"Apa tu"
"Cerita kedua ini. Aku yakin ini sambungan kepada cerita yang bertajuk 'Terapung' dalam novel yang ditulis ibu aku dulu. Tentang manusia yang boleh terbang."
"Bak sini Abang Munir nak tengok," pinta Munir sambil merebut kertas tersebut dari tangan Adib.
KISAH 2
Tak Bersayap Bukan Penghalang
Tsai menutup dan mencampakkan sebuah buku yang bertajuk Jangan Baca Novel Ni di atas meja. Dia tidak membaca keseluruhan novel tersebut. Tak berminat.
Dia hanya berminat untuk tahu tentang sebahagian kecil yang spesifik di dalam novel itu. Dari mukasurat 62 hingga 71 sahaja. Sebuah sub-cerita yang bertajuk 'Terapung'. Mukasurat-mukasurat tersebut sudah ditandakan untuknya semasa buku itu sampai kepadanya melalui pos. Walaupun tiada alamat atau nama penghantar, kiriman novel itu diselitkan bersama sekeping nota ringkas.
Read sub-story 'Terapung'. From page 62 to 71 as marked. It might help with your current investigation on the jumpers.
Tsai sudah membaca cerita tersebut. Sebab sebagai seorang penyiasat, dia tidak akan mengambil ringan sebarang maklumat ataupun petunjuk yang didatangkan kepadanya. Walaupun petunjuk tersebut mungkin nampak seperti merepek dan tidak releven.
A lead is a lead...
Kata Tsai dalam hati. Hati yang sedang semak sebenarnya. Terpengaruh dengan jiran tingkat atasnya yang juga sedang serabut. Otak.
Semuanya bermula beberapa minggu yang lepas. Memang Tsai perasan di dada-dada berita semakin banyak kes orang terjun bangunan ataupun jatuh dari tempat tinggi di seluruh dunia. Tapi Tsai tak ambil pusing. Bukan bidang kerjanya. Dia adalah seorang penyiasat persendirian. Kadangkala menyiasat kes jenayah. Tapi kebanyakan masanya melayan mak datin mak datin yang ingin mengupahnya untuk mengikut suami mereka kalau-kalau ada yang melakukan aktiviti 'sampingan' semasa keluar bekerja.
Namun bila satu hari Tsai didatangi seorang wanita pertengahan usia yang ingin dia menyiasat tentang kematian anak gadisnya, tumpuan Tsai secara automatik menjadi peka terhadap sebarang kes yang melibatkan bunuh diri ataupun terjatuh dari tempat yang tinggi.
Pada mulanya memang Tsai menolak untuk menyiasat kes tersebut. Sebab pihak polis pun sudah mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh diri. Tapi sebaris ayat yang keluar dari mulut ibu kepada mangsa tersebut semasa pertemuan pertama mereka yang telah membuatkan Tsai berubah hati.
"Sebelum anak saya jatuh, saya nampak dia terapung selama beberapa saat..."
"Berapa umur anak puan"
"16 tahun..."
Dan hanya beberapa minggu selepas itu, seorang posmen menekan loceng pintu pejabatnya di Damansara lalu menghulurkan sebuah bungkusan yang berisi novel hitam. Yang secara aneh, ada menyebut tentang remaja-remaja berusia 16 tahun dengan kebolehan untuk mengapungkan diri, namun berakhir dengan tragis apabila kesemuanya jatuh dari langit dan patah renyuk.
Tsai sudah cuba menghubungi penerbit novel tersebut. Malah penulisnya. Tapi jawapan yang diberikan adalah,
Jangan Baca Novel Ni adalah cerita rekaan semata-mata. Sebarang persamaan dengan individu yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia adalah kebetulan.
Huh.... Jawapan cliche....
Keluh Tsai. Tapi bila difikirkan balik, mana mungkin kejadian-kejadian sebenar yang berlaku dalam dunia di sekitarnya kini ada kena-mengena dengan novel itu. Ianya terlalu fantastikal. Kalau cerita dalam setiap novel boleh berlaku dalam dunia sebenar. Dunia ni akan porak-peranda. Justeru Tsai berhenti mengganggu mereka yang terlibat dengan novel itu, dan lebih menumpukan penyiasatannya terhadap maklumat-maklumat yang lebih nyata.
Telefon Tsai berdering kuat. Panggilan dari salah seorang informatnya yang memaklumkan bahawa baru berlaku satu kes dimana seorang remaja bunuh diri dengan cara terjun dari tingkat atas sebuah pusat membeli-belah.
Roh Tsai bagaikan sudah sampai di sana. Hanya tubuhnya saja yang masih kelam-kabut cuba mengejarkan diri ke tempat kejadian.
Orang ramai mengerumuni mayat yang sudah ditutup dengan kain. Aneh bila memikirkan, sesuatu yang begitu menakutkan dan menyedihkan, boleh menjadi sesuatu yang begitu menarik perhatian. Barangkali manusia memang terdorong terhadap perkara-perkara yang negatif. Salah satu lumrah yang kita seringkali malu untuk akui.
Tsai memerhatikan sekeliling. Begitu ramai yang mengambil gambar dengan telefon bimbit canggih mereka. Tapi Tsai, seperti segelintir yang lain, memilih untuk mengisi masa itu dengan memberi penghormatan terhadap si mati.
"So tragic isn't it"
Kata seorang lelaki yang tiba-tiba ada di sebelah Tsai tanpa dia sedari langsung. Barangkali kerana Tsai sedang khusyuk memerhatikan darah yang sedang membeku di atas lantai di hadapannya. Membentuk satu takungan yang keberadaannya memberi manfaat kepada sesetengah orang yang menyibuk di situ. Kalau tak dapat tengok mayat, tengok darahnya yang mengalir keluar dari kain yang menutupi mayat pun jadilah.
"Yes. Very tragic..." balas Tsai.
"Saya ada semasa kejadian berlaku. Saya tengok dengan mata kepala saya sendiri, remaja tu jatuh dari tingkat atas."
bersambung
Bab akan datang:
Adakah lelaki itu dapat memberikan maklumat baru kepada Tsai