Sama seperti tahun-tahun sebelum ini; ia disambut meriah dan penuh mewah. Pesta di ufuk Timur dan Barat, merentas Laut China Selatan tetap berlaung tanpa kita sedar ada kisah sedih di sebaliknya. Alangkah hibanya apabila sudah lebih separuh abad, kita belum mampu menarik nafas lega mengingati tarikh ini. Alangkah malangnya merdekanya negara ini diselimuti kabut yang sampai ke saat ini, dianggap realiti dan ditelan seadanya.
Setiap kemerdekaan, pasti ada kisahnya. Setiap kemerdekaan, pasti ada perjuangannya. Tidak merdeka tanpa tumpahnya darah buat ibu pertiwi. Cinta satu bangsa kepada negaranya tidak pernah dihiasi dengan kisah khayalan dari kayangan; cinta putera-puteri sebuah tanah air pastilah penuh tangis, darah, keringat, dan keinsafan.
Malang, cinta kita kepada negara tidak pernah disaluti tangis, darah, keringat, dan keinsafan. Cinta kita kepada negara; kisah perjuangan kita dihiasi indah dengan bangsawan kaya, elit mewah dan penuh riang tawa.
Bukan mahu memperkecil pencapaian tahun 1957. Juga tidak mahu terlalu pesimis untuk meludah kemerdekaan negara yang ditatang saban tahun, konon sebagai perjuangan sejati - penuh aman damai dan tidak serupa dengan negara lain. Cuma terkadang jelik dengan heboh-heboh tentang bersyukur dan mengenang budi.
Bersyukurlah negara ini mencapai kemerdekaan dengan meja runding, tiada pertumpahan darah. Bersyukurlah tanah air ini mencapai kemerdekaan dengan penuh tamadun dan pekerti molek.
Alangkah peritnya dada pabila setiap tahun, sejak dari bangku sekolah terpaksa terus-menerus menelan kenyataan palsu ini.
Saban tahun, kita didendang dengan lagu asyik tentang merdeka. Merdeka kita ini hasil dari jerit perih nenek moyang kita. Benar, tapi nenek moyang yang mana Nenek moyang yang selesa tinggal di istana mewah, berbaju kot ala-kolonial, berdansa di malam hari
Jerit perihnya yang bagaimana Jerit perih berjumpa penjajah, bersalaman, berbincang, dan menurunkan tandatangan di helaian kertas yang sampai ke hari ini tidak pernah dibaca oleh rakyat jelata Atau jerit perih digantung, dibuang negeri, dihukum bunuh, ditembak, dihalau ke hutan, dicampak ke tanah asing, dipenjara, diaib, dan sebagainya
Jerit perih nenek moyang yang akhirnya dipadam namanya daripada buku sejarah. Jerit perih nenek moyang yang digelar pengkhianat hanya kerana tidak mahu duduk semeja dengan penjajah Jerit perih nenek moyang mana yang diarahkan kepada kita untuk dikenang budinya sehingga mati
Apabila melalui Jalan Sultan Ismail, mata pasti tidak terlepas daripada memandang bangunan tinggi milik partinya si pemerintah. Pemerintah yang dilantik oleh imperial. Maka ditayang di layar besar bangunan itu semahu-mahunya - Tunku: Bapa Kemerdekaan, Onn Jaafar: Pengasas Kemerdekaan.
Dan setiap kali itulah saya menangis dalam hati. Setiap kali itulah mulut saya tidak berhenti memaki hamun. Bapa Kemerdekaan atau hanya penyambut kemerdekaan Saya cuba sediakan ruang toleransi terhadap Tunku yang digelar Bapa Kemerdekaan, namun tidak mampu bertolak ansur dengan Onn Jaafar yang digelar Pengasas
Kemerdekaan.
Alangkah celakanya orang-orang yang memberi gelaran tersebut kepada Onn Jaafar. Tambah celaka orang yang menulisnya di bangunan tinggi itu. Sejarah pahit; Onn Jaafar dan Tunkulah orang yang menolak mentah idea kemerdekaan dan mengejek anak-anak SITC (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) yang siang malam bersusah-payah mengajak rakyat menolak penjajah.
Membelok ke sekitar Masjid Negara tambah memualkan. Tidak jauh dari situ letaknya Tugu Negara, satu-satunya tugu di kota Kuala Lumpur. Saya bersyukur, segala pembohongan yang ditelan pada zaman kecil, akhirnya ditelanjang satu-persatu.
Malang bagi generasi kecil hari ini, akibat bodoh sombongnya si pemerintah dan baculnya cerdik pandai yang tidak berhenti menjilat tumit kasut mereka, anak-anak kita terus ditipu dengan dongeng Tugu Negara.
Tiba Hari Pahlawan, imej tugu gelap inilah yang ditayang ke serata tempat. Sedangkan tugu itu tidak satu pun nama anak bangsa negara ini. Sedangkan tidak siapa pun sedar yang berdiri itu orang putih, dan yang dipijak kepalanya itu anak bumi Malaya yang menentang orang putih. Dan inilah tugu yang terus menjadi kebanggaan anak
merdeka.
