Norman tidak tahu ke mana hendak dituju tetapi dia terus menekan minyak dan mengawal stereng, membiarkan sahaja empat roda meluncur terus-menerus. Dia tambah menggila kerana malam-malam begini kenderaan berkurangan. Sempat dia melihat jam. Tiga dua belas pagi.
Keretanya melewati Sungai Way tatkala, dua motor polis trafik mengapitnya di kiri dan kanan, mengarahkannya supaya berhenti ke tebing jalan. Polis malam-malam begini Peronda lebuhraya Polis trafik Ah, Norman pun menyumpah-nyumpah dalam hatinya. Dia akur tetapi sial, celaka, bedebah dan jahanam dizikirkannya perlahan-lahan, melepaskan geram sendirian. Boleh saya lihat lesen
Norman mengeluarkan lesen memandunya dan menunjukkan kepada salah seorang polis itu.
Terlalu laju!
Norman sekadar diam. Dalam hatinya melanjutkan celaka, sial, bedebah dan jahanam berulang-ulang. Saman Tanya Norman keras, kurang sopan.
Norman Yusuf Polis itu tadi tidak menjawab pertanyaan Norman malahan terus meneliti lesen memandu itu.
Kenapa Norman tidak sabar.
Polis itu tersenyum mengejek. Dia terus memanjangkan senyumannya. Dia memandang wajah Norman. Err, nak ke mana
Awak nak saman saya, saman sajalah! Norman mulai hilang pertimbangan.
Polis itu terus tersenyum, seorang lagi di belakangnya mencebik. Ini menambahkan kepanasan hati Norman. Ini, jelaskan di balai polis berdekatan. Saman dikeluarkan dengan senyuman masih belum pudar.
Terima kasih, awak tidak perlu senyum mengejek begitu! Norman sempat menengking dua orang pegawai polis itu sebelum kembali meluncur dengan pecut yang sederhana.
Hatinya terus memaki hamun polis-polis itu. Dia tahu apa maksudnya senyuman mereka berdua. Sejak dua minggu lepas, dia sudah mulai menerima senyuman berisi ragu, jijik, ejek, mengharap dari orang-orang awam. Pendedahan sensasi yang dilakukan oleh Wan Adlin dan Daud, muncikari utama di dada akhbar tabloid dan nyamuk bagaikan tidak berakhir. Ia berterusan selama dua minggu, memalukan dirinya dan menyentap maruahnya hingga ke akar-akar.
Norman memusing haluan. Dia ingin pulang, dia ingin terus melupakan kekacauan yang bergolak pantas dan meribut di dalam diri dan benak. Dia sudah tumpul akal untuk memikirkan. Dia telah berputus asa.
Anjing, Wan Adlin. Tindakanmu itu seperti tindakan seorang pengecut!
Ketika tiba di rumah. Norman masuk ke dalam, meluru ke peti sejuk mengeluarkan enam tin bir dan sekotak rokok, semua itu dibawa ke ruang tamu. Dia kemudian menanggalkan pakaiannya, bertelanjang dan berendam di bilik air mendapatkan kesegaran.
Di dalam tub itu, Norman kembali mengutip keaiban yang dipaparkan sejak dua minggu lepas. Asalnya cuma ruangan hiburan menyiarkan kisahnya, itu pun tidak menyebut nama. Selang dua hari kemudian, polis menggeledah rumahnya kerana disyaki sebagai tempat penyimpanan dadah. Jadi berita panas dalam sekelip mata. Keesokan harinya, Daud muncul di dada akhbar membuka pekung yang sekian lama cuba disorokkan. Dua minggu itu berlarutan dengan berbagai-bagai cerita, Wan Adlin menjadi muncikari utama, barua kedua, Daud.
Norman tahu, The Observer paling patut dipersalahkan lantaran isu bulan lalunya. Majalah hiburan tidak akan tahu kalau tidak kerana The Observer melaporkan aktiviti-aktiviti gay di Kuala Lumpur. Gambarnya meskipun kecil, dijadikan hiasan dalam The Observer. Paling penting ia tercetak di situ tanpa kebenarannya. Norman, tanpa berfikir panjang mengambil tindakan menyaman. Nah, itulah puncanya. Kini setelah urutan peristiwa itu, ia terbongkar seluas-luasnya. Dan menjadi bualan umum, bahkan disebut di dalam parlimen. Gay di Malaysia, satu kegusaran panjang!
Norman menyegerakan mandiannya, bangun, tanpa berpakaian, dia kembali ke ruang tamu. Dia duduk berbaring di atas sofa merenung kipas yang berpusing ligat sehala. Dia mencapai kotak rokok, mengeluarkan sebatang, mengepitnya di mulut. Pantas dia menyalakan mancis api, mendekatkannya pada rokok tersebut dan sekejap sahaja, asap sudah berkepul di udara merebak ke segenap ruang. Dalam menikmati rokoknya, fikiran Norman berlegar. Dia teringatkan J.C. Dia tersenyum. Kali ini senyuman itu bukan lagi mengharap! Ia senyuman dendam, J.C yang dicintainya, belot, curang, tidak setia, mementingkan diri, dan dia berdendam. Hanya dendam sahaja yang wujud di dalam dirinya. Orang yang tidak setia mesti diajar!
