TOK MELAH tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Segala-galanya serba tidak kena. Segala-galanya serba menyusahkan. Masalah yang selalunya cukup mudah untuk diselesaikan, tibatiba sahaja bagaikan tulang terubuk lekat di rengkung. Lebih malang lagi, tiada sesiapa pun yang dapat menolongnya. Tok Imam Tua sendiri pun, nampaknya tidak berminat hendak membantunya menyelesaikan masalah itu.
Bang Imam... saya tengah buntu ni! Tolonglah!
rayu Tok Melah tatkala Tok Imam Tua selesai bertahajud dan cuba membuka al Quran untuk dibaca. Tok Imam Tua sedikit pun tidak berkalih pandang kepada Tok Melah. Rayuan Tok Melah langsung tidak singgah di cuping telinganya yang menggelambir. Pun begitu, Tok Imam Tua masih tidak memulakan bacaan al Quran seperti yang lazim dilakukannya pada tengah-tengah malam sebelumnya. Dia cuma duduk, mengukuhkan silaannya, menghadap al Quran dan kaku bagaikan patung kayu.
Janganlah jadi macam patung kayu. Tolonglah!
Saya tak boleh buat apa-apa. Apa yang nak ditolong Semuanya kan dah selesai
Selesai apa macam tu Tak ada satu masalah pun yang dah selesai. Takkan nak biarkan polis bawa dia ke balai Keadaannya dah teruk sangat tu.
Berserah sahajalah kepada Allah, Melah. Ini semua kerja Tuhan.
Senang benar jawapan yang diberikan oleh Tok Imam Tua, sekali gus mengundang kemarahan yang tidak kecil kepada Tok Melah.
Kalau betul tak ada apa-apa, takkanlah Allah Taala akan menzalimi hamba-Nya.
Awak jangan nak main-main dengan saya Bang Imam. Saya tanya betul-betul ni!
Apa lagi yang awak boleh buat, Melah Saya memang tak boleh buat apa-apa. Benda ni dah jadi kes polis.
Takkanlah awak langsung tak boleh bersuara Suara awak kan orang dengar
Dalam hal-hal yang tak berkaitan dengan undangundang, bolehlah saya cuba ikhtiarkan. Ini masalahnya kematian... polis syak ada kematian yang meragukan pada budak tu. Masa kematian budak tu pula, si Miah ada di rumah. Habis, saya nak buat apa
Tok Imam Tua menyoal kembali.
Saya nak cakap bohong yang saya ada tengok, budak tu jatuh sendiri dan kepalanya pecah
Setidak-tidaknya, mohlah kita ke balai. Tengok si Miah. Apa kesudahnya dia bermalam di lokap polis. Sudahlah keadaan dia tak menentu. Ni nak disoal siasat pula.
Kalau dia tak buat salah, polis akan lepaskan dia. Ini bukan negara komunis. Ini negara orang Islam. Ada undang-undang yang dipatuhi dan dijalankan. Bukan tangkap main borong macam kerajaan komunis buat kepada rakyatnya.
Tok Melah pandang suaminya itu dengan tajam. Terdetik di hatinya, berani pula Tok Imam Tua bersoal balas dengannya. Selalunya Tok Imam Tua lebih senang mendiamkan diri dan membiarkan dia sahaja yang bercakap. Kata-kata Tok Imam Tua itu sudah mengesahkan bahawa kehendaknya tidak akan dipenuhi. Niatnya untuk melihat Miah di lokap, tidak akan jadi kenyataan. Satu-satunya perkara yang membuatkan Tok Imam Tua bercakap seperti itu adalah, suaminya itu tahu benar dengan apa yang berlaku. Tok Imam Tua nampak kejadian tersebut dan memutuskan untuk tidak mahu terlibat dalam sebarang perkara yang menyalahi undang-undang. Namun memikirkan yang suaminya tidak keluar dari rumah malah asyik berkurung di dalam bilik mentelaahnya sahaja, Tok Melah sedikit lega. Sungguhpun Tok Melah juga tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan kematian anak tunggal Miah dan Pak Long Lateh itu, Tok Melah mengesyaki penglibatan Miah. Miah mungkin telah memukul anaknya secara tidak sengaja kerana geram dengan lakinya. Perangai baran Miah bukanlah asing kepadanya. Miah akan sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk melepaskan kemarahannya. Pun begitu, Tok Melah tidak pernah pula melihat Miah memarahi anak tunggalnya. Sayang Miah kepada anak tunggalnya itu mengatasi segala-galanya. Ke mana-mana sahaja akan diheret anak lelaki tunggalnya itu. Masakan Miah sampai sanggup bunuh anaknya sendiri kerana marahkan Pak Long Lateh yang masih tidak pulang-pulang sehingga sekarang Mustahil!
Ini kan dah tengah malam. Kalau nak tengok pun, esok pagi sajalah. Kalau awak pergi sana sekarang pun, awak takkan dibenar berjumpa dengan Miah. Buang masa sahaja awak berjaga. Lebih baik awak tidur dan tenangkan fikiran,
nasihat Tok Imam Tua.
Pagi-pagi esok, kalau ada sesiapa yang nak ke balai polis, awak pergilah dengan mereka. Tumpang mereka.
Nasihat Tok Imam Tua langsung tidak menyenangkan atau mengurangkan keresahan Tok Melah. Hanya kerana hari telah jauh malam dan tiada sesiapa pun yang akan menemaninya ke balai polis, membuatkan Tok Melah terpaksa akur untuk tidak berganjak keluar dari rumahnya. Namun nasihat Tok Imam Tua juga tidak mampu membawanya ke katil dan melelapkan mata, biarpun seluruh badannya sudah kelesuan. Siang tadi, dia menjadi orang yang paling sibuk menguruskan kematian anak Miah dan Pak Long Lateh. Di sebalik kehilangan Pak Long Lateh yang masih tidak diketahui punca dan sebab-musabab, kematian anak kecil pasangan itu, turut terbeban di atas kepala Tok Melah. Tok Melah tidak sahaja sibuk menguruskan kegilaan dan kesedihan Miah, tetapi Tok Melah juga terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk semua urusan di rumah Pak Long Lateh. Sebabnya, semua orang tahu tentang hubungan rapat antara Tok Melah dengan Miah. Apa-apa sahaja yang berlaku kepada keluarga Miah, pasti akan diketahui oleh Tok Melah juga. Kalau bukan dari mulut Miah, sudah pasti Tok Melah tahu sendiri kerana kekerapannya bertandang ke rumah itu. Malah sudah acap kali juga Tok Melah bertindak sebagai hakim atau pendamai antara kedua-dua suami isteri itu. Tok Melah sendiri cukup berbangga apabila Miah meminta bantuan daripadanya. Dan cerita keluarga Miah akan menjadi buah mulutnya untuk menundukkan orang kampung yang lebih memandang hormat suaminya berbanding Tok Melah sendiri. Tidak cukup dengan hanya menjadi pendamai, Tok Melah jugalah tempat Miah meminjam sejumlah wang sebelum digantikan dengan sejumlah gandaan wang sebagaimana yang diminta oleh Tok Melah. Sebaik-baik sahaja Miah sampai ke rumahnya dengan tangan dan muka yang dipenuhi darah, Tok Melah sudah dapat mencium bahana yang akan menimpanya.