Saya masih ingat ketika dalam bilik darjah tahun lima di Brickfields, lebih kurang 12 tahun lalu. Depan bilik darjah, guru kajian tempatan mengajar Sejarah asas (yang akhirnya mengecewakan saya kembali) tentang Malaysia. Di tangan saya, pensel HB dan pensel warna baki kelas seni masih bergerak di buku nota kosong. Saya lakarkan satu bendera yang mirip ciri-ciri bendera kapitalis Amerika; hasilnya bendera negara kita sendiri!
Yang setiap hari di bawah matahari anak-anak sekolah diminta tunjuk hormat. Saya lakarkan kotak baru, menggunakan merah, kuning, dan biru, dengan latarnya warna putih, sengaja tangan nakal saya mereka-reka bendera lain, hasil khayalan semata-mata.
Dalam hati kecil, kalau aku jadi Perdana Menteri, aku tukar bendera jadi macam ini. Bendera sekarang tiru bendera orang. Siapa tahu, hari ini apa yang menjadi kehairanan dulu turut menjadi kehairanan orang lain.
Mengenangkan betapa patriotiknya anak-anak kecil berseluar biru tua termasuk saya ketika di sekolah dahulu menyantuni bendera yang berkibar megah, tidak mungkin tidak kita meletak tepi iringan lagu yang setia menemani kibaran bendera itu. Indah, mengasyikkan, dan sentiasa menjadi siulan setiap anak bangsa negara ini.
Siapa tahu, rupa-rupanya bukan kita sahaja yang bersiulkan lagu itu; di Indonesia, Perancis, malah di kelab kabaret Barat lama dahulu turut sama bersiul lagu sama. Maka, terbongkarlah dalam zaman internet ini, Negaraku itu hasil tiru-tiruan, terjadinya sebagai lagu kebangsaan atas sebab seorang raja yang tidak mahu dilihat kalah dan ketinggalan di depan tamu asing.
Maka sekonyong-konyongnya dipetik sahaja lagu yang kerap didengar raja ketika dalam buangan itu dan diumum sebagai lagu kebangsaan. Tidak mengapalah. Syukur liriknya masih mampu membuktikan sesuatu.
Dan terselit juga sedikit memori yang masih berbekas apabila guru sejarah menyebut tentang neo-kolonialisasi projek Malaysia ke atas Sabah dan Sarawak. Saya sudah bertahun-tahun meninggalkan bangku sekolah. Hampir-hampir juga terlupa tentang pelajaran di sekolah.
Namun perkataan neo-kolonialisasi kuat melekat dalam kotak memori. Asalnya ia dianggap sebagai satu istilah hasil konfrontasi dan keegoan Sukarno, namun akhir-akhir ini, terlalu banyak pula sejarah hitam yang membingungkan tentang neokolonialisasi hinggap dalam bahan bacaan.
Mungkin benar, buang yang keruh ambil yang jernih. Namun hipokrasi kita dalam menerima penindasan fakta sejarah ke atas Sabah dan Sarawak harus diakhiri. Tidak rugi kita berlapang dada dan menghargai kejujuran. Sekurang-kurangnya, sedikit hasil kejujuran mungkin menambah lagi bilangan cuti umum dalam kalendar negara.
Keluh-kesah ini bukanlah kerana sifat berontak mahupun tidak bersyukur. Jauh sekali keluh-kesah ini bersangkut paut dengan apa-apa fahaman mahupun pendirian politik saya. Keluh-kesah ini hanyalah sedikit ingatan dan perkongsian naif; bagaimana kita akhirnya hanya mengagumi kekosongan setiap 31 Ogos.
Tidak ada perjuangan sebesar memerdeka bangsa dan tanah air cuma dihiasi tawa riang dan kemewahan. Menyesali betapa kemerdekaan kita diselimuti terlalu banyak kekeliruan dan manipulasi sejarah orang yang menang, Tiada ruginya kita mempersoal sesuatu yang dipanggil kenyataan, kerana kenyataan belum tentu adalah hakikat.
Merdeka kita secara rohaninya terpesong jauh. Sudah jadi perayaan palsu untuk diperaga kepada dunia luar supaya negara kelihatan berdaulat. Tambah menyedihkan, pada 2012, 31 Ogos secara rasminya telah dibunuh semangat perjuangannya dengan retorik, kejijikan dan kegilaan politik pemerintah.
Syukurlah, apabila ramai
pengkhianat yang suka memperlekeh kemerdekaan dan sejarahnya, akhirnya itulah satu-satunya cara untuk membuka kisah sebenar kemerdekaan yang tidak kedengaran sebelum ini.
Sebagai anak yang mencintai tanah air; mengetahui, dan memahami sejarah amat penting dan mahal harganya.
Sekurang-kurangnya, cukuplah kita mengerti bahawa perjuangan kemerdekaan bukan hanya bermula tahun 1957 mahupun 1946 (tahun lahirnya UMNO). Rekod membuktikan ia bermula seawal 1920-an lagi, dihiasi dengan warna-warna suram perjuangan anak-anak SITC, Dr Burhanuddin Helmy, Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, KMM, PKMM dan sebagainya.
Namun, bagi saya, perjuangan kemerdekaan sebenar bermula sejak hari pertama penjajah mendaratkan kaki ke bumi kita.