J.C meninggalkannya dalam keadaan terhina begini Sedangkan kehinaan itu dilakukan berdua, berpasangan. Norman menghabiskan rokoknya, memadamkan setelah tinggal puntung cuma. Tergamak sungguh kau J.C. Kenapa kau tidak mampus dibunuh perusuh Ahh, tidak mengapa, AIDS sedang memamah dirimu itu sedikit demi sedikit. Kau cari sendiri! Aku Norman Yusuf seorang yang sangat berhati-hati.
Dia bangun kemudian, menuju ke laci di kamar tidurnya. Dia mengeluarkan album berbalut kertas corak batik. Norman menyelaknya sehelai-sehelai.
Gambar Norman ketika berusia empat tahun bersama ibunya. Norman memandang gambar itu lama-lama. Dia menitiskan air mata. Hanya ibunya sahaja manusia di bumi ini. Yang lain Ya binatang. Anjing Tidak, tidak mereka adalah lebih teruk dan hina dina dari itu. Babi Pun tidak, ada yang lebih dahsyat dari itu. Norman ketawa sambil mengesat air matanya.
Perempuan ini telah banyak menderita. Terlalu banyak yang ditanggungnya sepanjang hidup. Dan dia seolah-olah mengiringi kesengsaraan ibunya itu sepanjang hidup. Perempuan sebegitu baik, dianiayai orang! Adilkah ini Dia menyumpah orang yang bernama Yusuf. Sesungguhnya lelaki ini bukan lelaki, kerana seorang lelaki tidak akan mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain.
Norman masih segar pada ingatannya betapa ibunya dipukul dan dihambat oleh ayahnya yang mabuk. Bukan itu sahaja, ayahnya memaksa ibunya, dengan mata kepala sendiri melihat perbuatan zinanya di kamar tidur. Dia juga melihat, ayah itu jugalah yang mengusir mereka dari rumah kemudiannya.
Taubat Yusuf telah bertaubat Sukar untuk diterima! Kenapa selepas ibu meninggal dunia dia menunjukkan sikap baiknya Yang sebenarnya Haji Yusuf yang kaya raya itu tidak memiliki zuriat kecuali dirinya. Dan perasaan yang tamak itu tidak mahu melihat harta yang banyak itu jatuh ke tangan orang-orang tidak berkenaan. Maka di sinilah peluangnya Norman membalas seksaan.
Norman menyelak lagi dan lagi, album itu sudah terlalu lama tidak dikeluarkannya. Dia melihat gambar Melissa. Lis, maafkan sahaja aku. Aku tidak mungkin dapat menjadi suami yang baik. Tidak mungkin sama sekali. Bayangkan seorang isteri mengharapkan suaminya yang homosexual menyetubuhinya lantaran batin terseksa atau kerana kepinginkan anak. Lis, ini sama sekali tidak akan berlaku. Tidak dan tidak.
Malahan pertunangan kita pun sekadar disusun orang tua untuk kepentingan mereka. Apakah masih ada manusia yang tidak mementingkan diri di muka bumi ini. Ayah sendiri Kekasih Semuanya telah menjadi haiwan. Memang benar, lebih buruk dari anjing atau babi.
Kita tidak boleh berkahwin Lis, aku tidak akan berpura-pura. Aku seorang gay dan aku berbangga dengannya. Aku tidak mahu kau terseksa kelak seperti ibu.
Norman mengalihkan perhatiannya, gambar J.C ditenungnya dalam-dalam.
Dia masih ingat gambar-gambar ini berlokasikan Paris. Tempat pertemuan mereka berdua atas nama cinta. Cinta itu bertaut di Rue de Seine. Tatkala itu dia baru sahaja berpisah dengan kekasih berbangsa Cinanya. Bagaikan terbayang di ruang matanya mereka berdua berdakapan dan berjalan melewati Arc de Triomphe del Etoile dan Eiffel Tower. Berdua berpimpinan tangan dan menikmati asmara tidak terhingga seraya menyusuri Sungai Seine dengan kruiser melihat musim rontok Paris. Alangkah indahnya.
Gambar-gambar percutian di Hong Kong ini juga J.C. Betapa gembiranya kita tatkala itu. Kau dan aku tidak mengenali dunia, hanya kita, cuma kita berdua sahaja yang wujud ketika itu. Kewujudan yang tidak kita rasai. Kita terapung-apung di atas pelangi cinta dan kasih yang menjalur turun ke bumi rindu. Betapa, betapa, betapa kau memusnahkan semuanya. Segalagalanya!
J.C kekejaman yang tidak mungkin kumaafkan, tidak mungkin aku dapat bertolak-ansur di sini. Mereka menghinaku dan kau menyertai mereka juga! Kau kekasih yang zalim. Terlalu zalim kerana membiarkan aku begini. Duhai, apalah gunanya lagi hidup ini. Tidak berguna dan sia-sia!