Kenapa kau ni, Miah Apa yang dah berlaku
Hanyir darah pada tangan dan muka Miah dapat dihidu dengan mudah oleh Tok Melah.
Anak saya... anak saya....
Miah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia seperti disekat oleh jin ganas yang bersarang di lidahnya. Suaranya antara raungan dan esak tangis. Miah bagaikan tidak tahu apa yang harus dibuat. Antara menangis, meraung mahupun menahan hiba.
Kenapa dengan anak kau
Giliran Tok Melah pula yang cemas.
Anak saya... jatuh... kepalanya pecah!
Hah!
Tok Melah melopong dengan mata terbeliak besar. ak n
Tolonglah saya! Tolonglah anak saya!
Miah menarik-narik lengan baju Tok Melah.
Err....
Tok Melah mati akal.
Laki kau tak balik lagi
Belum!
Tok Melah memandang sekeliling. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang dicari. Pada masa yang sama, benaknya langsung tidak dapat memikirkan kaedah terbaik untuk membantu Miah.
Tolong saya!
Apa yang kau nak aku buat
Tok Melah terpingapinga. Kepalanya digaru berkali-kali.
Tolong ikut saya balik!
Errr... yalah! Jomlah!
Tok Melah segera keluar dan tergesa-gesa menyarung seliparnya sebelum melangkah sambil menjinjing bucu kainnya agar langkahnya lebih pantas dan tidak tersekat. Sakit lututnya langsung hilang. Miah mendahului perjalanannya. Namun apabila melihat Tok Melah tidak dapat menyainginya, Miah segera menarik tangan Tok Melah. Sememangnya tenaga Tok Melah tidak dapat menyaingi Miah. Dia tercungap-cungap. Dan saat itulah dia teringatkan sesuatu. Langkahnya mati, sekali gus membuatkan Miah juga berhenti berlari.
Kenapa
Miah bertanya aneh.
Kau tunggu kejap. Biar aku ambil tudung dulu. Pintu rumah pun tak bertutup lagi tu!
Miah tidak sempat memberi jawapan apabila Tok Melah berpatah balik. Tatkala Tok Melah berada di hadapan pintu rumahnya, Tok Imam Tua muncul dari dalam rumah, sekali gus menyebabkan Tok Melah tersentak.
Abang Imam dari mana Bukankah Abang Imam dah pergi ke masjid tadi
Tok Melah bertanya, pantas.
Saya balik sekejap. Perut saya memulas.
Jawapan yang diberikan oleh suaminya tidak meyakinkan Tok Melah. Namun dek kerana kesibukan untuk menguruskan masalah Miah, Tok Melah tidak menyusulkan persoalan lagi kepada Tok Imam Tua.
Awak nak ke mana senja-senja macam ni
tanya Tok Imam Tua. Tok Melah tidak menjawab sebaliknya terburu-buru melangkah masuk ke dalam bilik. Lampu dinyalakan dan sebentar kemudian dimatikan sebelum Tok Melah muncul kembali di hadapan Tok Imam Tua yang berjubah, berketayap serta berserban putih.
Saya nak ke rumah Miah. Anaknya jatuh dan pecah kepala,
katanya. Tok Imam Tua langsung tidak menunjukkan riak terkejut, sebaliknya sekadar mengangguk-angguk kecil.
Saya pergi dululah. Awak eloknya sembahyang sahaja di rumah. Tak payah ke masjid. Kalau apaapa hal, senang sedikit saya nak minta tolong,
Tok Melah seolah-olah ingin mengajar suaminya agar lebih bertanggungjawab.
Tak apalah. Kalau awak dah cakap macam tu... saya bersembahyang di rumah sajalah. Nanti lepas sembahyang saya ke rumah Miah,
janji Tok Imam Tua.
Baguslah!
Tok Melah terburu-buru keluar dan menyarung seliparnya semula. Di tengah-tengah halaman, Miah masih menantinya dengan penuh cemas.
Awak jangan lupa....
Tok Melah tidak menghabiskan kata-katanya. Tubuh Tok Imam Tua di muka pintu rumah, sudah tidak kelihatan lagi. Bahkan pintu rumah sudah pun bertutup rapat.
Belum habis cakap lagi, dah hilang. Sibuk sangat dengan sembahyangnya tu sampai tak tahu yang mana satu wajib didahulukan dan yang mana satu kena ditangguhkan.
Tok Melah bercakap dengan siapa tadi Tok Imam Tua ada di dalam rumah ke
Miah bertanya sebaikbaik sahaja Tok Melah berada di sampingnya semula. Tok Melah mendengus untuk menzahirkan perasaan menyampahnya terhadap gelagat Tok Imam Tua.
Dasar orang tua nyanyuk!
dengusnya.
Sudahlah, mari kita tengok anak kau.
Mereka kembali menyambung perjalanan ke rumah Miah semula. Dari arah masjid, sudah kedengaran azan maghrib berkumandang. Azan maghrib itu tidak langsung mengusik tangkai hati Tok Melah. Sebaliknya dia lebih bimbangkan tentang anak Miah. Simpatinya kepada Miah tidaklah sebesar perasaan bangganya kerana menjadi orang pertama yang dijadikan tempat mengadu hal oleh Miah. Tatkala mereka tiba di rumah Miah, tiada sebarang suara dari arah rumah itu. Semua lampu telah dipasang oleh Miah sebelum dia meninggalkan rumah mendapatkan bantuan Tok Melah.
