Setiap apa yang terjadi di dalam galeri ini adalah petandapetanda yang kami boleh letakkan dalam imej kami selaku Tuhan. Kamilah Tuhan semesta alam yang menggantikan Tuhan yang tak kompeten. Kamilah Tuhan semesta alam yang berusaha dengan sedaya upaya kudrat Kami untuk menghalang kemusnahan alam semesta yang diciptakan Tuhan yang tak kompeten tersebut. Kamu tidak faham akan situasi ini, tetapi saya percaya saya akan dapat menerangkan dengan berkesan akan apa yang terjadi kepada kewujudan anda.
Simulasi realiti ini ada sebabnya. Kami patut dilabelkan selaku hero sejagat kepada keseluruhan makhluk-makhluk yang pernah hidup. Biarpun kami tak omnipoten seperti Tuhan kamu, tapi kami berusaha. Hanya kami yang mampu bertahan sehingga kini. Hanya kami sahaja yang mampu memastikan kelangsungan hidup manusia dan keseluruhan makhluk yang pernah wujud di alam semesta ini
Krishnan mengambil berus lukisan yang tersadai di atas lantai, yang saya andaikan tersadai dek kerana gelojoh polispolis robotik yang menggeledah galeri.
Tapi kamu semua dah bunuh Puan Raudah! saya berteriak lantang.
Itu hanya persepsi kecil. Hidup dan mati adalah persepsi makhluk-makhluk kerdil yang tidak dapat memahami Tuhannya tingkah Mitchelle.
Mereka berdua kini berusaha sedaya upaya untuk menyudahkan lukisan yang belum siap tadi. Pantas mereka mencalit warna, mengadunnya sehingga apa yang tertera adalah satu seni yang sukar digambarkan kecantikannya dengan kata-kata. Saya berharap saya mampu melakarnya dengan kata-kata tetapi saya rasa ia tak memadai.
Sesuatu yang visual harus ditatap secara visual juga untuk mendapatkan perspektif yang penuh dan berkesan.
Siap! serentak mereka bertempik dengan penuh girang. Ia membuatkan saya berasa kurang selesa. Namun begitu, saya telah diingatkan berkali-kali bahawasanya mereka itu adalah makhluk asing yang jauh lebih tinggi peradabannya dari orang bumi dan juga makhluk Marikh.
Apa pendapat awak dengan lukisan ini
Saya mendapati lukisan pertama yakni yang dilukis oleh Mitchelle kelihatan suram. Pemilihan warnanya yang menentukan subjek lukisannya seperti itu. Puan Raudah, terbaring lesu. Mekapnya pudar, matanya kuyu, bibirnya pucat. Bahkan warna merah yang membalut kebaya yang disarung di tubuhnya jua kelihatan muram. Jika dilihat sekali imbas, ia umpama balutan darah yang sengaja ditancap bentuknya menjadi pakaian. The Phosphorus pula kelihatan bengis dengan matanya yang bundar hitam sepenuhnya itu. Mata pisau di kedua-dua belah tangannya telah dibentuk agar kelihatan tajam dan bentuknya juga diubah. Cukup jahat. Zulmatnya padu.
Saya berkalih pula ke lukisan yang kedua yakni yang dilakar oleh Khrisnan. Ia jauh berbeza dari lukisan Mitchelle. Tidak, tidak, maksud saya tadi, subjeknya tetap sama. The Phosphorus & The Raudah juga. Cuma pemilihan warnanya dan pembentukan latar pentas yang telah digambarkan dengan lebih ceria membuatkan saya terpersona dengan kecantikannya. Tiada pisau di tangan The Phosphorus kali ini. Tangannya yang sepatutnya menggenggam pisau kini dibentuk agar menadah sesuatu dari langit. The Phosphorus kini berdoa. Entah kepada siapa dia berdoa, saya pun tak pasti. Mungkin ini sekadar jenaka Krishnan tetapi dia sedang meneliti lukisan yang digarapnya itu dengan wajah serius. Saya tak pasti sama ada dia sedang gembira ataupun duka. Mungkin juga lukisan yang dilakarnya ini tidak diwarnakan mengikut kehendak hatinya yang sebenar.
