PANGGIL AKU MELAJU - 11
Betatar, demikian nama anak Pa Lawan dan Ratu Ines yang paling cemerlang di antara tiga orang puteranya. Betatar dan adik-adiknya, seperti Pa Lawan, dibesarkan sebagai pelaut dan pembina kapal. Mengenali laut, angin, ombak, langit, bintang, dan awan, seperti mereka mengenali diri mereka sendiri. Segala ilmu laut dan ilmu alam yang dimiliki bangsa Ma Lanyu itu diturunkan sepenuhnya kepada Betatar dan adik-adiknya. Malah, Betatar memperdalam pengamatannya yang terus memperkaya pengetahuannya.

Pengetahuan itu pada satu hari nanti akan diturunkan pula kepada keturunannya seperti yang telah diterimanya. Betatar dididik untuk menjadi pemimpin yang akan meneruskan impian Pa Lawan. Antara ketiga-tiga anaknya, Pa Lawan percaya Betatar mempunyai perwatakan yang mampu membawanya mencapai kegemilangan serantau dan menjadikan Betatar seorang yang terbilang. Pa Lawan sungguh yakin dengan kebolehan dan karisma Betatar.

Mitos meneroka Pulau di Bawah Bayu dilanjutkan Betatar kerana hutan di Pulau Palawan tidaklah luas. Berburu menjadi darah daging orang-orang Ma Lanyu. Tidak banyak binatang besar dan bertanduk dijumpai. Dalam mitos orang-orang Ma Lanyu, binatang-binatang besar dan bertanduk berhijrah ke selatan menuju ke Pulau di Bawah Bayu mencari sumber makanan yang lebih banyak sebab binatangbinatang kecil telah lebih dulu meninggalkan daerah salji tanpa kehijauan beribu-ribu tahun lamanya. Mitos itu mati dengan zaman setelah etnik bertukar nama dan adanya pencipta mitos-mitos baru yang menjawab permasalahan semasa. Pulau yang diberi nama Pulau Palawan itu, sempena nama Pa Lawan, sebenarnya hanya laluan darat yang menghubungkan Pulau Luzon dan Mindoro melalui jambatan bumi ke Pulau di Bawah Bayu. Pengkhayal melihat bagaimana binatang-binatang darat di Asia Tengah kerana kesejukan melampau berhijrah ke selatan melalui pelbagai jambatan bumi yang menghubungkan pulau ke pulau sehingga akhirnya menemui Pulau di Bawah Bayu dan pulau-pulau lain di Nusantara. Menurut cerita, pulau itu sungguh luas dan besar. Banyak haiwan besar yang berharga dan hasil mahsul hutan yang tiada tara. Sebagai peneroka laut, Betatar tidak gentar pada Sang Naga Laut ataupun Kimat yang mampu menenggelamkan kapal-kapal di laut dalam. Dalam mimpi, pulau impian itu senantiasa menunggu kedatangannya.

Sebab itu Pengkhayal percaya, dorongan terkuat Betatar untuk merantau ke Pulau di Bawah Bayu ialah perniagaan bukanlah sebagai pencari kuasa magis seperti dakwaan pengkaji dari Barat. Betatar tahu untuk menjadi berkuasa dan dihormati, dia harus memiliki kekayaan. Kekayaan ialah sama ertinya dengan kekuasaan. Makin kaya seseorang pemimpin itu makin berkuasalah dia. Hanya dengan kerja keras, nasihat Pa Lawan kepadanya, dia mampu menjadi pemimpin yang berwibawa. Bukan dengan cara menyerang dan merompak yang menjadi amalan sesetengah kaum. Meskipun cara itu ialah cara tercepat untuk menjadi kaya, namun ia tidak berkekalan. Tiada pemimpin menjadi besar atas titik peluh orang lain. Dia tidak akan melakukan sepertimana yang dilakukan oleh bapa saudaranya, Il Lanun yang mengumpulkan kekayaan dengan merampas kapal-kapal dagang orang-orang Ma Lanyu, Utsul dan Han. Pa Lawan amat malu dengan Il Lanun. Betatar diberitahu jangan berbaik-baik dengan keturunan Il Lanun. Il Lanun dan anak-anaknya mengganas di laut tanpa perlu masuk hutan mencari hasil mahsul. Bukan sahaja kapal dagang yang menjadi sasaran, Il Lanun juga menyerang gua-gua yang berpenghuni lalu merampas hasil mahsul yang terkumpul. Memanglah gua-gua itu menyaksikan pertumpahan darah di hadapan dan di dalam gua. Peperangan merebut gua-gua terjadi di sepanjang zaman lampau. Bagi Pengkhayal, dia sudah terbiasa menemui bukti-bukti arkeologi forensik dalam stratigrafi bumi yang menjadi rakaman peristiwaperstiwa lampau. Geokronologi memberi tanda abad dan tahun Pada artifak-artifak. Usia artifak dan kedudukannya apabila ditemui, bercerita tentang kisah silam, tentang kehidupan dan tantangan yang diharungi penghuni-penghuni gua.

Betatar berhasrat membina kekayaan dengan kerja keras dan jati diri. Bukan melalui rompakan dan keganasan. Inilah yang ditanam oleh Pa Lawan dalam jiwa Betatar. Pengkhayal melihat bagaimana orangorang Austro-Malayonesian yang berhijrah ke kepulauan Nusantara bukan sahaja melarikan diri daripada kesejukan yang membunuh itu, bahkan meneroka hutan-hutan dara untuk perniagaan. Diaspora iklim merupakan perkara yang benar-benar terjadi pada gelombang-gelombang terawal penghijrahan Proto-MeIayu, namun setelah tenggelamnya jambatan-jambatan bumi akibat pencairan gunung-ganang dan bongkah-bongkah salji di pengakhiran Zaman Ais, gelombang-gelombang pelayaran dan penerokaan Neo-Melayu pula didorong oleh kehendak pasaran Daratan Han yang meletakkan produk-produk eksotik dari hutan khatulistiwa mempunyai nilai semahal sutera dan pinggan mangkuk porselin mereka. Pengkhayal melihat bagaimana larisnya produk-produk hutan Nusantara yang belum dieksploitasi oleh sesiapa. Hutan-hutan Daratan Han sudah pupus dimamah tamadunnya sendiri. Sebab itu Pengkhayal melihat kesempatan untuk Betatar meneroka di Pulau di Bawah Bayu dan membawa balik khazanah hutan untuk didagangkan kepada pengguna akhir yang jarang-jarang ditemuinya.

Pengkhayal melihat penerokaan belantara dan hidup di hutan merupakan suatu keharusan bagi orang-orang Austro-Malayonesian. Merekalah fauna dalam flora belantara Nusantara yang serba hijau itu. Naluri itulah yang menarik Betatar membawa lebih seratus orang Ma Lanyu buat pertama kalinya belayar ke Pulau di Bawah Bayu. Seperti lazimnya, orang-orang Ma Lanyu tidak mungkin dipisahkan dengan gua. Berbekalkan ilmu daripada Pa Lawan mengenai pencarian gua, Betatar menemukan Gua Baturong yang telah dihuni orang-orang Dusun. Betatar seorang pemimpin yang bijak dalam diplomasi. Dia membina hubungan dengan orang-orang Dusun dengan aura yang menawan. Pada mulanya dengan bahasa isyarat kemudian lambat-laun dalam gabungan bahasa masingmasing diperkukuh pula dengan gerakan jari, tangan, muka dan badan. Pengkhayal melihat bibit-bibit bahasa ibundanya tumbuh sebagai bahasa dagang primitif antara puak yang berkomunikasi dan berdagang.