Kat mana anak kau
Tok Melah sebenarnya menjangkakan Miah telah mengeluarkan anaknya dan membaringkan di anjung bagi memudahkan dia melawat.
Masa saya tinggalkan tadi, dia masih di dapur. Mulutnya berbuih-buih dan ada darah keluar. Darah membuak-buak keluar dari luka di kepalanya,
beritahu Miah. Nadanya berbaur cemas. Malah bahasa tubuhnya juga tidak menunjukkan dia berada dalam keadaan tenang. Jawapan Miah sudah cukup untuk membawa Tok Melah ke bahagian dapur. Mengucap panjang Tok Melah apabila melihat nasi bertaburan dan darah bergenang di atas lantai yang tidak dibaluti tikar. Dia segera menyentuh tubuh anak kecil yang terdampar di atas lantai. Dia cuba meraba nadi anak kecil itu. Dia cuba mengesan pernafasan anak kecil itu. Malah dia cuba meninjau luka yang tersoyak pada kulit kepala budak kecil itu.
Anak kau ni dah tak ada, Miah.
Itu sahaja jawapan paling tepat yang mampu diberikan kepada Miah. Miah membeliakkan matanya. Kata-kata Tok Melah bagaikan jampi serapah ampuh untuknya menjadi kaku dan hilang pertimbangan diri. Rentetan pemberitahuannya sudah dapat diduga oleh Tok Melah. Miah meraung sekuat-kuat hatinya, sekali gus mengundang kedatangan beberapa orang jiran tetangga yang lain. Miah pula seperti orang kerasukan hantu jembalang. Habis rambutnya ditariktarik dan disentap-sentap. Baju yang dipakai pula disingkap-singkap sehinggakan buah dadanya turut terjojol keluar sebelum disembunyikan semula oleh Tok Melah. Jiran tetangga cuba menyabarkan Miah namun semakin disabarkan, semakin menjadi-jadi pula raungan Miah. Di hujung raungannya, Miah pengsan dan terpaksa ditenangkan oleh jiran tetangga yang lain. Dalam keadaan begitu, satu-satunya perkara paling bijak yang boleh dilakukan oleh jiran tetangga adalah menghubungi pihak polis. Apatah lagi, kematian anak kecil Miah dan Pak Long Lateh melibatkan darah serta luka. Polis dan ambulan yang tiba beberapa puluh minit kemudian, telah mengambil mayat anak kecil itu, malah turut mengangkut Miah di dalam ambulan.
Tok Melah terpaksa menemankan Miah setelah salah seorang anggota polis meminta ahli keluarga terdekat mengikut ambulan yang membawa Miah ke hospital. Hanya di hospital, barulah Tok Melah dapat menghubungi Tok Imam Tua menerusi telefon. Tok Imam Tua datang ke hospital bersama-sama Tok Ngah Darus. Tanpa ditanya, Tok Melah menceritakan apa yang telah berlaku. Miah diberikan rawatan dan kemudian dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Hanya laporan bedah siasat terhadap mayat anaknya akan menentukan nasib Miah. Jikalau terdapat kesankesan penderaan pada anak kecil tersebut, jawabnya Miah terpaksa mempertahankan dirinya daripada dipersalahkan oleh kerajaan. Kalau tidak ada kesankesan penderaan pula, Miah terpaksa bersengkang mata memberikan penjelasan dan membuat laporan kepada polis bagaimana anaknya boleh terjatuh dan kepalanya pecah. Miah hanya dibenarkan keluar dari bilik soal siasat untuk menguruskan pengebumian anaknya. Tok Melah tidak tahu jikalau polis telah menemui sebarang kesan penderaan pada anak kecil itu atau tidak. Apa yang Tok Melah tahu ialah, selepas upacara pengebumian, Miah diangkut sekali lagi ke balai polis dan terpaksa bermalam di sana. Miah dipaksa memberikan bantuan kepada polis untuk siasatan terhadap kematian anaknya.
Awak jangan susah hati, Melah. Esok saya memang hendak ke pekan. Bila dah ke pekan tu, bolehlah saya melawat Miah sekali di balai polis. Mungkin ada bantuan yang saya boleh bagi kepadanya. Polis pun tentu nak dengar keterangan daripada saya,
Tok Imam Tua tidak semena-mena bersuara.
Jangan mengarutlah!
Tok Melah meninggikan suara.
Apa yang awak tahu Bukannya awak orang yang pertama tengok mayat budak tu. Saya ni orangnya!
Tok Imam Tua sekadar tersenyum sinis apabila Tok Melah menepuk-nepuk dadanya seperti gorila jantan cuba memikat pasangan betinanya untuk mengawan.
Awak tak takut
Tok Imam Tua cuba menguji.
Nak takut apa
Tok Melah cuba menyangkal.
Yalah, manalah tahu kalau tiba-tiba sahaja awak dikaitkan Lagipun, bukankah awak orang yang paling rapat dengan Miah dan Lateh. Saya takut nanti, awak tersalah cakap dan kemudiannya disoal siasat sama. Saya dengar teruk benar orang kena belasah kalau disoal siasat oleh polis,
Tok Imam Tua cuba menggertak Tok Melah. Tok Melah terdiam. Cerita tentang suspek yang didera oleh polis agar mengakui kesalahannya, bukan lagi cerita asing. Sudah acap kali dia mendengar polis tidak berperikemanusian langsung ketika menahan dan menyoal siasat orang yang disyaki. Biarpun dia tidak pernah mengalaminya, tetapi cerita daripada beberapa orang anak muda Kampung Sungai Teja yang pernah ditangkap oleh polis akibat penyalahgunaan najis dadah, sudah cukup untuk menggentarkan Tok Melah. Namun egonya mengatasi segala-galanya.
Saya tak buat salah apa-apa. Jadi, buat apa saya takut
Kalau macam tu, awak ikut saya pagi esok. Kita sama-sama ke pekan.
Nak pergi dengan siapa
Dengan siapa lagi kalau bukan dengan Abang Darus. Kami nak ke Pejabat Tanah dulu.
Tok Melah teringatkan kisah Tok Ngah Darus yang inginkan persetujuan Tok Imam Tua untuk menukar nama di atas geran besar kerana tanah pusaka peninggalan datuk mereka hendak dibeli orang dengan harga jutaan ringgit.
Jadi juga awak berurusan dengan orang tua tamak tu, ya
Tok Melah bertanya dengan nada sinis. Tok Imam Tua tergelak kecil. Sedikit pun dia tidak berkecil hati dengan pertanyaan Tok Melah.
