RETRO BOLA SEPAK - 11
Satu perlawanan bersejarah antara Jepun dan Iran telah dijalankan di Malaysia pada tahun 1997. Perlawanan ini dilangsungkan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Johor Bahru (lebih dikenali sebagai Stadium Larkin), Malaysia, untuk menentukan wakil ketiga dari Asia untuk ke Piala Dunia 1998. Pasukan Jepun yang belum pernah layak ke Piala Dunia, agak terdesak untuk menjadi antara 32 buah pasukan yang layak ke Perancis, memandangkan mereka akan menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002 dengan Korea Selatan.

Sewaktu Kelayakan Piala Dunia 1994 pada 28hb Oktober 1993, Jepun mencatat keputusan seri 2-2 dengan Iraq di Doha, apabila pemain Iraq menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir permainan. Keputusan seri tersebut menghancurkan impian Jepun, memandangkan mereka perlu mencatatkan keputusan menang untuk menjuarai kumpulannya. Kekalahan kepada Iraq ini digelar oleh peminat Jepun sebagai Tragedi Doha.

Untuk Kelayakan Piala Dunia 1998, Zon Asia diberikan 3.5 slot, di mana 3 slot merupakan slot automatik dan 0.5 lagi ialah slot Play-off AFC/Oceania.

Skuad kebangsaan Malaysia gagal ke Piala Dunia 1998, setelah menduduki tempat kedua Kumpulan A, dengan hanya 11 mata, iaitu 5 mata di belakang juara kumpulan, Arab Saudi. Tempat ketiga dan keempat diduduki oleh Taiwan dan Bangladesh.

Tidak lama sebelum perlawanan epik tersebut, pasukan Jepun dilanda sedikit gelora, apabila ketua jurulatih mereka, Shu Kamo, dipecat pada bulan Oktober 1997, setelah pasukan Jepun hanya mampu menduduki tempat ketiga untuk Kumpulan B selepas empat perlawanan. Kamo digantikan oleh pembantu beliau, Takeshi Okada, yang kemudiannya berjaya mengemudi pasukan Jepun untuk menang dalam dua perlawanan akhir peringkat kumpulan, sebelum layak ke pusingan play-off.

Selepas gagal dalam percubaannya untuk layak ke Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, Jepun akhirnya berjaya melayakkan diri ke pertandingan paling berprestij untuk acara bola sepak, selepas menewaskan Iran 3-2. Gol kemenangan Jepun diperolehi menerusi jaringan gol emas oleh Masayuki Okano, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang waktu permainan sebenar.

Penyokong Jepun telah mendominasi Stadium Larkin seawal jam 3 petang, merangkumi sejumlah besar 22,000 orang yang hadir pada malam bersejarah tersebut. Mereka memberikan sokongan yang teguh kepada pasukan kesayangan mereka sejak babak awal permainan. Kemudian, mereka bersorak keriangan selepas pasukan Jepun berjaya menundukkan Iran menerusi penentuan gol emas sewaktu untuk layak ke Piala Dunia 1998 yang berlangsung di Perancis.

Meskipun tewas, Iran tetap mara ke Piala Dunia 1998 setelah menewaskan Australia dalam play-off AFC/ Oceania. Iran menyertai Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi ke Perancis, untuk merasai pengalaman bertanding dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia.

Menjelang 1998, Piala Dunia 1998 di Perancis menyaksikan bola rekaan baru oleh Adidas, dengan dihiasi corak tiga warna bendera Perancis: merah-putih-biru. Ini sangat berbeda daripada rekaan tradisional bola Piala Dunia; dengan warna tradisi hitam-putih. Merupakan bola Piala Dunia yang berwarna-warni, Tricolore menggunakan teknologi cetakan underglass dengan lapisan sintetik yang lebih nipis. Edisi 1998 juga menyaksikan Scotland melengkapkan rekod sebagai pasukan paling kerap disingkirkan sewaktu pusingan pertama.

Mereka gagal dalam 8 kali percubaan: 1954, 1958, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1998. Perancis yang dipimpin oleh Didier Deschamps dan Zinedine Zizou Zidane berjaya memenangi Edisi 1998 selepas menewaskan calon pilihan, Brazil, 3-0 dalam perlawanan akhir. Perancis memenangi Piala Dunia buat kali pertama, dan menjadi negara tuan rumah keenam memenangi kejohanan tersebut selepas Uruguay, Itali, England, Jerman Barat dan Argentina.

Antara bintang Jepun yang menyerlah sewaktu Piala Dunia 1998 ialah Hidetoshi Nakata, yang mula beraksi sejak Olimpik 1996 di Atlanta. Nakata yang ketika itu mewarnakan rambutnya ala pemain bola keranjang Amerika, Dennis Rodman, beraksi cemerlang untuk Jepun di Perancis.

Selain itu, Masami Ihara yang digelar Wall of Asia juga mempamerkan permainan yang memberangsangkan selaku ketua pasukan Jepun di Perancis. Untuk rekod, Masami Ihara merupakan Pemain Terbaik Asia 1995.

Beliau pernah beraksi untuk kelab Yokohama Marinos FC, yang menang 2-0 ke atas kelab Johor FC dari Malaysia. Perlawanan Yokohama Marinos FC dengan Johor FC dijalankan sewaktu Pusingan Kedua Kelab-Kelab Asia 1996, selepas Johor FC berjaya menewaskan kelab Vietnam, Polis Bandaraya Ho Chi Minh FC pada pusingan pertama.

Seperti yang kita sedia maklum, Liga Bola Sepak Jepun, J-League hanya mula dilaksanakan secara professional pada 1993. Namun, sejak 1998, Jepun telah layak ke Piala Dunia sebanyak empat kali. Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat pernah ditewaskan oleh Malaysia yang pernah layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik 1980 di Moscow. Tetapi jurang kualiti dan pembangunan sukan bola sepak di negara kita kini tampak masih jauh jika dibandingkan dengan tiga negara yang pernah kita tewaskan dulu itu.

" Semoga satu hari nanti, kita tidak hanya bermimpi dan bernostalgia tentang sejarah gemilang Raja Bola Ghani Minhat, Supermokh, Isa Bakar, James Wong, Hassan Sani, Aru The Spiderman, Santokh Singh dan Towkay Soh Chin Aun (sekadar menyebut beberapa nama). Semoga sahaja, satu hari nanti seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun kita layak ke

Piala Dunia. Amin. "