Kekayaan hutan Pulau di Bawah Bayu terlalu besar untuk dieksploitasi dengan tenaga orang-orang Ma Lanyu sahaja. Betatar membawa masuk banyak peneroka Ma Lanyu dari Pulau Palawan, Luzon, Ilha Formosa dan Lanyu. Dia bukan pembolot yang hanya ingin mengaut keuntungan. Betatar bekerjasama, dengan orangorang Dusun, Bajau, Ranum, Murut, Melanau dan Kadazan. Betatar menjadi pengumpul produk-produk hutan yang berjaya kerana kemahiran bersosialnya. Hasil mahsul yang melimpah-ruah itu dibawa belayar ke Pulau Palawan. Bertukar tangan daripada seorang pedagang kepada seorang pedagang yang lain tanpa wang perak atau emas. Semuanya berlangsung dalam tukaran barangan. Pedagang-pedagang Utsul dan Han mengharungi laut yang telah diterokai orang-orang Ma Lanyu untuk memperoleh tukaran yang lebih menguntung kan. Mereka berdagang langsung dengan peneroka-peneroka hutan. Kadang-kadang peneroka- peneroka hutan meninggalkan hasil mahsul di tepi pantai pada tempat yang dipersetujui dan kemudian mereka kembali semula ke hutan untuk mencari hasil mahsul rimba. Bukan sekadar itu, mereka kembali ke rimba kerana sebenarnya mereka ialah sebahagian daripada fauna yang mengadun kompleksiti flora belantara yang mereka sangat kagumi. Apabila angin laut membawa kapal dagang dari Luzon, Palawan, Bataan, Lanyu mahupun Ilha Formosa ke tempat janjian, barangan yang ditinggalkan diangkut ke kapal, digantikan pula dengan mangkuk pinggan, kain pakaian dan peralatan logam. Tempat janjian ada masanya dicuri orang-orang yang menganut ideologi Il Lanun. Berikutan kejadian pencurian-pencurian itu, diarahkan Oleh Betatar supaya beberapa anak buahnya ditugaskan untuk menjaga hasil mahsul hutan yang telah dikumpulkan. Mereka bermastautin di tepi laut sehingga dikenali sebagai Dayak Laut yang kemudian mengahwini penduduk tempatan yang sudah berada di sekitar persisiran pantai melalui penghijrahan awal yang tidak lagi diingati. Tahu-tahu mereka, nenek moyang sudah ada di situ. Pengkhayal menjejaki asal usul Dayak Laut atau orang Iban itu ialah keturunan Ma Lanyu. Dan, apabila diteliti leksikon Iban terdapat banyak perkataan-perkataan yang mempunyai persamaan genealogikal yang ketara.

Untuk memudahkan pesanan kepada pedagang laut, orangorang Ma Lanyu mencipta tulisan yang dilakarkan di atas bilahan buluh yang diikat dengan tali sabut. Tulisan itu disebut baybayin. Pengkhayal menghabiskan banyak masa di tapak ekskavasi untuk menemui tulisan asli nenek moyang bangsa Pengkhayal. Mahu dibawa balik artifak tulisan itu ke akademi tempat dia bekerja untuk membuktikan bangsa Pengkhayal pernah memiliki tulisannya sendiri.

Surat buluh dalam tulisan baybayin ialah borang pesanan barangbarang yang dikehendaki oleh peneroka-peneroka hutan yang tentunya tidak ingin menunggu lama di tepi pantai. Entah bila pula angin laut akan membawa kapal layar, ketibaannya sukar dipastikan. Musim mendatang apabila mereka kembali ke tempat janjian, barangan dipesan ditinggalkan pada tempat yang sama. Corak pada pinggan mangkuk boleh ditempah dengan cara yang sama. Namun, kadang-kadang barangan itu dicuri orang, penerokapeneroka hutan harus menempatkan orang-orang kepercayaan mereka untuk menjaga barang dagangan itu. Begitulah caranya khazanah khatulistiwa boleh sampai ke seluruh pelosok dunia. Bagi mata Pengkhayal, globalisasi sudah lama wujud ribuan tahun lalu melalui jalan sutera laut dan darat. Hasil mahsul hutan tropika telah mengharungi lautan dan benua-benua meskipun mengambil masa bertahun-tahun. Sayangnya Pengkhayal hairan bagaimana pemuka bangsa Pengkhayal terpedaya dengan propaganda globalisasi seolah-olah perkataan keramat itu merupakan demi-god yang perlu dituruti sepenuhnya. Kononnya, mereka tidak mahu menjadi seperti orang-orang asli Peru, meskipun berada di altitud yang tinggi, mampu melihat armada karavan laut Eropah menghampiri pantai mereka, mereka berpeluk tubuh tanpa mengambil apa-apa tindakan. Kata pemuka dan pemikir bangsa Pengkhayal, kesilapan yang dilakukan oleh orang-orang asli Peru tidak perlu diulangi. Mereka tidak bersedia menghadapi apa jua yang bakal dilakukan oleh penjelajah Eropah. Maka untuk tidak mengulangi kesilapan itu, seyogialah anak-anak bangsa Pengkhayal meninggalkan bahasa ibunda untuk ikut sama menjayakan matlamat-matlamat globalisasi dalam penguasaan ekonomi dan hegemoni. Kita tidak mungkin berjaya mematahkan hasrat propaganda globalisasi, maka lebih baiklah anak-anak bangsa Pengkhayal dididik ikut menjayakan matlamat-matlamat tersirat, menjadi komprador, dalam keramat globalisasi itu. Menentang dan melawan gelombang-gelombang globalisasi akan menenggelamkan kita. Adalah lebih selamat jika kita menyertai agenda-agenda globalisasi sebagai pemain global. Padahal, pengkhayal melihat bahawa kita bakal menjadi budak-budak atau hamba kepada pencanang-pencanang globalisasisi walaupun harus menjadi tali barutnya. Hanya dengan penguasaan bahasa Inggeris, kita kononnya mampu menjadi pemain global, walhal dengan segala keistimewaan dan subsidi, kendati kita kecundang di arena lokal. Rakan kongsi globalisasi akan menguntungkan golongan oligopoli yang menjadi rakan pintar mereka.