Benda baik, buat apa nak ditangguh-tangguhkan. Lagipun, dah memang itu haknya.
Hak dia
Tok Melah mulai berang. Suaminya sudah kembali ke perangai asalnya yang memandang mudah semua perkara. Tok Imam Tua tidak memberikan sebarang reaksi.
Begitu senang awak nak serahkan tanah tu kepada dia seorang Awak ni dah nyanyuk atau sememangnya dilahirkan tanpa sebarang perasaan
tanya Tok Melah.
Biarlah dia nak buat apa pun dengan tanah itu. Abang Darus memang berhak dalam soal tanah tu.
Habis awak nak serahkan begitu sahaja Awak sanggup berputih matalah kalau orang tua Darus tu dapat duit berjuta-juta nanti
Buat apa nak ditamakkan daki dunia, Melah. Kita mati nanti, bukan duit berjuta-juta yang kita bawa. Satu sen duit pun takkan kita bawa ke liang lahad. Yang kita bawa adalah amalan, sedekah jariah, ilmu yang diajar dan dimanfaatkan dan doa anak yang soleh. Itu empat perkara sahaja, Melah. Bukannya duit ringgit atau harta-benda.
Ah, tak payahlah awak nak berkhutbah kepada saya, Abang Imam. Bukankah awak tu dulu belajar dengan arwah bapa saya. Kalau arwah bapa saya tak ajar agama kepada awak, kekallah awak sebagai orang jahil murakab!
cemuh Tok Melah. Beristighfar Tok Imam Tua apabila mendengar cemuhan Tok Melah. Itu bukanlah kali pertama Tok Melah mengungkitngungkit tentang kelemahannya pada masa muda. Bangga sungguh isterinya itu kerana dia terpaksa belajar daripada mertuanya tentang ilmu agama. Berbangga sungguh isterinya itu dengan pengetahuan yang ada pada dirinya. Malah berbangga sungguh isterinya dengan dirinya dengan menganggap suaminya mempunyai martabat yang lebih rendah lantaran kekurangan ilmu agama yang terpaksa ditampung menerusi pembelajaran dengan bapa mertua sendiri. Namun, Tok Imam Tua tidak pernah memilih untuk memarahi atau menyedarkan Tok Melah. Ego Tok Melah terlalu besar dan tidak boleh dilentur dengan hujah mahupun dalil. Tok Imam Tua sendiri pun sebenarnya tidak mempunyai keupayaan untuk menyedarkan isterinya tentang kebenaran hakiki yang wujud, bukan kerana ilmu pengetahuan yang tinggi melangit, sebaliknya pengetahuan yang digunakan untuk mempertingkatkan amalan.
Kan saya dah kata, saya memang nak bahagian tanah pusaka tu.
Tok Melah tidak lagi menyembunyikan keinginannya.
Awak gila Awak mana ada hak dalam tanah pusaka tu.
Masalahnya, saya ni isteri awak. Bila isteri awak, maknanya saya ada hak ke atas awak.
Siapa yang ajar awak macam tu
Tok Imam Tua bertanya dengan nada yang cukup lembut seolaholah tidak mahu hati isterinya itu terhentak dengan pertanyaannya.
Siapa yang ajar saya, itu tak penting. Yang penting, saya nak duit bahagian tanah pusaka yang dijual tu. Lebih baik awak tetapkan fikiran dan berkeras dengan orang tua tamak tu. Kalau dia tak boleh bagi lebih, kalau dia sanggup berkongsi seorang setengah pun, tak mengapa.
Tok Imam Tua tersengih dan kemudian ketawa kecil. Dia menggeleng-geleng kecil. Ternyata Tok Melah tidak senang langsung dengan gelagat yang ditunjukkan oleh suaminya. Bisikan Iblis begitu kuat di cuping telinganya. Ketamakan dan keinginan untuk mendapatkan bahagian tanah pusaka tersebut, begitu mendesaknya. Tok Imam Tua tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan akur dengan desakannya. Sedangkan pada masa yang sama, dia juga sangat memahami perangai Tok Ngah Darus yang tidak mungkin akan mengalah begitu sahaja. Tok Ngah Darus sudah pasti akan mempertahankan apa yang dianggap sebagai haknya. Tok Melah mulai turun dari katil. Dia merapati Tok Imam Tua. Berdiri di belakang suaminya itu. Sedangkan Tok Imam Tua pula sekadar mengerling tanpa sedikit pun menaruh curiga terhadap Tok Melah.
Awak nak ikutkan kehendak saya atau tidak
Tok Melah bersuara menderam.
Kan saya dah kata, saya tidak ada hak lagi dalam tanah tu.
Puk! Tok Melah menyepak belakang badan suaminya. Tindakan Tok Melah mengejutkan Tok Imam Tua. Tok Imam Tua merenung Tok Melah dengan tajam. Puk! Tok Melah sedikit pun tidak takut dengan renungan tajam Tok Imam Tua. Bahkan dia terus menyepak pinggang Tok Imam Tua yang sedang duduk bersila di atas sejadah di hadapan rehal yang sudah terkangkang. Tindakan Tok Melah membuatkan Tok Imam Tua cuba bangun.
Nak bangun, ya Nak bangun
Tok Melah kemasukan syaitan. Tidak ada apa-apa di dalam kepalanya melainkan keinginannya untuk melihat Tok Imam Tua akur dengan desakan dan kehendaknya. Kebetulan, di hujung katil, terdapat sebatang semambu yang sengaja disimpan oleh Tok Imam Tua tanpa sebarang fungsi. Semambu itu segera dicapai dan ketika Tok Imam Tua bangun serta berpaling ke arahnya, Tok Melah menghayun semambu tersebut. Bahagian pangkal semambu mengenai tepat ke kepala Tok Imam Tua.
Ya Allah!
Tok Imam Tua memekup kepalanya. Dari sebalik serban putih yang dipakainya, darah merah mengalir deras. Tekupan Tok Imam Tua tidak mampu membendung darah daripada mengalir turun dan menitis ke jubah yang dipakai oleh Tok Imam Tua. Tok Melah tidak berpuas hati. Satu lagi hayunan pangkal semambu tepat mengenai kepala Tok Imam Tua, membuatkan lelaki tua yang cukup banyak bersabar dengan kerenah Tok Melah, jatuh terlentang. Kepalanya mengenai rehal yang terkangkang. Berat kepalanya membuatkan rehal yang terkangkang itu, terus terpokah menjadi dua bahagian. Saat itulah, baru Tok Melah sedar natijah yang dilakukannya. Semambu yang digunakan untuk memukul kepala Tok Imam Tua sebanyak dua kali, dilepaskan. Seluruh tubuhnya menggigil.
