KUNANG PESISIR MORTEN - 12
Dekad 1980-an telah menyaksikan detik-detik lesu filem Melayu. Industri filem yang sering membawa cogan kata agung Filem Kita Wajah Kita itu benarbenar menggambarkan jiwa filem yang tawar hambar. Di kemudian hari, kami menyedari inilah saat kejatuhan moral filem Melayu. Dekad akan datang terus menerus menyajikan kami kisah cinta menonggeng, hantu bodoh hodoh dan jenaka kangkang murahan.

Namun apa yang kami tahu Kami masih anak-anak. Dan filem adalah satu nikmat kemewahan yang jarang-jarang kami ketemui. Televisyen kecil di rumah pun jarang sekali mendapat siaran yang jelas cantik. Saluran cuma ada tiga. Setiap hari yang kami ada cuma rancangan yang itu itu juga. Justeru tidak menghairankan jika kami yang baru diberi pelepasan keluar malam tidak akan sesekali melepaskan peluang apabila keluarnya pekeliling sekitar bandar Melaka daripada Jabatan Penerangan. Berita yang

membawa pemberitahuan tayangan wayang pacak di tanah lapang Jalan Portugis, Kampung Tiga.

Musim monsun masih memuncak. Namun bernasib baik tiada tanda hujan akan turun. Langit cerah tanpa awan gemawan dan kembara bintang meraikan acara malam kami bertiga yang jarang-jarang kami nikmati. Aku kira pegawai Jabatan Penerangan begitu rajin membuat ramalan cuaca hingga dapat menjangka mereka dapat melepaskan diri dari aturan alam.

Sebenarnya, bukan kami tidak pernah menonton wayang pacak. Dhiya dan aku ada menonton beberapa filem-filem aksi persilatan negara seberang beberapa bulan lepas bersama bapaku. Tetapi ini pertama kali dapat keluar bersama kawankawan. Kami sudah siap-siap membawa helaian akhbar untuk alas tempat duduk. Melihat bagaimana van Jabatan Penerangan membawa dua batang besi dengan layar lebar dan projektor 16mm memulakan operasinya. Generator elektrik sengaja diletakkan jauh supaya bunyinya tidak mengganggu. Kami malah membeli kacang kuda rebus dan air kotak seolah melengkapi nikmat duduk di wayang Cathay hawa dingin barisan hadapan. Kemudian diam-diam menunggu.

Wayang pacak bukanlah satu perkara baru. Telah wujud semenjak 1960-an dan kemuncak popularitinya di era 1970an. Seperti kau jangka, Jabatan Penerangan tidak akan mahu berhabis belanja menjamu hiburan kosong semata-mata.

Punya agenda perang urat saraf kepada warga kampung terpencil khususnya. Pertunjukan biasanya dimulakan selepas maghrib jam lapan dimulakan dengan dendangan lagu patriotik dan sesi penerangan tentang bahayanya anasir saki baki komunis yang masih bermaharajalela. Kadangkadang mereka akan menyelitkan program

kerajaan yang lain seperti Bumi Hijau. Memberitahu kami pentingnya meneroka tanah bercucuk tanam.

Aku melihat perempuan di sebelahku menguap besar. Sudah aku jangka. Sesi ini begitu membosankan kerana langsung tidak relevan kepada kami. Besar kemungkinan gerila komunis takut dengan keriuhan bandar Melaka. Bercucuk tanam Apa gilanya meminta kami di pesisiran sungai bertani untuk dilanda bah kilat setiap kali hujan lebat Tapi kami tetap sabar. Setiap penantian itu ada balasan.

Kami berensot sedikit ke depan. Mencari posisi lebih jelas. Projektor mula memancarkan cahaya. Dimulakan dengan trailer filem. Itupun sudah mengujakan. Dhiya sudah pun terlopong. Pegawai teknikal menukar lagi rol. Tayangan filem sebenar pun bermula. Kami tidak tahu pun filem apa yang akan ditayangkan dan menunggu dengan debaran. Debaran yang tidak berbeza seperti membuka kotak coklat Tora dengan permainan rencam. Kau cuma mengetahui apa yang kau dapat apabila membuka penutup kotak rahsia.

Filem penerbitan 1982 itu dibuka dengan lagu rancak Sahabat Baru yang membuat kaki kami bergoyang-goyang girang. Dhiya tersengih girang. Dengan pantas mengenalnya sebagai filem populis. Nasib baik menentukan kami dapat menonton filem berkualiti bagus malam itu. Dengan bakat gemilang pelakon utama bergelar singing lawyer dan seorang pendatang cilik baru di dunia lakonan. Kami bertiga terus bertepuk tangan. Malah bersiul-siul. Wayang pacak sudah seperti konsert rock Sting.

Kami. Filem Kami yang dibuka dengan rancak riang rupanya tidak menggambarkan tona seluruh cerita. Ironik sekali. Justeru itu, sekali lagi kami menyimpulkan kisah dua anak gelandangan mencari kerja untuk sepinggan mi dan segelas teh tarik kongsi itu contoh terbaik mengapa kau tidak boleh sesekali meraikan romantisme melaratnya kemiskinan.

Scene pasar malam mendendangkan lagu girang diiring tarian bebas mungkin satu-satunya saat gembira yang dapat melepaskan penonton daripada kisah sedih ini. Persahabatan mereka diuji berkali-kali begitu meruntun hati. Cerita Tokoo menjadi guru, abang atau ayah kepada Din berhempas pulas hidup di kota besar, mencari makan dengan pelbagai kerja rencam membuatkan kami bersyukur masih punya ibu bapa yang mahu menyayangi. Maka tidak menghairankan apabila filem tamat dengan score Langit Petang yang menyiat-nyiat hati, wajah dan baju kami habis lencun dengan air mata.