Akhirnya, Betatar berjaya menemukan sebuah gua di muara sebatang sungai yang diberi nama Gua Kotabatu. Gua itu dijadikan gudang menyimpan hasil mahsul hutan. Antara Gua Baturong dengan Gua Kotabatu ada laluan hutan yang menghubungkan kedua-duanya. Malah, Betatar mengadakan hubungan dagang dengan pendudukpenduduk di Gua Niah untuk mendapatkan sarang burung yang sangat tinggi harganya dalam kalangan pedagang Han. Apa-apa sahaja yang diminati orang-orang Han, barangan itu mempunyai nilai dan harga. Maka bertambah hebatlah kegiatan perdagangan di Gua Kotabatu. Kerana angin timur laut membawa pelaut-pelaut Utsul, Ma Lanyu, Tagalog, Bajau dan Han berhenti di Kotabatu, ia menjadi terkenal. Berita mengenai Kotabatu tersebar dalam kalangan nokhoda, pelaut dan pedagang serantau. Kotabatu hanya sebahagian kecil daripada Pulau di Bawah Bayu. Orang-orang Ma Lanyu memanggil pulau baru itu sebagai Barunah yang bermakna Tanah Baru. Barunah menggantikan nama mistiknya, iaitu Pulau di Bawah Bayu.Tersohorlah Barunah dengan pusat perdagangan serantau di Kotabatu, tempat latar Pengkhayal melihat bahasa ibundanya tumbuh sebagai hasil sampingan kegiatan dagang orang-orang di seluruh Barunah dan daerah serantau. Pengkhayal mampu melihat bagaimana Barunah mengalami evolusi kata menjadi Borneo dan Brunei. Neo bermakna baru. Tanah Baru itu menjadi terkenal dalam kalangan etnik Malayonesia yang hidup sebagai nomad laut. Betatar juga merantau dengan menyusuri pantai Barunah, kadang-kadang berperahu apabila tiada angin, dan belayar apabila penerokaannya jauh dan lama. Dengan berperahu dia dapat menjangkau kawasan pedalaman untuk mencari gua-gua. Gua ialah penempatan manusia. Dan, bagi Betatar, menurut tafsiran Pengkhayal, manusia ialah asetnya untuk mengembangkan perdagangan dan hubungan kemanusiaan yang penting dalam membina imejnya. Penerokaan Betatar menemukan Gua Niah, Gua Santubung dan gua-gua di Balikpapan. Justeru, oleh sebab perniagaan berkembang baik di Kotabatu itu dan gua-gua lain, orang-orang aslian Bidayuh, Iban, Kenyan dan Kenyah boleh bertukar dagangan dengan orang-orang Ma Lanyu yang ketuai Betatar.

Di Kotabatu pula, pelbagai pedagang dan pelaut jauh seperti pelaut Han, Utsul dan Ryukyu, membawa komoditi yang belum pernah orang-orang Barunah lihat dan peroleh. Mereka tidak peduli apa yang akan dibuat dengan tengkaras, cendana, gaharu, rotan, sarang burung, tanduk rusa, lebih hebat lagi - tanduk badak sumbu, harimau kering dan segala hasil mahsul hutan, asalkan mereka memperoleh sesuatu yang luar biasa daripada pedagang-pedagang yang tiba dengan kapal layar, selain barangan pinggan mangkuk, pasu, peralatan logam, alat tenun dan kain sutera yang menjadi komoditi utama. Malah, pedagang-pedagang luar itu membawa contoh barang-barang atau contoh buah, daun, kulit kayu hutan yang dikehendaki. Pelaut-pelaut tempatan akan memberitahu peneroka-peneroka barangan hutan yang dikehendaki pelanggan termasuklah rempah-ratus meliputi kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, lada dan jintan manis. Mereka akan masuk hutan, mencari apa yang dipesan pedagang-pedagang itu terutamanya orang-orang Utsul dan Han. Perniagaan kemudian tidak terhad kepada peneroka hutan dengan pelaut-pelaut Dataran Han atau dari Pulau Hainan, tetapi juga sesama etnik Malayonesia. Antara orang Ma Lanyu dengan Tagalog, antara Bajau dengan Ma Lanyu, antara Bisayak dan Dayak Laut atau orang Melayu dengan Il Lanun. Cuma semua pedagang berhati-hati dengan Il Lanun. Pertumpahan darah biasa terjadi kerana pertelingkahan, perebutan, salah faham dan penipuan yang disedari kemudian atau penipuan dalam pertukaran dagangan pada masa-masa yang lampau. Dendam yang kadangkadang membuatkan air laut selatan menjadi merah dengan darah mereka yang terkorban. Di laut yang sama, Pengkhayal melihat bagaimana lahir wira-wira laut seperti Sandokan atau Sindukung, dan Syarif Osman yang menjadi sebutan penjajah Rajah Brooke sebagai Penjenayah laut yang perlu dimusnahkan. Pengkhayal dapat melihat bagaimana Sandokan memperoleh baka perjuangan yang tidak luntur ditelan zaman.

Di Kotabatu, Pengkhayal melihat, baik di laut mahupun di darat, bukan sahaja komoditi hutan bertukar tangan, bahkan bahasa pertuturan etnik-etnik Malayonesia itu saling menjalin perhubungan vokal, wadah tempat masing-masing bertukar istilah. Banyak istilah ikut berdagang lidah yang akhirnya masing-masing menyetujui satu atau dua sahaja istilah untuk sesuatu barangan. Dalam perdagangan, pelaut-pelaut mencapai persetujuan asas dengan memberikan keutamaan kepada hitungan. Pengkhayal mendapati beberapa angka kekal atau hampir kekal dengan bentuk asal biarpun melewati masa ribuan tahun. Sa berubah menjadi satu, dalwa menjadi dua, tetapi lima tetap tidak berubah. Pengkhayal melihat banyak persamaan dalam menyebut istilah nyiur. Istilah itu dikongsi bersama hampir semua etnik dari Ilha Fomosa sampailah Manoa di Laut Teduh. Persetujuan para penutur itu menjadikan masing-masing bahasa itu berkembang dalam interaksi urusan perdagangan.

Paling menjolok ialah dominasi bahasa Ma Lanyu yang dituturkan Betatar. Bahasa itu menambat hati banyak pedagang yang berlindung di Kotabatu, sementara menantikan pertukaran angin yang akan membawa mereka kembali ke tempat asal. Banyak cerita lipur lara berpindah ke bibir yang lain. Tukang-tukang cerita dibawa belayar kerana kehebatan ingatan mereka. Setiap kapal layar dan perahu dagangan mempunyai sekurang-kurangnya seorang tukang cerita. Tukang-tukang cerita ini sebenarnya multilinguis. Sekali lagi bahasa orang-orang Ma Lanyu menjadi medium pengantar cerita untuk etnik-etnik yang pelbagai itu. Pengkhayal melihat bagaimana proses evolusi sesuatu bahasa etnik itu diangkat menjadi bahasa dagang serantau. Melalui pemilihan istilah-istilah terunggul memungkinkan bahasa Ma Lanyu membentuk tuturan wacana cerita yang punya irama dan rima indah, serta menarik. Pengkhayal melihat proses pemilihan istilah-istilah yang mempunyai rima sehingga membolehkan penutur bahasa Pengkhayal bermadah dalam syair, pantun, seloka, gurindam, talibun dan teromba pada kemudian zaman. Di Kotabatu, tidak pernah sepi dengan ceritacerita lipur lara selagi musim angin belum bertukar arah. Ceritacerita itu menghiburkan lara pelaut yang dimabukkan kerinduan akan anak isteri yang ditinggalkan. Malam-malam penantian itu terisi dengan cerita-cerita yang membudayakan sesuatu etnik bertukar menjadi bangsa yang punya martabat dan maruah.