Abang Imam!
Tok Melah terus mendapatkan Tok Imam Tua. Pun begitu, Tok Melah tidak langsung menyentuh Tok Imam Tua. Dia sekadar berdiri di hujung kaki Tok Imam Tua yang sedang menggigil bagaikan terkena sawan di seluruh badan. Deru angin di luar rumah muncul secara tiba-tiba. Kuatnya deruan angin seolah-olah menggoncangkan rumah. Semua lampu yang terpasang, tiba-tiba sahaja seperti terkena litar pintas.
Apa yang dah berlaku
Tok Melah memandang sekeliling. Suasana di dalam bilik tidur itu, tidak banyak berubah selain daripada kujuran tubuh Tok Imam Tua yang sedang terlentang dan terketar-ketar dengan kepala luka di atas papan rehal yang sudah pecah. Gigil dan ketakutannya melihat keadaan Tok Imam Tua hilang serta-merta. Sebaliknya Tok Melah lebih tertarik dengan perubahan alam yang berlaku di luar rumah.
Apa yang dah berlaku
Tok Melah mengulangi pertanyaannya sendiri. Memikirkan tiada apa-apa yang boleh dilakukannya dengan hanya berdiri di hujung kaki Tok Imam Tua, Tok Melah beralih ke tingkap kaca. Perubahan alam di luar rumah hanya boleh dilihatnya jikalau tingkap kaca itu dibuka. Biarpun kegelapan di luar rumah akan menghalang pemandangannya, setidaktidaknya cahaya daripada lampu di luar rumah dapat membantunya mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. Hatinya berbisik tentang keanehan yang berlaku secara tiba-tiba. Ada kaitan antara perubahan alam dengan apa yang dilakukannya kepada Tok Imam Tua. Jendela kaca yang terletak hampir dengan pintu bilik tidur ditolak selaknya. Kemudian daun jendela itu, ditolak perlahan-lahan, sekali gus membolehkan deru angin di luar, menerobos masuk. Langsir yang terpasang menghiasi jenang tingkap, melambai-lambai secara menegak sekali gus menunjukkan kekuatan deruan angin di luar rumah. Tok Melah mengecilkan matanya.
Ada orang!
Tok Melah berbisik perlahan. Sesungguhnya, sesusuk tubuh yang berpakaian serba putih sedang menghadap ke arah rumahnya. Tok Melah tidak dapat melihat wajah orang yang sedang berdiri di hujung halamannya itu sekalipun cahaya dari lampu di luar rumah, menyimbah sehingga ke sempadan halaman dan pagar.
Siapa pula tu
Tok Melah cuba mengecilkan matanya untuk melihat wajah orang yang sedang berdiri di hujung halaman dengan jelas. Namun dia telah mengecilkan matanya, Tok Melah tetap tidak dapat melihat siapakah orang tersebut. Sekali gus memaksanya untuk keluar kerana itu sahajalah satu-satunya cara untuk dia memastikan orang yang berada di penjuru halaman tersebut. Cuma keadaan Tok Imam Tua yang menyebabkan niat Tok Melah untuk keluar dari rumah itu terhalang.
Siapa
Tok Melah cuba bertanya. Orang itu tidak menjawab. Terlintas sesuatu di benak Tok Melah. Mungkinkah Angah Soyah cuba menakut-nakutkannya. Dan kalaulah benar orang yang sedang berdiri di hujung halaman itu ialah Angah Soyah, dia tidak akan teragak-agak menghentam kepala budak busuk hapak itu dengan rotan semambu yang digunakan untuk memukul kepala suaminya tadi. Dia tidak akan teragak-agak untuk mencederakan budak itu jikalau budak itu masih ketegar untuk mengikut perintah yang telah dikeluarkannya. Namun, gerak hatinya tidak mengiakan telahannya. Mana mungkin Angah Soyah kerana Angah Soyah jarang merayap dan merayau pada waktu malam. Angah Soyah tidak mungkin sanggup menempuh rumah orang kampung yang lain untuk sampai ke rumahnya itu. Bau badan Angah Soyah sudah cukup untuk membuatkan orang kampung terjaga dari tidur seandainya dia melintas, biarpun di luar rumah. Lagipun, hidung Tok Melah tidak mengesan sebarang bau yang boleh dikaitkan dengan Angah Soyah. Tok Melah berpaling sebentar ke arah Tok Imam Tua sebelum kembali berpaling menghadap tingkap. Darahnya sejat sampai ke perut apabila di luar tingkap yang ternganga itu, seorang wanita tua berambut serba mengerbang dan bertongkat merenungnya dengan wajah masam.
Si... si... siapa... kau
Tok Melah tergagap-gagap. Hanya kerana kekuatan dirinya, membuatkan Tok Melah tidak jatuh pengsan dek perasaan terkejut yang keterlaluan. Wanita tua yang tiba-tiba muncul itu, tidak menjawab pertanyaan Tok Melah sebaliknya mengisarngisarkan rahangnya. Pada masa yang sama, Tok Melah berusaha untuk melindungi pandangan wanita tua itu daripada melihat Tok Imam Tua yang sedang terkedang di atas lantai bilik tidur mereka.
Aku tahu apa yang kau dah buat, Melah. Aku tahu!
Wanita tua itu bersuara perlahan tetapi dikuasai nada marah.
Err... apa yang berlaku
Tok Melah cuba berlakon. Wanita tua itu menjengah ke dalam rumah tetapi sama seperti tadi, Tok Melah tetap berusaha melindungi tubuh Tok Imam Tua daripada dilihat oleh wanita tua yang tidak diketahui identitinya itu.
Melah, aku dah lama tengok kau. Aku dah lama perhatikan perbuatan kau kepada laki kau. Dan sekarang, kau dah melakukan sesuatu. Kau akan musnah kerana perasaan bersalah,
kata wanita tua itu dengan nada yang sangat teratur. Tok Melah mulai resah. Bahasa tubuhnya membukti kan perasaan tidak senangnya.
Aku boleh tolong kau.
Wanita tua yang tidak dikenali itu tiba-tiba sahaja menawarkan bantuannya.