Saya berpendapat kedua-dua lukisan ini bagus. Cuma lukisan awak, Mitchelle, lebih suram. Dan lukisan Khrisnan pula, biarpun sama sahaja subjeknya, ia kelihatan ceria. Tiada kekejaman yang terserlah dari gambar itu. Semuanya kerana pemilihan warna dan pembentukan latar. Aneh bagi saya
Krishnan dan juga Mitchelle bertepuk tangan tiba-tiba. Saya merasa seolah diperbodoh-bodohkan dengan jawapan saya.
Mungkin saya tidak patut memberi pendapat saya, tetapi segalanya sudah terlambat.
Bagus! Tapi kami ada definisi lain untuk lukisan ini. Awak tak silap. Setiap lukisan di dunia ini punya maknanya tersendiri mengikut individu yang melihatnya. Apa yang awak bentangkan itu adalah pendapat awak. Begitu tipikal. Tetapi tak mengapa ujar Mitchelle.
Lukisan-lukisan ini adalah definisi kepada kesatuan. Sesuatu yang berlawanan sifatnya sebenarnya menyatu dalam satu kewujudan tingkah Khrisnan pula.
Mengungkapkan kata-kata Oppenheimer:
Ia bergerak. Ia tidak bergerak.
Ia hampir dan ia juga dekat.
Ia berada dalam kesemua ini
Dan ia juga berada di luar kesemua ini.
Awak faham, Razali tambah Krishnan lagi. Sekali lagi cerut muncul di tangannya dan asap berkepulan timbul di sekitar tanpa menghadirkan sebarang bau. Saya masih cuba memahami akan simbolik perbuatan menghisap cerut tanpa sebarang bau asap itu. Saya berharap saya tidak dimanipulasi oleh sesuatu seperti cerut. Hati saya kuat memberitahu diri: Bongkarkan sainsnya!
Manusia sebenarnya menakjubkan. Mereka boleh memikir sesuatu yang mirip akan pemikiran kami, tetapi mereka tak cukup kapasiti untuk membuktikan kesahihan idea yang terbit dalam kepala mereka. Mereka tak cukup kualiti itu. Dan kami, senantiasa terkedepan dalam serba-serbi. Oleh sebab itulah kami bertindak selaku pelindung kepada kewujudan yang sedia ada.
Jika awak dapat lihat apa yang sudah terjadi pada realiti yang kami kawal kini, awak pasti hilang semangat untuk terus hidup ujar Mitchelle. Ketika itu dia sedang memalit wajahnya dengan cat-cat yang mengotori tangannya. Kulitnya yang putih melepak kini dibaur warna-warna merah, kelabu dan juga biru. Saya tidak memahami corakcorak yang dibentuknya pada wajah itu.
Sepertimana dua lukisan yang sama tetapi berbeza pencorakan warnanya, seperti itu jugalah lakaran pada wajah Mitchelle. Mereka suka pada metafora. Simbol demi simbol. Aku cuba memahami bagaimana simulasi realiti berlaku. Siapa yang memulakan idea itu
Ada yang tidur, ada yang berkuasa. Namun mereka memegang kalimah sama. Mereka bergelar Tuhan, tetapi bukanlah Tuhan dari konteks manusia.
Adanya dua, tetapi berbeza duduknya.
Ada yang mengikut prinsip antropik dan ada juga transendental. Sesungguhnya, transendental jua tidak bermakna dia maha berkuasa. Apabila kuasa mencipta berada dalam cengkaman, ia tidak bermakna pemilik kuasa itu berada dalam pemahaman ke atas kuasanya sendiri.