Satu hari, ketika pelaut-pelaut Utsul dan Han kembali ke kampung pelabuhan masing-masing, Betatar nampak sebuah kapal layar yang bentuknya tidak dikenali, datang dari arah angin barat. Apabila dihampiri, Betatar mendapati nakhoda dan awak-awaknya berkulit hitam.Yang menarik baginya, hidung mereka agak tinggi dan mancung terpacak. Warna kulilnya sehitam orang-orang Aeta, tetapi berbulu lebat dan lebih tinggi daripada orang-orang Ma Lanyu atau suku-suku serantau. Pengkhayal segera menyedari betapa pentingnya pertemuan dan penemuan itu. Sebagai multilinguis, Betatar sendiri tidak menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan nakhoda kapal pendatang baru. Berbekal bahasa isyarat antara bangsa yang digunakan untuk berhubung dengan pedagang dan pelaut Han, Betatar memulakan komunikasi secara berwibawa sehingga menambat hati nakhoda itu. Setiap isyarat bahasa disertai tuturan bahasa masing-masing sehingga kedua-dua penutur memperkaya organ bahasa di otak masing-masing dengan pertukaran dan perakaman istilah. Akhirnya, terbit bahasa perantara menjadi sama dan hampir sama membawa keinginan dan kehendak dalam wahana dagang yang efektif. Nakhoda itu memperkenalkan dirinya sebagai Nakhoda Kalinga. Begitu juga dengan Betatar yang sudah berpengalaman bergaul dengan pelaut-pelaut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai ketua orang-orang Ma Lanyu. Yang menarik pada Betatar ialah kain yang dipakai Nakhoda Kalinga dan awak-awaknya. Seperti sarung parangnya, Betatar memanggilnya kain sarung dan Nakhoda Kalinga pula menyebutkannya palikat. Nakhoda Kalinga itu menawarkan pertukaran barangan kerana tanpa barang-barang eksotik hutan khatulistiwa, apakah bukti yang boleh dibawa balik ke negeri asalnya. Dia mahu menukarkan kain-kain pelekat itu dengan barang-barang komoditi yang ternyata diminati bersamasama dengan pedagang-pedagang Utsul dan Han. Pengkhayal melihat bagaimana barangan komoditi Nusantara dibawa belayar ke Benua Kalinga. Komoditi tersebut akhirnya pula diangkut dengan karavan ke utara benua itu dengan menembusi segenting rekahan banjaran Himalaya lalu bergabung dengan karavan unta dan keldai di jalan sutera menuju bandar-bandar karavan di Asia Barat. Untuk sekian kalinya, komoditi-komoditi itu menempuh perjalanan yang jauh dan silih bertukar tangan. Setelah pertukaran dagangan pelbagai arah berlangsung, karavan kembali ke selatan sambil membawa balik barangan komoditi dari Barat dan Timur ke arah jalan sutera laut. Ikut bersama dalam karavan itu, suatu bahasa agung mengiringi kepercayaan baru yang bakal disebarkan ke seluruh Nusantara. Dalam usaha menyebarkan agama mereka ke daerah Nusantara yang paganistik, bahasa Sanskrit diperkenalkan dalam cerita-cerita mitos dewa dewi, di samping penjualan kain pelekat dan selendang sari mereka. Globalisasi primitif sudah lama berlangsung meskipun dalam skala yang kecil. Namun, Pengkhayal melihat bagaimana globalisasi pada zamannya mengorbankan martabat bahasa ibundanya. Dan apalagi selepas itu, tidak jelas apa yang bakal terjadi kerana umur kemerdekaan bangsanya masih terlalu muda dibandingkan usia penaklukan oleh penjajah.

Nakhoda Kalinga mengajar Betatar cara memakai kain pelekat dan bagaimana menggulungnya dengan rapi. Apabila Betatar mengenakannya, pengikut-pengikutnya teruja. Betapa segaknya dia apabila kain pelekat itu digandingkan dengan seluar pan jang sutera yang dibeli daripada pedagang-pedagang Han. Orang-orang Ma Lanyu itu begitu kreatif, tampak di penglihatan Pengkhayal. Ketika mengenakan kain pelekat, Betatar menggulung lebih tinggi hingga ke paras lutut.Pengkhayal melihat untuk pertama kali bagaimana orang-orang Ma Lanyu itu mencipta peragaan kain samping. Dan, bagaimana kemudiannya orang-orang Ma Lanyu menyulam kainkain samping daripada benang-benang sutera, perak dan emas yang dibeli daripada orang-orang Han untuk menenun songket yang menjadi komoditi pilihan bangsawan Malanyu. Alatan tenun kain dibeli daripada pedagang-pedagang Han dan Utsul sejak nenek moyang berada di Pulau Lanyu Iagi.

Seorang pengikut Betatar pula memperagakan kain sarung pelekat itu sebagai kelubung. Habis ketawa orang-orang dari Negeri Kalinga itu melihat gelagat pengikut Betatar itu. Kemudian dia menyelempangkannya dan bergaya. Pengkhayal ikut ketawa apabila melihat seorang pengikut Betatar menggunakannya sebagai selimut dalam gerak lakon kesejukan yang menggigil. Nakhoda Kalinga dan Betatar nampak prospek yang baik untuk mengedarkan kain pelekat ke seantero Barunah.

Oleh sebab masa menunggu perubahan angin agak lama, Nakhoda Kalinga atas undangan Betatar, mengajaknya berteduh di Gua Kotabatu sambil melihat barangan komoditi hutan yang terkumpul dalam suatu gudang di gua tersebut. Di gua gudangnya, Betatar memperlihatkan koleksi seramik dan pelbagai khazanah Dataran Tiongkok yang dibeli tukar dengan pedagang-pedagang Han dan Utsul. Nakhoda Kalinga amat kagum.

Dalam beberapa purnama penantian, banyak sekali pertukaran informasi, bahasa dan budaya antara dua nakhoda itu. Masingmasing bercerita tentang asal usul masing-masing. Berkongsi cerita dan hikayat. Orang-orang Ma Lanyu sangat berminat dengan ceritacerita epik Ramayana yang disampaikan oleh tukang cerita Nakhoda Kalinga. Walaupun pada mulanya tidak difahami bahasanya, tetapi apabila didengar berulang kali akhirnya faham juga sehingga berjaya menghafal nama-nama watak agung hikayat itu, Pengkhayal melihat persamaan dengan bagaimana bangsanya menonton filem-filem Hindi dengan penuh minat meskipun tidak memahami dialogdialognya. Betatar juga terpesona apabila mendengar Nakhoda Kalinga bercerita tentang selat yang diharungi untuk tiba ke Laut Selatan. Melalui selat itu jugalah dia akan kembali. Menurut nakhoda itu, Maharaja Pallava telah memerintahkannya mencari Dataran Tiongkok melalui jalan laut kerana jalan darat kadang-kadang tidak selamat. Tetapi, di Gua Kotabatu itu, Nakhoda Kalinga itu menemui barangan komoditi Han yang dicari tanpa perlu belayar sampai ke Dataran Tiongkok. Orang-orang Han memanggil negeri mereka sebagai Tiongkok, kata Pengkhayal.

