Tak payahlah Filman, saya tak apa-apa. Betul! Danira bersuara. Bimbang sungguh dia kalau tiba-tiba dia berjiran dengan Filman pula. Di mana dia hendak sorokkan mukanya nanti Pasti Kamila dan yang lain-lain akan mempunyai alasan mengusiknya. Dan pasti Lynn juga akan mempunyai alasan untuk membencinya lagi.
Kata-kata Danira membuatkan Filman ketawa. Lucu pula bila gurauannya dianggap serius.
Nira, saya sayangkan awak.
Danira kelu. Masih ungkapan yang sama setiap malam. Filman seolah-olah sengaja menjadikan ungkapan itu sebagai penamat perbualan mereka. Tidak kisah samaada ada dia membalasnya atau tidak, sayang yang dikatakan Filman itu sentiasa ada untuknya.
Cakaplah sesuatu. Desak Filman.
Nak cakap apa Danira kebingungan.
Cakaplah awak sayangkan saya ataupun tak
Danira mengigit bibir. Aduh! Ada-ada sahaja Filman ni. Bagaimana dia mahu mengatakan seperti apa yang lelaki itu mahukan. Tebal wajahnya dirasakan jika dia mengungkapkan kata-kata keramat itu.
Selagi Nira tak cakap, saya takkan tamatkan panggilan ni. Ugut Filman nakal.
Danira mengeluh kecil. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Otaknya sudah tepu untuk mencari alasan untuk mengelak.
Fil, saya..saya sayang awak juga. Bera wajahnya dirasakan saat dia menghabiskan kata-katanya. Meski Filman tidak ada di hadapannya untuk melihat wajahnya yang merona merah, namun dia tetap merasakan kulit wajahnya berbahang. Malu sungguh!
Filman ketawa kecil. Seolah-olah kata-katanya itu sentiasa ditunggu dan diharapkan. Nira, saya cintakan awak. Terima kasih sebab izinkan saya berada di hati Nira. I love you sayang. Ungkap Filman romantis. Dan dia hanya mampu menelan kata-kata Filman itu dengan wajah merah padam. Yang pasti, ada bunga-bunga cinta di hatinya untuk lelaki itu. Dan perasaannya benar-benar indah tak terbayangkan!
Melihat gadis itu berdiri di hadapan muka pintu taska itu, nafasnya mendesah kesal. Hendak keluar dia jadi ragu-ragu. Bimbang dia berkata yang bukan-bukan pada gadis itu. Sudahnya dia hanya duduk diam di dalam kereta. Menanti buat sementara sehingga kebanyakan ibu bapa yang mahu mengambil anak masing-masing beredar.
Tapi semakin lama dia diam di dalam kereta itu, hatinya semakin gelisah. Mahu rasanya dia menyumpah Filman yang tiba-tiba menyuruh dia menjemput Melia di taska petang itu. Takkan sudah dia menanti di dalam kereta. Mana mungkin Melia akan dilepaskan ke luar pagar itu seorang diri.
Mata Aliff masih mencuri pandang ke arah Danira yang menghantar setiap anak-anak di taska itu ke tangan penjaga masing-masing. Jauh di sudut hati, dia sebenarnya mahu menemui gadis itu lagi. Ada sesuatu yang harus ditanya pada gadis itu. Tentang Naufal yang namanya cukup asing, atau mungkin tentang dirinya sendiri yang tidak mampu mengingati susur galur sendiri. Tapi entah kenapa, setiap kali dia mahu mendekati gadis itu, ada sesuatu yang menghalangnya. Wajah sayu gadis itu dengan tiba-tiba akan membangkitkan sebak di dadanya, membuatkan dia jadi sukar bernafas. Lantas setiap niatnya akan terhalang tanpa disedari.
Kenapa ma Kenapa ma tak mahu berterus-terang dengan Aliff Dia masih ingat perbualan di antara dia dan Tengku Saida suatu ketika dahulu.
Ma bukan tak mahu berterus-terang dengan Aliff, tapi itulah hakikatnya sayang. Kami jumpa Aliff di rumah anak yatim, dan sejak itu Aliff jadi anak angkat kami. Jelas ibunya.
Kalau betul begitu, kenapa Aliff tak boleh ingat siapa diri Aliff ni ma Kenapa Aliff ada penyakit ganjil macam ni Dia memegang kepalanya yang berpinar-pinar. Sedikit kerumitan yang dirasakan di lubuk hati akan segera membangkitkan kesan pada kepalanya.
Ma tentu tahu apa sebenarnya jadi pada Aliff kan Tentu ada sebabnya kenapa Aliff jadi begini. Sambungnya lagi. Wajah ibunya dengan cepat bertukar resah.
Aliff memang dari dulu lagi kurang sihat. Aliff kan pernah kemalangan dulu. Jelas wanita itu serba-salah. Dia terkejut mendengarnya.
Kemalangan apa ma Soalnya hairan. Kemalangan apakah yang dimaksudkan ibunya
Err ma pun tak pasti sangat, ayah kamu yang tahu. Nanti Aliff tanya dia sendiri lah. Wanita itu enggan menjelaskan apa-apa. Puas dia memujuk, tapi dari gaya percakapan ibunya, dia tahu ada sesuatu yang sedang disembunyikan ibunya. Sesuatu mengenai dirinya!
Dia mengajukan pertanyaan pada ayahnya pula, tapi jawapan yang diberi lelaki itu lebih kurang sama dengan apa yang diperkatakan ibunya. Dia hanya diberitahu tentang rumah anak yatim yang kononnya menjadi tempat dia diambil dahulu. Tapi apabila dia meminta alamat rumah anak-anak yatim itu, tak semena-mena lelaki itu mengatakan rumah anak-anak yatim itu sudah lama ditutup.
bersambung
Bab akan datang:
Mengapa mereka semua menyembunyikan perihal diri Aliff Ada sesuatu burukkah yang terjadi