Malam indah dengan jelajah bintang terang menyaksikan, sekali lagi kami membuat perjanjian taat setia. Kami tidak akan sesekali meninggalkan antara satu sama lain walau apa pun terjadi.

***

Perlahan-lahan kami usai. Longlai langkah kami masih terkesan dengan warna seluloid dan naratif mencengkam. Kami berbual santai hal-hal keluarga. Tidak langsung tergesa dengan hari yang melarut. Lim malah mencadangkan kami menggunakan laluan jauh Jalan Tokong supaya dapat melihat-lihat suasana malam daerah rumah kedai Cina lama.

Jalan sudah sunyi. Tiada kedai yang masih dibuka. Dhiya mengambil kesempatan meneliti setiap tampak hadapan. Mengasyikkan sekali dapat melihat rumah kedai berusia ratusan tahun. Ada di antaranya telah wujud sejak pemerintahan Belanda. Rumah kedai yang memanjang ke belakang itu terbahagi kepada beberapa

bahagian dan dipisahkan dengan taman dalam juga dipanggil perigi udara untuk mengutip cahaya matahari dan pengudaraan. Walaupun perkadaran saiz tingkap, pintu dan tiang pada dasarnya sama, setiap tampak punya hiasan, ukiran dan perincian berbeza. Ralit Dhiya melihatnya. Jelas sekali kawasan ini selepas beberapa ratus tahun, susun atur dan keindahan tidak dimamah masa. Tanpa sedar, kami sudah mahu melintasi Tokong Cheng Hoon Teng yang sangat terkenal. Dhiya sudah tidak sabar. Bertahun-tahun dia menunggu untuk melihat tempat ibadat itu.

Menghairankan. Begitu banyak kereta dan orang ramai mengerumuni kawasan tokong. Jelas sekali tiada sebarang upacara dan mereka datang bukan untuk bersembahyang melainkan kebisingan dan bunyi mereka mengumam. Aku dan Dhiya ini tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi. Lim jangan ditanya rasa hairan kerana katanya walaupun tempat ini selalu dilawati pelancong, tidaklah seramai dan selewat begini. Kami yang sememangnya punya sifat menyibuk mengambil kesempatan masuk ke dalam.

Dhiya melewati gerbang masuk. Pandangannya menjalar ke atas. Tokong Cheng Hoon Teng. Tokong tertua di rantau negara ini. Dengan binaan gaya rupa paling menonjol melangkaui kehebatan tokong-tokong zaman selepasnya. Pendatang Cina telah datang ke Tanah Melayu membawa peradaban mereka bersama. Itu juga bermakna mereka membawa bersama pembina dan tukang-tukang kayu mahir selatan China terutama daerah-daerah Fujian dan Guandong. Telah dibina seawal 1645 dan dewan-dewan sembahyang didirikan pada 1704 oleh Kapitan Li Wei King. Yang menariknya, sejak daripada itu, ianya bukan sahaja menjadi pusat ibadat untuk tiga kepercayaan bersama iaitu Buddha, Taoisme dan Konfusianisme. Malah menjadi tempat pentadbiran kapitan

dan mahkamah masyarakat Cina Melaka sehinggalah pihak British memansuhkan sistem kapitan pada 1824. Justeru itu, kau dapat mengagak betapa pentingnya simbol tokong ini dan peranannya kepada mereka.

Jeritan siren memecah leka kami ketika kami melihatlihat perkarangan. Apabila dua buah kereta polis dengan siren lantang masuk ke Tokong Cheng Hoon Teng, kami mengerti tragedi buruk telah mencalar pusat ibadah itu. Seorang lelaki Cina berpakaian segak tegap dengan aura kapitan zaman silam menyambut kedatangan pegawai polis. Mereka berbincang perlahan-lahan namun tidak dapat membendung rahsia kejadian. Kami memandang sesama sendiri. Mengerti. Dengan pantas kami mengingati kembali peristiwa minggu lepas di Villa Sentosa.

Jika minggu lepas bencana menimpa waris barang kemas tradisional purba Melayu, hari ini giliran patung sembahan kecil, Dewi Ma Choe Po yang telah beratus tahun mengiringi sembahan yang lain, Dewi Kwan Yin dan tidak pernah meninggalkan tempat duduknya. Hari ini ia ghaib sekelip mata.

Malam bening yang disangka aman sampai ke pagi, kami mendengar lagi kisah pencuri berkaki ghaib. Makhluk yang mengambil keuntungan di atas sejarah warisan tiada kesan masuk atau keluar. Memang kami tersentap. Faham erti kehilangan ini. Tetapi lupakah kau kami masih anakanak kecil Sehingga ketika itu, saat itu, Dhiya terutamanya tidak mahu membuat apa-apa. Ini bukan seruan untuknya.

Bukan tanggungjawab kami menyandang beban kerja penguasa.

Tidak jauh selang beberapa jalan dari

Jalan Tukang Emas, satu bayang hitam membawa beg sandang berisi beban berat

di belakang berjalan tenang. Tiada siapa yang curiga. Tiada yang mengikuti.

Namun, siapa sangka pencuri halimunan itu akan menyebabkan petaka menimpa kami