Alam semesta ini berada di ambang kehancuran. Awak tahu Dapat bayangkan kemungkinan itu
Di satu sudut kecil yang dahulunya sebuah planet yang berbatuan, kami mengumpulkan setiap spesis yang pernah melata di seluruh dunia. Kami tidurkan mereka dan hanyutkan mereka dalam simulasi realiti agar mereka terus berdelusi bahawasanya mereka sedang berevolusi.
Kami adalah pemegang amanah ke atas mimpi-mimpi kewujudan ini. Kami harus perjuangkan makna hidup yang setiap kehidupan mahu teroka.
Namun kami sudah tiba di penghujung jalan. Kami akan musnah. Dan kamu semua juga akan turut serta. Kita akan menuju ke arah ketidaktahuan. Tidak mengetahui sesuatu tatkala kita sudah mendambakan pengetahuan itu satu perkara yang menakutkan. Tidak begitu, Razali
Krishnan menghulurkan cerut kepada saya. Ia terbit dari jari-jemarinya seperti tadi tanpa saya fahami magisnya. Saya menerimanya tetapi tidaklah pula meletakkannya di atas bibir saya. Saya tak merokok. Saya tak mungkin berminat untuk menghirup asap yang akan dibuntilkan oleh cerut itu, biarpun saya menyedari ia mungkin memberikan perspektif yang berbeza dari apa yang saya pernah bayangkan.
Heh, manusia memang begini. Sentiasa ragu-ragu Krishnan membakar cerut yang kedua. Namun cerut yang ini sedikit luar biasa warnanya. Ada rencah pelangi. Bahkan kali ini ia punya aroma wangi yang menusuk hidung. Seiringan pula dengan lukisan demi lukisan yang bergantungan di dalam galeri ini. Ia membangkitkan rasa mesra seolah saya ini berada di rumah sendiri. Tidak, ini hanya ilusi. Saya tak boleh berdelusi lagi.
The Phosphorus adalah dari Marikh, manakala Puan Raudah dari bumi. Untuk menyelami apa yang tersirat di balik simulasi realiti, awak perlu mencari titik persamaan antara dua kewujudan yang berlawanan. Sepertimana Tuhan yang tak tahu apa-apa dengan Tuhan yang maha berkuasa. Sepertimana konsep kejahatan dan juga kebaikan. Lihat betul-betul. Awak akan dibawa ke realiti sebenar
Krishnan dan Mitchelle tersenyum sebelum berjalan ke tengah pentas sambil berpimpinan tangan. Saya mangut dan terus kaku di tempat saya berdiri. Saya melihat mereka seolah menari sebelum jasad mereka menyatu laksana ia satu bayang. Jisimnya punah dan digantikan dengan satu perebakan jirim gelap yang cukup padat zulmatnya. Ketakutan, saya mula berlari. Namun semakin jauh saya berlari, saya merasakan masa seolah bergerak begitu perlahan.
Saya pernah membaca perihal ini. Masa bergerak perlahan apabila kita mendekati lohong hitam. Namun adakah ia bermakna mereka berdua sudah berjaya meniru mekanisme lohong hitam itu tadi Saya selaku bekas angkasawan tidak menyangka peradaban makhluk asing sudah tiba ke peringkat ini.
Ah, ia tidak mustahil.
Sekiranya galaksi yang kami pantau dari ratusan tahun dahulu hanyalah satu simulasi realiti, maka setiap hukum-hakam yang dipersembahkan oleh Fermi, Konstantin Tsiolkovsky, Drake dan juga Silas R. Beane termansuh secara mutlak. Jika apa yang kami cuba modelkan dengan matematik itu tidak tepat secara visualnya dan juga fiziknya, maka ia sudah jadi satu perkara yang sia-sia. Kajian yang kami tempuhi semuanya membawa kepada kebuntuan.
Mengapa mereka harus lakukan perkara itu kepada kami
Tidakkah kami pencinta astrofizik juga
Maka, kesimpulan yang dibuat oleh Dr. James Gates tepat sekali. Kami sebenarnya hidup dalam matriks. Matriks yang dibentuk oleh makhluk asing yang begitu berkuasa ini.