Kau boleh tolong aku
Tok Melah tidak berfikir langsung tatkala menuturkan soalan itu kepada orang yang tidak pernah dikenalinya.
Aku boleh tolong kau tetapi dengan syarat.
Syarat Syarat apa
Tok Melah bertanya kalut. Dia tidak mahu perbuatannya diketahui oleh sesiapa pun.
Bawa laki kau keluar dari bilik tu. Bawa dia ke anjung. Aku tunggu di pintu anjung.
Tok Melah menggaru-garu kepalanya sebentar. Sesuatu terlintas di benaknya. Bagaimana dia hendak mengangkut tubuh Tok Imam Tua, terutama untuk menaiki tangga ke rumah ibu. Dia mungkin boleh menyeret Tok Imam Tua di rumah bawah itu tetapi untuk mendaki anak tangga, memang sukar dilakukan. Apatah lagi dengan lututnya yang masih sakit terutama apabila menaiki tangga.
Aku akan mudahkan kau. Itu pun kalau kamu nak aku tolong kau.
Wanita tua yang tidak dikenali itu bagaikan tahu apa yang sedang bermain-main di fikiran Tok Melah.
Baiklah... baiklah.
Tok Melah terangguk-angguk. Dia sebenarnya tidak ada pilihan. Darah yang membuak keluar dari luka di sebalik serban Tok Imam Tua sudah cukup untuk menceritakan betapa keadaan Tok Imam Tua sangat merbahaya seandainya tidak dihiraukan.
Bagus.
Wanita tua yang tidak dikenali itu menghulurkan sesuatu kepada Tok Melah.
Ikat benda tu pada pinggang kau. Kemudian kau seretlah laki kau ke anjung.
Ada sesuatu yang berbentuk seperti seutas rantai yang diperbuat daripada tali atau lebih tepat lagi kulit kayu yang berpintal selain daripada sebiji tangkal berbentuk empat persegi berwarna hitam. Tok Melah tidak sempat meneliti tali tersebut sebaliknya terburuburu mengikat rantai itu ke pinggangnya.
Biarkan ia bersentuh dengan kulit kau,
arah wanita tua yang tidak dikenali apabila Tok Melah mengikat rantai itu di luar baju kurung kedahnya. Sekali lagi Tok Melah seperti budak kecil yang akan sanggup melakukan apa-apa sahaja demi secawan ais krim pada hari rembang. Baju kurung kedahnya diselak dan kulit pinggangnya yang menggelambir terpampang. Tok Melah tidak langsung berasa malu. Sebaliknya dia terburu-buru mengikat rantai aneh itu ke pinggangnya.
Hadap ke arah kiblat,
arah wanita tua yang tidak dikenali lagi. Tok Melah akur.
Sekarang, pergi angkat laki kau.
Sama macam tadi, Tok Melah tetap akur.
Aku tunggu di pintu anjung.
Serentak dengan itu, daun tingkap yang dibuka oleh Tok Melah tadi, tertutup semula. Malah pada masa yang sama, angin kencang yang bertiup sehinggakan rumahnya bergoncang, turut berhenti berpesta. Biarpun sejuta kehairanan mengetuk tangkai hatinya, Tok Melah ada perkara lain yang perlu diselesaikan. Dia tidak boleh melepaskan peluang untuk dibantu biarpun oleh orang yang tidak dikenalinya. Kalau dengan bantuan itu dapat menyelamatkan tengkuknya sendiri, Tok Melah tidak melihatnya sebagai satu kesalahan. Lagipun yang akan diselamatkannya nanti adalah suaminya sendiri. Bukan orang lain!
Amboi!
Kekaguman Tok Melah terhadap kekuatannya, mengujakannya. Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa tubuh Tok Imam Tua terlalu ringan. Dia bukan sahaja boleh mengangkat kaki Tok Imam Tua, bahkan seluruh badan Tok Imam boleh dicempungnya seperti dia mencempung dua batang kayu api sebesar lengan budak. Itu tidak cukup mengkagumkannya lagi bahkan sewaktu dia mendaki anak tangga ke rumah ibu, dia bagaikan seorang anak dara yang tidak pernah disentuh oleh lelaki. Langkahnya mantap dan bersahaja. Beban yang dicempung, tidak terasa langsung. Malah dengan sebelah tangan sahaja, tubuh Tok Imam Tua tidak jatuh ke lantai sewaktu dia meraba suis lampu di anjung untuk menerangkan kawasan tersebut. Sekali gus sudah cukup untuk membuatkan Tok Melah tersenyum lebar. Sama seperti yang diarahkan oleh wanita tua yang tidak dikenalinya sebentar tadi, Tok Melah membawa Tok Imam Tua ke anjung rumah. Dia sekadar meletakkan Tok Imam Tua ke atas lantai yang tidak dilitupi permaidani yang dibeli beberapa bulan lalu, sebaliknya sekadar di atas tikar getah. Tok Melah tidak mahu darah yang mengalir dari luka di kepala Tok Imam Tua mengotorkan permaidaninya. Kalau di atas tikar getah itu, dia boleh membersihkannya dengan mudah. Tok Imam Tua masih menggelitik dan terketarketar seperti tadi. Matanya separuh putih dan separuh hitam. Air liurnya pula berlenja-lenja di tepi bibir.
Pengotor betul orang tua ni!
rungut Tok Melah. Tok Melah langsung bangun dan berjalan ke arah pintu anjung. Pintu anjung dibuka. Dan sebaik-baik sahaja selak daun pintu itu diturunkan, Tok Melah berhadapan dengan wanita tua yang tidak dikenalinya sebentar tadi. Wanita tua itu masih berdiri terpacak dan tidak melangkah masuk biarpun Tok Melah telah memberikan ruang kepadanya.
Masuklah,
pelawa Tok Melah. Ingin benar dia bercerita tentang pengalaman menyeronokkannya sebentar tadi.
Aku tak boleh masuk,
balas wanita tua itu dengan nada bersahaja.
Kenapa
Ada sesuatu yang menghalang aku.
Tapi....
Tok Melah sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakannya.
Tanggalkan bingkai itu!
