Mencari Kiblat Cinta - 119
Sesekali helaian rambut si gadis yang terdedah, terjuntai di atas permukaan dahi. Aliff teragak-agak mahu menyentuh dan melarikan helaian anak rambut tersebut.

Entah kenapa, fikirannya asyik teringatkan setiap saat pertemuannya dengan Danira yang singkat tetapi meninggalkan kesan mendalam. Sungguh dia keliru sekarang. Kehadiran gadis itu benar-benar membuatkan dia bingung.

Plastik di tangannya dibuka dan diteliti. Baju Danira dikeluarkan dari dalam beg plastik lalu diletakkan di atas meja kecil di tepi katil. Sejurus matanya terpandang sesuatu. Dahinya berkerut. Dompet kecil berwarna coklat tua itu direnung lama. Patutkah aku membuka dompetnya Entah kenapa dia teringin mahu melihat isi dompet gadis itu. Hatinya teringin mahu mengenali Danira dengan lebih dekat.

Tanpa berfikir panjang, Aliff membuka dompet gadis itu lalu membelek-membelek isinya sejenak. Tidak ada apa-apa yang istimewa yang ditemuinya. Wang gadis itu hanya ada sebanyak lima puluh ringgit sahaja. Kad pengenalan yang tersisip di dalam salah satu poket dompet turut dikeluarkan. Danira Quratul Ain Binti Adnan. Aliff membaca nama itu perlahan. Dahinya berkerut sedikit.

Ketika dia hendak menyimpan kad pengenalan itu, tangannya tiba-tiba tersentuh sesuatu. Sekeping gambar bersaiz kecil dikeluarkan dari dalam sisip dompet. Matanya terperuk ke arah paparan dua wajah di dalam gambar tersebut yang berdiri bersama sambil tersenyum. Semakin lama bebola matanya semakin mengecil memandang wajah-wajah itu. Fikirannya melayang-layang.

Anak lelaki tak boleh nakal. Mesti rajin belajar supaya suatu hari nanti Naufal boleh jadi orang berjaya. Boleh kerja besar, pakai kereta besar, rumah besar. Selepas itu boleh jaga ayah, jaga ibu dan kakak. Ketawa lelaki itu berkumandang. Jelas menerpa ke corong telinganya.

Naufal sayang ayah dan umi tak

Sayang.

Kakak

Sayang.

Kalau begitu, Naufal kena janji dengan ayah. Walau apa pun yang berlaku, Naufal kena sayang kakak. Kalau ayah dan umi sudah tidak ada suatu hari nanti, Naufal kena jaga dan lindungi Kak Nira. Jangan sesekali berpisah dengan kakak, janji dengan ayah sayang.

Aliff memegang kepalanya. Kulit kepalanya terasa berbahang. Sakitnya seiring dengan kata-kata yang terus meletus di fikirannya bagaikan satu fragmen ulang tayang.

Janji dengan ayah sayang.

******

Dia menggeleng. Nafasnya kencang. Dadanya perit. Tak mungkin! Tiba-tiba ruang wad di sekelilingnya mula berubah. Dia memandang di sekitarnya. Sudah tidak ada dinding putih yang melatari bilik di hospital itu. Sebaliknya dinding putih itu kini bertukar warna. Malah katil yang menempati gadis itu juga ghaib. Yang ada hanyalah tilam kecil yang terletak di tengah ruang. Di situ dia melihat sekujur tubuh terbaring di atas tilam itu dengan seluruh tubuh dikapankan separuh, hanya menampakkan bahagian wajah. Wajah itu sama dengan wajah gambar yang masih ada di pegangannya. Di sekeliling mayat itu terdapat ramai orang sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran. Di suatu sudut, terdapat seorang wanita sedang memeluk seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 11 atau 12 tahun. Di belakang wanita itu pula kelihatan seorang anak gadis remaja, bertudung litup sedang membaca al-Quran. Gadis itu lebih tenang berbanding wanita itu yang tak putus-putus mengalirkan airmata lesu.

Aliff semakin kaku. Semua imej-imej itu terus membekam fikirannya. Terus mengasak setiap inci dirinya yang seperti sedang melihat ulang tayang peristiwa yang pernah terjadi. Semua imej-imeh itu seperti mesra di kotak fikirannya. Seperti pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

Ayah kata-kata itu meluncur dari bibirnya tanpa disedari. Tubuhnya menggeletar. Ya ALLAH! Matanya berlari ke arah Danira yang masih tidur. Raut wajah itu diperhalusi dalam-dalam. Kelopak matanya mulai bergenang air jernih. Segala-galanya semakin jelas kini.

Naufal kena jaga dan lindungi Kak Nira. Kata-kata itu sentiasa berulang di fikirannya. Danira! Nira Imbasan masa lalunya kembali lagi.

Pergi! Kakak kata pergi! Jerit gadis itu. Dia enggan lalu menggelengkan kepala. Namun gadis itu terus menolak-nolak tubuhnya.

Kalau Naufal kasihkan kakak, pergi dari sini sekarang juga. Pergi kakak kata. Herdik gadis itu lagi. Menghalaunya dari tempat itu sebelum terlambat. Hendak tidak hendak dia segera berlari dari situ apabila bunyi siren polis kedengaran. Sesekali dia menoleh.

Namun dia hanya sempat melihat renungan gadis itu yang penuh kesedihan. Sekali lagi dia menoleh, dua buah kereta polis sudah mengepung tempat itu. Dia sudah tidak ada pilihan lain selain berlari meninggalkan tempat itu.

Namun keputusan itu tidak pernah disenanginya. Dia menyesal kerana meninggalkan Danira di situ malam itu. Kalau bukan kerananya tak mungkin Danira akan menanggung kesilapan yang telah dilakukannya selama ini.

Kecewa dengan apa yang terjadi, dia nekad menemui lelaki itu. Lelaki yang telah menjebaknya jauh tanpa disedari.

bersambung

Bab akan datang:

Apa yang Naufal terjebak sebenarnya Apa yang telah dilakukannya pada malam itu sehingga meninggalkan Danira