Betatar pula berminat dengan cadangan Nakhoda Kalinga jika Betatar boleh membawa barang-barang hasil mahsul hutan ke pulau yang lebih dekat dengan Benua Kalinga. Di mata Pengkhayal, bukan sekadar pertukaran informasi yang terjadi antara orang Ma Lanyu dengan orang Kalinga, malah Pengkhayal melihat terjadinya pertukaran genetik antara awak-awak Nakhoda Kalinga dengan perempuan Ma Lanyu. Demikian penjelasan Pengkhayal, bagaimana bangsanya yang satu masa dulu berhidung penyek memperoleh hidung yang mancung-mancung, melalui pemindahan baka genetik keturunan pelaut jauh dengan perempuan-perempuan etnik pesisir yang mengamalkan seleksi seksual terhadap lelaki berhidung mancung. Keturunan mereka terus menjadi pelautpelaut yang mewarnai pletora genetik bangsa Pengkhayal. Di mata Pengkhayal, pletora itu kemudian diperkaya dengan baka-baka pelaut Parsi dan Arab. Sebab itu, dalam kertas kerjanya, Pengkhayal mengutarakan teorinya People of the Wind untuk merujuk asal usul bangsanya yang dibawa angin monsun yang menemukan dua stok manusia antara dua benua, Benua Tiongkok dan Benua Kalinga. Akhirnya dibumbui pula dengan pelbagai stok pelaut, wujudlah bangsa Pengkhayal yang galak mengejar kemajuan. Pengkhayal memberikan contoh, apabila orang Cina berkahwin dengan orang India, anak-anak mereka secara fenotipnya tampak persis bangsa Pengkhayal; sepetnya hilang, kulitnya sawo matang dan hidungnya bertambah mancung Bangsa hibrid yang sama dihasilkan melalui perkahwinan antara orang Han dengan Proto dan Neo-As1ian yang tinggal di pesisir pantai. Bangsa pengkhayal juga dihasilkan melalui perkahwinan antara pelaut Benua Kalinga dengan etnik Aslian Pesisir di seluruh Nusantara. Teori People of the Wind yang dikemukakannya, dipersendakan pihak atasan dan rakan-rakan di akademi tempat dia bekerja. Mindanya menjadi berantakan akibatnya. Dan, dia hanyut dalam epik pelayaran yang mematikan inderanya terhadap realiti semasa.

Pengenalan Betatar dengan Nakhoda Kalinga membuka lembaran baru bagi perkembangan orang-orang Ma Lanyu. Berbulan-bulan Nakhoda Kalinga menunggu angin, bertambahlah pengetahuan dan minat Betatar mengenai hikayat raja-raja dan maharaja-maharaja Benua Kalinga itu. Betatar juga tertarik akan mitos dewa dewi dan tuhan-tuhan agama Hindu yang diperkenalkan Nakhoda Kalinga itu. Daripada beliau, Betatar belajar bahasa Tamil dan Sanskrit. Betatar seorang yang bijak dan cepat belajar. Dalam penantian yang lama itu, Nakhoda Kalinga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan Betatar dan beberapa pembesarnya dengan tulisan Pallava. Mengajar tulisan itu kepada Betatar merupakan penanaman saham globalisasi versi Kalinga.Apa pun niat terpendam Nakhoda Kalinga, tulisan itu lebih menambat hati Betatar dan ternyata jauh lebih lengkap daripada tulisan asli Ma Lanyu, baybayin. Pengkhayal melihat dari awal orang-orang Ma Lanyu begitu mudah dirasuk perubahan. Mereka sanggup meninggalkan apa sahaja anutan mereka jika perubahan mendatangkan kemajuan yang bererti kekayaan. Sebab itu mereka meninggalkan apa sahaja anutannya jika ada yang dipercayai mereka lebih baik. Mereka ialah manusia pesisir, maka mudahlah mereka terdedah dengan pengaruh-pengaruh luar. Orang-orang jauh pembawa pengaruh-pengaruh luar, datang sebagai pelaut-pelaut akan berhadapan dengan orang-orang Laut seperti orang-orang Ma Lanyu itu yang mampu meneroka hutan dan mempunyai hubungan dengan orang-orang Darat. Oleh sebab mereka menjadi perantara, maka manusia-manusia pesisir mampu mengaut keuntungan hasil kekayaan hutan di samping mereka ikut berubah sebagai akibat sampingan. Tentunya pelaut-pelaut jauh seperti Nakhoda Kalinga mempunyai niat yang tersendiri. Pelaburan jangka panjang Nakhoda Kalinga itu adalah terletak pada pengajaran bahasa dan tulisannya agar segala perjanjian yang dimeterai boleh difahami bersama. Menguasai bahasa dan menganut kepercayaan Nakhoda Kalinga ialah satu-satunya jaminan pembukaan perdagangan yang lebih luas ke Benua Kalinga dan benua-benua di sebaliknya. Senario yang sama berlaku pada zaman Pengkhayal. Janjian kemajuan dan pasaran lebih luas bagi mereka yang menguasai bahasa adidunia melalui pendekatan yang sama oleh kuasa-kuasa besar semasa. la sesuatu yang lumrah untuk dilaksanakan. Betatar dan pembesarpembesarnya diajar bukan sahaja bahasa Tamil dan Sanskrit, malah bagaimana mengukir tulisan Pallavian di atas batu granit dengan menggunakan pahat besi dan palu kayu. Kemahiran memahat memang sudah dimiliki sejak nenek moyang mereka ketika berada di llha Formosa dan Pulau Lanyu. Berbagai-bagai jenis pahat besi dihadiahkan kepada Betatar. Dengan peralatan baru ini, Betatar dan pembesar-pembesar dapat membuat prasasti. Batu bersurat itu bukan sahaja sekadar suatu pemberitahuan, atau pengisytiharan, bahkan ia juga dokumen baku ikat janji antara pedagang Kalinga dengan Ma Lanyu. Semuanya dirancang agar perdagangan berjalan lancar dalam format yang lazim di Benua Kalinga. Pengkhayal melihat terjadinya pemindahan tamadun yang bermula dengan pengajaran bahasa pendatang. Dalam masa yang sama, Nakhoda Kalinga dan awak-awaknya pandai juga bercakap bahasa Ma Lanyu, namun mereka memanggilnya sesuai dengan Iidah mereka, Malayu. Pengkhayal berpendapat, perkataan Malayu itu berubah menjadi Melayu disebabkan perubahan dialek seperti yang terjadi terhadap suku kata sa yang menjadi se dalam leksikon bahasa Melayu. Tampak di mata Pengkhayal, bagaimana nama bangsa Malayu dibawa oleh pelaut-pelaut Benua Kalinga mengembara ke Parsi, Semenanjung Arab hinggalah Mesir dan Greece. Malah, Malayu Kulon pernah disebut oleh seorang geografer Mesir, pada kurun kedua Masihi yang dikenali di Barat sebagai Plotemy atau i Batlamus di Asia Barat.

