Dalam kekalutan yang teramat itu di mana Hasnah ditahan reman, Hasya terpaksa diletakkan di bawah jagaan Akmar Aini, seorang sahabat karib yang dipercayainya lebih daripada kakak sendiri. Dia sedar agak sukar untuk mengharap bantuan keluarga ketika itu disebabkan tragedi yang memberi aib kepada mereka 14 tahun sebelumnya berikutan kelahiran Hasya yang lahir berbintikan Abdullah.
Mengakui kekhilafan diri; terkeliru dalam membuat pilihan antara Mazhab Maliki di mana penulis al-Fiqh, al-Islami, yakni Dr Wahbah al-Zuhaili yang berpendapat bahawa tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai zina dalam bidang fikah dan Mazhab Shafie pula yang mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, surah Al-Nur, Hasnah akhirnya nekad mengikut hati nuraninya sendiri dalam menentukan masa depan Hasya Leela Abdullah.
Meski diterjah orang tua dengan desakan mencari lelaki yang bertanggungjawab agar mereka segera dinikahkan sebelum kelahiran dihidu oleh masyarakat setempat, Hasnah enggan berbuat demikian. Bukan lelaki yang membuntingkannya itu mahu lari dari tanggungjawab, tapi dia sendiri yang nekad memilih haluan sendiri kerana tidak mahu terbeban dengan perkahwinan hanya kerana terlanjur perbuatan.
Sememangnya dia sudah bertaubat Nasuha; dan janjinya untuk memberi penghidupan sesempurna mungkin buat anak itu dan bukan menggugurkannya sebagai pilihan, sesungguhnya satu keputusan yang dianggap berani pernah diambil oleh seorang wanita Melayu di era 70an. Dan dalam seribu satu kepayahan antara tugasan pengajian ditambah jerih-perih membesarkan Hasya, segulung ijazah berjaya juga digenggam Hasnah dengan penuh kesyukuran.
Maka bermulalah episod barunya sebagai seorang tutor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta sehinggalah
peristiwa berdarah yang telah mengubah takdirnya dalam sekelip mata, tercatit dalam sejarah.
Saat Hasnah ditahan reman, dia didatangi seorang peguam yang menawarkan diri membelanya. Kes itu dilihat Sebastian Jones sebagai suatu prospek yang berpotensi cukup besar dalam mencipta reputasi kerjayanya dalam dunia perundangan Malaysia sekiranya berjaya mempertahankan wanita malang itu di makhamah kelak. Ternyata telahannya benar. Meskipun gagal membebaskan Hasnah dari tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, sekurang-kurangnya Hasnah terlepas dari tali gantung yang mengazabkan!
Keputusan Makhamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman mati seolah memberi jalan mati kepada Hasnah tetapi tidak Sebastian. Permohonan rayuan keputusan kepada Makhamah Rayuan pula dikemukakan olehnya selepas itu dan meskipun ianya ditolak, perkataan putusasa tiada dalam kamus hidup Sebastian. Dia mencuba lagi. Perhitungan terakhir kali ini bagi mengubah takdir Hasnah: Makhamah Persekutuan. Sungguhpun terlalu banyak rintangan dan penantian bertahun-tahun terpaksa ditempuhnya sepanjang berlangsungnya proses rayuan sehingga ke tahap Hasnah lebih rela mati di tali gantung daripada berada di dalam situasi tergantung seperti itu, namun pembelaan Sebastian Jones tetap dianggap cemerlang kerana berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie di mana perbuatan defendan membunuh mangsa sehingga mati itu adalah sebagai langkah untuk mempertahankan diri dan bukannya beserta niat.
Berkat kesabaran serta keikhlasannya memperjuangkan hak wanita yang teraniaya seperti Hasnah itu, berserta rekod jenayah yang dimiliki Naim terhadap kes mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun beberapa tahun sebelumnya yang berjaya dibongkar; yang turut dikemukakan sebagai bukti bagi memperkuatkan hujah pembelaan, Mahkamah Persekutuan akhirnya menerima permohonan rayuan tersebut sekaligus meringankan hukuman asal gantung sampai mati kepada hukuman penjara seumur hayat.