Wanita tua itu menuding ke arah bingkai gambar yang terdapat di dinding di hujung kepala Tok Imam Tua. Bagaikan terkena jampi pukau, Tok Melah akur dengan perintah wanita tua yang tidak dikenali itu. Bingkai gambar yang dimaksudkan oleh wanita tua tersebut segera ditanggalkan. Bahkan kesemua bingkai gambar yang menjadi hiasan dinding di anjung turut diturunkan oleh Tok Melah. Hanya setelah semua bingkai gambar tersebut diturunkan dan diletakkan di ruang tetamu, barulah wanita tua yang tidak dikenali itu melangkah masuk bersama sebatang tongkat bengkok yang sangat aneh rupanya.
Apa-apa lagi yang diperlukan
tanya Tok Melah dengan penuh sopan.
Tanggalkan serban yang dipakainya. Aku akan cuba pulihkan dia dan membuatkan dia lupa apa yang telah berlaku kepadanya tadi,
kata wanita tua itu. Sudah tentulah Tok Melah akan melakukannya dengan penuh gembira. Kalau benar seperti yang dikatakan oleh wanita tua itu, bermakna dia akan terselamat daripada sebarang masalah. Tok Imam Tua bukan sahaja akan terlupa bagaimana dia boleh terbaring dengan kepalanya berdarah, bahkan melupakan langsung niatnya untuk menyerahkan bahagian di dalam harta pusaka peninggalan gemulah datuknya kepada Tok Ngah Darus. Tok Imam Tua tidak menunjukkan sebarang perubahan. Reaksinya sama seperti tadi. Matanya semakin putih dan mukanya semakin pucat. Pergerakannya juga semakin lemah.
Pergi ke dapur dan sediakan apa yang aku nak,
arah wanita tua itu tatkala Tok Melah teringin benar hendak melihat apa yang akan dilakukan olehnya.
Apa yang kakak nak
Tok Melah bertanya kembali.
Semangkuk air dan tujuh biji limau nipis.
Tok Melah bergegas ke dapur. Permintaan wanita tua itu tidaklah terlalu sukar untuk disediakan. Limau nipis sentiasa ada di dapurnya. Kalau tidak digunakan sebagai rencah makanan, setidak-tidaknya digunakan untuk berlangir di bilik air bagi menaikkan keserian, sekali gus menghilangkan bau badan. Petua yang diamalkan dari zaman anak dara sehingga ke tua renta, menyebabkan kewujudan limau nipis di rumahnya tidak putus-putus. Dan tatkala langkahnya diatur satu persatu ke dapur, Tok Melah mengusik-ngusik tangkal yang berada di pinggangnya.
Kalau dia boleh tolong aku untuk kuasai Ngah Darus, apa yang aku idam-idamkan akan terkabul,
bisik Tok Melah yang sudah mula merangka sesuatu di luar daripada kemelut yang sedang dihadapinya saat itu. Tok Melah tiba-tiba sahaja mendapat kekuatan. Selama ini, dia selalu kalah dengan Tok Ngah Darus dalam banyak hal. Walaupun kata-kata Tok Ngah Darus tidaklah sebisa mana, tetapi jarang benar dia dapat membalas kembali sebarang kata-kata atau hujah Tok Ngah Darus. Cubaannya untuk menggunakan suaminya sebagai sumber kekuatan bagi melawan Tok Ngah Darus, tidak pernah berjaya. Suaminya tidak pernah berani menegakkan kepala dan mengeraskan suara kepada Tok Ngah Darus, sebaliknya sentiasa menurut sekalipun yang pasti, setiap kali kata-kata Tok Ngah Darus dituruti, tidak pernah ada keuntungan pun yang akan mereka peroleh. Paling menyakitkan hatinya, Tok Ngah Darus tidak pernah memperakui keilmuan yang dimiliki oleh suaminya. Biarpun tidak mencerca di hadapan khalayak ramai, namun daripada cebik dan mimik muka, Tok Melah tahu, sepupu tua suaminya itu menghina dan merendah-rendahkan pengetahuan Tok Imam Tua. Jikalau Tok Ngah Darus berbuat begitu, secara tidak langsung sepupu tua suaminya itu telah menghina dan mengejek-ngejek gemulah bapanya. Sebabnya, daripada bapanyalah Tok Imam Tua banyak menuntut ilmu agama.
Mengejek gemulah bapanya bermakna menganggap dia sebagai seorang yang sangat jahil. Bukan dia tidak pernah mendengar bagaimana Tok Ngah Darus berbahas dengan suaminya. Malah, dia juga pernah mendengar dan melihat Tok Ngah Darus bertekak dengan gemulah bapanya tentang masalah agama. Mungkin kerana kelancangan dan kepetahan Tok Ngah Darus bercakap membuatkan gemulah bapanya terkedu dan masalah yang diutarakan oleh Tok Ngah Darus terpaksa didiamkan. Hatinya bertambah sakit apabila Tok Ngah Darus secara berterus-terang memberitahu gemulah bapanya bahawa ilmu agama yang dimiliki serta diajarkan kepada beberapa orang muridnya yang lain, termasuklah Tok Imam Tua tidak menepati syarak. Banyak persyaratan yang tidak dituruti, bahkan dalam bab fi qh, gemulah bapanya mengenepikan tentang uruf. Dengan kata-kata lain, Tok Ngah mempertikaikan ketulenan ajaran gemulah bapanya walhal gemulah bapanya adalah orang yang paling dihormati dan paling disanjungi oleh segenap lapisan masyarakat. Tok Melah tahu, Ngah Darus sekadar berasa cemburu dan sakit hati kerana suaminya telah diangkat menjadi imam di Kampung Sungai Teja itu kerana kefakihan dan kelancarannya membaca al-Quran.
Suaminya juga dihormati kerana dadanya berisi dengan ilmu-ilmu agama yang mantap. Selama ini, dia tidak pernah tahu bagaimana hendak mengalahkan Ngah Darus tetapi nampaknya kehadiran wanita tua di anjung rumahnya, bagaikan boleh digantung harapan. Tujuh biji limau nipis dan semangkuk air seperti yang dipesan oleh wanita tua yang tidak dikenalinya, segera disiapkan. Kemudian, Tok Melah tergesagesa ke anjung. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk menyaksikan kaedah yang ingin dilakukan oleh wanita tua tersebut.
Eh, dah siap ke
Tok Melah terpempan apabila mendapatkan wanita tua itu sedang mengurut-ngurut belakang Tok Imam Tua. Suaminya sudah pun membuka mata tetapi tidak bersuara. Mukanya pada sebelah kiri sedikit senget. Pun begitu, air liur keluar berlenja-lenja membasahi dada jubahnya yang turut diresapi darah.