Kemahiran Nakhoda Kalinga memerikan cerita-cerita dewata epik hikayat Ramayana dan Mahabrata turut membentuk citra Betatar dan orang-orang Melayu. Betatar bertanya kepada Nakhoda Kalinga apakah dengan kekayaannya itu maka dia layak dipanggil maharaja seperti Maharaja Pallava di Benua Kalinga. Nakhoda Kalinga dengan sopan memberitahu bahawa dia hanya layak menjadi raja. Tetapi, apabila dia menguasai kawasan jajahan yang luas meliputi seluruh Barunah, barulah dia layak dipang gil maharaja kerana ramainya raja di bawah taklukannya. Nakhoda Kalinga berjanji akan memperkenalkannya sebagai Raja Betatar dan mengundang Raja Betatar untuk berkunjung menghadap Maharaja Pallava di istananya di Brahmabaliputra. Raja Betatar melihat peluang itu untuk belayar melalui selat yang membuka ke sebuah lagi samudera raya seperti yang diceritakan oleh Nakhoda Kalinga. Nakhoda Kalinga tidak menyangka niat besar Raja Betatar itu. Undangan Nakhoda Kalinga itu sekadar menjadi tetamu di atas kapal layarnya. Tetapi, Raja Betatar ingin belayar dengan kapalnya sendiri bersama-sama pengikutnya. Bagaimana seorang raja bertemu seorang maharaja tanpa hamba sahaya, hulubalang dan panglima!

Nakhoda Kalinga dengan kuasa mohor yang diperturunkan Oleh Maharaja Pallava, telah menobatkan Betatar menjadi Raja Betatar yang memerintah Kotabatu melalui adat istiadat agama Hindu. Kini isteri Betatar bergelar Permaisuri Bini Raja Betatar dan puteranya bergelar Raja Muda Awangku Anakanda Betatar. Baginda masih baru berusia dua belas tahun. Oleh cadangan Nakhoda Kalinga agar keturunan Raja Betatar membahasakan diri secara bangsawan seperti yang terdapat dalam hikayat maharaja-maharaja Kalinga. Orang bangsawan tidak berbicara dalam akut dan engkau. Nakhoda Kalinga meminta dia memilih nama mulia untuk Raja Betatar. Raja Betatar memilih kata ganti dirinya sebagai beta sebagai singkatan bagi Betatar. Pengkhayal melihat bagaimana semua raja di Nusantara selepas Betatar, membahasakan diri mereka sebagai beta. Itulah asal perkataan beta, fikir Pengkhayal. Rakyat jelatanya pula harus berbahasa patik dengan baginda. Nakhoda Kalinga mengajar Raja Betatar supaya rakyat jelata jika ingin berucap dengan baginda harus memohon ampun dahulu dan memanggil dirinya sebagai patik pacal yang hina maknanya sahaya hamba yang hina. Apabila Raja Betatar makan hendaklah disebut santap. Baginda Raja Betatar tidak tidur, tetapi beradu. Apabila baginda sakit disebut gering. Semua upacara diatur Nakhoda Kalinga, tetapi di mata Pengkhayal, dia melihat Nakhoda Kalinga sebagai manipulator yang menjadi pemangkin peningkatan imej Raja Betatar malah pada kemudian hari Raja Betatar dikaitkan pula dengan keturunan dewa dewi yang diturunkan dari kayangan. Pengkhayal melihat bahawa penjualan imej ini selalunya dibawa oleh unsur-unsur luar termasuk pada zaman Pengkhayal. Bagaimana upaya peningkatan imej tokoh-tokoh calon negarawan pada zamannya dijadikan komoditi. Daripada pembinaan monumen hinggalah penstrukturan semula ekuiti ekonomi fraksi-fraksi rakyat jelata digubal di Barat dan dijual jutaan ringgit untuk meningkatkan imej tokoh-tokoh politik negaranegara dunia ketiga. Dengan cara yang samalah, mereka menjual wawasan lalu dibeli dengan wang rakyat untuk memperhebat ketokohan pemimpin dunia ketiga. Untuk maju, Pengkhayal melihat bagaimana wawasan raya itu menyelitkan agar bahasa Pengkhayal dibunuh sedikit demi sedikit sehingga pada satu hari nanti, bahasa Pengkhayal menerima nasib yang serupa dengan bahasa Sanskrit dan Latin. Mati dimamah kemajuan yang diskriminatif sebagai prasyarat menjunjung kemajuan dan pembangunan.

Pada zaman dahulu lagi, pendatang tiba dengan niat dan hasrat yang tersirat. Sebab itu Nakhoda Kalinga mencadangkan agar Raja Betatar perlu melantik seorang bendahari yang menjaga khazanah dan harta benda milik baginda. Tugasnya menyenaraikan semua harta milik baginda agar tidak ada orang sewenang-wenangnya mengambil atau mencuri harta baginda. Lalu, Raja Betatar melantik adindanya sebagai penghulu bendahari dengan gelar Bendahari Pangeran Eka Adinda Betatar. Untuk sementara waktu, Nakhoda Kalinga dilantik menjadi penasihat dan guru yang mengajar adinda baginda mengenai ilmu perbendaharaan. Bagi tujuan pelayaran, Nakhoda Kalinga menasihatkan Raja Betatar melantik seorang bendahara seperti raja-raja di negerinya untuk menguruskan pentadbiran negerinya semasa Raja Betatar belayar. Tanpa raguragu, Raja Betatar melantik seorang lagi adindanya menjadi bendahara bergelar Bendahara Pangeran Dalwa Adinda Betatar. Nakhoda Kalinga pula dilantik menjadi menterinya (seperti dalam epik tukang cerita dari Benua Kalinga) dengan gelaran Mamanda Menteri Nakhoda Kalinga. Dan, awak-awak kapal layar dari Benua Kalinga itu dipanggil mamak oleh orang-orang Melayu yang bermaksud bapa saudara atau uncle. Itulah asalnya perkataan mamak; bagaimana mamak peranakan di mata kajian Pengkhayal, menjadi sebati dalam kalangan bangsawan Melayu Nusantara sebagai penasihat pemerintahan dan penasihat ekonomi kerajaan sehingga melebihi dua ribu tahun. Mereka ialah peranakan seperti juga Laksamana Hang Tuah yang memperjuangkan agenda Melayu. Apabila penjajah Barat datang, mereka menentang lalu dibuang negeri hingga ke Tanjung Harapan. Tidak pasti penentangan itu akibat musnahnya kepentingan mereka dalam menguruskan pemerintahan raja-raja Melayu atau sebaliknya. Namun, kehadiran mereka sentiasa mewarnai tampuk pemerintahan pascakolonial. Ramai pula antara mereka, membuang bahasa Tamil untuk menjadi pejuang dan pemoden bahasa ibunda Pengkhayal.

