung mancung dengan bulat di atas mengkhayalkannya seketika.
Dia sudah jadi milik orang.
Udah gitu, untuk apa lu kenang Affandi terbaring di atas katil.
Affandi, gue rasakan masanya telah tiba
Hemm, masa untuk apa. Affandi perlahan-lahan terlelap.
Ali Sabda lebih tersenyum. Tangannya mencapai pena. Dia ingin menjawab surat Hussein Sina itu lekas-lekas.
Hussein Sina,
Bukanlah aku tidak mengenali langsung Dr. Amien Rais. Aku sudah agak lama mengekorinya, sejak dia belum begitu vokal. Aku sedari pandangannya, betapa masalah ekonomi suku-sakat dan masalah jurang kaya dan miskin ini bernatijah daripada fenomena antitauhid. Kerana kurang memahami apa itu tauhid Uluhiyyah (segala hidup mati untuk-Nya, sebagai ilah) dan tauhid Rububiyyah (kefahaman Allah sebagai Rab, sebagai penguasa, maka masyarakat kita semakin kacau. Aku ikuti juga pemikirannya, tentang kemasukan golongan ulama dan pemikir Islam ke dalam pemerintahan akan mengakibatkan dua perkara.
Pertama, menjadi semacam pengawas moral kepada kerajaan; tetapi yang kedua nampaknya lebih menjadi iaitu kemasukan mereka menjadikan pemerintahan yang bersifat autoritarian atau lahir pula pemerintahan yang lebih kejam dalam bentuk baru. Aku sedar, demokrasi padanya ialah perkakas untuk mencapai praktik etika keagamaan. Demokrasi kita amalkan untuk kembali kepada prinsip masyarakat bertauhid.
Aku akur dan bersetuju dengan kata-katanya: Indonesia negara yang pihak eksekutifnya sangat kuat, peran lembaga legislatif dan institusi pemerintahan lainnya akan menjadi sangat lemah, terutama dalam proses pengambilan keputusan. Aku bersetuju yang Dewan Perwakilan Rakyat tukang stempel semata, yang tugas utamanya ialah melegitimasi keputusan yang dibuat oleh eksekutif dan birokrat. Tukang angguk dan tukang sorak.
Akan tetapi, memilih Islam akan mengundang kemarahan kuasa besar, Hussein, jangan lupakan itu. Adakah Amien Rais tetap hati dan memikirkan hal itu Sekarang pun sudah ada yang mengaitkan konspirasi Zionist sedunia yang mengakibatkan kemelesetan ekonomi rantau Nusantara ini dan Asia secara umumnya. Atau mungkinkah tuduhan terhadap Yahudi itu sekadar ingin menutup kelemahan diri. Kerana pembohongan berulang kali nanti akan kelihatan benar!
Adapun Sitiwati, aku telah lama melupakan kekasih hati itu. Kadang-kadang aku akui, aku merinduinya; tetapi masa telah banyak merubah, derita merantau di negara orang juga mengajar aku. Hussein, kau tidak adil apabila menuduh aku cepat patah hati kerana wanita dan takut dengan tekanan. Sebetulnya aku mengalami perubahan yang menggelodak. Keluargaku dalam susah, aku terpaksa berkorban setelah ahliku diugut dan diancam secara halus. Aku tidak lari ke sini kerana membeloti perjuangan, malah aku berbangga dan dan mendukung dari jauh keazaman rakan-rakan mahasiswa yang tidak mahu berundur-undur itu; dan aku sesungguhnya seperti kalian, menyokong Amien hingga ke tangga presiden. Biarlah Jalan Cendhana menerima hukuman mengikut lunas undang-undang. Bukan mengikut hukuman emosi dan nafsu semata-mata. Begitulah tanggapanku. Adapun soal pulang, masa saja yang menentukan.
Sahabatmu Ali Sabda.
Kurang lebih seminggu utusan itu tiba mengetuk pintu pos kamar Hussein. Surat bersetem Malaysia itu cepat membuak rasa ingin tahunya. Dia meneliti khabar yang termuat dan tanpa lengah mencapai pena. Buku Saya Siapa Jadi Calon Presiden kumpulan tulisan, ucapan, dan wawancara Dr. Amien Rais yang sedang ditatap bubar seketika.
Ali Sabda,
Aku kira hujan belum mahu turun lagi di Jakarta ini. Cuaca masih panas berbahang dan cepat menepuk debu ke udara. Bagaimana di sana Aku kira lembap dan dingin.