Mana limau dan air yang aku minta tadi
wanita tua itu bertanya tanpa menghiraukan pertanyaan Tok Melah. Tok Melah segera menyuakan mangkuk berisi air dan tujuh biji limau nipis sebagaimana yang diminta oleh wanita tua yang tidak dikenalinya. Pun begitu, tetamu tidak diundang itu sekadar memuncungkan bibirnya memberikan isyarat kepada Tok Melah untuk meletakkan mangkuk berisi air dan tujuh biji limau nipis di hujung kaki Tok Imam Tua.
Aku dah pulihkan semua masalah. Laki kau takkan ingat apa yang kau dah buat kat dia. Laki kau juga akan sentiasa akur dengan semua perintah kau,
beritahu wanita tua itu tanpa menunggu pertanyaan Tok Melah. Hati Tok Melah berbunga kembang. Hajatnya telah dipenuhi.
Kau boleh panggil aku Tok Tom. Kebetulan aku lebih tua daripada kau,
wanita tua yang tidak dikenali Tok Melah itu membuka mulut, sekali gus mendedahkan identitinya kepada isteri Tok Imam Tua.
Tok Tom
Tok Melah menggaru-garu dagunya sebentar.
Saya tak fi kir kita pernah berjumpa... tapi....
Kau saja yang tak fi kir pernah berjumpa dengan aku tapi aku selalu tengok kau dan laki kau. Aku tahu apa yang berlaku dalam rumah ni.
Tok Melah menghela nafas. Dia sebenarnya tidak peduli pun apa yang dikatakan oleh Tok Tom. Tok Tom sudah pun membuktikan betapa dia sebenarnya seorang manusia yang luar biasa. Tangkal yang berada di pinggangnya, disentuh oleh Tok Melah.
Boleh tak kalau saya nak minta tolong
tanya Tok Melah, perlahan. Dia sempat mengerling ke arah suaminya yang sedang diurut oleh Tok Melah. Tok Imam Tua seperti orang tongong dengan air liur berlenja-lenja melencuni dada jubahnya. Tok Tom merenung Tok Melah. Senyuman tersoyak di bibirnya. Urutannya ditamatkan dan Tok Imam Tua dibiarkan terlentang semula. Dia beralih ke mangkuk berisi air dan limau tujuh biji. Mulutnya kumat-kamit membacakan sesuatu sedang matanya terus-menerus menikam wajah Tok Melah yang begitu khusyuk melihat kerjanya.
Aku akan tolong kau apa saja, asalkan kau penuhi syarat aku.
Syarat apa
Kau bersahabat dengan aku. Apabila kau bersetuju untuk bersahabat dengan aku, aku akan tolong kau walau dengan apa cara sekalipun. Aku takkan biar kau dalam kesusahan. Kau juga boleh berbuat apa-apa sahaja dan persahabatan kita tidak akan terputus walau dengan apa cara sekalipun. Kita tidak akan berpisah buat selama-lamanya.
Tok Melah kelihatan sangat kagum.
Kau bersetuju untuk bersahabat dengan aku
Tok Tom bertanya lagi.
Dengan senang hati.
Tok Melah tersenyum lebar.
Bagus! Inilah yang aku hendak.
Tok Tom seperti mendapat kemenangan besar.
Baiklah, sekarang apa yang kau nak aku buat Pertolongan apa yang kau nak
Saya nak semua orang kampung ni tunduk kepada saya.
Untuk apa
Orang kampung ni perlu menghormati saya.
Hanya itu sahaja
Tidak....
Tok Melah cuba mencari ayat terbaik untuk melahirkan keinginannya kepada wanita tua bernama Tok Tom itu.
Saya nak musuh saya tunduk dan patuh dengan kehendak saya.
Ngah Darus
Tok Tom tahu
Wanita tua itu terus ketawa menghilai-hilai. Bulu roma Tok Melah jadi cering apabila mendengar hilaian tawa Tok Tom. Namun tawa Tok Tom terhenti secara tiba-tiba. Renungannya tajam menikam wajah Tok Tom.
Musuh utama kau bukan Ngah Darus saja.
Siapa lagi
Tok Melah bersuara perlahan.
Angah Soyah.
Budak busuk tu
Tok Melah terperanjat.
Ngah Darus bukan sesiapa kalau tidak kerana budak itu.
Budak busuk tu
Tok Melah mengulangi pertanyaannya. Masih terlalu sukar untuk mengJejawi Tua7 hadam kan kata-kata Tok Tom bahawa musuh utamanya bukan sahaja Tok Ngah Darus tetapi juga Angah Soyah. Padahal Angah Soyah adalah manusia yang paling dibencinya. Angah Soyah juga merupakan manusia yang paling kerap menerima tempeleng dan sepak terajangnya. Mana mungkin budak bodoh dan tidak tahu menguruskan diri itu, musuh yang paling utama
Angah Soyah perlu dihapuskan dahulu.
Macam mana
Kau setuju nak hapuskan dia
Tok Tom cuba mendapatkan kepastian daripada Tok Melah.
Sudah tentu!
Tok Melah menjawab sepantas mungkin dan dia sebenarnya sangat bersungguhsungguh dengan kata-katanya itu. Sememangnya pun, dia terlalu ingin menghapuskan Angah Soyah. Walaupun sebelum ini tiada alasan yang membolehkan dia menghilangkan Angah Soyah dari dunia ini, janji dan kata-kata Tok Tom sebentar tadi, sudah cukup untuk dijadikan alasan yang paling ampuh bagi menghalalkan perbuatannya.
Kau akan dapat apa yang kau mahukan. Tapi macam yang aku kata tadi, ada beberapa syarat yang kau perlu patuhi.
Saya tak kisah apa syaratnya, asalkan kemahuan saya dipenuhi. Bila Ngah Darus dan Angah Soyah sudah tidak ada di dunia ini, itulah kebahagiaan paling besar kepada saya.
Kau memang seorang manusia tulen!
Tok Melah tidak mengerti apa yang cuba dimaksudkan oleh Tok Tom. Pun begitu, kata-kata itu tidak penting. Perkara paling utama ialah, sebahagian daripada apa yang dihajatinya bakal tercapai menerusi bantuan Tok Tom.
Sebagai langkah pertama, aku mahu kau ke jejawi tua di pangkal jalan lama tu, tengah malam esok.
Tok Melah terbeliak besar!9