Apabila tiba masanya untuk belayar, Raja Betatar, Permaisuri Bini, Raja Muda dan bersama-sama Mamanda Menteri Nakhoda Kalinga serta hulubalang-hulubalang, awak-awak kapal dan perempuanperempuan Melayu, meninggalkan Kotabatu dengan kapal layar yang dipanggil Bahteraputra. Kapal layar Nakhoda Kalinga yang Sarat dengan muatan dagang dikendalikan oleh serangnya, mendahului pelayaran dalam jarak tampak dengan kapal yang dinakhodai Raja Betatar. Raja Betatar menyerahkan urusan pemerintah kepada Bendahara Pangeran Dalwa Adinda Betatar dan Bendahari Pangeran Eka Adinda Betatar untuk mengekalkan hubungan dagang dengan orang-orang Han, Utsul dan pedagang-pedagang suku serantau. Bagi Pengkhayal, nepotisme halal itu masih kekal, utuh pada zaman semasanya. Kerajaan Melayu pertama dibentuk atas pengaruh buatan unsur-unsur luar. Begitu juga dengan kerajaan Melayu moden yang didakwa pengkaji Barat sebagai buatan dan ciptaan atas nilai-nilai dan budaya Barat. Pengkhayal selalu menyangkal dakwaan felo dari Barat itu yang menduduki kerusi di akademi tempat dia bekerja. Betapa jahilnya felo Barat tentang sifat akomodatif orang-orang Melayu. la berakar umbi jauh lebih lama daripada yang terfikir felo dari Barat itu. Apabila orang Melayu bercakap dengan pedagang Han, dia mengajuk pertuturan pelat mereka. Apabila bercakap dengan orang-orang Kalinga, dia gemar meniru telor dan perlakuan rakan bual sekadar santun kepada sifat akomodatifnya. Itulah penyakit bangsa yang dihidapi sehingga kini. Terlalu pragmatis. Pragmatisme itulah sendiri menikam kewibawaan bahasanya.

Kini Raja Betatar tidak lagi gentar pada Kimat, Barthalai Daragan Magayong mahupun Lam Ang dan Berkakan. Mereka semua itu kuasa semangat lampau. Ada kuasa baru yang dipanggil tuhan yang lebih menarik. Pengkhayal melihat dek kerana jiwa Melayu yang mudah dibeli dengan harapan-harapan kabur yang lebih tinggi promosinya, Melayu Sepurba Raja Betatar sanggup meninggalkan kepercayaan paganistiknya untuk menduga kepercayaan baru. Begitulah prasyarat yang secara halus ditanam oleh Mamanda Menteri Nakhoda Kalinga. Untuk maju dan kaya, baginda harus membuang yang lama; maka sebab itulah baginda menganut agama Mamanda Menteri. Kepercayaan Hindu itu mempunyai tuhantuhan yang berbeza daripada kepercayaan pada semangat-semangat alam yang menguasai bukit, gunung, hutan, pokok, sungai, laut dan langit. Sekali lagi Pengkhayal melihat betapa raja dan orang-orang Melayu begitu akomodatif apabila berhadapan dengan gagasan dari luar. Dalam perkara ini, Raja Betatar yang mewakili Melayu pertama sudah memperlihatkan fitur-fitur dan tabii yang mengangkat tinggi sesuatu dari luar. Baik budaya mahupun pemikiran. Mereka kagum pada yang dicapai pihak luar daripada jati diri serta ruang lingkup mereka. Lantaran itu, terbitlah pepatah, ibarat katak di bawah tempu rung. Orang-orang Melayu sangat pantang dipanggil dengan pepatah yang mencemuhkan itu. Pada satu pihak yang Iain, ada yang membantah penerimaan mutlak unsur-unsur dari luar, namun dipendamkan dalam sanubari mereka. Itulah juga ciri-ciri Melayu. Sebahagian pembesar Raja Betatar tidak suka Nakhoda Kalinga. Mereka memperolok-olokkan Nakhoda Kalinga itu, tetapi tidak terang-terangan di hadapan mata Raja Betatar. Hubungan rapat Raja Betatar dengan Nakhoda Kalinga dicemburui kerana mereka seolaholah disisihkan sebagai punca rujukan. Sebab itu, Raja Betatar tidak lagi merujuk kepada pawang angin dan pawang langit ketika belayar menuju Benua Kalinga.

Apabila kapal layar Bahteraputra itu terlanggar terumbu karang setelah belayar dua hari dan dua malam, Raja Betatar atas nasihat Mamanda Menterinya, segera mengalih arah, menuju ke daratan yang terdekat untuk memperbaiki kerosakan. Bahteraputra tidak mungkin melewati selat yang menuju ke Lautan Benua Kalinga. Pawang angin dan langit menasihatkan supaya Bahteraputra berlabuh di laut untuk segera dibaiki. Raja Betatar menunjukkan kewibawaannya, sementara mendengar nasihat Mamanda Menteri Nakhoda Kalinga, baginda juga menerima nasihat pawang angin dan pawang langit. Air yang masuk dibuang secara penimbaan keluar. Bahteraputra perlu dibaiki segera untuk sementara dan kemudian barulah mencari daratan terdekat untuk penyenggaraan yang sempurna. Layar Bahteraputra diturunkan, sauh dilabuhkan, Beberapa awak-awak terjun ke laut. Penyelam demi penyelam silih berganti menggunakan badan mereka menutup bocoran. Apabila kehabisan udara, penyelam digantikan penyelam yang lain. Sementara itu, para tukang kayu bertungkus lumus menampal kebocoran dari atas kapal. Bocoran itu akhirnya berjaya ditampal dengan gumpalan kulit binatang kering dengan tali urat tendon haiwan yang dikeringkan.Tali-tali itu bersama-sama gumpalan kulit binatang dimasukkan penyelam melalui lubang bocoran. Dalam tempoh sekejap masa, air yang mencurah masuk ke perut kapal dihentikan. Tindakan pantas pelaut-pelaut Melayu itu berjaya menyelamatkan Bahteraputra daripada tenggelam. Nakhoda Kalinga melihatnya dengan kagum meskipun terus menyembunyikan apresiasinya. Bagi Pengkhayal, dia melihat betapa sesuatu kemajuan itu boleh dicapai melalui penciptaan. Penciptaan sesuatu kaedah mampu menangani sebarang tantangan dan cabaran. la bukan sekadar menimba ilmu melalui persuratan dan pembacaan. Ilmu itu harus diciptakan. Bahasa dan tulisan hanyalah alat perakaman penciptaan. Untuk menjadi bangsa maju, bangsa Pengkhayal harus menjadi pencipta dan peneroka ilmu. Bukan sekadar pembaca ilmu, lalu hanya tahu menurunkan tandatangan dalam perjanjian yang meminta orang Iain melaksanakan kemajuan buat mereka. Bangsa itu tidak akan menjadi bangsa besar dengan hanya tahu membaca jika mereka tidak menjadi bangsa pembuat dan pereka cipta. Mahir membaca cukup hanya menjadikan mereka bangsa pengguna kerana apa yang dibaca ialah acuan penulis ilmu. Itulah yang dikehendaki doktrin globalisasi.

