Fil, Danira bekas banduan. Lelaki Cina yang Fil nampak tempohari tu peguam Nira. Ujar Kamila berterus-terang. Berat hatinya mahu mengatakan hal sebenarnya, tapi dia tidak mahu lagi terus berahsia dengan Filman. Mungkin ada baiknya kalau Filman tahu sekarang dari tahu di kemudian hari.
Filman tersentak. Wajah Kamila ditatap tidak berkelip. Telinganya mendengar namun dia tetap kebingungan. Apa yang baharu meniti keluar dari bibir Kamila membuatkan tubuhnya gementar. Dia nanar!
DARI tadi dia berdiri di luar rumah dua tingkat itu. Namun sejak satu jam yang lalu, rumah itu bergelap. Taska yang dihuni gadis itu diperhatikan dengan teliti. Meskipun ia sekadar rumah asuhan untuk kanak-kanak, tapi ia kemas dan besar. Danira juga kelihatan senang tinggal di situ. Dia juga sempat berkenalan dengan tuan punya taska itu tempohari. Kamila seorang wanita yang ramah tamah dan baik budi bahasa.
Joshua membelek jam di tangannya. Sudah hampir pukul 10 malam. Ke mana gadis itu pergi sampai sekarang belum pulang-pulang lagi Sesekali dia terganggu dengan bunyi deringan telefon bimbitnya Panggilan itu membuatkan dia teruja. Namun sebaik dia melihat nama Evelyn terpapar di layar skrin, nafasnya segera mendesah. Lantas panggilan itu didiamkan sahaja.
Puas menanti di situ, namun kelibat Danira tidak kunjung tiba. Joshua mengambil keputusan untuk beredar sahaja. Namun belum sempat dia mahu menghidupkan enjin keretanya, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Kereta berwarna hitam gelap yang berhenti di bahu jalan berhampiran dengan taska itu diperhatikan dengan penuh minat. Dia perasan sudah dua tiga kali kereta yang sama kelihatan berulang-alik di hadapan taska Sissy Kindergarden itu. Cermin kereta itu diturunkan menyerlahkan seraut wajah.
Joshua mengecilkan mata, cuba meneliti wajah itu baik-baik. Lelaki di dalam kereta itu sedang memandang ke arah taska yang sedang diperhatikannya. Naluri Joshua mula dipenuhi syak wasangka. Siapa lelaki itu dan kenapa dia mengawasi taska itu
******
Dia tak balik malam ni. Ujar Tim sekadar mahu memaklumkan.
Dia mengangguk. Lampu di dalam rumah itu tidak ada satu pun yang terpasang. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Hampir tengah malam! Ke mana gadis itu pergi malam-malam begini Jangan-jangan Danira sudah melarikan diri. Entah kenapa Cobe berfikiran begitu.
Kau nak aku geledah tempat tu Tim bertanya sebaik menyedari raut wajah Cobe kelihatan muram. Lelaki itu berpaling sebaik mendengar pertanyaannya. Kening Cobe terangkat sedikit.
Untuk apa
Come on Cobe. Kau tahu maksud aku. Kita kena cari formula tu sebelum Faruk dan orang-orangnya jumpa. Kalau ia jatuh ke tangan Faruk, kau akan hilang hak ke atas Kawasan Emas. Tim memperingatkannya.
Budak tu tak ada formula tu Tim. Dengus Cobe.
Tapi kau tak pasti bukan
Adnan tak mungkin akan membahayakan nyawa anaknya sendiri.
Tim mengeluh kecil. Cobe, aku tahu kau rasa bersalah di atas kematian Adnan dan Zahlia. Tapi kau tak boleh tebus semua itu dengan terus melindungi gadis itu. Kalau Mr. Kay tahu tentang dia, kita semua akan dapat susah. Nasihat Tim.
Cobe terdiam. Wajahnya muram mendengar kata-kata Tim. Ini bukan kali pertama Tim mengingatkannya tentang apa yang telah dilakukannya selama ini.
Sudah berulangkali lelaki itu mengingatkan dirinya tentang siapa dirinya. Kau bukan lelaki yang baik Cobe! Kau lelaki berdosa yang telah membunuh orang-orang yang tidak bersalah demi kerana hidup yang tidak pernah ada maknanya. Tapi kelakarnya, kau tak mampu memilih jalan hidup sendiri. Sekalipun kau mahu, kau takkan mampu meninggalkan hidup seperti ini! Hati kecil Cobe saling berbicara. Cuba menelan hakikat yang teramat pahit mahu dicerna.
Suatu waktu dulu, dia anak yang patuh pada kata-kata orang yang lebih tua. Meskipun dia nakal, namun dia tidak pernah menyusahkan orang lain. Siapa sangka dia sekarang adalah ketua di Kawasan Emas. Orang kepercayaan lelaki dipanggil Mr. Kay yang menerajui hampir 60 peratus perniagaan haram di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bharu dan Pulau Pinang.
Dua puluh tahun dulu, dia cuma orang suruhan Faruk, salah seorang orang kanan Mr. Kay. Kesetiaannya pada Faruk memang tidak berbelah bahagi. Namun sejak lelaki itu mempergunakan Zahlia untuk kepentingan dirinya sendiri, kesetiaannya mula goyah. Ketika itulah dia diperkenalkan dengan Mr. Kay. Lelaki kaya raya itu berlindung di sebalik statusnya sebagai seorang jutawan untuk menutup perniagaan sebenarnya. Dia pula ditawarkan berkhidmat dengan Mr. Kay sebagai pengawal peribadi lelaki itu.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah formula yang mereka carikan itu Masalahnya, benarkah formula itu ada pada Danira