Norman membuka penutup minuman dalam tin bir. Dia meneguk separuh. Sukar untukku percayai yang kau telah pergi meninggalkan diri ini. Kenapa terlalu mudah J.C Apakah kau menyedari tindakanmu itu Adakah kau tidak mempunyai hati yang belas. Kembali...
Norman meneguk lagi dan lagi birnya sehingga selesai. Dia membuka tin kedua dan minum lagi. Norman merasakan air yang diteguknya itu panas melalui tenggorok, mengalir turun lalu berkocak di dalam perut. Ia berputar-putar, dihantar dan didesak ke seluruh kujur tubuh. Air itu terasakan berada di jantungnya membawa debar. Kenikmatan itu segera meluap ke atas, sejat di atas. Mampat dalam otak. Norman pusing ke kiri ke kanan. Dia bangun, kepalanya oleng ke hadapan dan ke belakang. Dalam langkahnya dia melangkah tanpa atur. Dia tidak berpijak pada lantai. Kepalanya berat, dia tidak peduli. Norman meneguk lagi arak itu. Dia mahu benar-benar mabuk sekali ini.
Norman berjalan huyung-hayang ke laci di kamar tidurnya, menarik laci tu dan mengeluarkan keratan-keratan akhbar yang menjelaskan keserabutan kepalanya selama dua minggu lepas. Norman ketawa, dia membaca, kuat di dalam hatinya, ia bergema. Penyanyi terkenal disiasat polis kerana disyaki mengedar dadah.
Norman terduduk di atas permaidani. Kepalanya terus berat. Dia melihat tulisan kedua. Isu gay di Malaysia Penyanyi Saman The Observer. Tanpa sebab dia ketawa meledak-ledak. Orang semua telah tahu! Telah mengetahui segala-galanya.
Norman bergerak semula ke ruang tamu, memasang kaset lagu-lagu opera yang pernah dihadiahkan kepadanya daripada J.C tentunya. Sejenak kemudian soprano Maria Callas bergema di seluruh ruang. Norman kecewa, setiap kali Maria menjerit dengan nada yang tinggi terasa bulu-bulu roma ini tegak berdiri meraikan Callas.
Norman tanpa pertimbangan waras kini mendapatkan tali berpintal yang telah dikerjakannya sejak peninggalan J.C lagi. Dan dalam kepayahan, dia menggantung dan mengikat tali itu pada kipas angin yang melekat di siling. Selesai itu, dia membuka tin bir ketiga, dia minum dan minum dan minum. Sesungguhnya Norman sudah mabuk dan kini dia bertambah mabuk.
Norman terlentang. Suara Maria Callas memenuhi setiap sudut. Telinganya mendengar nada keras dan halus Callas itu berulang-ulang. Dalam fikirannya dia menerawang jauh ke Museum of Modern Arts, di Auditorium Jazz Profiles, tempat yang paling digemari oleh J.C di New York. Barangkali dia ada di situ sekarang. Dia mengkhayalkan dirinya sedang memimpin kumpulan jazz mempersembahkan konsert mereka.
Norman menghabiskan tin keempat sekarang. Bukan selalu dia mabuk begini dan dia tidak hairan kenapa dia boleh mabuk hanya dengan setin bir sahaja. Minumlah, minum buat kali yang terakhir. Norman ketawa dan kini beralih ke pusingan kelima. Tin itu diteguk habis dengan dua tiga kali teguk sahaja.
Dia merasakan dirinya melayang-layang. Maria Callas terus merintih pilu kematian ibunya. Dada Norman sebak. Hancur luluh di dalam. Air matanya mengalir deras. Dia melihat ke luar tingkap. Hujan lebat. Norman bangun, menghampiri tingkap kepala yang berat, berat yang kini bertambah-tambah. Dia mendengar Maria Callas terus lantang dengan irama sedih. Ibunya telah mati. Kasihan Callas. Kasihan sungguh!
Norman terduduk semula dan meneguk bir lagi. Dia memejamkan matanya, dia kemudian melihat diri bertelanjang. Dia ketawa, betapa ku memiliki kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Lihat, dia mempunyai sepotong daging yang digunakannya untuk menikmati seks. Sumbangkah
Norman bangun perlahan-lahan. Dia terasa kosong dan ringan. Masih terasa terapung-apung. Norman berjalan gontai ke arah tingkap yang tidak berjarak jauh darinya. Dia ternampak wajah ibunya melambai. Dia memanjat dan berdiri di tebing tingkap. Dia mendengar Callas meraung dan raungan itu meresap ke dalam diri. Norman menolak daun tingkap.
Norman ketawa nyaring bertalu-talu. Hujan ribut terus menggila. Pandangannya berbalam-balam. Kepalanya semakin berat oleh kesan bir yang entah tin yang keberapa. Dia ketawa lagi, Maria Callas pun meraung lagi dan lagi. Tiba-tiba petir berdentum. Norman terkejut. Tangannya terlepas pautan besi ditingkap. Kakinya hilang imbangan. Dia tergelincir. Terdengar bunyi benda jatuh. Keesokannya, penghuni apartment gempar, mayat lelaki dijumpai terjelepuk di tepi longkang. Norman sudah mati. Polis mengenali mayatnya.