Akibat kebocoran Pada Bahteraputra, kapal Nakhoda Kalinga sudah jauh belayar ke hadapan mereka dan tidak menyedari Bahteraputra menghadapi masalah. Sejak awal pelayaran, Raja Betatar menganggap sepi kehadiran pawang angin dan pawang langit di atas bahteranya. Setelah kebocoran, barulah pawang angin dan pawang langit dirujuk. Namun, Raja Betatar pandai mengambil hati pawang-pawangnya apalagi setelah mereka berjaya mengatasi kebocoran itu. Kecil hati mereka dikembangkan melalui sogokan dan suapan dengan janjian Raja Betatar yang mereka akan dilantik menjadi wakilnya dengan segala keistimewaan apabila baginda sudah bergelar Maharaja Betatar. Kalau dia tidak mempunyai raja-raja di bawahnya, mana mungkin dia boleh menjadi maharaja. Sekali lagi Pengkhayal melihat bagaimana Melayu itu mudah disogok dengan janji dan gelaran. Segala sumpah setia ditupakan apabila mereka disanjung dengan kata-kata pujian dan anugerah gelar pada sepotong nama. Pawang langit dan angin diberikan gelaran Pawang-pawang Diraja. Memang Pengkhayal melihat perkara itu berulang pada zamannya, betapa pejuang bahasa dan bangsanya diarak gajah keliling negeri dengan kalungan sanjungan ketika bahasa ibunda disingkirkan untuk memberikan laluan kepada bahasa adidunia yang menjanjikan kemajuan tanpa batas seperti Mamanda Menteri menjanjikan Raja Betatar, pasaran luas terbentang di Benua Kalinga. Ironis sekali bagi Pengkhayal, taktik yang sama berjaya memperdayakan Melayu, meskipun jarak masa yang beribu tahun memisahkan tamsil itu. Semangat Melayu itu mudah patah dengan janji-janji tinggi menjadi manusta global, sedangkan di arena lokal pun ibarat melukut di tepi gantang. Pengkhayal sangat kecewa betapa Melayu dan pejuangnya mudah dibeli dengan metafora kata-kata; janji global dan janji glokal. Kekecewaan itu memerangkapnya dalam konflik kejiwaan yang melayarkannya ke alam prasejarah dan tawarikh purba. Di alam itu, Pengkhayal mengkaji pembentukan bangsanya dan mengapa mereka ibarat lalang: datang Hindu, Hindulah mereka dalam Pallavian; datang anutan Hindu-Buddha, Hindu-Buddhalah mereka dalam Sanskrit Dravidian; datang Islam, Islamlah mereka dalam penjawian; datang Feringgi dan Belanda mereka kehilangan mahkota pentadbiran; tetapi apabila datang penjajah Inggeris, hilang pula penjawian kepada perumian; datang kemerdekaan, bahasa Melayu dianugerahi daulat oleh semangat pejuang, namun datang pula globalisasi dalam zaman pascakemerdekaan, daulat itu tidak kekal dalam hanya secebis abad, bahasa Melayu pudar sinarnya ditelan naga bahasa adidunia. Tidakkah bahasa-bahasa dunia itu ibarat pohon-pohon di hutan belantara; semuanya berhak tumbuh subur bersaing menju lang ke angkasa. Mengapa cabang pohon bahasa Melayu harus dipotong untuk membolehkan pohon yang besar dan raksasa itu membesar sehingga rimbunannya menutupi cahaya mentari lantas menghalang tumbesaran pohon bahasa Melayu. Pengkhayal bimbang langkah gopoh itu akan mematikan bahasa Melayu seperti yang telah terjadi pada bahasa Sanskrit dan Latin. Jika bahasa Melayu itu mati, siapakah pembunuhnya Bahasa Melayu itu terbunuh di tangan Melayu sendiri. ltulah menggilakan Pengkhayal.

Kehebatan kapal layar buatan orang Melayu adalah pada bentuk perutnya. Kerangkanya menyerupai ikan paus sehingga ketika berlabuh, apabila air laut surut, kapal itu dapat tegak di atas perut tanpa condong ke kiri atau ke kanan selagi lantai laut itu rata. Raja Betatar pada mulanya menyangka daratan di sebelah barat kapalnya itu kelihatannya hanya sebuah pulau yang sederhana besar. Tetapi semakin kapalnya menghampiri, terdapat daratan yang lebih besar. Di sebalik pulau itu, yang baginda namakan sebagai Pulau Bangka, beliau menemui sebuah daratan luas terbentang. Di situ, ada muara sungai. Baginda berkenan menamakan sungai itu Sungai Musi. Mereka berlabuh di air cetek sementara awak-awak turun ke darat, membina rakit dan kolek untuk mudik ke hulu. Cekap dan pantas kerja awak-awak itu. Segala ilmu pembuatan rakit dan kolek yang diturunkan oleh nenek moyang mereka, digunakan sepenuhnya. Keesokan harinya, rakit dan kolek itu siap dibina. Raja Betatar, Nakhoda Kalinga serta awak-awak dan hulubalang-hulubalangnya mudik ke hulu sungai yang baginda namakan Sungai Musi itu. Raja Betatar sudah biasa dengan ekspedisi semacam ini. Hanya mereka merakamkan pemberitahuan tentang ekspedisi itu secara lisan. Ekspedisi semacam itu terlalu biasa untuk dirakamkan secara tulisan, tetapi mereka merakamkan dalam ingatan, dan disampaikan lalui mulut ke mulut daripada suatu generasi kepada generasi yang lain. Akhirnya, cerita ekspedisi menjadi hikayat yang didendangkan untuk kanak-kanak sebelum melelapkan mata.

Ketika menyusuri Sungai Musi, baginda tiba di muara satu cabang anak sungai. Baginda Raja Betatar tampak banyak binatang buas, termasuk harimau dan binatang-binatang yang bertanduk berkeliaran di tebingnya. Baginda mencemar duli naik ke tebing sungai itu. Naluri Raja Betatar bergetar mentafsirkan bahawa tebing sungai itu amat sesuai dibangunkan sebagai tempat mengumpulkan hasil mahsul hutan, meskipun pada mulanya baginda hanya berminat mencari sumber kayu untuk digunakan bagi memperbaiki kebocoran Bahteraputra. Baginda mempunyai pengalaman yang luas mengenai kesesuaian tempat pengumpulan hasil mahsul. Apabila sungai itu disusuri ke hulu, Raja Betatar berhadapan dengan sebuah bukit. Di bukit itu terdapat sebuah gua besar. Bukit dan guanya seolah-olah memukaunya. Baginda yakin di sinilah tempatnya untuk memulakan suatu legenda.Pengkhayal melihat bagaimana Raja Betatar menamakan bukit itu sebagai Bukit Seguntang dan anak sungai itu menjadi sungai suci yang dipanggil sungai Melayu. Di situ bertapak,menurut Pengkhayal, niche atau nukleus yang bakal nembentuk Kerajaan Srivijaya. Nama kemegahan itu dipilih oleh Mamanda. Menteri Nakhoda Kalinga. Di situ jugalah Mamanda Menteri membentuk seorang raja Ma Lanyu atau raja Melayu yang berbudaya dan berkepercayaan Hindu dalam hibrid Melayu-Hindu.