Apa maksudmu dengan gangguan kuasa-kuasa besar Barat Aku ingin memetik kata-kata Amien Rais tatkala diwawancara untuk majalah Umat yang tidak kuingat bila tarikhnya. Kata Amien Rais: kita tak perlu gentar berhadapan dengan Amerika apabila kita punya politik, sosial, dan ekonomi yang sihat. Ibarat orang sihat, sekalipun diletakkan pada cuaca yang panas ataupun dingin, maka dia tetap sihat. Tapi kalau sakit, kena angin sedikit saja sudah terjungkal.
Yang penting, jangan gentar dengan gerakan kuasa super Amerika pada masa datang selama kita memang sihat dalam bidang-bidang itu. Tapi kalau sakit, jangankan melawan Amerika, melawan negara yang lemah pun kita tidak siap.
Masalah sama ada kejatuhan ekonomi kita angkara Barat atau tidak, nah sudah terjawab! Kalau badan kita sihat tidak mungkin kita akan mudah menerima penyakit.
Baguslah kalau ingin sekali mendukung usaha kami mengiring Amien ke tangga presiden. Kita sebagai bangsa Indonesia harus berasa gembira kerana sudah ada di tengah kita seorang lagi Ali Shariati, atau Malik Ben Nabi, intelek yang turun mengenal susah senang rakyat. Intelek yang bercampur dengan kekuasaan tertinggi hanyalah alat, atau mereka sendiri memang tidak pernah puas memenuhi perut sendiri.
Aku juga tertarik dengan Megawati Sukarnoputri, tetapi belum ada kejelasan yang dapat mendorong aku sampai mahu mendukungnya pula. Dia bagus, antara pencorak politik nasional, tetapi aku mahu lebih berhati-hati dengan orang sepertinya. Aku lebih suka memilih Amien Rais dengan gagasan tauhid. Tauhid ialah asas individu dan umat masyarakat, teguh tauhid teguhlah masyarakat. Memilih tauhid memilih keselamatan.
Pulanglah, Ali, keadaan sudah banyak berubah. Parti-parti politik mulai ditubuhkan. B.J. Habibie saban hari terus didesak melakukan pemulihan demokrasi yang benarbenar meyakinkan. Atau diminta turun terus. Penerbitanpenerbitan tidak lagi dibatasi berita-beritanya, golongan reformis sungguh kuat perkasa. Adik-beradikmu pun sudah berdaya maju sendiri. Adikmu Lili Yati antara pengunjung Rumah Muhamadiyah saban minggu. Aku rasa dia sendiri telah mengkhabarkan kepadamu.
Sitiwati telah melahirkan anak lelaki tepat jam 9:10 pagi 21 Mei 1998, saat Soeharto tunduk kepada kuasa kita orangorang kecil. Kami namakan dia anak reformasi dengan ikrar untuk merubah seluruh sistem, bukan sekadar menyingkir seorang tokoh. Kerana tokoh mesti pergi kalau sistem tidak terpukah sama, untuk apa darah yang memercik di jalanjalan raya dan pasar raya seluruh kota sebelum pagi 21 Mei itu
Tahu bapanya namakan anak itu apa
Nama bayi comel yang sihat itu Ali Sabda bin Budiman Basri.
Pulanglah Ali, aku dapat rasakan kepulanganmu akan disambut hujan yang lama tidak kunjung tiba
Pena Hussein gamam. Dakwat berhenti mengalir. Telinga bergerak kecil menyambut bunyi luar biasa itu. Di luar tiba-tiba titis hujan mengeras menimpa bumbung zink. Satu-satu menimpa sebelum berjuraian dambar menjadi kencang dengan deru angin yang berombak tidak tersangka. Hussein separuh tersentak. Dan air tiba-tiba mencurah hebat. Dia bergegas bangun, menuju ke jendela. Ingin menutup dedaun tingkap supaya tempias tidak membasahi dan melecak lantai kamar uzurnya; sebelum terpegun melihat tampang yang dikenalinya di luar; di seberang jalan. Susuk tubuh tegap besar, bermata besar dan dalam, bibir tebal dan dagu panjang berlekuk. Dia terlalu mengenali bentuk tubuh itu. Lelaki dengan beg galas sederhana.
Hussein berlari keluar dan dalam tangis hujan rahmat di Jakarta, dia mendakap sahabatnya, Ali Sabda.
Lu pulang juga sahabat! Esak airmata berbaur dengan timpaan hujan mengharukan. Ali Sabda memaut kuat bahu Hussein Sina.
Cengkaman itu makin erat dan hujan Jakarta makin lebat.